Nak Travel Punya Pasal

Aku melihat cikgu Hakim mundar-mandir di kawasan agihan makanan RMT. Dalam hatiku berbisik “bila la mamat ni nak berubah”. “Kesemua murid RMT hadir hari ni” dengan sengaja aku berkata dengan sedikit kuat agar didengari beliau.

Perkara ini bermaksud beliau terpaksa juga mengeluarkan duit sendiri untuk membeli alas perut pada hari ini. Matanya melirik ke arah makanan aku dan cikgu Jaq selaku guru bertugas pada hari ini. Kami berdua buat-buat tak tahu. Sengaja mahu mengajar beliau untuk meletakkan maruahnya tinggi sedikit berbanding selalu.

“Tiada benda yang percuma. Kalau tiap-tiap hari mengharap makanan percuma, memang tidak ada urat malu cikgu Hakim ni!” Sambil cikgu Jaq menyiku aku.

Sebenarnya, seorang guru bertugas wajib merasa makanan RMT 30 minit sebelum waktu rehat bermula. Namun kerana kekangan tugas seperti perlu mengajar pada jam 9 hingga 10 pagi, jadi agak mustahil untuk kami melaksanakan tugas itu setiap masa.

Sekembalinya kami berdua ke pantri, sengaja kami berdua meletakkan makanan tersebut di atas meja sambil meneguk segelas kopi dan menjamah seri muka segigit dua. Matanya liar memerhatikan makanan di dalam bekas. Beberapa kali beliau seperti ingin bertanya tapi seperti tak terluah mungkin rasa segan di depan orang lain.

“Melancong ke Korea dan Jepun mampu, takkan nasi lemak sebungkus RM1 pun tak mampu dan masih nak harapkan makanan RMT” bisik kami berdua setelah beliau hilang dari pandangan. Memang kami sengaja mengajar beliau agar tidak hanya mengharapkan sesuatu yang percuma setiap hari.

Lazimnya, rakan-rakan guru lain akan menawarkan makanan untuk guru bertugas kepada beliau kerana sikapnya yang seperti insan kebuluran ketika waktu rehat.

“Dia memang macam tu! Rumah 2 buah. Kereta 2 buah. Melancong tiap-tiap tahun, pergi Korea, Japan. Dengar kata sekarang kumpul duit nak pergi Taiwan aku dengar!” bentak Joseph kepada kami.

“Nak berjimat pun, agak-agak la bro. Jangan sampai menjual maruah diri dan menyusahkan orang lain!” Kataku pula kepada rakan-rakan lain. Begitulah sikap cikgu Hakim.

Merokok pun “pau” rokok kawan. Macam-macam alasan. Lupa beli lah, tertinggal lah. Rakan-rakan “seperokokan” nya masak benar dengan seribu alasan beliau.

Individu sebegini dalam mana-mana jabatan pun ada sebenarnya. Sektor awam mahupun swasta. Ke sana dan ke sini menjual muka temboknya ibarat insan yang tiada maruah. Pantang ada makan percuma, dialah yang paling depan.

Makan pula ibarat tak ingat dunia. Macam tiada hari esok! Lauk menimbun macam gunung Kinabalu! Semuanya kerana nak menyimpan duit agar dapat terbang ke seluruh pelusuk dunia.

Benarlah apa yang orang katanya. Melancong dan mengembara adalah suatu yang mengasyikkan. Kadangkala seperti kecanduan kepada sesiapa yang terlibat dengannya!

Kami semua setuju bahawa cikgu Hakim perlu diajar. Dengan cara yang berhemah. Risau juga, bila ditegur depan-depan, kita pula yang jadi orang yang paling jahat mulut di alam semesta! Jadi, apa caranya?

– Sang Arjuna Nestapa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *