Assalamualaikum. Tergerak hati untuk meluahkan rasa yang ku tanggung selama ini di sini.
Kisahnya tentang ayahku. Hidup berpoligami sejak aku di bangku sekolah lagi. Seorang yang baran. Setiap kehendaknya perlu ibu turuti.
Adik beradik ibu disisihkan kerana pernah cuba selamatkan ibu dari kekejaman ayah.
Hubungan ayah dengan ibunya dulu juga kurang baik. Senang cakap, ayah tidak hormat dan tidak akan menerima nasihat dari sesiapa sekalipun.
Dengan Iman sendiri, sudah beberapa kali berkrisis dan disisihkan. Dulu, ayah paling manjakan Iman. Setelah ayah berkahwin, punya anak baru, Iman mula dipinggirkan.
Paling ketara sebelum Iman SPM, ayah marahkan Iman bertubi-tubi hanya kerana sebuah kamera. Bukan rosak, tetapi dipinjam oleh cikgu untuk copy video acara di sekolah.
Iman baru tahu yang ayah tidak suka barangnya dipinjam oleh kita diberi pinjam kepada orang lain.
Waktu itu sudah hampir dengan peperiksaan SPM. Dengan masalah kesihatan, dicapur pula dengan tekanan yang ayah berikan, Iman sudah dapat menjangka keputusan yang bakal diperoleh pasti kurang memuaskan.
Hari keputusan SPM, Iman hanya mendapat 1A,4B dan yang lain-lain hanya cukup makan.
Bermula selepas mengambil keputusan SPM, ayah tidak bercakap dengan Iman. Dia hanya berpesan kepada ibu jika ada yang dia ingin sampaikan kepada Iman. Iman melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6.
Keputusan peperiksaan percubaan Iman agak cemerlang dan pihak sekolah ada menjemput ibu bapa untuk hadir bagi menyampaikan ucapan tahniah di samping ingin mendapatkan pendapat bagi meningkatkan lagi kecemerlangan kami untuk peperiksaan STPM sebenar nanti.
Apa yang Iman buat? Iman simpan sahaja surat jemputan itu kerana sebelum ini, Iman pernah menyampaikan amanat cikgu agar ayah ke sekolah untuk taklimat tapi ayah hanya minta ibu untuk hadir.
Ayah rasa Iman anak yang kurang bagus jika dibandingkan dengan abang-abang Iman yang lebih berjaya. Ayah anggap Iman ke tingkatan 6 kerana Iman tidak sepandai anak-anaknya yang lain.
Ayah tiba-tiba bertanya Iman, mana surat yang cikgu berikan kepada ayah?
Iman jawab, Iman simpan. Tak perlu ayah hadir sebab tiada yang penting pun. Ayah tanya pun sebab kawan ayah bertanya kenapa tidak hadir pada majlis kecemerlangan anak. Dia berasa rugi barangkali, kerana hal itu boleh membanggakannya.
Keputusan STPM Iman agak cemerlang, melayakkan Iman ke universiti. Alhamdulillah, ayah mula berbaik semula dengan Iman. Baginya, sesiapa yang boleh membanggakannya akan disanjung. Iman gembira.
Tidak terhenti di situ, Iman sentiasa berusaha untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, demi masa depan dan juga demi untuk membuatkan ayah rasa bangga dan puas hati.
Iman bertemu jodoh dengan seorang pemuda yang hanya bekerja sendiri. Pendapatannya kecil dan adakalanya tidak tetap.
Ayah mula memberi tekanan dengan berpesan dan bertanya pelbagai soalan kepada ibu untuk disampaikan kepada Iman. Ayah sentiasa memandang hina kepada suami Iman. Iman sedih, tapi Iman belajar untuk redha.
Beralih kepada kisah ayah dan ibu. Ibu sering makan hati. Ayah tidak berlaku adil kepadanya. Sering membentak ibu, memberi ugutan dan tekanan atas banyak hal.
Iman simpan semua luahan ibu dalam benak Iman. Iman kasihan kepada ibu. Adakalanya Iman sanggup dimarahi demi untuk membela nasib ibu.
Iman bukanlah anak yang baik. Dalam Iman tidak sedar, ayah berjaya mempengaruhi Iman untuk memandang serong terhadap sikap ibu. Ibu hanyalah insan biasa, tidak sempurna. Ayah menggunakan ketidaksempurnaan ibu untuk meracun Iman supaya menyebelahinya.
Iman seringkali bertekak dengan ibu. Adakalanya Iman meminta ibu mendoakan agar Iman mengasihi ibu sebagaimana sepatutnya.
Iman terlalu sayang dan kasih kepada ibu tetapi disebabkan ayah sering membuka aib ibu, Iman sedikit sebanyak menjadi kurang hormat kepada ibu. Ini khilaf Iman.
Namun, Allah jentik hati Iman melalui satu peristiwa. Ayah berhijrah ke tempat yang agak jauh dari rumah ibu. Bila Iman mempertikaikan tentang isu giliran yang ayah laksanakan terhadap ibu, ayah melenting.
Selama ini, ayah sangat memuja Iman sebagai anak yang paling mirip dengan sikapnya, paling patuh kepada tunjuk ajarnya, kini Iman dibuang macam sampah.
Pelbagai hamburan ayah berikan kepada Iman. Ayah gelarkan Iman anak kurang ajar kerana ingin mengajar ayah tentang tanggungjawabnya.
Iman telah memohon maaf. Iman cuba menghubungi ayah melalui telefon tetapi ayah memberitahu dia tidak mahu bercakap dengan Iman. Dua kali Iman cuba untuk berbaik, tapi hampa.
Satu situasi baru yang ayah wujudkan. Ayah memberitahu ibu bahawa Iman sedang mengikis harta ibu. Iman terkejut, terkedu.
Tidak tahu dari sumber mana asalnya, tiba-tiba hal tersebut ditimbulkan oleh ayah. Padahal, sebelum ini ayah sentiasa memuji Iman sebagai anak yang pandai menyimpan, seorang yang jimat.
Iman juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawab Iman menghulurkan sedikit wang kepada ayah atau ibu pada setiap bulan. Masakan Iman sanggup mengikis harta ibu,sedangkan duit Iman masih Iman berikan kepada mereka?
Ayah juga berkata, dia tidak pernah gusar tentang apa yang orang kata. Tidak ada sesiapa di dunia ini boleh menjatuhkan hukum terhadapnya. Walaupun dia bersalah, dia pasti akan mencipta cerita supaya dia bebas dari dipersalahkan. Itu yang diluahkan kepada ibu.
Ibu ceritakan kepada Iman. Iman hanya mampu beristighfar. Iman sedih kerana punya seorang ayah bersikap sedemikian. Umur ayah hampir mencecah 80an tetapi kata-katanya ibarat dia masih kuat untuk menentang semua orang.
Percakapannya juga sering berbohong. Kami hanya mengiyakan setiap apa yang diberitahu.
Apa yang buat ingin meluahkan isi hati di sini kerana tegarnya ayah mereka cerita berkata Iman ingin mengikis harta ibu… tidak pernah terniat pun di hati Iman. Iman juga punya gaji, punya wang yang cukup untuk keluarga kecil Iman.
Pada mulanya Iman merasakan diri Iman seperti anak derhaka kerana telah membuat ayah begitu marah kepada Iman.
Namun, setelah Iman merujuk kepada beberapa orang yang berpengetahuan agama, mereka menyatakan Iman telah melakukan sesuatu yang betul, dengan menegur kesilapan ayah daripada dia terus melakukannya.
Iman juga kasihan akan nasib ibu yang banyak berkorban rasa kerana takut untuk bersuara.
Sebenarnya, masih banyak perkara yang belum Iman ceritakan. Tetapi, Iman ingin memohon para pembaca sekalian agar mendoakan agar ayah Iman sedar akan segala kesilapan yang telah dilakukan.
Ayah Iman hidup tidak berpandukan ajaran agama. Bahkan punca kemarahannya kepada Iman ialah kerana Iman menyebut tentang hukum dalam agama Islam tentang apa yang telah dia lakukan terhadap ibu selama ini. Ayah cukup pantang untuk mendengar kuliah agama.
Katanya, ustaz sekarang banyak menyindir. Dia terasa apabila ada isi tazkirah yang berkait dengan sifatnya, dengan tindakannya selama ini. Dia cukul anti dengan orang alim. Katanya hidup ingin menumpang rezeki orang tapi tidak mencari rezeki sendiri.
Ayah sering marah jika ibu memberi sumbangan kepada pihak masjid atau kepada ustaz-ustaz yang datang memberi ceramah.
Sesungguhnya, Iman bukanlah ingin membuka aib tetapi hakikatnya Iman terlalu sedih dan kecewa.
Iman cemburu dengan rakan-rakan yang punya ayah yang boleh dianggap hero dalam hidup mereka tetapi ayah Iman, Iman tak mampu mengambil contoh, lebih-lebih lagi berkait agama.
Betullah seperti yang Iman pernah dengar, kehidupan dan sikap kita terbentuk hasil daripada solat kita. Ayah sering solat di akhir waktu, adakalanya masih meninggalkan waktu solat dengan sengaja.
Ibu pernah ingin menegur tentang itu tapi Iman menghalang. Iman risau ayah naik tangan. Cukuplah mencegah dari hati.
Maaf, coretan Iman agak panjang. Sekali lagi Iman mohon, doakan agar ayah cepat berubah dan mampu untuk menjadikan hukum Allah sebagai panduan hidupnya yang mungkin bersisa sudah tidak lama.
Anak yang sedih,
– Iman (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit