Assalamualaikum. Confession ini adalah berdasarkan pengalaman aku sendiri kira2 bulan januari 2021 lalu.
Aku titipkan disini kerana aku masih belum mampu melupakannya dan untuk perkongsian bersama kalian. Tragedi dan misteri yang ringkas namun meninggalkan kesan yang mendalam buat diriku.
Awal januari 2021, aku dan suami mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman suami di pantai timur tanah air kerana sudah lama tidak pulang sejak wabak covid melanda.
Kebetulan ketika itu rakyat dibenarkan untuk merentas negeri. Kami yang menetap di utara tanah air tidak terus melalui jalan gerik kerana perlu ke pahang terlebih dahulu untuk menyelesaikan beberapa urusan.
Kira2 jam 8 pagi kami bertolak melalui lebuhraya utara selatan dan hanya berhenti beberapa ketika di rnr. Tiada apa2 yang berlaku namun perjalanan terasa begitu jauh.
Pukul 6.30 petang kami baru memasuki bahagian selangor. Aku dan suami bergilir memandu dan sejujurnya aku lebih cekap memandu, dan disebabkan itu aku mengambil keputusan untuk memandu ketika hendak memasuki pahang.
Ketika itu hari hampir maghrib. Kami berhenti di sebuah perhentian untuk makan, membersihkan diri, solat dan mengurus anak kecil yang ketika itu baru beberapa bulan umurnya.
Itu adalah kali pertama kami hendak memasuki negeri pahang dengan memandu sendiri. Sebelum ini hanya dengan bas jika mempunyai urusan. Kami hanya tawakkal walaupun ketika itu hanya waze menjadi pemandu arah.
Seusai itu kami pun meneruskan perjalanan. Aku memandu seperti biasa walaupun hati berasa tidak enak, manakala suamiku asyik meneliti waze untuk memastikan kami tidak tersesat.
Seingat aku, itu adalah lebuhraya namun tiada sebuah pun kenderaan ada disitu kecuali kereta kami. Ketika itu langit masih belum gelap sepenuhnya.
Hujan renyai2. Tidak semena-mena, aku terdengar bunyi ketukan di tingkap belakang pemandu sebanyak 3 kali. Tuk tuk tuk!
Aku dan suami yang sedang berbual ketika itu terperanjat dan terus menyepikan diri, manakala anakku yang hampir terlelap terus menangis. Suamiku terus memujuknya sehingga dia tertidur.
Aku memandang kiri kanan dan belakang namun tiada apa2 motor atau kereta lain yang kelihatan. Langit mulai gelap dan kira2 setengah jam baru aku memberanikan diri menegur suamiku.
“Awak dengar tak apa yang saya dengar tadi?” Dia hanya menjawab dengar dan memberikan isyarat supaya diam dan meneruskan perjalanan.
Hatiku makin tidak tenteram namun kugagahi jua memandangkan suamiku tidak boleh memandu pada waktu malam (silau). Kami hanya berbual kosong.
Perjalanan terasa begitu jauh seperti tiada berpenghujung dan beberapa kali suamiku menyuruh keluar di susur kiri namun tiada jalan yang kami jumpa selain bergerak lurus. Barangkali waze tidak berfungsi!
Setibanya kami di hotel, kami terus merehatkan diri dan alhamdulilllah anakku tidak banyak meragam.
Ketika itu suamiku memberitahu yang ketika waze memberi info hampir tiba di susur keluar, tiba2 waze menunjukkan jarak perjalanan masih jauh pula. Seolah2 kami berulang di tempat yang sama! Allahuakbar. Nak kata tiada internet, test buka aplikasi lain ok saja.
Keesokan harinya hujan masih belum berhenti dan pahang banjir. Kami telah selesai urusan dan ingin bergerak pulang ke pantai timur melalui lpt2.
Perjalanan tersebut alhamdulillah lancar cuma perlu melalui jalan yang jauh akibat banjir sebelum memasuki lebuhraya. Kali ini suamiku yang memandu sepenuhnya.
Di kampung, tiada apa yang berlaku. Cuma bermalam selama 2 hari. Kemudian pada hari kami ingin bertolak pulang ke utara, aku tiba2 berasa tidak sedap hati dan memberitahu kepada bapa mertuaku yang aku tidak yakin untuk melalui jalan gerik kali ini akibat hujan lebat.
Selalunya aku yang memandu dikawasan berbukit. Aku tidak suka orang lain yang memandu kerana aku akan pening dan muntah sepanjang perjalanan.
Ketika ini hujan masih lebat namun di puncak titiwangasa hanya kabus yang kelihatan sehingga menutupi pandangan hadapan sepenuhnya.
Aku memandu dengan perlahan dan tiba2 ada treler balak di hadapanku. Aku harus memotong namun aku takut. Tika itu keyakinan dan semangatku hilang melayang ntah kemana sehingga aku ingin berhenti di tepi jalan.
Namun keadaan kawasan yang memaksa dan aku tidak dapat berhenti selain mengikut treler yang sangat perlahan itu. Akhirnya tiba di kawasan tiada kabus dan ada tempat memotong, aku memberanikan diri jua.
Kami sampai di kawasan baling kira2 maghrib waktu langit mulai senja. Kala ini hujan renyai2. Aku yang keletihan hampir melanggar sebuah kereta lain dihadapanku.
Nasib ketika itu suami memberi amaran dan aku sempat menekan brek sehingga tayar kereta terseret. Habislah tayar aku!
Keesokannya, aku perlu masuk semula ke pejabat. Hujan masih belum berhenti, maklumlah ketika itukan musim tengkujuh. Air sungai penuh.
Ketika petang ingin pulang ke rumah dari pejabat, di sebatang jalan yang lurus, aku nampak ada sebuah kereta arah bertentangan ingin memasuki simpang di kiri aku.
Dikiri di simpang itu pula banyak kereta menunggu untuk keluar ke jalan besar. Aku memperlahan keretaku sehingga 30km/j.
Namun tiba2 kereta arah hadapan aku terus memasuki simpang ketika aku begitu hampir dengannya. Aku menekan brek mengejut dan terlanggar jua keretanya akibat tayar aku tidak begitu mencengkam.
Keretaku berpusing2 di jalan raya sebelum melanggar tiang elektrik. Mujurlah ada tiang, kalau tidak pasti aku menjunam ke dalam sungai.
Keretaku remuk di bahagian hadapan. Aku dan anak alhamdulillah selamat cuma terhantuk dan lebam2 sedikit akibat impak langgaran.
Sejak itu, semangatku hilang ghaib. Ada orang tua2 berkata aku terkena geruh semasa tingkap diketuk 3 kali itu. Mungkin itu gangguan atau petanda tidak baik. Namun aku sendiri tidak pasti.
Bermula dari ketukan itulah tragedi demi tragedi terjadi kepadaku sehingga tiada lagi kereta tersebut.
Bahkan, aku tidak pasti lokasi sebenar kejadian cuma seingatku, ada papan tanda yang tertulis karak ketika kejadian itu berlaku. Maaf jika tersalah kerana itu adalah pertama kali aku melaluinya.
Bagiku, apa pun ia, segalanya berlalu dengan kuasa Allah s.w.t. dan kita sebagai hamba hendaklah sentiasa redha dan bersabar dengan ujiannya.
Semoga kalian yang membaca confession ini sentiasa berwaspada dan berhati2 ketika memandu. In shaa Allah.
– Husna (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit