Motherhood

Aku ada terbaca satu comment, mengatakan anak doktor la yang ramai autism dan speech delay.

Aku seorang doktor pelatih dan terus terang memang ramai kawan kawan yang anak anak nya ada salah satu, ramai anak speech delay.

Mungkin sebab doktor ni, ibu bapa yang ingin mencari diagnosis dan tidak takut mendapatkan rawatan.

Tapi itu tak menjadikan anak bukan doktor takde autism atau speech delay. Mungkin lebih ramai tapi tidak diberikan rawatan selayaknya.

Paling terkesan di hati aku. Aku terbaca comment itu selepas melahirkan anak pertama.

Sejujurnya aku dan suami belum mahukan zuriat, ingin menanti tiba saat aku boleh kurang kan waktu kerja dan habiskan latihan tinggal beberapa bulan.

Allah yang menentukan, walaupun merancang, tetap la hadir degupan jantung dalam rahim ku. Sepanjang mengandung adalah penderitaan paling lama.

Trimester pertama, aku cuba pergi ke temujanji klinik kesihatan, namun kerap kali terlepas temujanji sampai dimarahi jururawat di klinik. Sesama petugas kesihatan juga tidak memahami.

Aku bekerja 10-16 jam sehari. Itu waktu wajib, tidak termasuk kecemasan, pembedahan, dan pembelajaran, kadang kala mencecah 20 jam berada di hospital. Doktor senior ada yang lebih teruk lagi, melebihi 24 jam.

Doktor pelatih tidak boleh meninggalkan hospital, tiada separuh hari, dan tidak boleh mengambil time slip.

Untuk susun jadual juga kerana tidak cukup tenaga kerja, aku segan untuk meminta minta, kerana seorang doktor pelatih sepatutnya tidak boleh mengandung. Tidak selayaknya. Temujanji antenatal aku kacau bilau.

Aku masih berdiri, melihat pesakit. Walaupun aku, hanya makan sekali sehari disebabkan alahan. Aku takde masa untuk makan sedikit tapi kerap seperti cadangan orang tua tua.

Trimester kedua, aku berlari menjadi pengantara hidup dan mati bayi bayi orang lain, mengabaikan si kecil dalam rahim sendiri. Dengan harapan, ada yang berlari menyelamatkan bayiku nanti.

Kerap kali makanan pertama adalah pukul 9 malam. Setiap kali itu aku meminta maaf kepada bayiku sendiri, meminta dia berdikari, ambil la apa yang tinggal lagi di badan ni. Ambil la semuanya.

Trimester ketiga badan mulai berat. Tak terkira berapa kali aku terjatuh terduduk mencari salur darah pesakit pada pukul 2-3 pagi. Setiap hari berdiri beberapa jam, jarang sekali dapat duduk.

Pernah aku tergelincir selepas kerja 16 jam, sampaikan berdarah tapak tangan dan lutut. Aku masuk kereta, aku menangis memggoncangkan perut ku, berharap bayi ku menendang mendengar kan aku.

Sehingga kan hari terakhir sebelum bayi keluar, aku menangis sendiri dalam kereta, sakit di setiap tulang semalaman tidak tidur menjaga wad sendirian.

Aku kesatkan air mata lalu, keluar lagi bertemu pesakit. Mungkin bayiku merasakan kesedihanku. Dia keluar esok nya.

Aku lahirkan bayi tidak cukup bulan. Betapa aku berharap bayi ku cukup bulan. Beruntung lah mereka yang mampu bawa kandungan mereka sehingga cukup bulan.

Takdir Allah, mungkin mengurangi kesakitan ku, bayi ku sihat sempurna tubuh badan nya sekalipun diabaikan si pembawa nya.

Jika di rahim ku, adalah tempat yang kau sepatutnya rasakan selamat, kenapa keluar terlalu awal melihat dunia, anakku.

Jadi dengan tidur yang tidak indah, waktu makan yang tidak teratur, aku berdoa agar anak aku ini sihat walafiat tubuh badan, akal fikiran, pancaindera dan agamanya. Dikasihani dan disayangi seluruh makhluk, dan Tuhan nya. Aamiin.

Sesungguhnya aku juga ibu, yang punyai harapan buat anaknya, perasaan sedih, menanti masa bila dapat aku berikan perhatian selayaknya dia.

Terima kasih anak ku, bertahan selama itu dan masih tetap bertahan lagi.

– MH (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *