Nafkah Untuk Ibu

Assalamualaikum & hai kepada warga IIUM Confessions. Saya tak pandai mengarang. Saya menulis disini hanya untuk meluahkan perasaan dan ingin mendapatkan pandangan tentang masalah saya ni.

Masalah saya tidaklah besar tetapi kalau boleh saya nak baca setiap pandangan anda semua supaya saya tidak rasa bersalah selagi ibu saya masih ada.

Saya seorang isteri, anak perempuan bongsu dan juga ibu kepada 3 orang anak. Kami tinggal sekali dengan ibu saya.

Ibu saya memang tak benarkan kami untuk berpindah ke rumah lain. Abang dan kakak saya masing-masing sudah berumah tangga dan mereka ada rumah mereka sendiri.

Dulu saya bekerja. Alhamdulillah, selama saya bekerja 8 tahun setiap bulan saya akan berikan sedikit duit gaji saya kepada ibu saya. Masa tu arwah ayah saya ada lagi. Kami juga mempunyai pembantu rumah.

Tetapi selepas arwah ayah saya dah tak ada dan pembantu rumah pun dah balik ke negara dia, saya membuat keputusan untuk berhenti kerja.

Alasan saya adalah untuk menjaga anak-anak saya dan mudah untuk saya membawa ibu saya ke mana-mana kalau dia ada urusan.

Gaji suami saya alhamdulillah sangat cukup untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Setiap bulan suami akan bagi duit nafkah kepada saya untuk saya membeli barang-barang dapur, bayar bil-bil yang ada.

Dengan duit tu juga saya bagi dekat ibu saya setiap bulan. Jumlah yang sama saya bagi macam saya bekerja sebelum ni.

Kami dah bincang suami isteri tentang duit nafkah kepada ibu saya dan suami setuju. Ibu saya juga masa tu terima saja apa yang saya bagi.

Senang cerita, ibu saya hanya keluarkan duit untuk bil telefon dia dan barang-barang yang dia teringin nak beli.

Dua tahun yang lepas, selepas beberapa bulan saya melahirkan anak, saya ada business baking saya sendiri.

Alhamdulillah setiap hari akan ada yang pesan. Walaupun tak banyak tapi rezeki sentiasa ada. Duit hasil dari baking saya akan simpan untuk saya beli apa yang saya suka.

Untuk pengetahuan semua, saya hanya suka-suka je untuk mem-baking. Hanya untuk hilangkan stress dan juga me-time saya.

Masa ni saya ada pembantu rumah yang baru. Jadi dia boleh tolong jaga anak-anak saya masa saya tengah baking.

Awal tahun ni ibu saya ada bagitau saya yang dia taknak duit setiap bulan tu datang dari suami saya. Kalau boleh nak duit hasil dari baking saya. Alasannya, senang dia nak doakan kesejahteraan saya.

Kalau dapat RM500, jumlah tu lah bagi dekat ibu saya. Kalau dapat RM700, tetap bagi RM500. Kalau hanya dapat RM100, maka RM100 lah saya bagi.

Masalahnya sekarang, pembantu rumah saya pun dah pulang ke negara dia awal bulan 2 tahun ni. Dan anak kecil saya asyik merap dan susah untuk saya buat kerja. Dia tak nak dekat ibu saya. Kalau ada suami saya pun masih nak saya.

Masalahnya sekarang, setiap hari ibu saya akan paksa saya untuk buat business. Tapi dia tahu anak saya tak boleh kena tinggal.

Saya agak tertekan dekat situ. Suami saya cakap kalau boleh biar saya fokus dekat hal-hal rumah tangga dan anak-anak kami. Dah 3 bulan saya tak bagi duit dekat ibu saya.

Untuk pengetahuan semua, setiap bulan abang dan kakak saya akan bagi duit dekat ibu saya. Ibu saya juga ada duit pencen & duit rumah sewa yang dia dapat dari penyewa.

Kesimpulannya kami sekeluarga memang tak ada masalah dari segi kewangan. Cuma nak tanya, wajib ke saya bagi duit kepada ibu saya setiap bulan?

Salah ke saya guna duit suami saya untuk diberikan kepada ibu saya walaupun suami setuju?

Perlu ke saya mengikut kehendak ibu saya untuk saya start baking balik walaupun sekarang ni hati saya belum bersedia? Kalau tak bagi duit, maknanya tak ada doa untuk saya. Betul ke?

Maaf point yang saya nak tanya sikit je. Tapi tulisan panjang berjela. Harap ada yang sudi berikan pandangan supaya saya boleh fikir apa yang saya boleh buat selepas ni. Terima kasih semua.

– The houswife (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *