Assalamualaikum. Terima kasih kepada pihak IIUM Confessions kerana sudi menyiarkan confession aku yang tak seberapa ini. Biar aku kenalkan diriku dahulu. Aku Rara (Bukan Nama Sebenar), seorang gadis yang berusia awal 30-an dan masih single sebab baru putus tunang.
Aku yang putuskan pertunangan itu dan ianya adalah kerana…akan diceritakan sebentar nanti. Mungkin ini adalah luahan yang sangat ‘cliche’ tetapi apa yang aku nak sampaikan bukan bertujuan untuk aibkan sesiapa bahkan memberi pengajaran pada diriku sendiri dan pembaca.
Aku sejujurnya ‘loser’ dalam bab percintaan. Ya, mungkin takdirku buat masa ini begini. Aku tahu Allah lebih Maha Mengetahui bila masa yang sesuai untuk diriku bersuami dan mempunyai keluarga. Mungkin ramai yang sukar nak percaya masih ada lagi perempuan yang tak pernah bercinta.
Ya, aku termasuk dalam kategori itu. Jatuh cinta itu pernah tetapi bercinta antara satu sama lain itu tidak pernah berlaku dalam kamus hidupku. Selalunya akulah yang beriya jatuh hati pada seseorang.
Mungkin juga aku yang pemalu ini disebabkan desperate sangat ingin bercinta akan dengan mudahnya meluahkan perasaan pada lelaki yang disukai dan akhirnya cinta itu tidak menjadi kerana aku terlalu berani. Dari zaman sekolah sehinggalah ke zaman universiti sehinggalah ke zaman pekerjaan, aku masih tak pernah tahu bagaimana rasanya bercinta.
Mak ayah mana tak risau bila anak dara mereka tak kahwin-kahwin lagi. Kebanyakan sepupu-sepupu dan rakan-rakan yang sebaya dan bawah dari umur aku pun semuanya dah beranak pinak. Aku pulak memegang prinsip ada jodoh adalah tak ada insyaAllah Allah berikan hikmah yang lain.
Aku mula selesa dengan kehidupan single aku dan aku tak berapa nak kisah sangat pasal jodoh ni. Aku akui yang kadangkala timbul rasa di hati inginkan kasih sayang dari seorang lelaki selain dari ayah dan adik-adik lelaki. Namun, apakan daya bukan kuasaku menghendaki begitu. Aku tak salahkan takdir yang Allah beri tetapi aku tahu ada hikmah yang akan Allah bagi di suatu masa nanti.
Aku pernahlah suka pada seseorang ni. Ya, perwatakannya yang alim itu menarikku untuk menyukainya dan mencintainya. Namun, cinta itu tak kesampaian kerana dia mengahwini wanita yang dicintainya.
Tak lama selepas itu, aku menyukai seseorang yang bertugas di kampungku dan memohon ayahku merisiknya ala-ala cerita ‘Utusan Cinta Untuk Adam’ yang tengah hot kat TV3 tu yang Aireen merisik Adam sebab berpendapat bahawa Saidatina Khadijah pun meminta orang tengah merisik Rasulullah S.A.W.
Namun kisahnya aku ini tak kesampaian. Tiada penolakan dari lelaki itu cuma dia tidak memberi jawapan sehinggalah setahun lebih aku menunggu. Orang tak sudi takkan nak terhegeh-hegeh kan? Masih lagi aku ditolak untuk bercinta. Time ni usia aku dah menghampiri 30an. Aduhai, kesian kesian. Huhu.
Akhirnya, bermulalah episod baru dalam hidupku apabila aku tiba-tiba dilamar oleh keluarga sahabat ayah. Aku mengenali pak cik itu tetapi aku tidak mengenali keseluruhan keluarganya. Aku agak terkejut bila diberitahu oleh mak dan ayahku mengenai hal ini. Aku mohon diberi ruang untuk membuat solat istikharah di samping istisyarah bersama keluarga dan orang yang penting dalam hidupku.
Aku agak tertekan kerana semasa keluarga sebelah lelaki inginkan jawapan dariku, aku tak boleh solat ketika itu dan sehinggakan aku menangis-nangis kerana aku tak tahu nak buat keputusan yang macam mana. Aku buntu yang teramat sangat. Namun begitu, keluarga mereka seolah-olah mahukan jawapan yang secepat mungkin. Agak lama aku merayu pada ayah dan mak untuk memberi jawapan. Sebaik sahaja aku boleh solat, aku buatlah solat istikharah.
Selepas 3 hari istikharah, aku masih tiada jawapan yang pasti. Sewaktu aku yang sedang runsing dan galau hati, aku bukalah Al-Qur’an tetapi secara randomnya muka surat yang terbuka untukku adalah Surah An-Nisa’. Mataku tertancap pada ayat yang menyuruhku berkahwin. Mungkin itulah petunjuknya.
Esoknya,aku menyatakan persetujuanku walaupun dalam hati ini sangatlah sedih. Aku tak tahu kenapa aku sedih. Mungkin si dia bukan pilihanku. Aku ada terima gambar si dia sebelum aku melakukan solat istikharah yang pada mulanya aku tidak bersetuju dan selepas itu aku redha sekiranya dia yang terbaik untukku. Ya, itu pilihan ibu bapaku dan mungkin ianya adalah yang terbaik.
Sebelum bertunang, aku katakan mahu berjumpa dengan bakal tunangku face to face. Tapi aku ni sebenarnya pemalu cuma aku gagahkan jua untuk mengenalinya dan keluarganya. Kami berjumpa hanya satu jam sahaja tetapi masing-masing tidak bercakap. Hanya dia dan keluarganya yang bercakap dengan keluargaku. Tiada pula tanda-tanda dia ingin bercakap denganku.
Tak apalah ku fikirkan insyaAllah nanti akan ku kenal jua. Aku nampak dia macam ikhlas menerimaku seadanya. Alhamdulillah. Memandangkan diriku banyak kekurangan kerana aku yang chubby dan tak cantik pun. Aku pun pulanglah ke desaku di utara dan dia di selatan.
Tak lama selepas beberapa hari dia whatsapp denganku. Bermulalah kisah bunga-bunga cintaku dengannya. Walaupun aku kenal dia macam tu je tapi sebab aku fikir dia dah nak jadi tunangku maka aku dengan hati yang terbuka menerima dia seadanya.
Hati aku berbunga-bunga gitew sebab tetiba ada kumbang dalam hidupku. Yelah, dia tak selalu mesej dan call pun tapi bila dia wasap tu hatiku rasa macam nak melompat keluar. Hahaha…kononlah kan. Orang tak pernah bercintalah katakan. Haha.
Then, berakhirlah sebulan lebih perkenalan singkat kami melalui whatsapp. Kami pun bertunang awal tahun ni. Ya, berkemungkinan aku bukanlah sebaik mana tetapi aku mencuba sehabis baik mencintainya untuk jadikan sebagai pasangan dunia akhirat.
Seminggu selepas hari bertunang tu, tunangku tak henti-henti telefon dan whatsapp sehinggakan aku pulak yang jadi rimas. Namun, aku layankan sahaja. Masuk minggu kedua, dia dah start busy katanya so tak apalah aku layankan jugak.
Adalah sehari tu aku bertanyakan dia perancangan nak berkahwin macam mana. Mungkin masa tu mood aku tak berapa baik so aku tertanya dalam perkataan yang agak mendesak. Terus dia jawab tak tahu lagi dan sejak dari itu dia jarang mesej aku. Aku meminta maaf atas desakan yang tak disengajakan.
Namun, pada mulanya dia okay. Tapi sejak tu memang dia tak mesej aku. Aku berulang kali mesej dan call katakan aku mohon maaf. Dahulu semasa aku call dia akan jawab dan cakap baik-baik jika dia sibuk. Tetapi, selepas kejadian itu bila aku call dia akan jawab dia sibuk dan jangan kacau dia.
Sejak dari tu aku juga diamkan diri atas nasihat kawan-kawanku dan keluargaku yang melihat aku tak tentu arah. Aku ingat bila diamkan diri tunangku itu akan memujuk atau perbetulkan semula perhubungan ini. Namun, ianya bagaikan angin yang bertiup begitu sahaja.
Ya, aku tahu terlalu awal pada ketika itu aku bertanyakan perancangan pernikahan tetapi aku cuba mahu tanya perancangan bukannya aku mahu nikah ketika itu juga. Aku tak tahu apa yang difikirkannya sehingga mendiamkan diri sahaja. Dia pernah meminta maaf denganku dan mengatakan dia tak dapat melayan diriku seperti biasa. Okaylah, aku redha.
Masuk bulan kedua pertunangan aku dah mula jadi murung. Aku ada menelefon keluarganya bertanyakan tentang dirinya yang mendiamkan diri. Hampir 2 bulan tetapi diam membisu. Keluarganya cuma mengatakan yang dia tak pernah bercinta dan mungkin malu. Hmm…tapi kenapa sekarang? Sebelum ni okay je. Aku start sakit sebab fikirkan dia. Di luar aku mungkin nampak macam okay tapi sebenarnya aku tak okay.
Hampir setiap hari aku update status lagu-lagu sedih,luahan sedih dan karya-karya sedih memandangkan aku adalah seorang penulis picisan juga. Aku menjadi sangat sensitif dan negatif. Hampir setiap hari aku menangis. Yang mengenaliku sentiasa memberiku support supaya aku tabah. Mungkin kerana aku tak pernah rasa bercouple maka apabila perkara ini yang berlaku aku menjadi sangat runsing.
Sehinggalah tiba birthday ku, aku sebenarnya tertunggu-tunggu ucapan hari lahir darinya. Cukuplah hanya ucapan sahaja jika tiada yang lain-lain. Ianya hanya angan-angan yang sememangnya tak tercapai. Yang aku nampak di posting sosmednya mas kahwin yang diperlukan mengikut negeri.
Aku tak tahu apa masalahnya dia keluarkan posting tersebut di hari lahirku. Adakah dia merasa terbeban dengan hantaran yang diminta sedangkan dia sendiri yang bersetuju bertunang dalam masa yang sangat kelam kabut denganku. Aku merasakan sangat sedih ketika itu.
Alhamdulillah,rakan2ku sangat memahami dan menyambut hari lahirku tanpa kuduga. Aku cuba menggembirakan hatiku walaupun rasa sedih. Hari lahirku berlalu begitu sahaja tanpa apa-apa ucapan dari dia. Aku pernah menelefonnya kerana terlalu rindu.
Pada mulanya memakai nombor telefonku tetapi tiada respon. Selepas itu,aku cuba menelefonnya menggunakan nombor lain dan dia angkat panggilan tersebut tetapi apabila mendengar suaraku terus ditutupnya. Sebulan aku kemurungan.
Setiap hari menangis kerana aku merasakan apa gunanya bertunang sekiranya tak dipedulikan. Sehinggakan mak aku menjadi motivator untuk kembalikan semangatku. Atas nasihat semua orang,aku perlu fikirkan diri sendiri dari memikirkan hal dirinya kerana tak semestinya dia memikirkan diriku.
Bulan ke bulan berlalu sehinggalah ke awal Ramadhan,ada pertanyaan dari keluarganya tentang perhubunganku dan tunangku. Aku tak pandai menipu dan terus terang sahaja pada keluarganya apabila hampir beberapa bulan tunangku tak berhubung. Hanya ada respon dari keluarganya dan mereka katakan akan bertanya kepada tunangku. Tetapi hati aku dah semakin tawar.
Namun aku cekalkan juga hati untuk memohon doa tidak henti-henti sepanjang Ramadhan dengan memberikanku jalan yang terbaik untuk masalah yang aku hadapi. Sekiranya dia adalah terbaik untukku maka dia akan mencariku. Dan mungkin itulah takdirku,tiadanya apa-apa berita darinya. Sebelum bulan Ramadhan, atokku meninggal dunia.
Ketika itu juga aku berharap dia akan menelefonku dan menenangkanku. Ya,ketika itu aku sangat sedih dan kalau boleh aku mahukan orang menenangkan diriku tetapi tetap hampa. Hanya ada ahli keluarganya yang mengucapkan takziah kepadaku.
Semasa hari raya,semua yang datang bertanyakan aku bila akan melangsungkan perkahwinan,tunang datang tak raya ni, bla bla bla dan sebagainya. Aku jadi rimas sebab aku tak ada jawapan untuk itu. Dahulu bila single orang bertanya aku masih okay kerana tak ada apa yang nak difikirkan. Tapi berbeza dengan kali ini.
Aku merasa sangat rimas dan jawapanku hanya menyatakan yang jika ada jodoh insyaAllah tahun hadapan walaupun aku merasakan soalan tu sangat annoying. Untuk pengetahuan,encik tunang aku tak datang pun beraya. At that time,aku dah jadi sekeras-kerasnya hati untuk dia.
Akhirnya aku suarakan pada keluargaku untuk putuskan pertunangan ni. Sebab aku merasakan terseksa apabila ada ikatan tapi macam tak ada. Mungkin pada orang lain hal ni kecik je. Tak ada apa-apa yang nak dirisaukan namun aku tak boleh nak terima lagi.
Dan tak lama selepas itu, aku dan keluargaku pergi ke rumah saudaranya untuk berjumpa dan memutuskan pertunangan. Seminggu sebelum putus,ibu bapanya ada memujukku supaya fikirkan sebaik-baiknya namun aku betul-betul tekad. Banyak mana pun aku menangis bila mereka memujuk ia tak mengubah keputusanku.
Si dia tak bersungguh-sungguh untuk dapatkanku. Sampai satu tahap aku fikir akukah di pihak lelaki yang perlu menyatakan perasaan dan pergi berjumpa dengannya dan sebagainya tanpa dia memikirkan hal diriku? Aku tekad membuat keputusan besar ini. Ya, aku sendiri yang hadir untuk memulangkan cincin pertunangan kepada keluarganya. Tetapi aku biarkan ayah dan ibuku dahulu yang memulakan bicara.
Tipulah aku katakan putuskan pertunangan itu tak sedih tetapi biarlah begini dari ada ikatan tetapi tiada komunikasi antara kita. Sepatutnya semasa itu si dia dipanggil sekali untuk berjumpa. Dan aku mahukan jawapan darinya namun ianya masih tetap menghampakan. Dia tak mahu berjumpa mungkin kerana malu atau apa.
Pada mulanya keluarganya memberitahu yang si dia sedang mengalami masalah kerja. Namun aku katakan bukan itu faktor yang menyebabkan aku putus dengannya tetapi kerana tiadanya komunikasi antara kami. Ya, mungkin ada juga salahku tapi jika aku seorang sahaja yang perjuangkan ke arah perkahwinan maka ianya tidak adil.
Aku katakan bahawa hanya pertunangan yang diputuskan tetapi ukhwah antara keluarganya tetap berjalan macam biasa. Ini kerana keluarganya baik-baik sahaja. Keluarganya juga tidak mengambil cincin yang aku pulangkan itu dan menganggapnya sebagai hadiah untukku.
Sesungguhnya aku sedih kerana tiada jodoh antara kami tetapi apakan daya aku tak mampu untuk mencintainya lagi. Aku tak menolak sekiranya berjodoh juga dengannya di kemudian hari tetapi biarlah di ketika ini aku bersendirian. Seperti lirik lagu Wani Hasrita-Biarlah aku sendirian tanpa cinta, Dari menyaksikan sebuah kepuraan,Tibalah waktunya aku, Harus tinggalkan dia…(ah sudah,menyanyi pulak).
Itulah ceritanya. Kisahku ini bukanlah seteruk mana pun berbanding orang lain. Aku juga mengambil pengajaran dari kisahku supaya untuk pastikan supaya memilih calon suami nanti yang benar-benar ikhlas mencintai, terima diri seadanya dan yang paling penting sebenarnya ‘KOMUNIKASI’.
Wahai pasangan-pasangan,
Aku tahu sebagai hamba Allah kena percaya Qada’ dan Qadar Allah. Oleh kerana itu jugalah keputusan yang besar aku buat. Siapa yang tak nak kahwin betul tak? Tapi, dari masalah itu timbul semasa perkahwinan,baik aku yang berundur diri.
Sepertimana yang aku katakan, aku tak nak mengaibkan sesiapa baik bekas tunangku dan keluarganya. Walaupun putusnya pertunangan ini, aku berharap ukhwah keluarga takkan putus. Mungkin dia mempunyai alasan yang tersendiri tetapi sudah terlambat untuk membetulkan keadaan.
Dan itulah takdirku tentang cinta. Allah masih sayang aku. Mungkin ada yang lebih baik dan aku mendoakan supaya ex-tunangku itu juga mendapat jodoh yang lebih baik dariku. Doakan aku sahabat-sahabat pembaca supaya aku bertemu jodoh yang benar-benar ingin mengambilku sebagai isteri dan membimbingku dunia dan akhirat.
Andai kata tiada jodoh di dunia ini semoga aku bertemu di akhirat kelak insyaAllah. Aku juga doakan pada para sahabatku yang ingin bertunang atau sedang dalam fasa pertunangan supaya banyakkan bersabar dan pastikan dapat berkomunikasi antara satu sama lain. Semoga sehingga ke alam perkahwinan dan seterusnya.
Allah tidak akan beri apa yang kita mahu tetapi apa yang kita perlu. Percayalah satu hari nanti akan terbuka jodoh untuk sesiapa sahaja yang single sepertiku.Eh,alamak…dah single baliklah! Hahaha.
Akhir kalam, maafkan aku sekiranya terkasar bunyinya berbicara di sebalik penulisan ini. Boleh pulak aku menaip panjang-panjang. Manuskrip berlambak dalam storage takla siap-siap pulak. Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua insyaAllah. Allahumma Aaminnn.
P/S : Nak pesan sikit, jangan benci cinta kerana takut anda tak boleh lepas dari cinta. Ha gitew! Bubbye! Assalamualaikum.
– Ex-Tunang Seseorang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit