Dengan nama Allah, yang sebaik baik perancang dan penentu dalam kehidupan buat hamba hambanya.
Dilema aku sebagai isteri kepada suami yang tinggi nafsu syahwatnya. Dari awal sebelum pernikahan kami, dia telah merosakkan beberapa gadis. Seorang yang panas baran, namun kerana kekhilafan, aku tetap memilihnya sebagai suami.
Kami berpisah namun bertemu juga. Solat istikharah namun bersatu juga. Apakah yang cuba Allah sampaikan kepadaku? Adakah untuk aku sedar bahawa betapa banyaknya dosaku ini? Berdosakah aku pada orang tuaku? Berdosakah aku pada manusia lain? Dan berdosakah aku pada Dia?
Awal pernikahan, semuanya ku ingat indah belaka. Melihat perubahan dia ingin jadi lebih baik. Namun ianya sementara. Suamiku masih mencuba nasib dengan kekasih zinanya yang lama. Hancurnya hati aku sebagai isteri. Di kala anak pertama masih menyusu…
Namun aku tau bekas kekasihnya itu tidak begitu hirau kerana hidupnya ketika itu lebih baik kerana memiliki bakal suami yang berakhlak. Beruntungnya dia.
Suamiku tidak pernah berhenti daripada menonton video lucah demi melepaskan nafsu syahwatnya. Tidak pernah berhenti sejak daripada kami belum berkahwin sehingga kini. Masih setia. Pelbagai cara aku lakukan agar dia sedar akan perkara itu hukumnya haram dan berdosa.
Aku sedarkan dia dengan artikal artikal dan kata kata dari ustaz. Tidak kurang dan lebih aku selalu mendoakan agar Allah tutupkan pintu hatinya untuk melihat dan melakukan onani. Namun doaku masih belum terkabul.
5 tahun perkahwinan yang aku tempuh dengan penuh onak dan duri, aku sabar dan bertahan kerana aku percaya dia akan berubah. Kerana aku inginkan bahagia dunia dan akhirat hanya dengan seorang suami dan seorang ayah kepada anak anakku.
Masih terlalu awal untuk aku katakan bahawa suamiku sudah berubah. Ini kerana dalam usia 5 tahun perkahwinan, suamiku bernafsu dengan seorang budak berumur 14 tahun yang sering datang ke rumah bermain dengan anak anak kami. Allah, nafsu syaitan apakah itu?
Sehingga dia melihat budak yang masih bersekolah dengan pandangan syaitan. Hampir berzina sekali lagi setelah bertahun tahun lamanya ditinggalkan. Hampir berzina dengan seorang budak. Seorang budak mentah yang masih melompat ketika berjalan.
Allah itu hebat dalam perancangannya. Belum sempat mereka melakukan apa apa, segalanya terbongkar. Aku dapat tahu melalui emak kepada budak itu. Penafian keras sememangnya suamiku beri.
Namun aku redha. Kami hampir bercerai. Bercerai demi anak anak perempuan ku. Aku risaukan pepatah ‘haruan makan anak’ terjadi pada anak anak ku. Sesungguhnya aku terlalu sayangkan anak anak ku.
Segala keputusan yang diambil adalah selepas perbincangan dengan ayahku yang berada jauh daripada pandanganku di kampung. Ayah meminta aku memberikan peluang kerana beranggapan itu adalah satu kesilapan dan ujian. Kesilapan dan ujian yang besar untuk aku terima. Zina itu bukan kecil. Kesannya sangat besar. Kerana aku sedang merasai fasa itu.
Aku memaafkan suami namun tidak pernah sekalipun melupakan. Membaca semua perbualan suamiku dengan budak hingusan itu membuatkan aku mengalirkan airmata. Betapa lemahnya dia dengan godaan syaitan. Syaitan yang tidak pernah sedetik pun berhenti dalam godaan dan kesesatan.
Sehingga kini rupanya suamiku masih mencuba nasib dan masih cuba menghubungi budak itu yang kini setahun selepas kejadian. Hebatnya nafsu yang bertunjangkan syaitan. Tidak pernah mengalah dan beralah. Dari anak pertama sehingga sekarang aku dalam pantang anak ketiga. Nafsu syahwat tetap menjadi raja di hatinya.
Aku adukan sekali lagi perkara ini kepada ayahku. Ayahku mengeluh kesal. Tidak menyangka bahawa menantu yang baik pada matanya tidak mampu berfikir dan kalah dengan godaan syahwatnya sendiri. Ayahku juga memberi hipotesis bahawa suamiku mungkin tidak akan berubah sehingga ke hari tuanya.
Ayahku yang dulu memberiku semangat agar bertahan, kini mengajakku pulang ke sisinya. Hidup tenanglah bersama anak anak daripada menderita bersama suami yang tidak tahu erti sebenar rumah yang bertangga.
Segala permulaan, pasti ada penamatnya. Dan aku berharap agar keputusan yang bakal aku ambil ini baik untuk aku dan baik juga untuk anak anak ku. InshaaAllah…
Salam…
– Haina (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit