Nafsu Tanpa Cinta

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada admin dan para pembaca. Hari ini aku ingin menceritakan sebuah sisi gelap yang ada dalam masyarakat kita tanpa kita sedari.

PENAFIAN: Tujuan penceritaan bukanlah untuk membuka aib tetapi untuk membuka mata.

Aku Ellie, berusia 20-an. Keluarga aku hanya orang biasa-biasa seperti keluarga yang lain. Aku tahu orang tuaku juga seperti pasangan lain dimana menginginkan keturunan mereka berjaya di dunia dan akhirat. Tapi satu perkara yang kita sedia maklum iaitu iman tidak dapat diwarisi.

Luaran aku seperti perempuan seusia denganku. Bertudung litup menutup aurat, memakai sarung tangan dan kaki, menghormati orang lain, bertutur lembut, tidak mendatangkan masalah kepada keluarga, berpendidikan dan berkerjaya tapi dalam diam hati aku dirajai nafsu yang tiada nokhtah dimana aku menjadi hamba kepada nafsu aku sendiri. Tidak pernah aku mengharapkan untuk jadi begini.

Aku bermula terlayar dalam bidang pornografi sejak usiaku 12 tahun atas sifat ingin tahu membuak-buak. Rangkaian internet pada waktu itu sudah mula mudah untuk diakses. Aku melihat, belajar dan mengenal insan-insan alam maya yang sama nafsu sepertiku. Bualan lucah seperti tiada penghujung. Rasa ingin mencuba tetapi perasaan takut lebih menguasai diri. Minda aku kotor, pantang melihat pasangan yang baru berkahwin. Pantas mindaku berimaginasi. Bukan setakat itu, guru-guruku yang mengandung atau saudara-mara juga mengalami nasib serupa iaitu menjadi mangsa imaginasi jijik aku sendiri. Semua perkara ini aku hanya pendam sendiri tanpa pernah meluahkan kepada sesiapa kerana aku takut orang akan memandangku dengan pandangan yang lain.

Semakin usiaku meningkat, semakin berani aku mempraktik. Golongan sisi gelap berkata ‘ringan-ringan’ tapi sebenarnya itu adalah dosa yang menuju kepada zina. Habis sahaja perjalanan ke menara gading, aku korbankan kesucian aku. Kesucian yang tidak akan pernah ada galang ganti. Aku menyesal? Ya, untuk ketika itu tetapi tidak ketika seterusnya. Aku lemas dalam nafsu sendiri sampai tidak mampu dikawal.

Perkataan ‘one night stand’, ‘f*ck around’, ‘friends with benefit’, ‘f*ck buddy’ dan seangkatannya sudah lali dengan hidup aku. Orang asing atau ‘stranger’ seperti orang biasa, tiada rasa malu atau gugup. Pertama kali jumpa pun aku sudah mampu menyerahkan badan. Sedikit sebanyak hal ini membantu aku untuk tidak berasa janggal jika berjumpa orang asing dalam kehidupan seharian. Bohong jika tidak pernah terlintas di hati untuk berubah. Bohong aku tidak merasa cemburu dengan insan yang diberikan hidayah dan nikmat Allah. Bohong aku tak pernah mencuba untuk berubah. Bohong aku tidak menjalankan kewajipan utama sebagai seorang muslim.

Tujuan utama aku menceritakan ini untuk menunjukkan kalian, kami hanya manusia biasa. Seperti yang bersolat disebelah kau di masjid atau surau, atau mungkin kami yang sedang makan di meja sebelah kau saat ini, atau sedang duduk disebelah kau dalam kenderaan pengangkutan awam, atau kami adalah doktor yang merawat kau untuk hari ini, atau yang sedang melaungkan azan menggesa kau menunaikan kewajipan. Kami insan biasa, nurani kami kotor. Kami kalah dengan nafsu.

Semasa aku menjejakkan diri dalam dunia ini, pelbagai jenis manusia yang aku jumpa. Pasangan orang iaitu suami/isteri/bf/gf juga seperti aku. Depan pasangan masing-masing merupakan seorang insan yang baik dan mulia, tapi tidak disebaliknya. Ramai lelaki yang pernah memuaskan nafsuku merupakan insan yang sudah punyai tanggungjawab, dan ada yang menuju membina masjid. Mereka tidak akan menyentuh pasangan mereka yang belum halal namun sentuhan itu diberikan kepada orang lain. Nafsu tanpa cinta.

Aku juga sendiri sebagai perempuan bersifat sebegitu, sudah punyai pasangan tetapi dibelakangnya aku menjadi syaitan sampai aku pernah meragui pasangan aku sendiri, ‘depan aku dia lelaki biasa, adakah dibelakang aku dia juga seperti aku?’.

Mereka yang segolongan denganku bukanlah orang yang jauh ketinggalan pelajaran. Kerja mereka bagus-bagus, rupa persis model, datang juga dari keluarga bagus-bagus, berpendidikan tinggi, tidak ketinggalan tahap pendidikan agama yang bukan biasa-biasa. Jika dilihat dengan mata kasar, tiada cacat-celanya antara kami. Orang-orang yang rapat dengan kami tak akan tahu kami sebegini. Kawan-kawan serta keluarga juga tidak tahu perangai keji ini. Terkadang aku malu, melihat rakan-rakan dan saudara mara yang kelihatan bahagia dan sempurna tetapi seringkali terlintas di hati, ‘adakah mereka juga sama seperti aku? Bersembunyi disebalik topeng?’

Jika kau yang membaca ini ingin mencuba dosa besar seperti aku. Jangan sesekali kau terjebak. Laluan kau untuk berpatah balik bukanlah lurus seperti kau masuk pada mulanya. Likunya sangat tajam, cabarannya mampu menghancurkan jiwa. Jangan kau sesekali mendekati jalan gelap itu, cahaya akan menjadi jauh. Ingatlah larangan Allah dalam dimana bukan sahaja melakukan namun larangannya juga keras agar tidak mendekati perbuatan hina ini.

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungghnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”

(Al-Israa’: 32)

“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman. Laki-laki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan demikian orang itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.”

(An-Nuur: 2-3)

Aku ingin kalian membuka mata terutamanya kaum hawa, sentiasalah berhati-hati. Ada pasangan kau yang beronani menggunakan bayangan diri kau cuma dia tidak zahirkan kerana dia mahu jadi ‘baik’ di hadapan kau. Jangan suka memuat naik sesuka hati gambar di mana-mana laman sosial. Bersepah gambar-gambar yang sudah diedit menjadi tidak senonoh. Kau berpurdah? Itu tidak menjamin gambar kau tidak menular. Berhati-hati apabila berjalan di kawasan awam. Mata-mata liar sentiasa mencari mangsa. Telefon bimbit sentiasa di tangan untuk merakam.

Cara kau berjalan pun sudah cukup menghairahkan. Dirakam secara senyap. Ada juga yg ‘fetish’ dengan ibu mengandung/sedang menyusukan bayi. Mudah sahaja mereka mengambil gambar untuk dijadikan koleksi dan dikongsi di laman sosial. Ini cerita benar, aku sendiri takut melihat kemungkaran yang berlaku. Apa nasib aku kelak? Apa nasib keturunanku kelak?

Mudah-mudah sahaja mereka boleh menggunakan muka kau untuk memandikan fitnah. Tular disemua laman sosial. Lelaki juga tidak terkecuali menjadi mangsa mungkin perempuan seperti aku masih mempunyai ‘sifat malu’ untuk tidak berbuat demikian. Instafamous, artis-astis, dan orang biasa tidak terkecuali untuk manjadi bahan imaginasi mereka.

Golongan-golongan homoseksual juga tidak terkecuali dalam golongan kami. Seperti yang aku katakan, mereka kelihatan biasa-biasa tapi mereka bukan biasa-biasa. Nafsu songsang mereka mampu disorok dengan pelbagai cara seperti perkahwinan, perwatakan dan lain-lain lagi. Jujur aku akui, golongan homoseksual yang aku pernah lihat/jumpa 98% kesemuanya memiliki sifat zahir yang sempurna dari segi paras rupa dan juga hati. Memang mudah untuk orang tertipu dengan mereka. Ini sedikit sebanyak mengubah persepsi aku apabila melihat orang lelaki yang memiliki rupa, takut-takut mereka sebenarnya ‘gay’.

Aku menulis ini bukanlah ingin memasukkan persepsi negatif kepada kalian semua. Aku cuma ingin kalian sentiasa berhati-hati baik lelaki mahupun perempuan. Dunia yang kau lihat menyimpan pelbagai rahsia. Seperti yang aku ceritakan tentang seks bebas ini, banyak lagi perkara lain yang menjadi rahsia antara pelaku dan Tuhan. Ini adalah salah satunya. Untuk saat ini, aku sudah ‘slow’ dengan aktiviti dosa aku, mungkin lama-lama boleh singkirkan terus. Doakan aku dan rakan-rakanku yang lain mampu beristiqamah, berikan kami kekuatan kerana nafsu ini merupakan ujian getir kami pada saat ini.

Terima kasih meluangkan masa. Assalamualaikum.

– Ellie

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *