Moga Terus Tabah

Assalamualaikum. Aku sekadar menulis untuk meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati selama ini mengenai perjalanan hidup yang turut diuji seperti manusia lain.

Aku tak tahu kepada siapa harus aku percaya untuk aku luahkan segalanya. Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa tak luahkan kepada ahli keluarga.

Bagi aku, bukan semua orang dikurniakan ibu bapa dan adik-beradik yang boleh memahami segala kesedihan diri kita. Lain padang, lain belalang. Lain lubuk, lain ikannya.

Jadi, aku belajar bersangka baik dan tetap bersyukur dengan apa yang telah Allah takdirkan untuk aku dibesarkan dalam keluarga ini.

So, aku cuba mula ceritakan yang aku dari kecil hingga universiti, alhamdulillah masih sihat seperti biasa. Tapi kemudiannya dengan izin Allah, penglihatanku telah diambil untuk selamanya.

Masa aku mula kehilangan penglihatan secara beransur-ansur tu memakan masa dalam setahun juga. Cuma masa tu penglihatan aku beransur daripada celik kepada rabun. Kemudian rabun teruk dan akhirnya buta.

Aku ada terbaca confession “Dua Dunia Yang Berbeza” (https://iiumc.com/dua-dunia-yang-berbeza-iii/), dan kisah aku lebih kurang macam tu. Buta setelah dewasa. Emosi sekeluarga masa tu memang terganggu juga.

Ya lah sebab bayangkan kita dah ada perancangan hidup masa depan, tapi bila diuji macam ni, nak tak nak kena tukar haluan. Tambahan tak tahu nak dapatkan khidmat sokongan yang benar-benar boleh membantu mereka yang buta sejak dewasa ni.

Kalau buta masa kecil, memang dah tersedia laluan sendiri sebab ada komuniti sekolah pendidikan khas untuk buta. Cuma yang buta dewasa ni memang sangat susah dapatkan sokongan emosi serta sosial yang memahami situasi serta keperluan kami.

Tambahan pula, walaupun aku tinggal kawasan bandar, tapi memang susah nak jumpa OKU di sini. Dari aku kecil hingga dewasa, tak pernah aku jumpa OKU penglihatan di kawasan ni.

Setakat yang aku pernah jumpa pun kalau di bandar besar. Itu pun pak cik-pak cik tua yang nyanyi main keyboard muzik di kaki lima kedai.

Kalau nak kata perasaan aku memang agak down juga. Emosi lagilah tak berapa stabil. Konflik diri tu lebih kepada,

“Aku nak buat ni, tapi tak dapat. Aku nak buat tu, tapi tak dapat. Aku nak jalan sana. Jalan sini. Tapi tak dapat. Aku nak pilih barang yang aku suka, tapi dah tak dapat.”.

Tapi aku tak pernah menyalahkan takdir. Sebab aku suka menilai diri-sendiri. Aku tahu aku memang banyak dosa. Jadi aku terima sahaja apa yang telah terjadi walaupun agak memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam dunia baru.

Mula-mula tu memang ibu bapa dan adik-beradik aku sendiri tak tahu nak uruskan aku macam mana bila dah buta.

Contohnya nak cari pakaian aku sendiri, nak ambil makanan sendiri, nak biasakan diri untuk berjalan dalam rumah.

Aku sendiri pun tak tahu nak luahkan pada siapa masalah aku masa tu. Kami pun tak kenal siapa-siapa dalam dunia OKU penglihatan yang profesional untuk tangani isu aku. Aku rasa sunyi sangat.

Aku hanya mampu menangis sendiri setiap malam. Aku harap sangat ada seseorang yang aku boleh kongsi betapa aku sedih dan perlukan kata-kata semangat untuk aku teruskan perjalanan hidup.

Aku harap sangat ada orang boleh tunjukkan laluan untuk aku lalui bila dah buta. Tapi masa tu memang tak ada siapa-siapa pun. Aku tetap sendirian.

Dalam 3 tahun tu aku banyak habiskan masa berkurung di rumah. Kawan-kawan pun masing-masing dah bawa haluan sendiri. Kalau berborak di telefon pun, aku tak ada modal sangat nak cerita apa.

Kebanyakan orang hanya akan kata sabar dan ayat biasa untuk tempuhi dugaan. Aku dah penat dengan semua kata-kata tu. Aku tahu semua itu betul. Aku cuma nak orang berbual dengan aku macam biasa. Bergurau macam biasa.

Hmmmm…. Tak lama lepas tu, keluarga aku cadangkan untuk belajar kemahiran asas kehidupan orang buta. Lebih kurang macam program pemulihan.

Kami cuba mendapatkan maklumat dari persatuan orang buta yang berkaitan. Dan alhamdulillah setelah selesai semua urusan dokumentasi, aku menjalani program pemulihan bagi buta dewasa di KL.

Negeri asal aku pun ada persatuan buta juga, tapi mereka lebih mencadangkan aku ke KL kerana aku ada potensi untuk pergi lebih jauh dalam hidup.

Tambahan pula ibu pejabat persatuan di KL dapat memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh berbanding cawangan negeri.

Aku mula belajar berdikari bersama rakan-rakan senasib yang lain dalam mengenal kehidupan baru. Semasa dalam program pemulihan yang pada ketika itu memakan masa selama 6 bulan, aku belajar bergaul dengan dua kategori manusia buta.

Dua kategori tersebut merupakan kategori buta sejak lahir atau zaman sekolah rendah / menengah. Dan golongan buta sejak dewasa.

Macam biasa kalau yang buta / penglihatan terhad semasa zaman sekolah rendah / menengah, mereka sememangnya dah ada rakan-rakan yang saling mengenali. Dan juga mereka mempunyai budaya hidup tersendiri.

Bagi kami yang buta dewasa ni, tak mudah nak terus bergaul dalam kumpulan yang sedia ada ni.

Maklumlah ibaratnya kami ni muka-muka baru dalam dunia OKU penglihatan. Tapi ada juga antara mereka yang boleh menerima kami sebagai kawan baru.

Di situ aku belajar ragam kehidupan mereka yang buta sejak kecil. Ada yang lucu. Ada yang memeningkan kepala. Tapi itu semua dah lama berlalu.

Sekarang aku dah masuk alam pekerjaan. Macam biasa masing-masing akan ada jalan hidup sendiri.

Ada yang dah berkahwin. Ada yang lepas habis latihan di pusat latihan kemahiran, tetap tinggal di rumah tak kerja apa. Ada yang dapat tawaran belajar universiti, tapi tak pergi. Ada yang dah habis belajar universiti, tapi tak dapat kerja dan duduk rumah.

Itulah lumrah kehidupan kawan-kawan OKU penglihatan aku setakat ni. Dan aku kembali sunyi semula. Kehidupan harian aku hanyalah rumah dan tempat kerja.

Untuk mencari pasangan hidup, aku dah usaha semua yang termampu. Minta ibu bapa carikan pun dah, tapi tak berhasil. Minta orang tengah carikan pun dah, tapi tak berhasil.

Dan akhir sekali aku cuba usaha sendiri, tapi tak berhasil. Aku bertemu orang yang salah, pilih orang yang salah, pada masa yang salah.

Hmmmm….. Dan aku buat keputusan untuk hidup sendirian hingga akhir hayat. Sebab rasa sakit dikhianati tu masih berdarah hingga kini. Aku dah lama maafkan dia. Tapi luka tu akan terus berdarah sampai bila-bila.

Aku tulis semua ni bukan untuk dapatkan perhatian sesiapa atau mencari jodoh ke apa. Tapi ini saja luahan kisah hidupku. Kalau ada sesiapa yang nak bertanya pasal dunia orang buta, andai aku boleh jawab, aku cuba jawab.

Akhir sekali, aku nak petik beberapa kata daripada beberapa confession yang aku baca di IIUM Confession. Kata-kata ni sedikit sebanyak membantu memotivasikan hidup aku yang berduka lara ni.

Allah selalu sayangkan kita.

Allah tak pernah lupakan kita.

Tidak ada perkara dalam dunia ini yang berlaku secara sia-sia.

Dan tidak ada perkara dalam dunia ini yang berlaku secara kebetulan.

Segala yang baik dan buruk semua dengan izin Allah jua.

Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan aku…

– ahmadyazid678 (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *