Assalamualaikum semua. Panggil saja aku Burung Hantu. Sudah berkahwin dan ada seorang anak. Umur pun sudah menghampiri 40 tahun.
Tak ada masalah yang berat nak cerita. Cuma pengalaman peribadi sahaja.
Aku kenal dengan suami aku 10 tahun yang lepas. Bekerja sebagai Industrial Designer di salah satu syarikat yang boleh dikatakan agak stabil. Ada bonus setiap hujung tahun. Gaji pun hampir cecah 6k sebulan.
Mewah? Ya kami agak mewah masa itu.
Ujian bermula saat dia bertukar tempat kerja kerana ditawarkan gaji yang boleh dikatakan agak tinggi. Tapi kerja tak sampai 4 bulan, syarikat baru pula ditutup.
Kebetulan pula waktu itu aku baru berhenti kerja. Konon-konon nak jadi surirumah sepenuh masa memandangkan gaji suami waktu itu agak besar.
Silap kami, kami tak ada simpanan yang kukuh waktu itu. Joli sakan setiap kali gaji masuk. Bodoh kan?
Terdiam sekejap memikirkan macamana nak bayar sewa rumah, beli barang dapur semua.
Alhamdulillah aku ditawarkan untuk bekerja semula dengan salah seorang rakan dari tempat kerja lama. Dengan gaji RM1500 sebulan,
Alhamdulillah mampu untuk menampung sewa rumah kami dan beli barang keperluan dapur kami.
Tapi dugaan kembali lagi. Syarikat yang diusahakan rakan aku terpaksa ditutup sebab menanggung kerugian. Gaji aku selama dua bulan pun hingga kini masih belum dibayar.
Dalam masa yang sama, suami ditawarkan bekerja sebagai Site Supervisor dengan gaji RM1800 sebulan secara kontrak selama 6 bulan.
Duduk di site tengah panas setiap hari, dah tak boleh nak beza dah antara suami dengan warga asing di site beliau.
Selepas syarikat tempat aku bekerja tutup, aku jadi ejen jualan produk yang agak terkenal di Malaysia.
Alhamdulillah, jika banyak jualan, banyaklah juga gaji aku. Tapi PKP melanda, kewangan kami yang sememangnya belum kukuh itu agak goyah juga.
Selepas 6 bulan, suami ditamatkan kontrak. Bermulalah kisah beliau menganggur selama 2 tahun.
Bukan tak pernah cari kerja di tempat lain. Hajat untuk bertukar bidang pun ditolak sebab mereka lihat pada kelulusan dan gaji terakhir suamiku.
Jujur dalam hati aku, tak pernah sedetik pun aku berkira bilamana duit gaji aku digunakan untuk bayar sewa rumah dan sebagainya.
InsyaAllah semuanya aku halalkan. Sebab aku kenal suamiku. Sentiasa jujur. Kalau ada duit masuk hasil freelance job beliau buat design mesti akan diberitahu.
Kadang-kadang dia cuma ambil RM50-100 sahaja untuk keperluan dia. Selebihnya untuk kegunaan aku dan untuk beli barang keperluan rumah.
Aku tak boleh nak berkira sebab beliau tak pernah berkira dengan aku dan anak kami. Tak pernah merungut bila disuruh untuk buat kerja rumah atau bila disuruh untuk hantar aku kemana-mana.
Sekarang ini kami pulang ke kampung dan menetap sementara dengan mertua kerana tuan rumah nak pindah masuk semula ke rumah sewa yang kami tinggal.
Doakan semoga rezeki kami mengalir masuk dengan lebat ya. Semoga kami berdua dapat kerja berdekatan dengan tempat tinggal kami dan kami semua bangkit semula seperti dulu.
Yang ikhlas,
– Burung Hantu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit