Sungai merupakan salah satu keindahan yang wujud di dunia ini. Sungai juga merupakan salah satu unsur semula jadi yang dekat dengan kita. Tanpa air, kelam kabut hidup kita.
Kali ini aku hendak bercerita satu kejadian misteri alam yang jarang-jarang berlaku atau mungkin tidak pernah kita lihat.
Kejadian ini berlaku di tengah-tengah pedalaman hutan Borneo.
Baiklah aku akan cerita semula bagaimana penemuan ini berlaku.
Ingat! ZP bercerita, anda membaca.
Kami terkandas di sebuah perkampungan.
Mujur, penduduk kampung begitu ramah dan mesra. Mereka memberi kerjasama yang begitu baik. Mereka memberi kami menumpang sebuah rumah kosong, mungkin juga balai raya.
Kumpulan aku tidak dapat meneruskan perjalanan kerana cuaca yang sangat tidak bagus. Hujan turun begitu lebat sekali. Hampir tiga hari keadaan itu berlaku.
Pada hari keempat, cuaca kembali baik. Di dada langit kembali cerah. Sinaran mentari menggigit seluruh tubuh.
Aku mengambil pakaian di jemuran yang telah kering. Jika sebelum ini, begitu susah hendak kering dek cuaca mendung dan hujan yang melanda.
“Semua standby, hari ini ada pergerakan untuk masuk ke dalam hutan,” itu kata senior.
Kami yang seramai empat orang hanya mengangguk kepala, tanda faham.
Aku packing semua barang ke dalam bagpack. Pakaian bekerja aku sarungkan pada tubuh. Pakaian yang berwarna hijau daun pisang.
Setelah makan tengah hari. Kami semua berkumpul di satu kawasan lapang. Senior memberi taklimat terakhir sebelum berangkat masuk ke dalam hutan.
30 minit selepas taklimat.
Kedengaran bunyi yang kuat di udara. Bunyi yang membingitkan telinga. Kelihatan burung besi terbang di udara. Burung besi itu mula terapung.
Menunduk semua batang-batang pokok di sekeliling. Daun-daun pokok tidak senang duduk, bergoyang sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Ada juga dahan yang patah, berterbangan akibat pukulan angin dari kipas burung besi.
Burung besi yang digunakan semasa perang Vietnam itu mula menurun dan mendarat ke permukaan tanah. Kelihatan seorang turun dari helikopter berjalan laju menuju ke arah kami. Ada arahan yang diberikan.
Arahan yang mengatakan segalanya kena cepat kerana hujan akan melanda lagi, itu katanya. Ramalan orang itu. Kami bertindak dengan cepat, memunggah barang-barang. Akhirnya lima orang duduk di tempat masing-masing menunggu burung besi terbang.
“Kedekkk! Kedekkk! Kedekkk!”
Burung besi naik terapung di udara dan meluncur laju membelah awan.
Aku hanya melihat pandangan di bawah. Segalanya kelihatan kecil. Rumah-rumah kampung bagaikan kotak pemainan Lego. Pokok-pokok hutan yang besar bagaikan kelihatan anak pokok yang kecil. Penduduk kampung bagaikan semut yang merayap.
Dalam 10 minit penerbangan, helikopter mendarat di kawasan lapang yang agak luas, di puncak bukit.
Semasa kipas berputar itu kami turun secepatnya. Helikopter naik semula dan meluncur laju meninggalkan kami. Bunyi bingit yang menyucuk di gegendang telinga, sentiasa berpisah tiada.
Kami mengatur langkah masuk ke dalam hutan lagi. Dalam 1 jam, perjalanan senior mengarahkan kami berhenti dan bermalam di situ.
*
Dalam pukul 9.00 pagi, kami bergerak meneruskan perjalanan. Keadaan hutan agak pelik, aku dikelilingi pokok-pokok kecil seperti pokok bonsai yang berbatang besar seakan buncit batangnya.
Setiap batang, dahan semua dipenuhi lumut. Begitu juga permukaan tanah. Semua tempat berlumut berwarna merah. Kemerahan suasana sekeliling.
Aku memijak permukaan tanah berhati-hati. Aku tidak mahu merosakkan tumbuhan berlumut yang begitu unik itu. Aku cuba sedaya upaya minimakan kerosakan yang boleh.
Kawasan yang berlumut melebihi 200 meter. Perlahan pergerakan kami.
Aku rapatkan muka pada serumpun lumut yang tumbuh melekat pada sebatang pokok. Seakan kerinting daun lumut itu dan ditengah-tengah terdapat warna hijau yang sangat halus bagaikan serbuk. Setiap rumpun lumut itu, anggaran sebesar duit syiling 50 sen.
“Lain macam lumut ni,” kata hati.
Sememangnya aku biasa berjumpa dengan keadaan yang berlumut. Tetapi lumut di kawasan itu agak berbeza. Mungkin dari spesis yang lain.
Aku meneruskan pergerakan. Kawasan berlumut aku lepasi.
Aku menurun bukit pula. Aku pacak tumit boot pada permukaan tanah yang lembut dan menapak menuruni kaki bukit.
Menapak dalam 2 jam, senior mengarahkan kami berehat pada satu kawasan yang berhampiran anak sungai.
Sedang berehat itu, tiba-tiba senior berubah fikiran. Arahan juga berubah.
“Kita dirikan tempat tidur di sini juga,” Kami menurut.
Aku bangun dan menapak menghampiri tebing sungai. Aku lihat air sungai berarus agak laju, batu-batu yang terdampar di dalam sungai bagaikan landskap tercipta. Jernih sungguh air sungai hingga menampakkan pasir dan batu di dasarnya.
Sungai itu tidak besar, lebar dalam 20 kaki. Tebingnya tidak menentu, ada yang tinggi dan rendah.
Anak mata aku memandang ke arah hulu sungai kemudian ke arah hilir sungai. Semenangnya suai kenal tempat penting bagi pekerjaan aku. Di pandangan mata aku tiada apa-apa yang pelik.
Aku kembali ke tempat kawan-kawan.
Selesai membuat tempat tidur. Kami masak bersama-sama dan makan bersama.
Akhirnya dikawasan base senyap kerana tidur kecuali sentri (pengawal).
*
10.0 pagi,
“Senior, saya minta izin berjalan sekitar kawasan ni,” pinta aku.
“Nak buat apa Botak?” tanya senior.
“Saja-saja suai kenal kawasan. Lagipun kita hendak port kat sini kan 3 ke 4 hari,” jawap aku.
Senior diam, bagaikan berfikir memberi keizinan atau tidak. Beza perkhidmatan senior dengan aku ialah 2 tahun.
“Baiklah Botak tapi bawa member seorang lagi,” senior memberi izin tetapi dengan bersyarat.
“Baik, terima kasih. 3 nanti ikut saya,” kata aku kepada budak baru.
Budak baru itu hanya menganggukkan kepala bersetuju.
*
Pukul 11.00 pagi.
Aku terus menapak ke tebing sungai. 3 mengikut dari belakang. Kami terus menyusur di tebing sungai. Tebing yang agak rendah kami menapak. Kami menuju ke arah hulu sungai.
Dalam beberapa minit berjalan, langkah kami beralih, kami memotong masuk ke dalam hutan. Kami tidak dapat berjalan di tebing sungai apabila ada halangan di depan.
Semasa berjalan di dalam hutan, di pandangan mata aku tiada apa yang pelik, pokok hutan dan anak pokok tumbuh dengan subur. Senario biasa jika kehijauan itu tidak diusik.
Aku dan 3 terus menapak lagi. Kali ini langkah kami berubah lagi. Tapak boot menapak kembali ke tebing sungai. Sungai yang sama tapi tebingnya kali ini lebih tinggi.
Dalam mata merayap melihat keindahan hutan dan aliran sungai. Telinga melayan irama siulan burung.
Tiba-tiba anak mata aku terhenti melihat ke depan. Anak mata aku terpegun melihat permukaan air. Permukaan air yang berada dalam jarak mungkin 30 hingga 40 kaki.
Aku pelik! Aku hairan! Aku alih muka melihat aliran sungai yang berada di sebelah aku, bersih dan jernih.
“3 berhenti sekejap,” tegur aku.
3 berada di depan aku.3 matikan langkah, menoleh ke arah aku. 3 terpinga-pinga dengan teguran aku.
Aku diam, hanya menuding jari ke depan. 3 memandang arah jari aku.
“Kau nampak tak, apa aku Nampak?” tanya aku.
3 tenung puas-puas ke tempat yang aku tunjuk.
“Nampak abang. Eik apa tu?” jawap 3.
3 terus berlari ke depan. Aku mengikut dari belakang.
Sebaik sampai ke tempat itu. Dari atas tebing kami melihat ke permukaan air yang berada di bawah.
“Kenapa ni Abang? Kenapa jadi macam ni?” 3 mengaju soalan yang aku tidak ada jawapannya.
Di depan mata kami, air sungai kelihatan berwarna merah. Merah sepenuhnya. Bagaikan darah yang mengalir. Mengalir dalam jumlah yang banyak. Aku tidak tahu puncanya.
3 mengatur langkah untuk turun dari tebing. Aku menahan. Aku risau jika air itu mengandungi racun.
Aku melangkah ke depan lagi, aku mahu pastikan berapa jauh air sungai itu berwarna merah. Aku terus berjalan ke atas lagi. Aku matikan langkah, pegun mata aku melihat ke permukaan air. Kepelikan berlaku di permukaan air. Kelihatan jelas garisan lurus atau sempadan.
Di mana sebelah kanan aku air berwarna merah dan sebelah kiri aku air seperti biasa, jernih dan bersih.
Air yang berwarna merah itu mungkin dalam 80 hingga 100 kaki memanjang. Hanya kawasan itu sahaja yang berwarna merah.
“3, datang sini,” laung aku.
3 masih tercegat melihat permukaan air. Mungkin dirinya merasa tidak puas hati dengan apa yang dilihat. 3 menapak laju rapat ke aku.
“Kau tunggu sini, biar aku yang turun. Faham tak?” arah aku. 3 mengangguk kepala, faham.
Tebing yang setinggi dalam 15 kaki aku turuni, perlahan langkah aku aturkan. Berhati-hati perbuatan aku.
Aku sampai ke gigi air. Gigi air yang bahagian jernih. Aku harungi air yang sedalam paras pinggang itu.
Dalam beberapa langkah aku berhenti, arus air menolak ke kaki. Arus yang agak deras. Aku tidak endahkan.
Aku melihat ke hulu setakat yang termampu. Aku pasti permukaan air yang mengalir, terlihat jernih dan bersih. Aku pusing badan ke belakang pula.
Ya! Permukaan air yang berwarna merah di depan aku dalam jarak 6 ke 7 kaki sahaja.
Ada kerisauan di wajah aku. Risau jika air itu beracun. Aku pandang kiri dan kanan gigi air yang berwarna merah itu.
Bagi aku jika air beracun pasti akan ada haiwan yang akan terdampar mati di gigi air. Contoh anak ikan atau katak. Ini basic. Di mata aku tiada haiwan yang terdampar mati. Bersih kelihatan di gigi air. Hanya pasir putih.
Aku cuba rapat sedikit, pada sempadan air yang berwarna merah.
“Abang hati-hati,” jerit 3 dari atas tebing. Aku menoleh, aku angkat ibu jari ke arahnya. Bermaksud aku setuju katanya.
Perlahan boot kasut yang berada di dalam air itu bergerak. Tidak cantik pergerakan aku apabila batu-batu mencacatkan pijakan kaki. Aku bertahan. Air kian penuh memasuki ke dalam boot.
Dalam 3 kaki daripada sempadan air yang berwarna merah itu. Aku berhenti, aku tahan sekuatnya diri seperti aku pacak kaki. Aku mahu kedudukan diri stabil.
Tetapi mana mungkin dengan batu-batu di dasar dan arus yang menolak ke kaki, sesekali kedudukan tubuh aku tidak stabil. Aku cuba bertahan semampu yang boleh.
Aku bongkokkan badan sedikit, aku kecilkan mata untuk menajamkan penglihatan.
Aku terlihat ada sesuatu yang berwarna merah di dasar air. Sesuatu itu merimbun bagaikan lumut yang melekat pada batu-batu. Begitu banyak sekali. Aku tidak puas hati. Aku pejam mata.
“Brappp!” Berbunyi apabila muka aku menyentuh permukaan air. Aku benamkan lagi muka ke dalam air.
“Glup! Glup!” Berbunyi apabila gelumbung kecil keluar dari hidung aku. Pantas aku buka mata, aku cuba melihat sejelas yang boleh.
Nyata jelas pada dasar sungai kelihatan merah semerahnya. Ada tumbuhan yang tumbuh pada batu-batu di dasar. Tumbuhan seakan lumut yang kecil-kecil. Tersentak aku apabila aku pandang di pertengahan hingga permukaan air tidak berwarna merah. Aku pelik!
“Brappp!”
Aku angkat muka keluar dari air. Tangan aku menyapu air memenuhi muka. Tercungap juga aku apabila nafas yang diperlukan terbatas. Aku tarik nafas sepuasnya.
Aku yakin sudah dapat jawapan. Aku tahu apa yang berlaku. Semua yang berlaku tiada kaitan dengan racun.
“3, kau pergi duduk kat tengah-tengah tempat yang air yang berwarna merah,” jerit aku.
“Baik abang,” jawap 3. Pantas 3 berlari ke tempat aku maksudkan. Seketika aku menjerit pula.
“Air nampak merah kan,”
“Betul abang, merah sangat,” jerit 3 juga.
“Kau tunggu sana, jangan pergi mana,” arah aku lagi. Aku mencari kepastian kali kedua.
Aku rendam terus badan ke dalam air. Kedudukan meniarap aku lakukan. Anak mata aku cuba fokus mencari kebenaran kali kedua. Pasti! Air tidak berwarna merah.
Aku bangun kembali, pantas aku melangkah masuk ke kawasan air yang berwarna merah.
Aku nekad, aku kaut air itu menggunakan kedua tapak tangan lalu aku naikkan tangan ke paras dada. Aku tersenyum sendiri, air itu tidak berwarna merah. Air yang berbaki di tapak tangan aku jernih dan bersih.
Aku benamkan tangan kanan pula ke dalam air. Aku capai salah satu batu di dasar. Aku angkat tangan semula sebuah batu yang leper sebesar setengah tapak tangan berada dalam genggaman tangan aku. Aku belek batu itu.
Ya! Kelihatan seperti lumut atau tumbuhan kecil yang tumbuh dengan banyaknya di permukaan batu. Sebenarnya lumut itu tidak mengeluarkan warna atau mengubah warna air.
Cuma apabila kita melihat dari jauh atau dari atas. Kita akan melihat air sungai itu berubah warna tetapi apabila kita dekati tiada apa yang berlaku.
Lumut itu tumbuh di permukaan batu. Air sungai seperti biasa jernih dan bersih. Bagaimana pun kita harus akui amat payah hendak berjumpa kejadian ini.
Misteri alam tiada yang pelik jika Dia berkehendakkan. Itu kenyataan. Yang teori memang pelik apabila difikirkan oleh akal.
Tamat….
*Aku tidak tahu hendak panggil lumut atau Alga. Bukan bidang aku.
– Zambri Perasan
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit