Naik Gred Dengan Lari Daripada Jawatan

As salam serta salam sejahtera. Terima kasih kepada admin jika penulisan aku ini diketengahkan untuk bacaan semua.

Apa yang aku nak ketengahkan ini adalah satu budaya kerja yang sangat tidak sihat yang sedang berlaku di dalam organisasi tempat aku bekerja. Mungkin juga ianya berlaku di organisasi kamu. Aku cuba untuk meringkaskan penulisan aku ini seringkas mungkin.

Aku dah berkhidmat di dalam organisasi ini hampir sedekad lamanya. Tak perlulah aku nak mention di dalam bidang apa, aku tak perlukan attention yang tidak diundang. Baru baru ini, aku telah ditawarkan untuk menjadi Head Of Department (HOD) yang baru setelah HOD yang sedia ada akan meninggalkan jawatan tersebut pada pertengahan tahun ini. Walaupun aku rasa berbesar hati, dalam masa yang sama pelbagai pertikaian mula bermain di benak fikiranku.

Untuk makluman pembaca sekelian, lazimnya sistem penjawatan HOD di sini adalah dalam bentuk penggiliran. Kebiasaannya yang senior akan menjawat jawatan tersebut dan begitulah seterusnya sampailah ke giliran orang seterusnya. Dan senior senior aku ramai, malahan jumlah tahun mereka berkhidmat semua telah masuk 2 angka. Kalau diikutkan giliran salah seorang dari mereka yang sepatutnya menjawat jawatan tersebut. Bila berlaku ketidaklaziman sebegini, maka aku pun mula menyoal justifikasi pemilihan aku. Dan jawapan yang aku perolehi dari pihak atasan memang memeranjatkan, bahkan agak mengecewakan.

Bila disebut satu satu nama, maka sebab musabab mereka tidak dipilih itu diperjelaskan kepada aku satu persatu. Ada yang kerana isu disiplin, ada yang kerana kurang memberi kerjasama, ada yang kerana terlalu berkira di dalam kerja, ada yang kerana selalu menolak (atau mengabaikan) tanggungjawab diberi (contohnya lantikan adhoc) dan seumpamanya. Aku terdiam sekejap. Kenapa? Sebabnya…

Mereka – mereka yang “mempunyai isu” ini tetap mendapat SEMUA benefit dari organisasi.

Kenaikan gaji tahunan mereka dapat seperti orang lain. Kenaikan gred mereka dapat bila sampai waktu. Bonus tahunan pun mereka dapat sama rata. Maka, aku tertanya – tanya. Jika begini coraknya, maka semua orang akan play safe dan buat tak endah tentang kualiti kerja. Istilah yang aku gelarkan adalah dengan menyorok tengkuk. Apa beza antara staf yang perform dengan staf yang “mempunyai isu” ini? Mereka nampaknya terus selesa dengan “kerenah” mereka. Bagi aku ini sangat tidak sihat. Seolah olah ada satu penanda aras bahawa..

“Alaa… kau kerja lebih kurang je.. buat tak faham je kalau ada apa apa. takde hal punyalah. takde apa pun. gaji naik jugak..”

Aku nampak benda ni bagaikan satu kanser untuk staf – staf yang baru masuk. Lama kelamaan mereka pun akan nampak pattern ini dan kemungkinan akan ada antara mereka yang akan menuruti jejak langkah “menyorok tengkuk” yang aku maksudkan tadi.

Aku bukanlah irihati. Tidak. Aku bukan manusia yang macam tu. Rezeki mereka Allah dah aturkan. Cuma aku tak setuju bila tak ada satu mekanisma untuk memberi keadilan kepada staf yang perform berbanding mereka yang “mempunyai isu” ini. Tak bolehlah nak pukul sama rata. Biarlah kita sama – sama bekerja dalam satu suasana yang produktif di mana semua staf memberi kerjasama dan memainkan peranan. Itu baru adil. Bukan asyik asyik muka yang sama je kena pegang itu ini kalau ada apa – apa.

Aku berharap aku dapat jalankan amanah bila menjawat jawatan itu nanti. Aku berharap aku mampu berlaku adil dan menjadi HOD yang baik kepada anak buah. Aku harap aku dapat melakukan sesuatu, supaya budaya “terlalu selesa” ini dapat dipupuskan dalam budaya kerja organisasi kami. Mungkin aku akan dibenci apabila “keselesaan” mereka mula goyah. Biarlah. Doakan aku untuk berlaku adil kepada mereka yang berhak. Insha Allah..

~Pekerja Biasa Yang Makan Gaji Seperti Kamu~

– Kesatria Malam

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit