Mujahadah Itu Berat, Tapi Indah

Aku remaja. Masih bersekolah. Masih mencari tujuan sebenar kehidupan. Masih belum puas meneroka dunia. Dalam leka aku mengembara mencari erti menjadi seorang manusia, aku mula berkenalan dengan satu perasaan.

Perasaan yang sangat tak asing kalau nak dikaitkan dengan usia awal remaja. Tak lain tak bukan perasaan ‘cinta’. Ramai orang cakap kalau cinta zaman remaja ni kenyataannya cuma cinta monyet. Tapi kisah aku ni mungkin agak berbeza.

Aku, D. 17 tahun. Kehidupan aku sederhana. Membesar membawa title anak broken home sejak usia 13 tahun pada aku sudah terlalu biasa.

Pada awalnya agak berat. Lagi lagi nak biasakan diri dengan tempoh penggiliran. Penat sangat. Dengan mak yang tak berhenti henti marah 24 jam setiap hari.

Awal awal tu aku tak faham. Aku salahkan semua orang. Aku benci semua orang. Sampai satu tahap aku nekad nak larikan diri dari rumah tapi aku tahu aku tak akan buat benda tu.

Hidup aku pun dah cukup membebankan orang apatah lagi kalau aku buat benda bodoh yang kononnya dapat bebaskan aku dari keluarga bermasalah ni.

Butanya aku, sebab aku lupa keluarga bermasalah itu ialah keluarga aku.

Bukan keluarga rumah sebelah. Tapi keluarga aku sendiri.

Hari hari aku makin teruk. Setiap hari lepas balik sekolah aku akan tidur sampai pukul 10 malam. Bangun hanya untuk mandi dan kemudiannya sambung tidur lagi. Bangun tidur kena marah sebab tidur. Bebankan?

Sangat..

Setiap malam aku terjaga, aku akan termenung tengok siling. Baring sambil bercakap sorang sorang. Tahu tahu menangis. Antara soalan soalan yang aku selalu tanya dekat diri sendiri masa tu:

Kenapa dengan aku? Apa yang aku nak?

Aku lost. Aku tak jumpa tujuan hidup. Yang aku tahu aku beban. Sampailah aku tanam niat nak masuk asrama. Masa tu aku nekad nak ubah diri.

Lagi pula mak aku dah kahwin baru and aku honestly tak selesa dengan kewujudan lelaki asing di dalam rumah yang aku membesar.

Pada aku, buat apa aku duduk di rumah tu kalau bernafas pun dan membebankan orang? Buat apa lagi aku duduk kat rumah tu kalau aku tak pernah rasa rumah itu sebagai ‘rumah’ lagi?

And 1 September pada usia aku 16, akhirnya hajat aku masuk ke asrama tercapai setelah berbulan bulan tertangguh akibat masalah kewangan.

Niat aku tak kosong. Aku tahu aku lost. Jadi bila masuk asrama, aku nekad nak betulkan diri. Aku mula nak jaga solat. Perlahan lahan aku ubah cara hidup aku.

Kalau dulu aku selalu rasa kosong, sekarang aku cuba isi kekosongan tu dengan sibukkan diri belajar, beribadah dan bergaul dengan kawan kawan.

Everything seems to be well sehinggalah aku jatuh sekali lagi. Aku khianat kawan aku tanpa niat dan aku menyesal sangat.

Berhari hari aku termenung fikir kesalahan sendiri. Menangis tak berhenti henti setiap teringat betapa bodohnya aku. Effectnya, aku dan sahabat aku, B yang selalu baik dengan aku akhirnya asing.

Namun takdir Allah tak terduga, Tuhan hantar aku seorang lelaki, A yang mampu hilangkan kesedihan dalam sekelip mata.

Ibarat pelangi selepas hujan. A baik sangat. Selalu ada cara terbaik untuk bantu aku selesaikan masalah. Selalu dengan kematangannya dalam menghulur nasihat.

Kami cuma berkenalan online. Entah macam mana aku boleh percayakan dia, sampai sekarang aku masih tiada jawapan.

Aku dan A makin lama makin rapat. Kalau dulu setiap kali aku sedih, aku akan bercakap dengan dinding. Tak ada siapa pun tahu aku dalam masalah.

Tapi sekarang aku ada dia untuk tadahkan telinga, dengar semua luahan aku. Aku ada dia untuk nampakkan aku jalan kalau aku sesat. Aku ada dia untuk sumbangkan kekuatan kalau aku jatuh lagi dan lagi.

Pada aku, dialah erti rumah yang paling indah aku pernah ada.

Sehingga tak ada satu pun hari aku tanpa dia. Setiap hari ada saja cerita untuk aku sampaikan. Begitu juga dia.

Tapi kata kata daripada sahabat aku buatkan aku termenung sejenak. “Zina dan maksiat tu tak boleh bersatu”.

Jujur aku tertampar. Serta merta aku teringat tujuan aku di sini, di aspuri ni. Aku kata nak berhijrah, nak ubah semua yang salah tapi apa yang aku buat sekarang?

Macam mana dengan iman yang baru nak dibina? Memang tak dinafikan ibadah aku makin terjaga bila dengan A sebab dia selalu remind aku untuk solat. Tapi betulkah kalau niat aku untuk jadi yang terbaik untuk A?

Aku mesej A. Walaupun berat hati yang teruskan namun aku percaya inilah yang terbaik untuk kami.

Aku minta A tunggu. Bagi aku masa untuk jaga diri, jaga solat, jaga iman dan hati. Memanglah aku dah buat semua benda tu tapi tujuan yang selayaknya bukan untuk dia melainkan untuk Allah.

So apa yang aku perlu buat ialah betulkan niat.

Seriously memang berat. Aku terpaksa pulaukan rutin aku untuk bercerita pada dia tentang sehari hari yang memenatkan. Aku terpaksa simpan rindu yang muncul pada setiap perkara yang mengingatkan aku tentang dia.

Aku risau. Macam mana kalau nanti aku dah tak akan jumpa lelaki sebaik dia?

Aku lebih risaukan benda tu daripada peperiksaan yang akan bermula dalam seminggu saja lagi.

Aku lupa. Banyak benda aku lupa. Dan paling memalukan, aku lupa Tuhan. Hanya kerana seorang lelaki yang aku anggap rumah.

Banyak kejadian berlaku dalam satu malam. Satu malam yang cukup mendewasakan aku. Malam itu sedarkan aku kenapa keluarga aku berantakan, kenapa mak selalu marah, kenapa aku dan B akhirnya asing, kenapa dan kenapa.

Cukup satu malam untuk menjawab seribu pertanyaan.

Mak dan Abah dulunya sama seperti pasangan lain. Semua orang nak bahagia. Semua orang nak keluarga sempurna. Mana ada orang minta rumah tangga yang berpecah belah.

Aku tak nampak yang sebenarnya mak dan abah sedang diuji dengan ujian yang sangat berat. Lantas berhakkah aku untuk menyalahkan mereka?

Jika bercerai adalah satu satunya cara yang tinggal, bermakna mereka dah berusaha sehabis dunia untuk pertahankan sebelum itu.

Mak selalu marah sebab mak penat. Mak penat nak jaga empat orang anak yang degil sorang sorang. Hidup mak tak ada penguat sehingga dia terpaksa berdikari dan berdiri atas kaki sendiri.

Aku juga nampak hikmah apa yang jadi antara aku dan B. Memang aku tak boleh nafi dia adalah sahabat terbaik yang aku pernah ada.

Tapi sayang, hadirnya dia cuma sekadar untuk memberi pengajaran yang akhirnya mempertemukan aku dengan A.

Dan A, dia adalah ujian terbesar untuk aku buat masa ni. Agar nanti iman aku lebih kuat, hati aku lebih kental dan aku akan lebih berdikari tanpa perlu manusia lain untuk mendampingi.

Agar nanti bila aku di tempat mak, aku tak akan marah marah pada anak.

Cukup hanya ada Allah,

Percayalah kita akan nampak indah dalam beratnya mujahadah.

16 Mei 2025..

*Jangan lupa doakan saya cemerlang SPM tau!*

– D (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *