Aku kahwin dengan suami nak masuk 5 tahun, ada seorang anak. Hubungan aku dengan mak mertua, ipar duai baik baik sahaja. Tapi tidaklah terlalu rapat sangat sebab kami duduk sendiri lepas kahwin.
Aku isteri yang bekerja dalam masa yang sama suri rumah juga, yelah semua benda pun kau kena buat juga kan dah namanya mak mak. Bila aku sibuk kerja memang aku tiada masa nak fikir tentang orang, atau masalah orang.
Aku juga jenis tak suka nak cakap pasal orang, suka buat hal sendiri sahaja. Pada aku bila aku dengar cerita pasal orang ni aku rasa stress haha. Jadi aku akan cuba abaikan dan elak tentang perkara negetif. Stress woo fikir masalah orang.
Mak mertua aku ni pula, mungkin dia sunyi tiada tempat bercerita jadi bila aku balik kampung dia suka bercerita dan sembang dengan aku. Dan aku pula jenis mendengar sahaja. Yelah mak mertua kan apa dia cakap aku angguk sahajalah.
Cuma apa yang tak best nya mak mertua aku suka cerita pasal adik-adik ipar aku. Yang ipar perempuan dia cakap pemalas, tak suka layan anak, biadap dengan dia dan sebagainya.
Padahal dia tak duduk serumah pun dengan mak mertua aku. Cuma rumah dekat jelah. Aku pun pelik kenapa mak mertua aku ni macam tak suka sangat dengan dia. Setiap kali aku balik kampung ada sahaja cerita panas dari mak mertua aku pasal menantu dia tu.
Mak mertua aku ni siap tahu laki bini gaduh walaupun tak duduk serumah sebab apa? Sebab anak lelaki dia bila gaduh balik rumah mak mertua aku ni dan cerita tentang hal rumah tangga kat mak dia. Ni mak mertua aku sendiri bagitahu aku.
Yang adik ipar aku seorang lagi duduk rumah mak mertua aku. Masalah menantu lelaki dia seorang ni memang tak mesra sangat duduk dalam bilik je, nak makan atau minum baru keluar. Pergi kerja balik kerja, walaupun duduk rumah mak satu hal rumah pun tak ambil tahu.
Belanja dapur mak mertua aku pergi beli ulang alik naik motor. Yang ni aku menyampah juga kadang, duduk rumah mak makin menyusahkan mak.
Makan nak sedap, lauk semalam kalau mak panaskan tak nak makan sanggup makan kat luar. Sabtu ahad cuti pergi berjalan tinggal mak dekat rumah.
Pergi kerja mak masakkan bawak bekal hari-hari. Barang-barang anak mak yang topup, anak mak yang jaga yang ni memang aku nampak dengan mata kepala aku sendiri bila aku duduk rumah mak mertua aku masa cuti. Sakit mata aku tengok.
Mak mertua aku ni aku tengok apa-apa semua suka salahkan menantu, menantu yang tak pandai jaga laki, menantu yang tak pandai jadi laki, habis anak dia semua betul?
Aku tengok anak lelaki dia tak kerja tolong bini usahakan bisnes dia, yang anak perempuan pergi kerja balik kerja anak mak dah jaga, makan mak dah sediakan.
Mak mertua aku cakap belanja bulanan bagi mak RM200 je, boleh kata 90 persen mak mertua aku sponsor. Sewa rumah bil api air makan minum dekat rumah mak mertua aku sediakan. Seronok kan siapa duduk dengan mak mertua aku?
Ya mak mertua aku memang baik sangat, setiap kali kami balik kampung mak mesti dah siap masak sedap-sedap. Dengan anak ke menantu ke dia tak suka pun dia tak tunjuk.
Nak jaga hati lah kononnya. Tapi tulah banyak ngadu pada aku ajelah. Dia kata dia suka cerita kat aku sebab aku takkan cerita balik kat orang. Yelah memang aku dengar ajelah.
Aku kesian dengan dia sebenarnya. Makin tua makin penat, kena tanggung lagi anak-anak, sekarang jaga cucu sepenuh masa.
Kalau aku kat kampung, terkejar kejar dia nak siapkan banyak benda. Pagi dia masak, bungkuskan bekal laki anak dia, baju anak-anak dia yang dah kahwin ke tak ke semua dia basuh, spende laki anak dia, dia lipat, jaga cucu, mandikan cucu, macam bibik lah aku tengok.
Mak mertua aku ni dia dah buat semua ni bila dia penat dia cakap suami anak dia tu tak tolong, apa benda kat rumah pun taknak buat.
Habis tu aku tengok anak perempuan dia buat apa? Entah.
Aku ni bukan apa, cuma aku kesian. Sampai bila mak mertua aku macam tu? Tak nak ajar anak berdikari. Anak kita bila dah kahwin suami yang bertanggungjawab atas dia, sebagai isteri pun wajib jalankan kewajipan isteri dengan baik bukan lagi tanggungjawab mak.
Aku dah nasihat mak aku dengan baik supaya biarkan anak menantu berdikari, jangan semua beban di bahu mak, tapi entahlah mak mertua aku tu mungkin dia sayang sangat anak sampai taknak tengok anak dia susah.
Aku ni baik-baik seronok nak balik kampung jadi tak seronok bila aku dengar mak mertua aku ni ngadu macam-macam. Kadang mood kau baik-baik elok tiba-tiba geram sebab perangai pelik-pelik orang.
Aku walaupun tak mampu nak bagi mak aku senang, tapi kalau boleh aku taknak susahkan dia. Susah macam mana pun laki bini kiteorang hadap sama-sama.
Takda orang jaga anak salah seorang minta cuti kerja, beli susu anak pun kongsi duit sama-sama kalau hujung bulan haha. Nak hidup, memang perlukan banyak pengorbanan.
Kalau dulu balik kampung aku belikan barang dapur, laki aku pun memang bagi duit belanja bulanan, kadang-kadang aku dah pesan siap-siap dengan mak tak payah masak sebab aku laki bini nak belanja mak makan sedap-sedap.
Lepastu nanti dia ajak lah anak menantu dia sekali. Bila dah selalu sangat macam tu, lama-lama aku jadi malas nak spend duit lagi untuk mak mertua aku. Kalau dulu aku hulur juga duit, tapi bila kenangkan anak menantu dia yang selesa hidup free aku jadi malas nak hulur lagi.
Sama juga kalau aku nak ajak dia jalan-jalan atau duduk rumah aku, yang difikirnya siapa nak jaga cucu dia. Aku pun ada anak juga. Cucu dia juga. Haha
Ada sekali tu, Aku ajak mak mertua aku beli barang, anak perempuan dia pun dia ajak juga. Aku pilih barang aku then mak mertua punya barang aku bayarkan, adik ipar aku pun beli barang dia dengan barang anak dia.
Aku ingat dia bayar sendiri, sekali mak mertua aku yang keluar duit. Siap mak mertua aku tanya tu pampers anak dia ada lagi ke. Depan aku. Boleh pula adik ipar aku pergi beli barang berlenggang kangkung tak bawa duit. Entahlah.
Entahlah, aku bukan marah cuma aku pelik. Macam mana kau jadi anak, kau dah kahwin, kau dah ada anak tapi masih semua emak?? Serius aku tak faham. Nak salahkan siapa??
Pada yang dah kahwin yang duduk dengan parents, sekarang bukan masa ibu ayah jaga kita lagi, kita yang kena jaga ibu ayah kita.
Janganlah kita buat mak atau ayah kita macam pembantu rumah atau pengasuh dekat rumah. Mak ayah makin tua, makin lama makin hilang kudrat, makin hilang nikmat dunia, bagilah dia ruang untuk gembira, untuk berehat, lapangkan fikiran. Puas dah dia penat besarkan kita.
Yang mak- mak pula, janganlah terlalu manjakan anak sangat sampai anak tak tahu nak bina hidup sendiri.
Jangan asyik nak cari salah menantu atau semua salahkan menantu sedangkan anak kita pun banyak yang kurang. Macam mana pun menantu tetap pasangan anak kita. Ahli keluarga kita.
Tu jelah nak luah, aku nak cakap lebih-lebih dengan mak mertua aku macam mana pun dia tetap akan menangkan anak dia. Jadi aku biar dan tengok sahaja.
Cuma aku berdoa supaya mak mertua aku sihat selalu. Aku harap juga satu hari nanti kalau mak mertua aku dah tak mampu lagi, anak-anak dia yang dia sayang sangat boleh jaga dia dengan baik.
– Menantu bukan hantu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit