Mungkin Aku Ibu dan Isteri Yang Gila

Aku Qila. Berumur penghujung 20an. Jujur cakap lepas baca confession Sya “Adakah Aku Ibu Yang Gila” (https://iiumc.com/adakah-aku-ibu-yang-gila/), aku menangis.

Menangis waktu susukan anak lepas aku bangun pagi sebab aku rasa apa yang Sya rasa walau anak aku baru seorang.

Aku bangun masakkan sarapan anak, angkut baju jemuran, bersihkan mesin basuh yang dah keluar bulu bulu kain. Ini baru kerja waktu pagi. Belum lagi aku senaraikan kerja waktu petang, waktu malam.

Suami? Tahu tidur sahaja. Pergi kerja balik mengadu penat. Seronokkan jadi lelaki di Malaysia ini? Tidur sahaja. Malam minta dilayan.

Persis raja.

Aku jadi baran lepas lahirkan anak pertama. Baran yang berkumpul sejak dari awal berkahwin.

Suami aku jenis relaks terlebih, sama seperti suami Sya. Aku ingat bila dikurniakan anak, datanglah hidayah untuk berubah, malahan jauh lebih teruk.

Aku sejenis ibu yang sangat pentingkan perkembangan anak aku mengikut “track” usianya. Seboleh boleh aku hadkan penggunaan gadjet atau televisyen sebab aku nak anak aku teroka sendiri dunia dia.

Alhamdulillah anak aku elok, sihat tapi biasalah dah nama budak, pasti aktif, pasti ada “nakalnya”. Dapat suami terlebih relaks atau bahasa kasarnya, pemalas, semua benda nak mudah.

Bila disuruh main dengan anak, telefon diberi. Kadang dibukanya televisyen, anak dibiar main berseorangan. Cuci najis anak pun tak reti.

Disuruh mandikan sampai menangis anak dek kerana ayahnya terlalu lambat sebab tidak tahu cara mandikan anak.

Bukan tak pernah diajak berbincang dengan suami. Kadang perbincangan berakhir dengan satu pergaduhan besar. Tak bercakap berhari hari.

Suami kata dia tak boleh buat kerja rumah sebab aku kerap menyuruhnya membetulkan kembali kerja rumah yang dia buat.

Dah nama orang pemalas, kau suruhlah dia buat kerja. Cacat semuanya. Contoh, basuh pinggan mangkuk. Boleh kau pejam mata kalau kau nampak pinggan mangkuk masih ada sisa sisa kotoran walau dah dibasuh?

Boleh kau pejam mata lihat punggung anak masih bersisa najis lepas dibasuh? Boleh kau senyum lepas lihat suami sapu sampah tapi sampah sarap dalam tong sampah dibiarkan penuh?

Bila aku tegur, mengamuk. Katanya, kalau nak nampak sempurna, buatlah sendiri.

Jangan disuruh suruh.

Anak aku? Celik mata, aku. Pejam mata aku. Dah diajar anak begini, memang melekat sahajalah anak aku dengan aku.

Bila aku suarakan yang aku penat, inginkan “me time” sebentar sahaja, pasti anak aku cari aku semula. Kadang menangis nakkan aku. Punca?

Sebab suami kekok nak bermain dengan anak lebih dari 30minit. Cuba kalau suami aku dari dulu ambil inisiatif untuk jaga anak aku.

Tidakkah lebih mudah? Puas angkasawan kita ajar “tricks and tips” untuk bapa bina ikatan yang kuat dengan anak anak, tapi tidak.

Belum lagi bab susu badan. Seboleh boleh minta dilayan walau dah nampak isteri letih tidak bermaya lepas sehari penat menyusukan anak.

Apa tidak tahu penatnya menyusu itu ibarat membakar 500 kalori?

Gila aku dalam menjaga anak? Waktu malam kalau dia tidak sengaja terkencing atas tilam, akan aku bebelkan di situ jugak. Tak aku peduli tangisannya.

Berulang ulang aku beritahu anak aku yang aku penat. Aku nak rehat. Kenapa kencing atas tilam. Aku ulang ulang dengan air mata.

Kadang aku ucapkan kata maaf sambil kucup dahinya sehingga tertidur. Ibu mana yang nak berkasar dengan anak kalau cukup rehatnya, tenang emosinya.

Suami hanya mampu pandang sambil mengacah untuk menolong, padahal tangan masih sedia dengan telefon.

Gila aku dalam menjaga suami? Tak aku peduli kemahuannya. Aku lagi suka diasing tempat tidur sebab aku benci lihat muka suami.

Kadang sehari tidak berbual pun aku tak kisah. Bila digurau untuk pasang yang lain pun, aku iyakan sahaja. Lagi aku suruh dia berkahwin lain.

Ceraikan saja aku. Benci aku dibiar penat berseorangan. Benci aku bila suruhan aku yang mudah seperti disuruh sidai tuala pun tidak boleh diikut.

Berbuih mulut aku minta diceraikan kerana sakit didada dibiarkan bertatih menjaga anak pertama sendirian.

Lagi sedih dibiar berjalan meniti hidup bekeluarga sendirian. Untuk apa berpasangan kalau semuanya engkau buat sendiri? Untuk apa ada anak kalau semuanya dibahu ibu?

Aku bukan tidak boleh hidup sendiri, boleh tapi suami kerap mengugut nak merampas anak jika bercerai.

Ini baru bab menjaga anak. Belum lagi bab membeli barang dapur, membetulkan perkakas yang rosak di dalam rumah. Semuanya tidak pernah dilakukan atas inisiatif sendiri.

Diketuk, dimarah, ditinggi suara berkali kali baru nak buat. Itupun asal boleh, asal siap. Jujur jika begini imam dalam keluarga, punya nafsukah si isteri memandangnya?

Hairan aku bagaimana “rosak” sistem kekeluargaan di Malaysia ini bila kita memandang lelaki yang melakukan kerja rumah, menjaga anak anak sebagai “lelaki takut bini”.

Suami dikira “terror”, dikira hebat jika boleh memasak. Hairan aku. Sungguh. Aku lihat bangsa asing bukan main seronok lagi si lelaki menghias rumah. Bukan main gah lagi mereka tunjuk keromantikan mereka dalam melayan si isteri.

Bukan aku tidak bersyukur dikurniakan keluarga kecil, tapi aku juga manusia. Ada kudrat yang sampai masanya tak mampu lagi memberi.

Cemburu aku lihat kawan kawan yang masih diberi rezeki rehat yang cukup selepas berumahtangga, diberi rezeki anak anak yang mudah dijaga, suami yang ringan tulang.

Kalau dari awal aku tahu perkahwinan tidak seindah mana, akan aku jauhkan dari diri berhubung dengan sesiapa pun dari awal.

Jauh dari sudut hati, aku menyalahkan diri sendiri. Mungkin salahnya dari aku. Mungkin aku lemah mental. Mungkin aku saja ibu yang mengada. Mungkin aku isteri yang inginkan kesempurnaan dalam rumah tangga.

Mungkin fizikal aku tak kuat. Mungkin aku patut bangun lebih awal untuk siapkan kerja rumah semuanya. Entahlah. Kosong aku rasa.

Mungkin inilah gila seorang ibu, gila seorang isteri.

– Qila (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *