Misteri Alam Kijang

Binatang. Semua orang tahukan? Di Malaysia ini terdapat ratusan jenis binatang di alam rimba. Jadi topik yang aku nak ceritakan kali ini ialah berkenaan binatang.

Setiap binatang mempunyai perangai tersendiri. Samada kita tahu atau tidak itu berdasarkan pengalaman masing-masing. Kali ini, aku hendak kongsikan tentang satu pengalaman yang mungkin aku tidak dapat akan jumpa lagi sampai bila-bila.

Aku hanya hendak berkongsi saja. Aku juga tidak memaksa pembaca untuk percaya. Tepuk dada tanya selera. Kejadian ini sudah lama berlaku sebenarnya. Aku akan ceritakan semula berdasarkan hari kejadian. Maaf jika ada penulisan ala novel.

Waktu petang, aku bersama dua orang kawan menapak pulang ke base setelah melihat pukat segera yang dipasang di sungai (lubuk) berdekatan.

Hasil pada hari itu agak lumayan. Dua ekor ikan sebarau, beberapa ekor ikan Tengas Batang dan beberapa ekor ikan Semah. Ikan Semah panggilan orang Sarawak, kalau di Semenanjung dipanggil kelah.

Pukat segera itu dipasang oleh aku dan kawan-kawan. Selepas itu, menjadi milik kerajaan maksudnya sesiapa yang rajin melihat pukat, hasilnya hak dia. Jarak sungai dengan base dalam 1 jam berjalan kaki.

Semasa berjalan pulang, aku dan kawan-kawan tidak banyak bercakap. Masing-masing melayan kepala sendiri atau mungkin penat. Faham-fahamlah kerja melihat pukat banyak perkara yang perlu dilakukan.

Menyelam mengutip ikan, membetulkan pukat semula dan kerja-kerja lain yang berkaitan. Masing-masing membimbit plastik (plastik kompo) yang berisi ikan.

Dalam kepala aku dah terbayang gorengan garing ikan segar. Biasalah apabila sudah jemu menghadap makanan segera milik kerajaan Malaysia. Yang faham itu fahamlah apa yang aku maksudkan tentang milik kerajaan tu.. Hehehe.

Aku berjalan di depan sekali, di belakang aku, kawan yang bertubuh kurus tinggi dan akhir sekali kawan aku yang berkulit putih.

Dalam menapak melalui rimbunan pokok dan batang pokok rendang yang tumbuh liar lagi subur. Muka aku tertoleh ke kanan. Mati langkah aku. Telinga aku dapat menangkap sesuatu bunyi. Tetapi aku tidak pasti bunyi apa.

Dua orang kawan di belakang aku turut berhenti.

“Kenapa?” Tanya mereka.

Aku meletakkan jari telunjuk ke mulut bermaksud diam. Mereka faham dan turut diam. Mereka memandang ke arah yang sama. Kawan aku yang bertubuh tinggi rapat ke aku.

“Kenapa Botak?” Tanya dia.

Aku mengatakan ada bunyi berdekatan pokok rendang itu. Kawan aku memasang telinga. Serius wajahnya. Kemudian memandang aku semula. Aku tahu mimik wajah dia, tidak kedengaran apa-apa.

Aku tidak puas hati, aku letak beg plastik ke tanah. Aku menapak menuju ke arah bunyi kedengaran. Aku tidak pasti sebenarnya arah bunyi itu, aku hanya membuat andaian.

Perlahan kaki aku melangkah. Aku menjatuhkan tapak aku seperlahan yang boleh di permukaan tanah. Dalam 10 langkah, aku mematikan diri. Tiada pergerakan aku lakukan. Tepat anak mata aku melihat ke depan, ke arah bunyi yang aku agak tadi. Aku pasang telinga betul-betul.

Bunyi itu senyap.

“Ah! Pulak,” rungut aku dalam hati. Aku membiarkan tubuh berdiri kaku, hanya anak mata dan telinga memainkan peranan.

Kawan-kawan aku kekal di tempat mereka. Mereka juga tidak membuat banyak pergerakan. Tidak membuat bising. Mereka hanya membiarkan sahaja perlakuan aku.

“Kcak! Kcak! Kcik! Kcik!”

Bunyi itu kedengaran semula.

Perlahan aku mengubah kedudukan, aku duduk mencangkung pula. Aku menoleh ke belakang melihat kawan-kawan aku. Pantas tangan aku terangkat memanggil mereka. Aku menyuruh mereka rapat ke tempat aku. Isyarat diam kekal aku berikan kepada mereka.

Mereka bergerak perlahan serapat boleh ke sebelah aku.

“Dengar tak?” Seakan berbisik aku bersuara.

“Bunyi apa tu Botak?” Tanya kawan aku yang berkulit putih. Kawan aku pun telah mendengar bunyi itu.

Aku terdiam. Aku tidak dapat menjawab soalan itu. Aku sendiri tidak tahu akan bunyi itu.

Aku arahkan mereka duduk di situ. Aku merangkak rapat ke rimbunan pokok di hadapan. Kemudian kawan-kawan aku pula merangkak menuju ke sisi aku. Kelihatan sebaris kedudukan kami. Semuanya dalam kedudukan merangkak.

Kami masih tidak dapat melihat apa-apa. Tetapi bunyi itu makin kuat hinggap di cuping telinga kami. Daun-daun di depan kami menjadi penghalang. Membataskan penglihatan. Perlahan tangan aku, menyelak daun di hadapan.

Tergamam aku apabila kelihatan dua ekor kijang dewasa sedang berdiri berdekatan. Kijang itu berada di bawah pokok yang agak rendang lagi redup. Aku tahu itu sepasang kijang.

Aku lihat, kijang jantan yang tanduknya agak panjang itu berdiri di atas sehelai daun kering yang besar. Daun seakan-akan daun pokok ketapang tetapi bersaiz lebih besar. Daun yang jatuh dari pokok rendang itu, pendapat akulah.

Kaki depan kijang jantan itu akan memijak daun kering itu berselang seli. Maksud aku sekejap kaki kanan dan sekejap kaki kiri. Setiap pijakan itu akan mengeluarkan bunyi.

“Kcak! Kcak! Kcik! Cik!” “Kcak! Kcak! Kcik! Kcik!”

Bunyi seperti kita memotong sayur atau bawang dalam keadaan laju. Tapi dalam bunyi yang besar. Bunyi itu kedengaran tajam. Adakala bunyi itu bernada perlahan. Ahh! Aku tidak tahu hendak terangkan cara bunyi itu dengan tepat.

Apabila kaki kanan kijang itu memijak ke permukaan daun, kaki kiri kijang itu tergantung dalam beberapa saat kemudian kaki kiri pula memijak dan kaki kanan tergantung. Kaki belakang kijang itu tidak memainkan peranan pun, hanya kaki hadapan sahaja.

Perbuatan itu berlaku berulang kali hingga tercipta bunyi atau irama. Irama yang tidak difahami oleh manusia.

Apabila bunyi seakan rancak, kijang betina akan mengangkat kepalanya ke atas dan ke bawah. Badan kijang betina turut bergoyang kiri dan ke kanan. Bagaikan menari kijang betina itu.

Aduh! Dah macam kelab clubbing pula. Perbuatan itu berlaku dalam beberapa minit sahaja kemudian kijang-kijang itu beredar dari kelab tarian mereka.

Aku tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Aku hanya melihat sahaja. Perasaan kagum, terpegun dan terkejut hanya tersimpan di dalam hati. Aku tahu ini misteri alam ciptaan Tuhan. Bersyukur aku dapat peluang melihat, menikmati dan menghayati pengalaman ini.

Tamat…

– Zambri Perasan

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *