Nafsu Bertopengkan Tarbiah

Aku kehilangan ibu sejurus selepas SPM. Dunia yang selama ini hangat dengan kasih jadi sejuk dan sunyi. Dalam keadaan itulah dia datang perlahan-lahan, dengan wajah simpati, suara lunak yang katanya mahu ‘menjaga aku seperti adik sendiri’.

Dia bukan lelaki yang akan menarik perhatian biasa. Wajah sederhana, bukan jenis popular. Tapi dia ada sesuatu: kata-kata yang memukau, imej ‘ustaz jemaah’, dan gelaran ketua usrah pelajar oversea. Dalam kelompok kami, dia macam ‘public figure’ dakwah dihormati, dirujuk, dipuja.

“Aku sayang kau sebab Allah,” katanya suatu malam dalam chat kami.

Waktu tu aku baru beberapa bulan masuk universiti, masih cuba sesuaikan diri, masih cuba rawat luka. Dan dia datang sebagai tempat bergantung dengan tazkirahnya, dengan video call subuh untuk ‘bangunkan tahajud’, dengan mesej panjang lebar bertema cinta lillah.

Dalam diam, aku tak sedar aku sedang digrooming.

Pada awalnya, dia selalu sebut soal hijrah bersama. Dia kata aku kuat, tapi perlukan bimbingan. Aku disuruh hantar selfie setiap kali keluar rumah – kononnya nak jaga aurat, nak elak fitnah.

Kalau tak balas mesej dalam 10 minit, dia akan call berkali-kali. Kalau aku outstation dengan kawan, dia minta bukti lokasi dan siapa dalam bilik.

Semua ini katanya ‘kerana tanggungjawab sebagai bakal suami’.

Dia tak pernah isytihar kami berpacaran, katanya haram untuk declare couple, tapi kami ‘ada niat yang suci’. Dia tak izinkan aku rapat dengan lelaki lain, walaupun pensyarah. Dia kata semua ni untuk jaga hatiku, maruahku.

Aku percaya. Aku fikir ini tanda lelaki yang benar-benar mahu bimbingku ke syurga.

Tapi syurga yang dia bawa sebenarnya neraka yang perlahan-lahan menjerut.

Hubungan kami mula berubah, perlahan-lahan tapi pasti. Dia makin banyak bercakap tentang ‘rindu’. Tentang betapa ujian cinta sebelum nikah itu berat tapi ‘fitrah’.

Dia mula hantar voice note panjang tentang bagaimana syaitan suka merosakkan niat yang baik. Semuanya dibalut dengan istilah usrah dan istilah syariah.

Mula-mula, dia minta aku temankan dia buat kerja. Katanya penat dan perlukan sokongan.

Kemudian dia ajak jumpa, katanya untuk bincang hala tuju hubungan nak jadikan aku isteri.

Kali pertama aku kata “tak manis kita keluar berdua”, dia pujuk:

“Saya bawa awak sebab saya percaya awak jaga batas. Kalau orang lain, saya takkan ajak pun. Awak special.”

Aku tunduk. Aku tersentuh. Aku terpedaya.

Hari demi hari, batas makin kabur. Mesej makin berani. Dia minta gambar. Dia minta suara. Dia minta dimanja.

Katanya,

“Kita bakal nikah. Saya cuma nak rasa kasih sayang awak. Bukankah cinta itu fitrah?”

Satu malam, dia kata dia singgah ke bandar tempat aku belajar.

“Kita jumpa sekejap je. Nak tengok muka awak. Tenang hati ni. Dah lama sangat jumpa dalam Zoom je…”

Aku ragu-ragu. Tapi dia pujuk dengan ayat,

“Bila dua orang yang niat nak nikah jumpa untuk reda Allah, Allah pelihara. Lagipun, kita jumpa kat tempat awam dulu.”

Awalnya betul, kami jumpa di kedai makan. Tapi kemudian, dia kata ada benda nak bincang penting, ‘face to face, hati ke hati’. Aku ikut. Sampai ke lobi hotel. Dia kata dia ada bilik, semalam je. Dia ajak masuk. Katanya, nak tunjuk aku betapa seriusnya dia nak jadikan aku isteri.

“Awak rasa saya ni jenis main-main ke? Saya pelajar overseas, ketua usrah saya tak pernah bawa perempuan lain masuk bilik macam ni. Tapi awak, saya nampak awak ni bakal zaujah saya…”

Hati aku serba salah, tapi aku rasa macam aku tak patut ragui niat baik dia. Dia banyak kali ingatkan, “Yang penting, jangan niat buat maksiat. Kita jaga adab.”

Tapi saat pintu bilik tertutup, semuanya jadi senyap dan menyesakkan.

Dia sentuh aku. Aku tolak. Dia peluk. Aku menangis.

Dia bisik, “Sayang… Allah tahu niat kita. Saya pun lelaki, saya ada fitrah. Tapi saya jaga. Saya guna perlindungan. Awak takkan rosak, takkan hilang dara. Saya janji…”

Kata-katanya memukau dan menumpulkan logik aku. Dia tak marah, tapi merayu. Tak paksa, tapi melobi. Tak kasar, tapi penuh dalil dan kononnya kasih.

Dalam ketakutan dan keliru, aku diam.

Dan di situlah dia ambil segala yang dia mahu.

Selepas itu, dia makin dingin. Mesej jarang. Suara pun tiada.

Bila aku bertanya, dia kata aku terlalu emosi. Bila aku merayu, dia kata aku tak redha qada’ dan qadar.

Beberapa hari selepas dia menjauh tanpa kata, aku terima satu gambar dari kawan. Tangan aku menggigil. Gambar tu… dia. Dengan seorang perempuan bertudung labuh, pakaian sedondon jemaah.

Kapsyen dia: “Alhamdulillah, kami bertunang atas pilihan jemaah. Doakan kami menuju baitul muslim yang diredhai.”

Aku rasa dada aku seolah dihentak. Nafas aku tersekat. Padahal baru seminggu lepas, dia masih hubungi aku masih minta aku bersabar, masih cakap dia belum bersedia nak kahwin, masih pesan jangan fikir bukan-bukan, “Ujian Allah je ni,” katanya.

Tapi sekarang aku sedar semuanya permainan. Aku cuba call, tapi nombor aku dah disekat. Aku nekad cari nombor mak dia. Aku fikir, mungkin dia sebagai wanita akan faham

Bila aku berjaya cakap, aku suarakan semuanya tanpa marah, tanpa ugut, cuma seorang perempuan yang keliru dan luka, cari jawapan.

Tapi mak dia balas begini:

“Saya tahu kamu siapa. Ijat dah cerita semuanya. Kamu jangan kacau hidup anak saya lagi. Dia dah pilih perempuan baik dari jemaah kami sendiri. Kami percaya pada pilihan dia. Semua anak saya lelaki. Saya tak nak ada perempuan perangkap anak saya pakai alasan agama. Dia lelaki, dia tahu jaga diri.”

Aku terkedu. Tak ada ruang pun untuk aku bersuara.

Mak dia tutup panggilan.

Dan kisah aku terus dijadikan bahan aib.

Tak lama kemudian, aku dengar cerita mula tersebar aku kononnya perempuan ‘tak tahu malu’, ‘cuba ganggu hubungan suci’, ‘burukkan nama orang jemaah’. Dia diam, tak nafikan apa-apa. Tapi diam dia cukup membunuh.

Tunang dia pula, dalam satu sesi usrah terbuka, siap sebut depan semua:

“Saya tahu kisah dia. Tapi semua orang ada masa silam. Yang penting sekarang dia bersama jemaah. Saya percaya lelaki yang bertaubat, dan kita tak patut burukkan orang yang Allah dah angkat martabatnya.”

Yang hadir semua angguk, tersenyum, dan laungkan takbir.

Masa tu aku sedar dunia dia dunia persepsi. Dunia yang berpihak pada siapa yang pakai serban, petik ayat Quran, dan tahu berselindung di sebalik topeng suci.

Tak ada siapa tanya cerita aku.

Tak ada siapa tahu aku yang selama ni disuruh setia, yang dipujuk rayu guna dalil, yang diseret ke hotel sebab “kita tak buat zina… abang pakai, tak pecah apa-apa”, yang lepas tu disuruh taubat diam-diam “jangan buka aib kita… nanti Allah murka.”

Dan sekarang… dia lelaki suci yang dijulang.

Aku pula jadi dosa yang orang kutuk dalam diam.

Dia pilih perempuan lain konon lebih sekufu, lebih bertarbiah.

Sedangkan aku?

Aku hanya kisah silam yang memalukan dia.

Aku cuba hubungi dia. Dia kata:

“Saya dah istikharah. Awak bukan jodoh saya. Saya tak boleh pilih orang yang tak jaga maruah sebelum kahwin.”

Aku ternganga.

Yang rosakkan aku dia. Yang tarik aku ke neraka dia. Tapi sekarang, aku yang tak layak?

Aku menangis semalaman. Aku salahkan diri. Aku benci diri.

Tapi kemudian, perlahan-lahan, aku bangun.

Aku cari semula diriku. Aku belajar semula siapa Tuhanku.

Aku rawat trauma bukan untuk balas dendam, tapi untuk pulihkan maruah.

Aku jumpa kaunselor. Aku temui semula kekuatan.

Dan aku sedar aku bukan lemah. Aku cuma dipergunakan oleh lelaki bertopeng agama.

Aku ambil tindakan undang-undang. Bukan sebab dendam. Tapi kerana aku perlu buktikan: wanita yang dilukai atas nama agama, layak pertahankan diri.

Lelaki itu masih aktif dalam jemaah. Bahan rujukan pelajar sana sini. Tapi diam-diam, dia tahu aku tahu kebenaran.

Dan aku? Aku bukan lagi gadis yang dia tinggal dalam sepi.

Aku kini berdiri dengan kepala tegak.

Kerana aku tahu aku bukan bodoh. Aku cuma terlalu percaya pada orang yang menyalahgunakan kepercayaan.

Dan untuk wanita lain di luar sana, aku tulis ini bukan untuk buka aib. Tapi supaya kau tahu:

Kalau pernah dikhianati atas nama agama, itu bukan salah kau. Itu salah mereka yang menjadikan agama sebagai senjata untuk memuaskan nafsu.

– Husna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini –  https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *