Move On, Redha Dan Tawakkal

Assalamualaikum semua. Terpanggil saya untuk menulis hanya untuk berkongsi pengalaman hidup ini. Aku Bunga. Bunga apa? Bunga apa sahaja yang anda mahu.

Dalam hidup ini pasti akan ada masalah, ujian, rintangan sebagai sebahagian daripada lumrah hidup di dunia. Dunia ini cuma persinggahan, akhirat jua kekal abadi. Jadi apa sahaja kita lakukan seharusnya berlandaskan jambatan ke akhirat.

Aku memilih tajuk “Move On, Redha & Tawakal!” kerana ingin berkongsi secebis pengalaman yang ada. Kalau kita tanya, sejauh mana redha itu diaplikasi dalam hidup kita? Adakah kita benar-benar redha dan tawakal kepada Allah? Tepuk dada tanya hati.

Anda mesti pernah rasa nak berhenti kerja kan bilamana keadaan pejabat yang toksik, tidak terkawal serta kurang menyenangkan? Aku pernah merasainya dan aku yakin ramai pernah merasainya juga.

Teruknya situasi pejabat ketika itu bukan disebabkan penat fizikal buat kerja tetapi lebih kepada penat mental. Otak aku penat. Aku balik lambat dari pejabat untuk menghabiskan kerja yang sememangnya tidak akan habis.

Dah balik rumah konon untuk berehat, tapi setiap satu jam aku akan terjaga dari tidur sebab otak aku terlalu penat. Aku dah sampai tahap “burnout”. Tapi, disebabkan situasi itu, aku dekat padaNya.

Hari-hari aku solat malam aku mintak Allah jalan keluar. Waktu itu, makan pun tak lalu, aku ni suka makan dan makanan akan pasti habis tapi bila dalam keadaan keserabutan itu, aku cuma jamah separuh daripada makanan yang ada. Berat badan usah cakaplah dalam sehari terus turun 2kg hahaha.

Tambahan pula, dalam masa yang sama aku ada isu dengan hubungan aku. Aku baru tahu yang aku ini cuma hanyalah “rebound relationship” seseorang. Kehadiran aku dalam hidup lelaki itu mungkin hanya itu mengisi masa kerana hati dia yang terluka. Tapi tidak mengapa, Allah ada.

Dalam terpaksa menghadap situasi itu, aku gigih mencari kerja, segala jenis jawatan kosong aku isi, aku daftar dan jika kriteria lepas, aku pergi temuduga. Namun, tiada lagi rezeki aku ketika itu, tiada satu kerja yang melekat.

Sehinggalah, ada satu masa, aku rasa aku ini cuma dipergunakan atas kelebihan yang ada. Aku terasa aku bagaikan hamba abdi, dipijak-pijak hati serta bagaikan tiada belas ihsan apabila segala kerja aku tidak dihargai.

Untuk rekod, bos aku ketika itu ialah orang PRC. Ada kejadian yang berlaku yang menyebabkan aku nekad untuk meletak jawatan dengan notis sebulan.

Aku hubungi mak aku, aku minta pendapat dia, mak aku nasihatkan, “berhenti je kerja, dengar cakap mak”. Jadi, dengan nekad serta yakin pada Allah, aku berhenti tanpa ada satu kerja yang berada dalam genggaman aku.

Orang bertanya, “Tak takut ke tak dapat kerja lagi terus berhenti?”, “Kenapa berhenti ni? Carilah kerja baru dulu, baru berhenti” serta soalan-soalan seangkatan dengannya. Dengan kawan sesama Muslim, aku tuturkan, “InsyaAllah, akan ada kerja nanti, aku yakin dengan rezeki Allah, Dia penentunya, janji kita yakin pada kuasaNya.

Disinilah konsep redha serta tawakal itu dipraktikkan. Aku redha yang di pejabat aku tiada nilai dan aku tidak dihargai. Dengan redha dan “move on” itu aku tetap gigih cari kerja, hadiri temuduga berbekalkan keyakinan “Rezeki itu milik Allah, bila-bila masa Dia boleh bagi, bila-bila masa Dia boleh tarik kembali padaNya”.

Dua hari sebelum notis aku berakhir, aku dihubungi sebuah syarikat menawarkan jawatan yang sememangnya aku ingin cuba, bidang yang sama cuma industri berbeza. Aku terkejut sangat aku terasa sungguh besar rahmat Allah pada aku.

Sesungguhnya Dia tidak pernah mensia-siakan hambaNya yang meminta kepadaNya. Disebabkan syarikat baru sudah tahu notis aku sebulan, jadi aku berjaya dapat cuti sebulan sebelum bermula kerja di tempat baru. Alhamdulillah atas rezeki yang diberikan oleh Allah.

Aku juga mula berkawan dengan seseorang yang aku tak sangka, dari berkawan kepada lebih seorang kawan. Dan Insya-Allah, jika ada jodoh dan rezeki, aku akan membina ikatan perkahwinan dengan dia. Doakan kami dipertemukan jodoh dan dikurniakan rezeki. Aamin.

Kepada kawan-kawan di luar sana, jika anda dianiaya, ditindas, diperah atau dipergunakan melebihi kemampuan serta batas jawatan anda, minta mak kita doakan kita insya-Allah doa ibu itu tiada hijab.

Jangan tinggal untuk berdoalah kepada Allah, merintihlah kepada Allah, minta pada Allah dibukakan jalan, dan yang paling penting, YAKINLAH SEPENUHNYA PADA HEBATNYA KUASA DIA. Insya-Allah, pasti akan ada jalan keluar serta ganjaran atas kesabaran kita itu.

Sekian. Wasalam.

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *