Misteri Alam – Padang

Sekarang ini ramai orang suka hiking, suka camping. Pendek kata suka kehijauan hutan. Aku tergerak hati juga hendak berkongsi tentang kenangan yang tidak seberapa semasa masuk dan bermalam di dalam hutan.

Aku bukannya arif tentang Hutan, cuma biasa-biasa sahaja. Mungkin sudah tercatat rezeki yang aku dapat berkaitan dengan hutan maka nak tak nak terpaksa aku laluinya.

Hutan ini ibarat rumah orang. Jadi kita kena tertib setiap kali hendak masuk hutan. Itu prinsip yang aku lakukan setiap kali masuk ke dalam hutan. Semua orang ada cara masing-masing apabila masuk ke hutan.

Ada orang akan berdoa atau membaca ayat suci Al Quran. Ada orang akan memukul bertalu-talu pada batang pokok yang pertama dijumpai.

Ada orang akan membasuh muka dengan air sungai yang pertama dijumpai. Ada juga orang yang akan bercakap seakan berpantun sebelum melangkah masuk ke dalam hutan.

Banyak lagi cara yang dilakukan oleh orang apabila memasuki hutan. Apa-apa sahaja cara mereka, tetap di hati mereka mempunyai satu niat iaitu supaya mereka dilindungi semasa berada di dalam hutan.

Tak perlu aku nyatakan tentang hutan, semua orang tahu Hutan tempat yang cantik, tenang dan damai. Tetapi jangan kita terlupa pada satu perkataan tentang Hutan iaitu Misteri.

Kali ini aku ingin berkongsi tentang sebuah Padang. Sebuah padang yang berada di tengah-tengah hutan. Aku akan cerita semula bagaimana peristiwa ini berlaku.

Aku dan kumpulan aku berjalan di atas permatang. Permatang ini melandai begitu jauh sekali. Sayup terbentang aku lihat di hadapan.

Walaupun ada halangan batang-batang pokok balak namun masih aku dapat melihat arah permatang yang berbelok-belok.

Agak lembut permukaan tanah pada masa itu. Di kiri dan kanan dipenuhi pokok-pokok hutan yang tumbuh merata sudut. Padat keadaan hutan dengan pokok-pokok balak yang besar. Cerum yang terlihat juga agak dalam pada satu-satu bahagian.

Aku masih terus menapak, keringat bagaikan bermandi membasahi seluruh tubuh. Kepenatan, hanya Tuhan yang tahu. Beban yang aku pikul di bagpack bagaikan menolak badan aku ke depan. Hanya kekuatan mental saja yang kekal berbaki.

“Kita berhenti rehat di sini jap,” arah ketua.

Lega rasa hati aku apabila mendengar arahan itu. Perlahan aku sandarkan bagpack ke batang pokok kemudian perlahan juga tubuh aku menurun hingga terduduk.

Lega! Dapat berehat walaupun sementara. Aku tanggalkan tali pack yang tersangkut di bahu. Terasa ringan seluruh badan apabila tali bagpack itu terlerai dari tubuh aku.

Botol air tangan aku capai dulu. Aku gogok air di dalam bekas sepuas-[uasnya. Agak gelojoh perbuatan aku. Terbias air meleleh ke baju. Tidak aku hiraukan. Berkocak dada aku apabila terasa terpuas.

Dalam bersandar itu, aku menarik nafas perlahan tetapi berulang-ulang. Aku rehatkan diri sepuasnya selagi ada waktu yang tersisa.

Anak mata aku tertumpu melihat ke depan. Melihat cerun yang berceracak batang-batang pokok yang tumbuh. Berdiri gagah pokok-pokok itu. Warna hijau menguasai warna daun-daun di dahan pokok.

Anak mata aku terkalih pula melihat ke atas, melihat ke dada langit tetapi dalam pandangan ke depan bukan menegak ke atas. Kelihatan sempit dada langit di pandangan mata aku dek kerana daun-daun merimbun menghalang pandangan.

“Tebal betul hutan ini,” kata hati.

“Standby semua, lima minat dari sekarang kita akan meneruskan perjalanan,” suara arah ketua kedengaran lagi.

Aku bersedia, perlahan menolak diri untuk bangun. Terasa kepenatan masih berbaki. Demi kerja dan tugas aku telan segalanya.

Kali ini keadaan permatang menurun.

Aku pacak tumit boot setiap kali menapak. Kekuatan kaki main peranan utama. Kedudukan badan juga penting.

Badan tidak boleh mendongak ke depan sangat. Jika tidak beban yang berada di dalam bag back akan menolak tubuh ke depan dan pasti jatuh. Nasihat aku jangan selalu meludah jika turun atau naiki bukit.

Selepas menurun, kedudukan permatang menaik pula. Menaik secara melandai lagi. Aku susun langkah kali ini, badan aku agak bongkok sedikit untuk menampung beban. Anak mata lebih banyak tertumpu ke permukaan tanah. Hanya sesekali aku lihat ke depan.

Nasihat aku pada pengemar hiking jangan selalu memandang ke depan apabila menaiki bukit. Sebabnya mental kamu akan cair apabila melihat puncak bukit yang makin jauh, hehehe. Lebihkan melihat ke tanah.

Setelah sampai ke atas, aku menarik nafas seketika. Mata aku meliar melihat ke depan. Aku hairan apabila melihat nun di hujung hutan seperti kosong. Tiada Kelihatan batang-batang pokok. Tiada kelihatan rimbunan daun-daun.

Di mata aku langit kelihatan luas terbentang, tiada halangan membataskan penglihatan. Memang aku hairan dan pelik. Tetapi aku abaikan sahaja.

Semasa menuruni permatang keadaan seperti biasa. Batang-batang pokok berderet dan disulami anak-anak pokok yang merimbun.

Keadaan permatang kini merata. Aku membuka langkah agak laju melewati setiap batang pokok. Segala anak-anak pokok turut aku lepasi dan redahi.

Anak mata aku memandang ke depan. Luas pandangan aku atau pandangan aku bebas tidak dihalang oleh dahan-dahan pokok balak yang besar. Aku terus melangkah.

“Berhenti semua!” jerit Ketua.

Kumpulan aku yang seramai 10 orang berhenti serta-merta. Kami berhenti sebaik sampai di sempadan hutan yang pokok-pokok hutan tumbuh dengan banyak dan tebal.

Di depan kami kini, terdampar sebuah kawasan lapang yang besar. Bersaiz sebesar padang bola sepak.

Kami semua berdiri melihat, melihat satu kepelikan yang terbentang di hadapan kami. Kemudian kami saling memandang satu sama lain. Kejutan tercipta di wajah masing-masing.

Kami mula mengatur langkah menuju ke kawasan lapang. Dalam 10 kaki berada di kawasan lapang, aku melihat keadaan tanah. Tanah di kawasan lapang ini tidak sama dengan tanah yang sepatutnya berada di dalam hutan yang dipenuhi pokok-pokok.

Tanah di kawasan lapang ini lebih keras mungkin kerana terdedah dengan cahaya matahari. Tanahnya juga berpasir.

Sinar mentari mengigit terus kulit tubuh aku. Sepenuhnya sinar matahari menyentuh ke tubuh aku. Tidak seperti berada di dalam hutan di mana sinaran matahari hanya tempias sahaja.

Aku rasakan seperti tidak berada di dalam hutan. Tumbuhan yang tumbuh padang itu hanya pokok lalang dan rumput-rumput liar. Tiada sebatang pun pokok yang besar.

Pokok yang tumbuh tidak merapat. Maksud aku pokok yang tumbuh berjarak, oleh itu kelihatan jelas permukaan yang bertanah. Aku tidak percaya apa yang terlihat di depan mata. Tetapi itu misteri alam yang ada di dalam hutan.

Catatan.

*Padang itu menjadi tumpuan semua binatang. Daripada sekecil-kecil binatang hingga sebesar-besar binatang akan berkumpul untuk memakan tumbuhan di situ.

Tamat…

– Zambri Perasan

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *