‘Multi-Task’ Bukan Semua Untuk Dimanfaati

Assalamualaikum kepada semua pembaca,

Perkongsian yang disampaikan ini bukanlah nak memburukkan sesebuah organisasi tapi moga mereka membuka mata dengan jelas, memahami apa yang dilalui kami pekerja mahir dan jangan menyalahgunakan kemahiran orang lain atas kepentingan peribadi.

Kerana kifarah itu benar dan tiada siapa akan terlepas.

Nama saya Zaid, memang sangat minat dengan penghasilan drama pendek, video montaj dan pengiklanan. Tapi disebabkan kurang connection dengan pihak yang berkenaan, bakat tu tenggelam.

Sekitar tahun 2011, saya mendapat tawaran kerja di sebuah syarikat swasta dengan tiga kali temuduga sebelum benar-benar dapat bekerja di syarikat tersebut.

Dalam resume memang banyak menekankan jawatan penyunting video namun jawatan tersebut telah diisi oleh jabatan perhubungan awam.

Selepas berhempas pulas, akhirnya akur dengan jawatan kerani kerana pihak pengurusan memberi jaminan bahawa saya akan mendapat jawatan tersebut suatu hari kelak.

Permulaan kerja sebagai kerani tapi realitinya tiada ada kena mengena langsung dengan tugas perkeranian. Pada waktu ini saya mula mengenali apa itu ‘multi-tasking’ dan apa jua kerja yang dilakukan pada masa itu memang luar daripada skop tugas dan jawatan.

Pihak pengurusan mula nampak kelebihan diri saya dimana penonjolan dalam penghasilan video mendatangkan peluang yang cerah pada syarikat. Pelbagai program, termasuk di lantik sebagai biro organisai atas kepercayaan syarikat pada saya masa itu.

Pelbagai video dihasilkan samada untuk syarikat mahupun program luar. Dalam masa yang sama, tugas sebagai kerani mula kelam dan selepas jawatan percubaan tamat, jawatan baru diberi sebagai juruteknik.

Skop juruteknik dapat di seimbangkan dalam masa yang sama, jabatan perhubungan awam mula mengenali saya dan ingin ‘bekerjasama’.

Ketika ini saya masih menganggap ianya rezeki dan suatu yang tidak mudah didapati bagi setiap kakitangan. Dua tahun berlalu, seorang pengarah urusan bercadang untuk menghasilkan sebuah video korporat mengenai projek yang masih dalam pembinaan.

Nama saya serta beberapa kakitangan dari jabatan tertentu turut di senarai untuk memberi cadangan dan idea. Saya akui tidak pernah terlibat dalam pembikinan video korporat dan apa yang diberikan ternyata sukar dengan keadaan bajet, koordinasi lokasi dan kos pasca produksi.

Pengurusan mula menunjukkan ‘taring’ mereka apabila saya membuat proposal kos sebuah video korporat bermula RM100,000 ke atas dan mereka memarahi saya dengan alasan terlalu mahal dan syarikat mohon kurangkan lagi kos.

Untuk makluman, video tersebut perlu dihasilkan di sebuah negeri di Borneo, saya menghubungi beberapa produksi untuk penghasilan video tersebut kerana ia melibatkan kawasan pendalaman dan pengangkutan yang sukar.

Akhirnya saya turut dimarahi oleh pihak produksi kerana kos RM15,000 untuk video korporat adalah sesuatu yang mengarut dan mereka serta merta menarik diri dan tidak mahu bekerjasama.

Perasaan saya waktu itu sangat kecewa dengan pengurusan syarikat yang rata-rata tidak faham tentang proses sesuatu penghasilan video.

Masa terus berlalu sehingga 7 bulan namun hanya kertas kerja sahaja yang bertukar hampir setiap masa. Saya cuba berbincang dengan senior PR tentang konsep kerana pihak pengurusan sudah mula bertanya bila akan dimulakan.

Proses untuk menyakinkan pengurusan ini tidak lah mudah seperti perbincangan didalam mesyuarat. Kos yang saya nyatakan melibatkan hakcipta klip aerial, musik latar berbayar, beberapa montaj berbayar yang kebanyakkan menggunakan dolar Amerika.

Setelah mengira termasuk kos perjalanan, RM10,000 telah diletakkan di dalam kertas kerja. Malu ketika itu terpaksa saya hadap kerana ingin berhenti kerja bukanlah suatu yang mudah.

Saya mula tersedar banyak perkara, ‘multi-tasking’ ini memang seronok kerana dapat membantu rakan kerja yang ‘kosong’ dalam bidang tersebut. Saya sangat terharu dengan mereka yang seronok melibatkan diri dalam proses penghasilan sesebuah video.

Namun pihak lain yang tidak faham dan mengharap penghasilan projek itu perlu percuma. Ini kerana gaji sudah dibayar sebagai pekerja. Sungguh pun begitu, saya sangat tegas dalam penjagaan kos kerana tidak mahu sebarang penyalahgunaan terjadi mahupun ketirisan.

Hampir setahun tergendala dan akhirnya beberapa pihak atasan memberi kata putus, bahawa video tersebut perlu diteruskan. Saya dan seorang wakil PR pergi ke sana dengan berbekalkan RM1000.00 sahaja untuk enam hari perjalanan di Borneo.

Kos yang dikemukakan pada awal pembikinan adalah RM100,000 , RM50,000 dan RM15,000 ditolak mentah-mentah tanpa menghiraukan kos kami berdua termasuk sewaan kereta, penginapan, makan minum.

Terkedu dan kecewa dalam diri saya pada masa itu memang tidak dapat diluahkan. Saya pendam sehingga projek dihasilkan sepenuhnya.

Saya mengakui terpaksa meminjam duit peribadi senior tersebut kerana bajet yang diberikan syarikat sangat tidak mencukupi.

Malu yang teramat dan perasaan tu hanya Tuhan je yang tahu bagaimana saya tebalkan muka meminta beliau mendahulukan apa yang tidak cukup.

Apabila kembali ke tanah air, proses suntingan juga memerlukan kos kerana masa yang terhad tidak dapat menghasilkan montaj yang sepatutnya.

Saya sekali lagi memohon RM1000 untuk kos tambahan tapi ianya melalui jabatan lain. Saya cukup terkesan dengan pengurusan yang bertindak mahu menggunakan sahaja klip video, audio dan montaj secara cetak rompak dengan alasan mahu kurangkan kos.

Mereka ini ternyata tidak tahu terma sesuatu produk digital boleh dikenakan tindakan undang-undang hakcipta. Jika saya tidak bertindak tegas dengan perkara sedemikian, tindakan saman mungkin akan dikenakan pada saya.

Pra tayangan dilakukan dan ditolak kerana video yang dihasilkan tidak mencapai sasaran yang dimahukan. Saya di marahi pegawai tersebut didalam suatu perbincangan tertutup.

Masih diingati sehingga sekarang, mengigil pengawai itu memarahi saya kerana bersuara mengenai kos! Apalah sangat hasil video tersebut dengan kos dibawah nilai sepatutnya.

Bukan masalah saya dan penilaian kos sudah dibincangkan semasa awal projek. Saya hanya pekakkan telinga dan akur bahawa itu adalah projek paling teruk pernah saya hadapi.

Pada tahun berikutnya, syarikat mengendali sebuah projek dengan pasukan pertahanan. Saya mendapat tahu kos penghasilan video korporat bagi projek tersebut sekitar RM300,000 dan dihasilkan oleh anak syarikat.

Saya sudah menjangkakan perkara ini akan terjadi dan terdapat perkara yang sangat melucukan. Bayangkan lah, saya di hina dalam perbincangan pra tayangan projek terdahulu kemudian saya diminta untuk sunting kembali projek baharu tersebut tanpa penglibatan dari permulaan.

Saya tersenyum dan menolak untuk peluang itu. Kerana saya tahu, pisang takkan berbuah dua kali.

Selepas dua projek tersebut, jabatan PR mempunyai kekosongan bagi penyunting video. Saya bertanya bermacam prosedur pertukaran jabatan dengan pengurusan sumber manusia. Ketua saya sangat berat hati kerana bakal kehilangan juruteknik yang multi-task.

Saya cuba mengejar cita-cita yang tertinggal namun semua itu berakhir dengan sia-sia apabila Pengurus jabatan menolak surat permohonan saya kerana kerja suntingan boleh dibuat di jabatan dan terdapat projek peribadi beliau yang perlu disunting juga.

Saya terus hilang kata-kata, harapan untuk meneruskan cita-cita musnah sekelip mata. Ternyata ‘multi-task’ itu membunuh kerjaya yang mahu dibina. Saya mula kurangkan tugas suntingan kerana sedar gaji yang diterima tidak setimpal dengan apa yang dilakukan.

Saya mula fokus kepada teknikal, dan membantu apa yang tertinggal. Sejak dari itu masih juga mendapat tugasan suntingan video tapi ianya bukan penglibatan saya secara langsung, saya dianggap sebagai ‘oursource’ sahaja yang mana mereka nak kerja percuma terus di budayakan.

Saya menyambung pengajian berhabis puluhan ribu tapi bidang pekerjaan mahukan hasil percuma semata-mata dan sanggup ambil risiko menggunakan bahan cetak rompak.

Cukuplah sekadar apa yang telah dilalui zaman sebelum pandemik melanda. Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan tidak melibatkan diri dari kerja begitu lagi.

Multi-task yang dilakukan saya pada mulanya untuk memudahkan kakitangan lain, membantu apa yang mereka kurang fahami tetapi kesan nya cukup memeritkan bagi saya. Tiada apa pun boleh dimanfaati bila ada campur tangan pihak lain.

Pesan saya pada mereka yang ingin multi-task lebih dari 5 task, atau ingin menunjuk kemahiran terpendam, berhati-hati lah supaya tidak terlalu menonjol kerana individu yang ingin pergunakan untuk kepentingan mereka wujud dan sukar dikawal kerana ia telah menjadi budaya.

Salah satu budaya kerja tosik. Entah bagaimana budaya ini perlu dibendung. Saya percaya perkhidmatan lain juga mempunyai budaya yang sama. Sekian.

– Zaid (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *