Drama Misteri Mona Dari Pandangan Pesakit Mental Sendiri

Tentang Misteri Mona. Dari Kaca Mata Pesakit Gangguan Mental Sendiri.

P/s: Posting sedikit panjang. Tapi akan mencerahkan banyak hal. Semoga bermanfaat. Dicadangkan anda siap menonton #misterimona untuk lebih faham apa yang saya kongsikan.

Saya habiskan masa satu hari. Marathon untuk tonton cerita ini, ya 8 episod semuanya. Niat utama untuk mengkaji. Adakah mereka membawa jalan cerita dengan fakta yang benar tentang sakit mental. Kerana saya sudah lama meninggalkan dunia tonton drama.

Sebenarnya, saya tertonton drama ini episode 1. Tapi saya tak teruskan. Kerana saya sendiri walaupun pesakit, tapi saya tidak cadangkan untuk tonton drama yang boleh mencetus episode atau ‘trigger’ kepada pesakit. Saya tak boleh tonton drama pukul, menjerit, kejam.

Saya jauhkan diri dari semakkan otak saya. Dan saya takkan menonton drama yang salah fakta.

Apabila terlihat watak Anom yang diperankan oleh Janna Nick, membuat seolah pesakit mental ini gila, saya terus tutup. Tak teruskan menonton. Tapi kali ini, saya berazam, mahu kekal teruskan menonton. Supaya penemuan saya lengkap terjawab. Adakah drama ini bagus dan relevan ditonton?

Jujur, 4 episod pertama buat saya melalui sesuatu yang aneh. Bukan kerana jalan ceritanya. Tapi kerana saya. Saya seperti masuk ke dalam ‘kotak’. Bingung.

Alhamdulillah. Saya berjaya ‘keluar’ dan bertenang setelah itu. Dan teruskan menonton pada sebelah malam. Sambil melipat pakaian. Jadi otak saya tidak ‘masuk’ dan terbelenggu sekali lagi dalam dunia cerita tersebut.

Ya, tulisan ini bukan tentang saya. Tapi tentang Misteri Mona. Dari kaca mata, pesakit sendiri. Apa yang saya lihat dan temui sebenarnya? Sudah pasti, rasa dan penghayatan saya berbeza dari orang tanpa sakit mental.

Nota: Yang kalian tonton dalam cerita tu mental illness major. Kronik. Ramai pesakit mental yang peringkat awal yang boleh dirawat. Akan sembuh jika disiplin dalam rawatan.

Dan pesakit mental bukan kronik (walaupun seksa) mereka menjalani rutin biasa seperti orang normal. Bekerja, bekeluarga. Bahkan ramai yang mempunyai pencapaian luar biasa.

Oh, mereka ada dalam kalangan ustaz, ustazah, professional bahkan Doktor juga ada. Kerana ini penyakit yang boleh terkena pada sesiapa. Bezanya, kronik atau tidak. Dan rawatan awal akan menyelamatkan anda.

Saya Cuma akan berkongsi penemuan peribadi saya. Dan bukan bidang saya untuk komen dari segi filem atau jalan cerita.

Contohnya isu ikhtilat atau babak-babak penggunaan pisau, kelar di leher, tikaman. Dan pendapat peribadi saya, ianya tetap satu isu yang perlu diambil berat.

Kerana apa yang ditonton akan masuk ke minda separa sedar. Dan ini akan menjadi ‘idea’ saat situasi luar kawalan. Dan ini tanggungjawab pengarah drama sendiri untuk mengkaji mendidik penonton.

Ok jom. Ya, baru pengenalan ya tuan-puan. Hehe. Boleh teruskan membaca untuk mengetahui penemuan saya dalam drama ini.

Sebenarnya banyak. Tapi tu lah. Saya tak larat nak tulis dan nanti kalian pun penat nak membaca banyak sangat. Jadi saya kongsikan sebahagian saja ya.

1-Manusia memang akan melalui ujian yang berupa masalah.

Dan ketahuilah, tak semua manusia mampu dan berani keluar dari masalah tersebut. Ada yang ‘stuck’. Banyak sebab. Menyebabkan dia pilih hidup dalam ‘masalah’ tersebut.

Tak mudah. Mereka terseksa. Tapi mereka celaru. Kita yang sihat elok lah bantu. Ini dari scene Laila Dan dibantu oleh Kak jiran tu.

Macam saya, tidak diuji dengan isu perkahwinan macam dalam drama ni. Tapi perkerjaan. Sebelum sakit saya ‘relapsed’ teruk, mak saya beratus kali cakap berhenti. Tempat tu bukan untuk saya. Mungkin tinggal mak tak ikat saya supaya tak pergi kerja.

Ya. Memang saya terseksa, sakit, tapi siapa nak bagi saya duit kalau saya berhenti? Keperluan asas hidup, makan anak-anak siapa nak bayar? Siapa? Bagaimana dengan ‘cita-cita’ saya? Persepsi orang?

Susah dapat kerja lagi mau berhenti? Kau tak syukur? Memang pantang saya dengar bab syukur versus sakit ni. Langit dan bumi bezanya.

Sebab tu saya faham. Kenapa ada orang pilih bertahan dalam masalah yang sememangnya busuk dan teruk. Bukan saya suruh jadi bodoh. Sudah tentu tidak. Kerana mereka memilih orang lain berbanding diri. Kalau ‘sell fish’, mudah. Terus la lari selamatkan diri dari masalah.

Apa yang ada difikiran bukan ‘seronok’ tunggu duduk dalam masalah. Tapi paling ngeri ketakutan untuk menghadapi kesan dari keluar dari masalah. Ketakutan untuk lebih ‘sakit’ dengan diri yang sudah sakit melalui masalah yang sedang dihadapi. Kompleks bukan?

Sebab itu. BANTU. Kalau tak mahu, diam saja dan pergi. Anda yang dalam masalah, tolong juga, dengar dan bantu diri bila orang lain menghulur bantuan.

Kerana hanya anda, yang boleh keluar dari masalah itu. Orang lain boleh beri sokongan dan bantuan. Langkah pertama, dari anda. Bangun. Cuba ya?

2-Sakit atau gangguan di mental boleh datang dari pelbagai faktor.

Salah satunya tragedi semasa zaman kanak-kanak yang sudah melekat dan beri kesan buruk pada diri seseorang. Jangan cakap alah, benda kecik takkan beri kesan. Tidak. Kerana setiap orang berbeza tahap penerimaannya.

Jadi hati-hati dengan zaman kanak-kanak.

Hatta dengan perkataan, “kau ni lembab, tak cergas, sikit-sikit letih”. Hati-hati.

Tapi untuk drama #Misterimona ni memang anak-anak tu melalui zaman kanak-kanak yang ‘super terrible’. Dan Allah memang sayangkan dorang ni. So sorang mati semasa kecil iaitu Mona.

Dan Anom sakit mental yang mana tanggungjawab dia dah tak sama dengan manusia normal. Orang sihat, banyak yang Allah akan tanya nanti. Tapi orang sakit begini, lain ceritanya. Allah kan yang aturkan semua? Tentu Dia tidak kejam.

Ada juga yang sakit kerana pengalaman ‘kesakitan’ dalam hidupnya. Tidak diselesaikan dengan baik. Sekurangnya perlu hadir kaunseling untuk bantu rawat emosi yang cedera.

3- Henti ‘self diagnosed’, rawat diri atau dapatkan rawatan dari yang bukan bertauliah.

Ni kes Anom dan Fahmi. Yang keduanya sakit. Fahmi rawat Anom, ya walaupun dengan kasih sayang menggunung. Tapi salah. Bukan pakar, jangan berani rawat.

Fahmi juga beli bahan ubatan dari ‘Dark Web’. ‘Illegal’. Dan tiada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. Bahaya ya. Tolong. Jika anda melalui simptom depressi atau masalah mental. Dapatkan rawatan secara terus di klinik kesihatan.

Bukan beli ubat batuk atau pil tidur dari pihak yang tak bertanggungjawab. Ia menyelesaikan masalah permukaan anda, tapi dalam akan membusuk sakit dengan teruknya.

Tiada yang mudah kawan. Sakit ini datang tak mudah. Dan sudah tentu tak mudah untuk pergi. Sabar ya. Perlahan-lahan kita cuba.

Dan rawatan tiada yang atas talian ya. Semua itu dusta. Doktor perlu jumpa menghadap wajah dan diri pesakit. Dan Doktor perlu ‘study’ keadaan anda.

Dari zaman kanak-kanak. Semua dinilai dan dicatit. Rapi. Tidak mudah untuk beri ubat atau ‘diagnose’ penyakit anda. Setiap orang tidak sama.

Henti percaya sebaran internet yang tidak bertauliah. Nanti duit terbang dan kesihatan melayang. Hati- hati juga ramai yang menawarkan servis terapi jiwa ini sekarang. Prospek bisnes katakan. Hanya percaya kepada dua, Dr Psikiatri atau ahli psikologi klinikal.

Mana nak dapat dorang ni? Klinik kesihatan dan hospital kerajaan. Kalau berkemampuan, boleh terus ke hospital swasta bahagian psikitiari. Atau jika anda mempunyai ‘suicidal thought’ atau fikiran bunuh diri, sila terus ke bahagian kecemasan hospital berdekatan anda dengan segera.

4- Jangan dekati pesakit mental kronik jika anda tidak punya ilmu khusus atau kepakaran.

Sama untuk kes Fahmi jaga Anom. Dan farah yang jaga mereka.

Sakit mental ada banyak. Ada banyak tahap. Anda semak diri anda. Jika tiada ilmu dan kepakaran. Elakkan lah. Anda akan membahyakan pesakit (membuat mereka tambah celaru) dan situasi memburuk, mereka mungkin cederakan diri mereka.

Kerana mereka mungkin cakap A, tapi yang orang sihat faham ialah B.

Anda juga akan membahyakan diri anda. Kerana mereka kadang, bukan mereka. Pastikan anda siap dengan ilmu psikologi asas. Banyakkan membaca dan bertanya pakar. Berlambak seminar ‘online’ dari pakar. Percuma tanpa bayaran.

Ini untuk kes kronik ya? Bagaimana anda boleh kenal ciri mereka? Banyakkan membaca dan bertanya pakar.

5- Caretaker atau Caregiver. Penjaga pesakit mental.

Orang kedua yang perlu diutamakan selepas pesakit itu sendiri ialah ‘caregiver’. Macam dalam cerita misteri mona ni, si farah tu. Caregiver boleh bercelaru dek kecelaruan pesakit. Boleh tekanan kerana berhadapan tekanan luar biasa pesakit.

Mudah kata, caregiver turut berisiko menghidap sakit mental. Banyak kes realiti yang saya jumpa. Suami jaga isteri, akhirnya dia juga terperangkap. Ibu jaga anak, akhirnya beliau sendiri gagal uruskan emosinya.

Tidak bermaksud anda tak perlu dan tak boleh atau elakkan jaga pesakit. Jika itu memang tanggungjawab anda. Tapi pastikan anda cari ilmu dan dapatkan sokongan luar yang ampuh.

Pertama saya nampak bagus si farah sebab dia seimbangkan ‘penemuan’ dia dengan balik dan bercakap dengan kawan dia iaitu Ikmal.

Kebetulan kawan dia tu agak membantu dan kerja sebagai jururawat hospital. Jadi farah tak serabut memendam sorang-sorang. Ini bijak ya tuan puan.

Isu kat sini ‘caregiver’ perlu sokongan. Siapa pun. Di dunia realiti terutamanya. Caregiver perlu ada ilmu. Kalau tak pandai, sila berusaha cari. Dalam cerita tu kita pun pening kan, rasa macam farah tu pulak sakit mental.

Nak bagitahu pentingnya ‘caregiver’ atau penjaga sakit mental ni menjaga diri mereka dan penting untuk mereka dapatkan sokongan sehingga ada sambutan peringkat antarabangsa. ‘Caregiver International Day’.

Dan jika kalian yang membaca ini ialah salah seorang ‘caregiver’ pesakit mental, ahli keluarga atau sahabat, boleh rujuk MIASA untuk sokongan emosi. Boleh ‘google’ dan hubungi mereka.

Ya sebab memang pening jaga pesakit mental. Jika anda seorang penjaga pesakit, ibu bapa, sahabat atau sesiapa. Jika boleh, teman pesakit ke rawatan. Tanya serba sedikit kepada Dr yang merawat tentang pesakit tersebut. ‘The do and don’ts’ dalam masa bersamanya.

Sangat penting untuk anda jaga kesihatan mental anda juga. Sama juga scene Dr Uwais nasihatkan ‘Dr Nadeem’ untuk pastikan beliau ok. Kerana pakar psikiatri juga manusia yang tidak lepas dari kusutnya masalah.

Suka juga scene yang mana Dr Uwais berkata kepada ‘Dr Nadeem’, belajar cakap tidak ok jika anda merasa tidak ok.

Ini asas menjaga kesihatan mental kita. Jangan jawab ok jika anda tidak ok.

6- Deactivate social media.

Ha ni antara yang menarik perhatian saya. Apabila ‘Dr Nadeem’ meletakkan syarat untuk bakal pekerjanya ‘deactivate’ media sosial.

Entah. Saya tak pasti kenapa. Mungkin tak mahu perihal isteri kesayangannya ditularkan. Mungkin ‘privacy’ dirumahnya yang dihuni pesakit mental kronik. Ya, mungkin juga.

Tapi ini pesanan dari saya. Dari hati seorang pesakit. Dunia hari ini boleh kata hampir mustahil kita berpisah dengan yang namanya media sosial. Saya juga, menulis dan sebarkan pengalaman di sini. Ada yang berniaga mencari rezeki berupa sesuap nasi.

Tapi saya terpaksa katakan, bahana sakit mental generasi ini berpunca dari ini, ‘gadget’ atau peranti, media sosial dan internet.

Ia mereka ada kebaikan. Sejuta kebaikan. Tapi juga sejuta bahana gangguan jiwa. Jika kita gagal mengurus penggunaannya. Tak kira buat anak kecil, remaja, atau ibu bapa sendiri.

Dari ini kita beri tekanan yang tidak kita perasan.

Setiap hari tanpa sedar kita membandingkan kehidupan kita dengan ‘kehidupan’ palsu yang orang berlumba-lumba tunjukkan. Dari sini juga, kita kurang masa untuk hidup direaliti. Otak tepu berjalan-jalan dalam alam maya. Ya kita banyak masa di dunia maya.

Hingga kita celaru saat harus hidup di dunia realiti. Boleh gunakannya, bahkan mustahil kita elak, tapi belajar. Tuntut ilmu bagaimana mengawalnya. Semak diri kita, adakah kita boleh tenang tanpa 3 hal yang saya sebutkan tadi? Jika ya. Tahniah, anda sihat.

Jika kita tak mampu hidup ibarat ikan yang terdampar di daratan, saya nasihatkan anda ubah cara anda menggunakannya. Sebelum terlambat.

Dari 3 hal itu, kita leka, makan tak tentu hala dan masa, tiada riadah, tidur entah pukul berapa. Ini semua punca yang akan bergabung menjadi satu. Iaitu SAKIT JIWA. Semoga terjawab, mengapa generasi ini ‘manja’ mudah terkena SAKIT MENTAL.

7- Mengapa Tuhan ‘kejam’ menyiksa hambaNya dengan sakit begini?

Hati saya sayu. Luluh. Sakit dicarik-carik. Melihat bagaimana takdir menyeksa Anom dan Fahmi.

Ya, bukan salah mereka. Tapi salah siapa? Sama juga. Ramai pesakit gangguan mental di dunia realiti, ada yang memilih bersuara. Ada yang diam tanpa kata. Masih memilih untuk ‘kuat’.

Seksanya pesakit melalui. Mereka sendiri tak mengerti, mengapa. Ditambah dengan salah faham orang lagi. Bukan diminta dibantu, cukup berhenti hakimi. Letih dan terseksa.

Saya secara peribadi bertanya, saat melihat deritanya sebuah kecelaruan jiwa Anom dan Fahmi. Akibat tragedi semasa kecil mereka.

Mereka membesar sebagai seorang yang sakit. Sakit yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar. Sukar dibantu. Bahkan selalu dihakimi. Celaru dan sakit!

Mengapa tak Tuhan cabut sahaja nyawa mereka, biar seksa yang bukan salah mereka itu berakhir. Tamat. Itu lebih adil bukan?

Tapi hati saya terdetik. Ini bukan ujian untuk pesakit sahaja. Ia ujian untuk orang yang diberi kesihatan terutamanya, dengan akal waras. Apa yang kita atau kalian lakukan untuk ujian ini? Kalian menghakimi, dengan kata-kata lemah iman, apa kalian kuat iman?

Sempurna? Ini penyakit. Kencing manis juga penyakit. Anda pernah berkata kepada pesakit kencing manis, lemah iman? Sudah tentu tidak bukan.

Bantu. Jika tidak mampu, diamlah dan pergi. Bagaimana membantu? Cari ilmu. Disana banyak caranya.

Page Dr Alizi Alias, Organizational Psychologist sangat bagus untuk dilawati.

Dah tu je. Penat pulak tulis banyak-banyak ni. Siapa baca sampai habis ni? Angkat tangan sikit.

Boleh kongsi jika bermanfaat.

Jutaan tahniah kepada Pengarah drama, barisan pelakon dan krew penerbitan.

– Ummu Eibad (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *