Mudahnya Haram, Sulitnya Halal

Aku seorang akauntan muda. Dulu aku pernah bekerja di firma perakaunan di ibu negeri. Kehidupan aku di sana sangat indah. Sama seperti apa yang pernah aku impikan.

Aku menyewa di rumah teres dua tingkat, mempunyai bilik tidur sendiri tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa.

Waktu pagi aku sangat lapang sebab tempat kerja dekat dengan rumah. Aku masih ada masa yang panjang untuk basuh dan sidai baju, masak dan makan sarapan.

Masuk pejabat, aku masih ada masa untuk bancuh dan hirup secawan air kopi sambil bersembang dengan rakan-rakan sepejabat.

Kerja aku cuma mengadap laptop, cek dokumen yang bertimbun-timbun, key in data dalam accounting software dan siapkan laporan perakaunan dan laporan audit.

Habis kerja, aku masih ada masa menziarahi masjid negeri dan pulang selepas Isyak.

Kawasan di sana boleh dikatakan agak selamat. Hujung minggu, aku luangkan masa pergi grocery shopping, bercuti, keluar lepak dengan kawan-kawan, ziarah ahli keluarga.

Hujung bulan, kalau tak sempat siap kerja, aku hanya perlu menadah telinga mendengar bebelan boss yang merangkap Dato. Tak susah mana.

Tapi di sebalik keindahan itu, tersembunyi satu dosa yang sangat busuk. Aku dipaksa oleh majikan untuk mengubah suai laporan kewangan client mengikut kehendak client.

Jika untung sebenar tinggi, mereka minta aku turunkan supaya mereka dapat elak cukai daripada LHDN.

Jika untung sebenar rendah, mereka minta aku naikkan supaya mudah mereka dapat pinjaman bank atau pelaburan.

Orang panggil amalan itu sebagai “creative accounting” tapi bagi aku ia hanyalah suatu penipuan. Amalan biasa di kalangan syarikat swasta.

Jadi apa pilihan yang aku ada ketika itu? Aku terikat dengan etika kerahsiaan untuk tidak membocorkan maklumat sulit client. Nak tak nak aku terpaksa mendiamkan diri.

Sebagai seorang Muslim, hatta nak makan makanan pun aku cek ada sijil halal ke tak, tukang masak dia Muslim ke tak, bahan-bahan mentah dia dari mana.

Tapi bila bab gaji, aku kecundang. Berdosanya aku terima gaji dari hasil kerja yang ada unsur penipuan. Zalimnya aku bagi ahli keluarga aku makan dari sumber yang haram.

Demi mempertahankan prinsip agama, aku tekad untuk berhenti kerja walaupun dipujuk oleh boss untuk bertahan.

Banyak perkara yang aku korbankan, rumah sewa yang sangat selesa, lifestyle yang sempoi, kawan-kawan yang aku rapat.

Sebaiknya saja aku tinggalkan tempat kerja itu, aku mendapat tawaran di tempat kerja baru.

Betul kata orang, jika kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang tidak pernah kita sangka.

Alhamdulillah, pekerjaan baru aku kali ini halal dan lebih berkat. Takda unsur-unsur haram.

Aku masih dalam fasa adapt dengan tempat kerja baru. Aku jarang bersembang dengan rakan-rakan sekerja sebab aku sorang wanita Melayu di sana.

Ucapan harianku cuma “Good Morning” dan “Goodbye”. Nampak suam kan? Tapi aku bersyukur sebab Allah selamatkan aku dari dosa memakan bangkai daging saudara sendiri yakni mengumpat.

Mungkin Allah tahu kalau aku dikelilingi rakan-rakan yang sama bangsa, aku akan mudah terjerat dalam aktiviti bawang-membawang.

Jika di tempat lama aku dapat rumah sewa yang selesa dan serba serbi cukup,

Di tempat baru aku hanya menumpang ihsan di stor kosong milik owner yang takda perabot satu apa pun, sebab aku belum mampu untuk sewa bilik yang berdekatan dengan tempat kerja.

Aku banyak komitmen kewangan yang lain. Walaupun aku tidur di atas lantai berlapikkan toto, aku bersyukur sebab aku tak perlu bayar sewa atau bil api air.

Meskipun hari-hari jantung aku berdebar nak berangkat ke tempat kerja, sebab tempat tu dikelilingi ramai pekerja asing dan anjing-anjing liar, aku bersyukur Allah masih jaga keselamatan aku sampai sekarang.

Walaupun sarapan dan makan malamku cuma empat keping roti sehari, aku bersyukur aku tak makan pasir dan masih ada makanan.

Aku bersyukur.. aku bersyukur.. sehingga suatu hari tempat kerja aku mengalami kerugian teruk. Income tak cukup untuk cover expenses.

Cash flow dah negatif, deficit. Supplier duk call aku tanya bila nak buat payment. Staff-staff tanya aku bila gaji mereka nak masuk.

Mereka perlukan duit untuk bayar sewa rumah. Aku menangis sebab aku simpati dengan nasib aku dan nasib orang lain. Aku rasa down sebab aku tak mampu nak buat apa-apa untuk tolong mereka.

Aku tak nak fikir “kalaulah dulu aku stay dengan tempat kerja lama”.. aku tak boleh fikir macam tu. Ini sudah menjadi takdir Allah atas asbab pilihan aku sendiri.

Dan aku tidak akan sesekali menyesal dengan pilihan aku untuk mempertahankan prinsip agama dan meninggalkan rezeki yang haram.

Cuma ada la sesekali aku mengadu pada Allah, mudahnya aku nak dapat rezeki yang haram, indahnya kehidupan aku ketika makan rezeki haram.

Tetapi ya Allah, kenapa sulit untuk dapatkan rezeki yang halal, kenapa miskinnya kehidupan aku ketika makan rezeki halal.

Jawapannya hanya satu “syurga itu bukan percuma”. Jika terlalu mudah untuk semua manusia masuk syurga, nescaya syurga itu sudah tiada nilai lagi.

Akhir kalam, aku mohon doa daripada pembaca-pembaca sekalian, supaya aku aku terus dikurniakan rezeki yang halal, kali ni lebih banyak supaya aku dapat menampung keperluan hidup, melangsaikan hutang-hutang dan melaksanakan ibadah wajib dan sunat.

Syukran jazilan.

Jazakallahu khairan.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *