Assalamualaikum para pembaca IIUM Confessions. Semoga bermanfaat perkongsian aku kali ni. Sama-samalah kita muhasabah diri kita ke arah kebaikan.
Cerita dia macamni. Sejak perang kat GAZA, hari-hari aku share dan repost news kat sana di laman sosial media aku. Sampailah satu hari aku terbaca perkongsian seorang Hamba Allah ini.
Ya Allah Ya Tuhanku, berdosanya aku. Memang aku terasa sungguh dengan tegurannya. Aku rasa selama ni tindakan aku dah betul nak spread awareness pasal keadaan di Gaza.
Lebih kurang macam nilah ayat dia, jangan ambil kerja Tuhan tentukan dosa pahala, syurga neraka orang lain. Check diri sendiri. Tanya diri kita, apakah niat kita share. Apa jiwa kita rasa?.
Terkesan dengan ayat tuh, aku check balik segala posting socmed aku. Hipokritnya aku.
Lepas share pasal Palestin, aku tergamak up apa yang aku buat seharian. Makan lunch dinner apa, exercise apa, pergi jalan² dengan happy²nya. Padahal posting sebelah tadi video budak kecil menangis sakit.
Rasanya tak perlu kot aku up kisah hidup aman damai kat Malaysia lepas share huru hara yang jadi kat sana.
Aku stop post segala aktiviti seharian aku di Malaysia dan just focus share about them sambil baca doa yang dishare dan qunut nazilah.
Banyak rupanya doa yang boleh diamalkan. Ada yang sesuai diamalkan dalam kehidupan seharian kita.
Sekarang aku tengah belajar taddabur surah Al Fil. Jomlah para pembaca kita bersama-sama menghayati maksud surah ini.
Nasib baik jugalah tersedar awal. Bersyukur sangat aku masih rasional dan tak jadi jenis acah terpaling Islamic dan mahu kontrol hidup orang lain.
Kita bersolidariti janganlah sampai jadi tak rational. Jagalah adab kita jangan sampai jadi pembuli atas tiket agama.
Nak tegur orang kena ada adab, adat dan sopan santun. Kenapalah hendak dinormalisasikan tarbiah sentap?. Tegur secara elok-elok tak bolehkah?.
Dalam kita menyebarkan info dan menyeru sokongan orang ramai, berhati-hatilah dengan tindak tanduk kita. Kita nak cari pahala tetapi dosa pula yang datang. Dalam diam, kita telah menyakitkan hati orang.
Netizen yang taknak share apa-apa, doa yang baik-baik untuk mereka. Doakan mereka semoga satu hari terbuka hati mereka dan ada sedikit sifat belas ihsan dalam hati mereka.
Tak payahlah jadi batu api tagged kawan-kawan bersama-sama kecam saudara seIslam kita.
Ada yang jadikan ianya point terbaru untuk maki orang dan nak hukum orang sesuka hati. Siapa kita nak hukum orang?.
Jadi satu dosa pula bila ada orang diam tak berkutik mengenai isu Palestin. Ada orang suka mengambil pendekatan membaca dan menilai secara diam. Sedar diri ilmu tidak banyak di dada.
Tak pasti jangan kongsi terutamanya apabila menyentuh mengenai sejarah dan hal ehwal agama.
Berterabur info yang salah disharekan oleh remaja di tiktok. Bertelagah di X tentang pendapat dan pendirian mengenai isu Palestin.
Sumber primary dan sekunder entah dari mana dicedoknya dan disebarnya. Hati-hatilah dalam berkongsi maklumat.
Buat ibu bapa, banyakkan membaca Sejarah Islam dan buku-buku agama. Ada masa, pergilah ke masjid berjumpa dengan ustaz dan ustazah untuk menuntut ilmu secara bersua muka.
Perkongsian ilmu kita dengan anak-anak ini akan jadi ilmu dan maklumat turun-temurun keturunan.
Pantaulah sosial media anak-anak. Baru-baru ini ustazah aku share cerita untuk dijadikan pengajaran kita sebagai ibu dan bapa. Pastikan info yang sahih untuk dikongsikan dengan anak-anak.
Secara random ustazah terdengar perbualan anak-anak murid tentang isu Palestin.
Bila kawan tanya si polan yang bercerita, kau tahu mana? Mak aku yang cerita, mak aku tunjuk kat sosial media. Aku tengok sendiri kat tiktok.
Mujurlah ustazah terdengar. Pada masa itu juga ustazah cuba terangkan dan betulkan fakta yang salah. Allahuakbar. Kalaulah masing-masing percaya bulat-bulat cerita ini boleh jadi cerita berangkai.
Sedikit perkongsian dan kisah benar daripada aku, seorang insan yang masih belajar.
Aku harap akan adalah confessors yang rajin untuk berkongsi ilmu sejarah Islam dan hal ehwal agama di ruangan IIUM Confession.
Aku kagum dengan rakyat Malaysia. Sikap prihatin menebal dalam diri seolah-olah sudah kenal lama walhal baru follow each other dan mengambil tahu tentang situasi di sana sejak perang terjadi.
Walaupun tidak mengenali saudara-saudara se Islam kita di Palestin, tetap support dan sentiasa menunggu update dan posting sosial media dari mereka di Palestin. Ada yang kerap bertanya khabar dan berkongsi kerisauan. MasyaAllah.
Kepada yang sudah mula rasa trigger dan anxiety melihat segala post social media mengenai keadaan di Gaza, off sekejap social media anda. Rehatkan badan dan minda anda. Tiada siapa betul dan salah upload di sosial media.
Tiada sesiapa akan menyalahkan anda kalau anda tidak kuat. Tak jatuh hukum dosa pun. Jangan salahkan diri anda. Netizen yang lain, hadirkan sedikit empati dan simpati dalam diri anda untuk golongan yang anxiety.
Macam manalah tak datangnya trigger kalau hari-hari terbaca news yang tidak diketahui kesahihannya. Boleh search World War III di tiktok. Bermacam-macam teori dan maklumat yang hoax.
Netizen yang ada ilmu dalam social media, buatlah sesuatu tapiskan segala info yang tidak benar sebelum merebak menjadi wabak.
Yang rasa mula nak meltdown, deactivate cepat-cepat semua akaun sosial media buat sementara waktu. Abaikan kata-kata keji nista perli belum perang sebenar sudah kalah dengan jiwa raga sendiri.
Sudah-sudahlah melabel orang lain dengan gelaran yang menyakitkan hati orang lain. Marilah kita bersama-sama muhasabah diri kita sendiri.
– Pelajar yang masih belajar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit