Muhasabah Cinta

Assalamualaikum semua, terima kasih jika admin post confession ni. Niat saya nak share pengalaman dan semangat buat semua yang sedang move on dari kisah percintaan yang menyakitkan. macam lirik lagu kan? Huhu.

Kawan, betullah kata orang berapa lama tempoh berkenalan belum tentu kita kenal kalau kita tak tinggal sebumbung. Saya tak percaya tapi akhirnya terkena pada diri sendiri. Bekas kekasih saya gemar memuat naik gambar saya di laman sosial. Ayat-ayat manis tak lekang dari mulutnya selama 6 tahun bercinta, setiap 5 waktu dia akan text bertanya khabar. Bukan solat 5 waktu hokay, ni text 5 waktu punya. Pujian pada saya yang tinggi melangit. Secara mata kasar perbuatan sebegitu sememangnya kemahuan wanita dari pasangannya kan? Tapi sebagai manusia, dia still ada kekurangan dia yang saya tak nak sebutkan (moga Allah jaga aib kita semua). Kelebihan yang saya dapat lihat, dia sangat suka jika disuruh mengimamkan jemaah surau, sering menjadi muazin dan qari ditempatnya tetapi dia bukanlah seorang yang warak. Dia juga sangat bertanggungjawab dengan jawatan disandang dalam organisasi yang dia sertai. Itu apa yang saya lihat 6 tahun bersamanya dan beberapa tahun sebelumnya sebagai kawan biasa.

Tapi kan, sepandai-pandai tupai bercinta, akhirnya putus kerana tupai yang ketiga (peribahasa sendiri ya). Waktu tu saya down semahu-mahunya. Tapi selepas itu, saya muhasabah diri balik kenapa jadi macam ni. Selalu kita dengar lepas penutup ceramah, ustaz kata yang baik-baik datang dari Allah, yang buruk-buruk datang dari kita. Jadi perkara buruk ni memang dari perbuatan manusia tu sendiri. Saya yang pilih untuk bercinta dan cari nahas.

Apa yang saya nak sampaikan di sini selepas apa yang terjadi, rugi sebenarnya bercinta tanpa ikatan sah ni kerana perbuatan yang sia-sia. Perbuatan yang Allah tak suka. Bila Allah tak suka, hidup kita tak berkat. Sebab tu kadang-kadang kita rasa dah ada segalanya tapi tak rasa seronok pun. Sebab hilang berkat dan redha Allah. Kita semua tahu hukum agama berkenaan hal zina dan seumpamanya tapi kita abaikan atas sebab keindahan dunia je. Begitu juga dengan saya yang tak terlepas dari digoda. Bila Allah tarik rasa bahagia, baru kita tersedar Allah lihat perbuatan buruk kita dan Allah tak suka. Kita cari bahagia dalam haluan yang salah. Kita berharap lebih-lebih pada manusia sampai kita lupa Allah yang pegang hati kita semua dan dia boleh tarik bila-bila masa.

Betul kata mak, sesempurna apapun dia dilihat dari mata kasar, seindah mana pun perancangan kita, hubungan yang tidak suci itu tak diredhai Allah. Betul kata mak, kita akan jumpa manusia yang pelbagai topeng dan sifat, selalunya yang dekatlah yang sering menghancurkan kita. Adapun yang bercinta dan berkahwin dan bahagia, Allah beri mereka kesempatan dan bonus untuk bertaubat dan menyesali perbuatan mereka, sebab berkahwin sebenarnya tidak mampu menghapuskan dosa bercinta bermesra sebelum berkahwin. Tahanlah hati untuk terbuai dengan janji manis jika dia tidak berusaha untuk berkahwin. Jika dia benar-benar menyayangi dia akan lakukan segala hal untuk menghalalkan. Jika dia benar mengasihi, dia tidak akan menyentuh maruah apalagi tubuh kita.

Saya bukan ustazah, bukan juga alim warak. Tapi saya hanya manusia biasa yang selalu hanyut dan terleka. Allah yang ketuk hati saya. Saya sedar banyak lagi saluran yang tepat untuk salurkan cinta, pada ahli keluarga, rakan-rakan, anak yatim dan orang-orang tua. Rasa cinta yang sebegini lebih bermanfaat sebenarnya. Lebih bermanfaat jika bazirkan waktu, tenaga dan duit untuk mereka. Memang kita akan tergelincir berkali-kali, tapi berdoalah selalu supaya Allah sentiasa bawa kita ke landasannya seandainya kita mula terkeluar dari haluan sebenar.

Jangan risau masih belum bertemu jodoh. Minta pada Allah. Yakin bahawa Allah pegang pada hatinya. Ciri-ciri macam apa pun, adukan je pada Allah. Nak apapun mintalah pada pemiliknya iaitu Allah. Allah akan jawab dan akan beri dengan cara yang paling baik. Allah akan beri apa yang kita perlu, bukan kita mahu. Dan bila kita letakkan pengharapan sepenuhnya pada Allah, kita takkan rasa takut dengan kesendirian, sebab kita ada Allah. Buat yang mudah move on tu, ketahuilah itu nikmat yang tak boleh didustakan. Hoho. Semoga yang single akan terus kekal single hingga dilamar. Dan semoga kita tak mudah jatuh cinta kecuali pada jodoh kita sahaja. Hihi. Yang baik dari Allah, yang buruk dari saya sendiri. Maaf atas tutur kata saya jika ada yang salah.

– hamba yang hina

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit