Mudah “Triggered”

Terima kasih jika konfesi ini sudi disiarkan. Aku pilih platform ni sebab mudah, sebab konfesi ini disiarkan secara anonymous.

Maaf kalau cerita aku berbelit, panjang dan tak terjawab beberapa persoalan yang mungkin terlintas di minda.

Suatu tengah malam, aku saja cuba jawab test DASS dan ada satu soalan berbunyi,

“Saya mengalami kesukaran bernafas contohnya bernafas terlalu cepat, tercungap –cungap walaupun tidak melakukan aktiviti fizikal”

Aku tak tahu kenapa tapi aku rasa trigger dengan soalan tu. Lepas itu dada aku terus rasa sempit, aku tercungap-cungap hirup udara nak bernafas. Dan aku mula menangis macam esok aku nak mati.

Menangis sungguh-sesungguhnya. Aku tak tahu kenapa aku jadi macam tu.

Buat pertama kali aku lupa untuk bertenang, aku lupa cara nak tarik hembus nafas elok-elok dan aku terus rasa sesak sampai seluruh muka aku kebas dan rasa sakit dekat kerongkong.

Kalau aku menangis, aku dah tak tercungap-cungap. Kalau aku berhenti menangis, aku kembali tercungap-cungap. Diselangi pulak dengan throwback seluruh beban hidup dan sejarah hidup aku.

Aku cuba tenangkan diri tapi tak boleh. Benda ni berlarutan hampir sejam. Seumur 18 tahun aku, aku tak pernah alami perasaan ini. Aku rasa macam breakdown paling teruk. Kalau aku stress teruk pun, tak pernah aku jadi macam ni. Sangat menakutkan.

Ya. Aku 18 tahun, sedang menunggu keputusan SPM. Kehidupan aku? Aku seorang yang sangat periang, banyak cakap, mood maker, jadi badut. Semualah.

Kadang-kadang penat jugak bila orang dah kenal kita dengan ‘identiti’ begitu sebab bila aku cuba luah perasaan, diorang tak percaya aku rasa macam tu. Diorang downgrade dan buat lawak macam aku tak patut rasa macam tu. Sebab apa? Sebab ‘identiti’ aku.

Aku takda tempat nak luah. Langsung tiada. Dulu aku pernah cuba bunuh diri (sekarang tak pernah terlintas perasaan tu, aku dah boleh control)

Dan seperti biasa isu ini memang selalu hangat kan. Jadi aku pernah tanya kawan-kawan aku tentang isu ni. Aku saja nak uji sebab dengan itu aku boleh percayakan mereka dan boleh luahkan perasaan aku.

Tapi jawapan mereka sangat menghampakan. “Straight to the hell hahaha” bukan seorang, tiga orang respon begini. Aku terus tutup setutup-tutupnya pintu hati.

Keluarga aku? Sepatutnya mereka lah tempat kita berharap kan. Mereka lebih tahu, mereka ada waktu aku cuba bermacam cara aku nak bunuh diri dulu.

Mak : “Tak faham lah kenapa orang nak cuba bunuh diri, deppresed ni”

Ayah : “Ha, taknak call ke nombor tu (nombor befriendersKL) hahahaha”

Tambahan, mereka selalu ungkit isu aku bunuh diri dulu dengan gelak tawa. Kalau aku diberi pilihan, kalau aku waras, anda fikir aku nak buat macam tu ke?

Aku diam dan bila aku cakap jangan ungkit mereka kata aku tak chill. Sejarah hitam tu selalu menganggu hidup aku. Aku terkilan dengan respon ibu bapa aku sendiri.

Sakit. Sangat sakit bila orang persekitaran aku ambil isu ini sebagai satu bahan jenaka. Jika isu sebesar bunuh diri pun mereka boleh buat lawak, apatah lagi perasaan kecil aku ni.

Aku perahsia, suka menguji dan menilai orang sebab aku taknak luah dekat sembarangan orang.

Isu personal aku biarlah aku luah pada orang yang aku percaya. Akhirnya, aku biar terpendam dan luahkan di diari. Kalau tak luah, rasa nak meletup pulak kepala ni.

Oh ya, memori aku ni kuat, boleh ingat segalanya dan sekecil kuman apa yang mereka pernah cakap dekat aku, apa yang aku pernah alami.

Lagi-lagi aku takda kerja ni, bila aku duduk sorang-sorang semua kata-kata mereka menyerbu masuk kemudian aku mula fikir negatif pasal diri sendiri.

Aku taknak langsung ingat, tapi bila duduk sorang-sorang dia datang secara automatik segala insiden berapa tahun lepas, insiden malu, insiden stress, insiden sakit macam-macam lah kemudian aku melayan sampai tak boleh tidur.

Aku cuba sibukkan diri. Aku cuba cari kerja tapi penuh. Aku ambil lesen, tapi ujian JPJ aku tunda sebab kuncitara penuh.

Aku buat apa yang aku suka iaitu tengok drama dan membaca. Tapi aku jadi slow sangat. Aku jadi takda mood. Aku rasa semuanya bosan. Kalau aku buat pun, aku tak fokus.

Otak aku melayang fikir benda lain. (Dulu aku boleh habiskan 10 episod sehari tapi sekarang 2 episod seminggu) Akhirnya aku tak buat apa.

Kalau hari kerja (sebab mak ayah aku kerja, adik-beradik aku ODL. Hujung minggu aku tak buat perangai ni ya), aku memang tidur sampai petang sebab aku bosan taktau nak buat apa dan kalau aku tak tidur, otak aku bising. Aku benci ingat benda yang menyakitkan hati.

Jangan risau, aku duduk rumah, aku solat & buat kerja rumah. Lipat baju, memasak, basuh pinggan, kemas rumah dll. cuma masa aku terlalu panjang untuk diisi.

Aku ni seorang yang sangat aktif, sosial, suka berjumpa orang. Bila aku berbual, buat lawak dengan orang, aku memang boleh lupakan segalanya. Aku rasa lebih positif, banyak senyum.

Tapi lepas habis SPM sampai sekarang aku duduk rumah. Bayangkan hampir 3 bulan.

Sekarang memang zaman teknologi tapi situasinya takkan sama dengan jumpa bersemuka lagipun aku tak berapa reti nak carry perbualan secara maya ni. Kadang-kadang hi, bye, bagi sticker terputus macam tu saja.

Aku sampai tertanya kawan² aku ni buat apa di rumah, mereka tak rasa apa yang aku rasa ka? (Jawapan cliché mereka ialah tidur, bukak media sosial)

Duduk rumah ni aku jadi sensitif. Aku perasan yang aku cepat moody. Ada hari aku rasa aku tak nak cakap dengan orang langsung, aku kunci mulut. Ada hari aku cakap banyak sampai diorang penat nak layan.

Kadang-kadang aku rasa annoying dengan semua benda, semua tak kena. Kadang nak marah. Kadang aku rasa paling rajin di dunia, kadang paling malas. Entah aku pun pening dengan diri aku sendiri.

Aku rasa nak jumpa psikiatri. Sebab kalau aku perhatikan sejarah hidup aku dari mula sampai sekarang, mental aku memang terganggu.

Tapi bila konfesi macam ini disiarkan, ada yang komen “kau sensitif sangat” “dulu aku kena lagi teruk” “kau ni mengada la” “kau ni lemah la” “attention seeker”

Jadi aku cuba tanya balik diri aku, betul ke aku ni sensitif dan mengada? Betul ke perasaan ni normal? Perasaan aku tak penting ke? Entah-entah bila aku pergi, psikiatri tu suruh aku balik je?

Sebab kadang-kadang aku rasa nak jumpa tapi bila aku dah cool down aku macam eh tak payahla. Akhirnya, aku biar macam tu saja.

Patut ke aku jumpa psikiatri? Andai aku rasa dah ok, patut ke aku jumpa untuk pastikan apa kena dengan aku sebenarnya? Andai aku dah ok, masih valid ke perasaan yang aku pernah rasa selama ni?

Bila aku dapat lesen, InsyaAllah aku pergi seorang diri. Aku tak nak keluarga aku tahu. Aku tak nak berharap dekat sesiapa.

– Nuri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *