Hai, aku seorang gadis berumur 28 tahun. Tujuan aku menulis di sini adalah untuk meluahkan perasaan yang telah lama dipendam kini menjadi dendam. Aku tiada masalah dengan family atau kawan-kawan. Cuma ada seorang je punca kesedihan aku selama ini which is ayah aku sendiri. Let me story a little bit about my background.
Ibu bapa aku dah berpisah secara official 2 thn yg lalu tapi sebelum tu ibu aku digantung tak bertali selama 8 tahun. Lepas dia kawin kali kedua, dia terus tinggalkan rumah tanpa ada sebarang kata dan explanation pun.
Selama 8 tahun tu lah ibu aku yang membesarkan adik-adik yang masih bersekolah rendah. Ibu aku yang menguruskan segalanya seorang diri. Masa tu aku masih belajar di ipta. Aku juga terpaksa berdikari menguruskan segala urusan sendirian. Dia hanya tau bagi duit saja. Memang tak dinafikan dia tak culas bab ni tapi selalu berkira dan kedekut.
Sepanjang 8 tahun tu tak pernah pun dia make effort untuk jumpa anak-anak. Kalau ada pun mungkin masa bulan puasa sahaja which is once a year. Disebabkan 8 tahun dia tiada, dia dah jadi stranger buat kami adik beradik. Kami sudah terbiasa hidup tanpa seorang ayah walaupun hakikatnya dia masih ada. Aku membesar sebagai seorang yang independant.
Selama 8 tahun jugalah Ibu aku turun naik mahkamah untuk selesaikan hubungan mereka tapi ayah aku tak pernah langsung bagi kerjasama dan tak pernah datang mahkamah. Dan lepas 8 tahun, baru lah ayah aku buat proper way.. tu pun sebab bini no 2 dia dah tinggalkan dia.
Dia ada menyatakan hasrat nak rujuk, tapi kami anak anak tak bersetuju sebab kami tak rasa dia ikhlas nak rujuk dengan ibu aku. Mungkin sebab dah kena tinggal baru dia nak cari balik. Masa sibuk bercinta dulu lupa kat anak bini. Dah kena tinggal baru nak ingat jalan balik rumah. Lagipun after 8 tahun dia tinggalkan kami, ingat senang kami nak terima balik?? Dia act like nothing happen. Satu maaf pun tiada.
Ayah aku ni seorang yang suka ikut kepala sendiri dan susah dinasihati. No one can understand him. Buat ape2 tak pernah bincang dulu. He rules and dictate. Guna kuasa veto. Mesti ikut cakap dan cara dia. Tak boleh bertolak ansur.
Dia akan gunakan ugutan, maki hamun, mengungkit, untuk dapatkan sesuatu. Sebab tu bila dia tiada di rumah terasa lebih aman dan selamat. Even saudara mara n kawan2 dia sendiri yang cakap susah nasihat dia.
Ayah aku ni income dia sekarang almost 30k sebulan. Tapi kami tak hidup mewah. Kereta semua second hand, tu pun buatan malaysia. Kereta yang dah umur lebih 10 tahun yang asyik rosak je. Kami tak berbelanja mewah, barang branded pun jarang sekali.
Tapi untuk diri dia, dia joli duit sorang2 beli benda2 yang tiada faedah dan mendatangkan manfaat. Pergi travel pun sendiri. Pergi umrah pun tak bawa anak-anak sedangkan dia jelah satu2 nya mahram yang kami ada. Kehidupan kami semakin downgraded walaupun income ayah aku makin upgraded.
Biasa orang makin lama makin senang, tapi kami makin lama makin susah. Duit belanja dapur makin dikurangkan malahan disekat sekat. Ibu aku terpaksa guna duit saving untuk belanja dapur. Ibu aku sudah lama berhenti kerja. Aku pun gaji tak besar. Sikit2 boleh la aku topup. Aku tak taulah ape yang dia buat dengan duit dia. Padahal dia duduk seorang diri.
Kalau hal anak-anak dia sangat kedekut dan berkira. Selain tu jugak, dia ni tamak. Suka kumpul duit banyak2 tapi kedekut nak spend. Susah aku nak describe perangai dia ni sebab kalau melibatkan orang lain, dia sanggup tolong, bersusah payah pergi hantar jauh2, bagi duit, etc.. tapi kalau anak2 yang mintak tolong, banyak betul alasannya.
Kami banyak makan hati dengan kata kata dia dan perbuatan dia. Dia memandang rendah kami dengan menilai harta benda yang kami ada. Dia lebih banyak menyindir. Bagi aku, kalau kau rasa kesian dengan anak kau, tolonglah dia. Parent lain tak berkira pun kalau nak tolong anak. Harta banyak tapi kedekut dengan anak bini pun tak guna jugak. Lebih baik la harta sikit tapi pemurah.
Selain itu, aku banyak terasa hati sebab dia lebih prihatin kat orang lain dan tiada belas kasihan kat anak anak. Hal anak anak semua dia lepas tangan. Ada je alasan dia kalau kami nak minta tolong.
Dengan orang lain bukan main pijak semut pun tak mati. Kalau orang luar minta tolong, dia sanggup hantar jauh jauh. Sedekah bagi duit jangan cakap lah. Rajin melawat tahfiz2. Tapi hakikatnya hanya tuhan je yang tau macam mana layanan dia terhadap kami.
Pernah satu hari dulu kereta aku major breakdown kat tengah jalan, aku call dia. Nak tau dia kata ape? “Tanggunglah sendiri, Alice bukan tanggungan ayah”. Betapa remuknya hati aku bila dia kata macam tu. Bukan sekali, tapi 2 kali dia pernah cakap.
By the way, aku belum berkahwin lagi. Still tinggal dengan mak dan adik adik. Financially ye memang aku dah berkerja, tapi kalau dalam islam, selagi seorang anak perempuan tu belum bersuami, si bapa lah yang jadi wali, wajib menjaga and bagi nafkah. Sampai hati dia cakap macam tu semata mata nak lepaskan tanggungjawab. Aku akan ingat sampai bila bila.
Since that, memang aku tak mintak pape dah kat dia sebab aku tau hanya kecewa dan air mata lah yang aku akan dapat. Aku dah tawar hati. Banyak lagi lah benda lain yang dia buat yang mendatangkan kesusahan kepada kami sekeluarga semata-mata untuk memuaskan kehendak dan keperluan dia.
Nak cerita terlalu banyak. Hak hak kami banyak dinafikan dan disekat. Boleh dikatakan ayah aku ni selfish dan seorang yang zalim. Semua keputusan yang dia buat hanya untuk kepentingan diri sendiri.
Ibu aku sekarang turun naik mahkamah untuk tuntut harta sepencarian pulak. And again ayah aku tak nak bagi kerjasama langsung. Di sebalik income ayah aku yang berpuluh ribu tu, ada juga sumbangan ibu aku. Ibu aku yang dulu ambik loan bank dan tolong bayar hutang dan kini haknya dinafikan. Macam ni lah manusia, bila dah senang jadi sombong, makin kedekut dan tamak.
Ibu aku pula adalah sebaik baik manusia di muka bumi. Dia lah yang selalu memaksa kami untuk berjumpa dengan ayah walaupun hati kami tak ikhlas langsung nak buat. Ibu tak pernah ajar kami untuk membenci dan berkasar dengan ayah. Walaupun ayah aku tak bagi duit belanja, ibu aku still masakkan makanan, beli barang dapur guna duit saving.
Walaupun ayah layan ibu aku macam s*mp*h, tapi ibu aku masih berlapang dada dan berbelas kasihan kat ayah aku. Hanya doa dan air mata je yang aku nampak setiap kali ibuku solat. Sungguh, dia wanita yang kuat.
Sometimes aku pun tak faham kenapa dia still layan ayah aku dengan baik. Bagi aku, he does not deserve it. Btw, lepas bercerai dengan isteri kedua, ayah aku berpindah berdekatan rumah kami. Walaupun dekat, tapi aku takde hati nak jumpa dia sebab aku rasa dia stranger.
Rasa sakit sangat bila kita ada sesuatu, tapi sesuatu itu dinafikan oleh seorang yang ada pertalian darah dengan kita. Nak putuskan hubungan tak boleh sebab dia ibu bapa kita. Ini bukan isu material semata-mata. Aku juga maksudkan isu hak untuk bersuara, untuk membuat keputusan, untuk dikasihi dan dilayan dengan adil.
Setiap kali aku kenangkan masa lalu dan fikirkan masa depan, aku akan menangis. Menangis kerana perasaan sedih dan benci. Aku hanya mampu berdoa hari hari supaya Allah berikan balasan dan pengajaran atas kezaliman yang dia dah lakukan. Berdosakah aku berdoa macam ni?
Aku benci ayah aku sehingga aku pernah berniat tak nak berwalikan dia kalau aku kawin. Biar aku tak kawin pun takpe. Dan aku takut untuk rapat dengan lelaki sebab taknak dapat lelaki seperti ayah aku. Aku stress sampai satu tahap, setiap hari aku bayangkan dia ditimpa musibah.
Aku rasa hidup kami sekeluarga akan lebih aman dan bahagia bila dia tiada. Tiada lagi rasa hormat dan kasihan sebab aku tak rasa dia layak. Aku lebih tenang dengan menjauhkan diri dari dia. Biar dia pula yang rasa bagaimana perasaan ditinggalkan. Lagipun dia yang pilih untuk hidup macam tu.
Aku dah lali dengan nasihat orang supaya teruskan berbuat baik dengan dia hanya sebab title si “ayah”. Tapi salah ke apa yang aku buat ni? Lepas apa yang aku lalui, bukan senang untuk memaafkan dan melupakan. Aku pasti, ramai orang di luar sana yg berdilema macam aku jugak.
Sekian, itu sahaja luahan yang mampu aku keluarkan melalui tulisan. Sungguh, aku tak kuat untuk meluahkan melalui kata kata sebab aku hanya akan menangis teresak-esak. Assalamualaikum.
– Alice (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit