Hi, thanks semua jika sudi baca luahan dan bagi pendapat serta kata-kata sokongan buat aku. Sekiranya ada yang terbaca di ruangan komen luahan aku, tu tandanya aku tersilap membuat hantaran. Apa yang difikir pon aku tidak tahu.
Aku perempuan berumur pertengahan 30an, seorang isteri dan ibu yang bekerja. Aku cuma nak meluah tentang rasa yang ada dalam diri ini.
Lately aku kerap rasa diri tak berguna, bodoh dan lain-lain persepsi buruk tentang diri sendiri. Aku juga rasa lelah tak berpenghujung. Mula hilang minat benda yang aku suka.
Ujian ‘DASS’ kerap aku jalani, keputusan tidak berubah. ‘EXTREME’ itulah yang terpapar.
Sejak berhijrah ke negeri lain, 3 kali berturut aku dibuang kerja.
Kerja Pertama
Tidak tahu kenapa dan mengapa surat pemberhentian diberi di tengah-tengah waktu percubaan. Rayuan dan cubaan untuk berjumpa orang atasan tidak diendah. Seperti anjing kurap layaknya dilayan waktu dan ketika itu.
Kerja Kedua
Permulaan yang baik, rupanya ribut menanti. Bos membuat keputusan menjadikan aku kambing hitam atas silap percaturan yang beliau lakukan.
Aku ditendang serupa bola kesana kemari dengan harapan aku berhenti sendiri. Apabila sebarang usaha dilakukan tidak berjaya, barulah notis pemberhentian dikeluarkan di penghujung tempoh percubaan.
Kerja Ketiga
Dipanggil interview dan ditawarkan kerja serta merta. Siapa yang tak berbunga, dengan komitmen setinggi everest. Awal-awal kerja majikan tuduh aku bercerita buruk tentangnya. Diberi warning letter seawal sebulan bekerja.
Selepas itu mental abuse bermula. Sehingga bulan keenam, bulan terakhir percubaan aku diberi surat berhenti dengan alasan tidak mampu bayar gaji. Rasa amarah membuak, sebab aku tahu sebulan sebelum itu gaji anaknya dinaikkan.
Aku ajak majikan berjumpa, dia enggan. Aku hamburkan segala yang terbuku di hati semasa perbualan telefon sehingga maaf terucap dari pihak beliau. Sungguh aku lega meluah tanpa aku maafkan beliau.
Sebulan selepas pemberhentian kali ketiga, aku diterima bekerja. Kalini field yang berbeza. Progress kerja aku agak slow, tapi aku berusaha bersungguh. Acapkali aku rasa takut dan panik yang melampau.
Julai 2024, bulan terakhir tempoh percubaan. Aku semakin rasa, penat dan takut yang teramat. Risau sekiranya berlaku lagi. Sungguh aku trauma.
Hutang kian merimbun, aku tidak mampu untuk tidak bekerja lagi. Kami sekeluarga hidup dari gaji ke gaji. Tidaklah mewah, cukup makan pakai keperluan dan bercuti sesuai bajet kami.
Doakan aku supaya melepas tempoh percubaan ini dan menjadi pekerja tetap syarikat. Terima kasih.
– Ranting nan reput (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit