Mungkin Akulah ‘Laila’ Yang Dimaksudkan

Assalamualaikum kepada semua pembaca IIUM Confession. Semalam ada kawan forward kepada saya kisah dan nukilan daripada Ray, bertajuk “Rumah Pusaka Yang Dijual” (https://iiumc.com/rumah-pusaka-yang-dijual/).

Saya fikir, sayalah Si Laila yang dimaksudkan. Sebenarnya, bagi yang mengenali kami sekeluarga, penulisan si Ray itu agak details penceritaannya.

Jumlah adik beradik, kos yang diberi selepas rumah dijual, harga rumah, perkataan hinaan, dan pelbagai lagi.

Walaubagaimanapun, mungkin juga ini hanya sangkaan saya sahaja. Mungkin saya bukan Laila seperti yang Ray maksudkan.

Apapun, berikutan dengan penulisan Ray, izinkan saya respon jika benar sayalah Laila yang maksudkan.

1. Benar apa yang Ray sangka pada kami ketika diperlekeh sebegitu rupa.

Ketika suami saya (Encibos) tidak sefahaman dengan mereka, bukan bermaksud kami menolak terus pegangan pemikiran kalian, cuma kami hanya mahu zahirkan sahaja perbezaan.

Tetapi, disebabkan dengan perlian, makian, serta sangkaan yang tidak henti, membuatkan kami tidak ada ruang untuk perjelaskan kekeliruan serta sangkaan yang terbit daripada isu ini.

Pada kami, individu yang matang adalah individu yang membuat keputusan setelah mendengar hujah dan penjelasan daripada kedua-dua pihak.

Maka, daripada situ, kami pilih untuk berhijrah ke tempat lain, dengan niat untuk mengelakkan lebih banyak fitnah yang berlaku.

2. Benar, saya belajar hanya setakat SPM. Sebab saya dulu banyak main. Nakal bukan kepalang.

Cuma, selepas beberapa tahun, saya sedar yang ilmu itu penting, dan alhamdulillah saya dikurnia suami yang mementingkan disiplin dalam mencari ilmu.

Nak cakap apa-apa yang berbentuk serius, mesti kena ada hujah dan bukti. Terutama dalam isu ilmiah dan juga agama.

Contohnya, dalam agama, jika mahu beramal dengan sesuatu amalan, perlukan dalil-dalil yang betul. Bukannya beramal membab1-buta sahaja.

3. Benar, memang mak ayah kami mahu jual rumah itu, dan sebenarnya, saya dan ayah selalu bermesej walaupun tidak berkunjung ke rumah pusaka.

Walaupun jauh, tapi suami pesan, jangan putuskan silaturrahim dengan mak ayah.

Untuk adik beradik pula, berilah mereka masa, dan juga untuk diri kita agar masing-masing peroleh kematangan untuk menerima segala perbezaan.

Melalui mesejlah, kami tahu ayah mahu jual rumah, kami tahu apa niat ayah, kami tahu apa keputusan ayah.

Dan saya ingat lagi suami pesan pada ayah agar gunakan khidmat peguam agar mudah urusan ini diselesaikan.

Jika 1v1 sahaja antara saya dan ayah, maka nanti risau wujud pergaduhan lain pula.

Untuk lebih secure, kami mohon ayah untuk rahsiakan segala perbualan serta mesej kami daripada adik beradik yang lain. Biarlah hal ini tidak diketahui umum. Kami lebih suka untuk pihak lain tidak tahu tentang ini.

4. Sesungguhnya, kami berdua turut terkejut bila baca confession dari Ray sebab kejadian ini sudah lama. Tak sangka ada yang berkongsi diruangan IIUM Confession. Bila saya baca ruangan komen, penuh dengan kata-kata nista terhadap Ray.

Tuan-puan, alhamdulillah beliau sudah insaf dengan perbuatannya. Maka, kita sambutlah dengan perkataan baik-baik. Jauhi sangka buruk.

Jika abang Ray baca tulisan ini, ini Laila adik abang Ray yang dulu pernah curi roti coklat abang atas meja study. Laila yang sama sentiasa ejek abang Ray dengan akak Rai sebelum korang berdua kahwin.

Laila yang sama abang Ray selalu jemput dari sekolah menengah dulu. Dan Laila yang sama bersedih menangis 2 hari bila kucing abang Ray mati dilanggar kereta dulu.

Laila bersyukur Allah ilhamkan abang Ray untuk datang ke rumah pusaka lama ayah ini. Aturan Allah itu sangat hebat.

Laila teringin nak jumpa abang Ray selepas ini. Datanglah ke rumah nanti, PKP kan dah boleh rentas negeri.

5. Segala apa yang terjadi ini, pasti ada hikmahnya. Teguran Allah itu datang dalam pelbagai rupa. Banyak pedoman yang kita boleh dapat melalui penceritaan seseorang.

Untuk netizen, mari kita sama-sama jaga hati dan perlakuan dengan adik beradik serta ipar duai kita. Tak semua orang sama dengan kita. Pasti akan ada perbezaan. Maka raikanlah. Jangan taksub, jangan jumud.

Moga Allah rawat hati kita semua. Aamiin…

– Laila (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *