Selamat malam buat pembaca IIUM Confession. Ini merupakan pertama kali saya menulis disini.
Secara ringkas mengenai saya, seorang wanita berumur penghujung 20an, bujang, mempunyai kerjaya yang tetap, dan pendapatan yang agak stabil.
Dari segi rupa pula, pernah lah saya dengar orang kata saya cantik. Haha. Tapi bagi saya, saya kategori biasa sahaja. Sedap mata memandang.
Sejujurnya, saya seorang yang agak introvert. Kurang bergaul dengan orang. Namun saya bukanlah kategori pemalu dan saya tiada langsung masalah komunikasi. Kawan saya dari zaman sekolah sehingga universiti pun boleh dibilang berapa ramai.
Rutin saya setiap hari hanya pergi kerja, dan pulang ke rumah. Saya suka menghabiskan masa bersendiri. Pergi mana-mana sendiri, craving nak makan apa-apa pun saya pergi sendiri sahaja.
Namun, dengan umur saya yang hampir kepada 30an menyebabkan saya sentiasa dihimpit dengan soalan bila mahu berkahwin.
Sejujurnya, saya tidak kisah soal jodoh ni. Kerana saya percaya yang rezeki, jodoh, ajal maut semua allah yang atur. Tambahan pula, kesemua adik beradik saya telah berkahwin dan hanya saya yang masih bujang.
Saya pun tidak tahu bagaimana cara mencari jodoh lagi. Seumur hidup, saya tidak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki. Bukanlah saya terlalu memilih, bukan juga tidak ada yang cuba mendekati, namun saya cepat rasa tidak selesa dan bosan.
Dipendekkan cerita, saya dikenalkan dengan seorang lelaki yang saya namakan sebagai “A”. “A” merupakan kenalan kepada rakan sekerja saya. Mereka bukanlah kawan rapat. Mereka hanya berurusan sekali dua atas urusan kerja.
Sedikit ringkasan mengenai “A”, “A” juga mempunyai kerjaya yang tetap. Seorang yang bekerja dalam unit beruniform dan masih dalam tahun percubaan.
Pada awalnya saya menolak untuk berkenalan dengan “A”, oleh kerana masih tidak bersedia, tetapi atas desakan rakan sekerja yang lain akhirnya saya akur dan bersetuju untuk berkenalan dengannya.
Pada awal perkenalan saya rasa okay sahaja. “A” ada bertanya kepada saya sama ada bolehkah saya menerimanya yang masih tiada apa-apa.
“A” cuma ada sebuah motosikal dan duduk di kuarters sahaja. Perbezaan gaji saya dan “A” juga agak jauh berbeza. “A” bertanya lagi jika nanti kami ingin keluar bersama bolehkah saya menjemputnya.
Pada mulanya saya rasa teragak-agak untuk menjawab soalan “A” itu, Tetapi atas dasar dengar kata-kata nasihat orang lain yang “jangan memilih sangat”, saya berkata kepada “A” tidak mengapa. Boleh sahaja.
Lagipun saya faham “A” masih dalam tahun percubaan dan normallah jika masih tidak mampu untuk ada segalanya. Semua perkara perlukan masa dan usaha kan.
Bukan semua orang dilahirkan dengan hidup serba serbi lengkap. Saya cuba yakinkan diri “A” akan mampu suatu hari nanti.
Sepanjang perkenalan kami, saya tidak pernah bertanya soal gaji “A” atau bercakap mengenai mengenai kewangan saya kepada “A”. Tetapi “A” sering bertanya mengenai soal gaji dan kewangan saya.
Jika dilihat dari luaran “A”, dia seorang yang agak bergaya dengan pakaian branded. Saya dapat agak “A” seorang yang agak boros juga kerana “A” sering bercerita mengenai pakaian-pakaian yang baru dibelinya.
“A” juga ada membeli iphone keluaran terkini dengan cara berhutang. Hutang ya.
Awal perkenalan,“A” juga ada menyatakan hasrat ingin serius dengan saya. Sepanjang awal perkenalan “A” banyak bercakap soal perancangan masa depan dengan saya.
“A” seolah menyakinkan saya bahawa dia betul-betul ikhlas dengan saya. Setiap hari “A” akan menghubungi saya dan mengambil berat hal saya.
Namun semakin hari “A” semakin terbuka untuk bercerita soal kewangannya pada saya.
Pada mulanya saya hanya mendengar sahaja. Namun “A” seolah akan memancing saya untuk mendengar cerita susahnya sehinggalah dia berani menyuarakan hasrat untuk meminjam wang daripada saya.
“A” akan memberi pelbagai alasan seperti telefon bimbitnya nya jatuh, wang belanja hariannya tiada, dan juga alasan ingin pulang ke kampung.
Awalnya sudah timbul perasaan curiga saya pada “A”, tetapi atas sebab sudah mula suka dan selesa dengan “A” saya bersetuju untuk memberinya meminjam wang saya dengan janji gaji pada bulan hadapan, “A” akan membayar semula wang yang dipinjam.
Saya juga perasan “A” hanya akan melayan saya jika saya memberinya sesuatu. Jika tidak dia akan menghilangkan diri tidak menghubungi saya dari sehari ke seminggu dengan alasan sibuk bekerja. Sedangkan pekerjaan saya jauh lagi sibuk dari pekerjaannya.
“A” juga sering menabur janji manis seperti mahu membawa saya berjumpa keluarganya dan mahu berjumpa keluarga saya. Oleh kerana saya sudah mula selesa dan sayang kepada “A” saya percaya segala kata-katanya.
Namun setelah gaji pada bulan berikutnya,”A” berkata dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar wang yang dipinjam pada bulan lepas, malah “A” meminta saya untuk memberinya pinjam wang sekali lagi atas sebab urusan kerja luar yang memerlukannya untuk berbelanja.
Saya mula rasa curiga, tetapi lagi sekali atas sebab mahu membantu “A” yang dalam kesusahan, dan mahu susah senang bersamanya saya memberinya lagi wang.
Sehinggalah penghujung ogos pada tahun ini, saya mula terasa dengan sikap “A” yang agak lain. “A” tidak akan menghubungi saya bermingu-minggu.
Malah sepanjang perkenalan kami, setiap kali saya terasa dengan “A” hanya saya akan memujuk diri sendiri, dan “A” akan menghubungi saya seolah tiada apa-apa.
Saya juga pernah mempelawa “A” untuk berjumpa keluarga saya pada hari raya tahun ini memandangkan “A” tidak dapat pulang kekampungnya, tetapi pada hari kejadian “A” memberikan alasan tertidur.
Bodohnya saya ketika itu masih percaya sedangkan sudah wujud perasaan curiga pada “A”. Baiknya ibu saya siap tapaukan makanan untuk “A” atas dasar kesian anak perantau beraya seorang disini.
Kemuncaknya pada awal september tahun ini, “A” mula menjauhkan diri dari saya. Saya mesejnya berulang kali namun tidak dibalas. Tidak pernah seumur saya rasa seperti ini. Fokus kerja saya terganggu.
Setiap hari saya mesej “A” dengan mesej yang panjang bertanyakan mengapa memperlakukan saya seperti ini, apa kesalahan saya padanya. Tetapi “A” masih mendiamkan diri dan hanya membaca tanpa membalas kesemua mesej saya.
Pada malam itu, “A” hanya membalas mesej saya meminta supaya meminjamkan wang kepadanya untuk membayar hutang dari pinjaman syarikat perabot yang ingin datang kerumahnya. Bayangkan betapa berkecamuknya perasaan saya ketika itu.
Sepanjang dia mendiamkan diri tidak menghubungi saya, saya seperti orang tidak tentu arah, kerja saya terganggu, saya mc berhari-hari, berat badan saya juga turun dengan mendadak. “A” langsung tidak memikirkan perasaan saya ketika itu.
Saya hanya memohon maaf kerana tidak boleh membantu “A” lagi. Tiada langsung kata maaf dari “A” kerana memperlakukan saya seperti ini. Sekejam itu lelaki yang pernah memberikan harapan dan janji-janji manis.
Sepanjang perkenalan kami, hanya saya yang memberi.. “A” hanya mahu menerima. “A” juga beberapa kali membatalkan perjumpaan kami atas sebab urusan kerja. Tetapi saya percaya itu semua alasan “A”.
Saya juga pernah ditahap merayu kepada “A” supaya kami dapat perbaiki hubungan ini. Saya hanya ingin “A” menjelaskan kepada saya mengapa melayan saya sebegini rupa. Saya rendahkan diri saya untuk “A”, ternyata selama ni “A” hanya mempergunakan saya.
Berkecamuknya hati saya hanya allah yang tahu. Niat ikhlas saya pada “A” hanya disiakan.
Saya tidak tahu bagaimana ingin memberitahu kelurga dan rakan-rakan terdekat yang fikir saya dan “A” ingin serius untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan.
Saya ambil masa berberapa hari untuk betul-betul sedar yang saya dipermainkan “A” selama ini.
Saya mula mesej “A” mengenai wang yang dipinjam dari saya. Saya tahu, “A” hanya akan respond jika saya membangkitkan isu wang.
Kerana “A” pernah memberitahu saya jika nanti “A” tidak membayar wang yang dipinjamnya, saya boleh mencarinya di tempatnya bertugas.
“A” mula membalas mesej saya seolah marah supaya tidak mengugutnya seperti itu dan berjanji akan membayar semua wang yang dipinjamnya.
Namun apabila gaji pada bulan ini tiba, “A” masih meminta untuk memberikannya masa kerana “A” tidak cukup wang untuk membayar wang yang dipinjam.
Sejujurnya, saya tak kisah jumlah wang yang dipinjam itu, nak dibandingkan rasa sakitnya hati saya ditipu selama ini.
Saya hanya membalas saya halalkan kesemua wang yang dipinjam dan berharap agar suatu hari nanti “A” akan rasa apa yang saya rasakan ketika ini.
Dan akhirnya, harini saya mempunyai kekuatan untuk redha dan block “A”.
Begitulah berakhirnya kisah cinta pertama saya yang saya fikirkan itulah pertama kali dan terakhir dalam hidup saya. Tidak sangka saya dipermainkan oleh “A” selama ini.
Saya bersyukur sepanjang perkenalan kami, saya sentiasa menolak ajakan “A” untuk keluar ke tempat yang agak mencurigakan seperti pusat karaoke dan sebagainya.
Saya juga bersyukur Allah jauhkan “A” awal-awal dari saya susah selepas berkahwin bersama “A”.
Maaf andai cerita saya agak berterabur.. Saya cuba sehabis baik untuk meringkaskan kisah saya ini dengan harapan semua pembaca boleh memberikan kata-kata semangat supaya tidak berputus asa soal jodoh. Doakan saya boleh move on dari “A”.
Untuk “A”.. Andai awak terbaca confession saya ini, saya halalkan kesemua wang yang awak pinjam dari saya. Ya tak banyak pun kan. Tapi saya tak akan maafkan segala perbuatan awak pada saya.
Saya harap awak akan rasa apa yang saya pernah rasa ni. Terima kasih buat saya seperti ini.
– Anonymous (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit