Assalamualaikum semua. Aku terbaca confession bertajuk “Dayuskah Abah Aku” dan aku terpanggil nak kongsi sesuatu yang aku rasa related. Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/dayuskah-abah-aku/).
Ini kisah aku. Aku Bunga, sudah berkahwin. Aku namakan suamiku Hero. Kami dah kahwin lebih dari 10 tahun. Kami datang dari latar belakang keluarga yang berbeza. Keluarga Hero sangat moden, tinggal di bandar besar dan kurang tekankan soal agama. Manakala keluarga aku sebaliknya. Cukup serba sikit pengenalan sebab bukan tu yang aku nak cerita.
Aku dapat kerja lepas dah kahwin dan tinggal bersama keluarga Hero. Hero masa tu dah ada perniagaan kecil-kecilan. Rezeki aku, aku cepat naik pangkat dan naik gaji. Aku beli kereta pertama aku. Takde lagi pegi keje Hero hantar atau bapak mertua aku hantar.
Oh, duduk dengan keluarga Hero ni bukan takde masalah, cuma aku malas fikir. Hinggalah sampai satu masa tu terjadi pergaduhan besar kami. Puncanya Hero bagi adik dia pinjam kereta baru aku. Masa tu terkeluar semua yang terbuku dalam hati aku.
Masa tu tahun kedua kami kawen. Aku ungkit Hero tak bagi aku duit nafkah. Nak belikan aku kereta pun tak mampu, tapi berani pinjamkan kereta aku kat adik dia. Pakai harta mak bapak. Bisnes dia dah bertahun macam tu jugak takde kemajuan.
Macam2 lagi aku cakap sampai Hero keluar tinggalkan aku terkulat2 dalam bilik. Aku menangis. Aku ingat mungkin lepas tu aku jadi janda. Mungkin Hero akan benci aku sebab mulut jahat aku.
Amazingly, esoknya seperti hari baru buat kami. Aku mintak maaf dengan Hero sebab aku tahu aku tak patut cakap camtu. Hero pun mintak maaf kat aku sebab tak mampu nak bagi duit kat aku. Kami nangis bersama-sama. Hero usahakan cari rumah sewa untuk kami berdikari. Aku nampak usaha dia cari duit nak bahagiakan aku.
Masa berlalu.. Gaji aku dah cecah 5 angka.. Manakala Hero masih macam tu. Kadang-kadang ada duit, kadang-kadang takde duit. Bukan dia malas kerja, malah dia kerja lagi kuat dari aku. Ada masa dia down sangat. Dia cakap, dia dah usaha macam2, tapi kenapa tak senang macam orang lain.
Nak beli barang untuk diri sendiri pun berkira-kira sebab selalunya duit habis untuk perbelanjaan rumah. Tu pun kadang-kadang aku topupkan. Dia jadi tak gembira. Dia takut susahkan aku. Berkali-kali dia mintak maaf sebab dia tak banyak duit macam suami orang lain. Aku pun kadang-kadang cemburu tengok kawan-kawan dapat hadiah macam2 dari suami masing2.
Satu hari, aku terdengar satu ceramah pasal rezeki. Salah satu yang aku ingat ialah kadang-kadang Allah turunkan rezeki suami melalui isteri. Isteri pegi kerja atas redha suami, maka rezekinya murah mencurah-curah.
Aku ingat balik.. Hero tak pernah bising kalau aku sibuk kerja. Kadang-kadang dia temankan aku buat kerja. Kadang-kadang dia siap basuhkan baju, kemas rumah bila aku letih. Tak pernah dia mintak aku masak yang bukan2. Hero tak cerewet. Saat tu seperti tertampar pipi aku. Aku dan duit aku, aku rasa tu duit aku hasil penat lelah aku. Padahal, itulah rezeki kami bersama.
Sejak tu, aku tak pernah miss kongsi duit bonus aku dengan Hero. Aku dah tak harapkan apa-apa lagi. Aku tengok orang share apa2 kat media social pun aku cuma rasa happy untuk diorang. Takde dah rasa sedih ke apa. Kalau aku nak, aku boleh beli sendiri.
Tapi bila dah selalu bagi duit kat Hero, dia pulak yang terasa. Lalu aku buat 1 keputusan besar dalam hidup aku untuk berhenti kerja dan jadi suri hati Hero sepenuh masa. Hero terasa sangat Hero bila dia dah berjaya tanggung aku.. Haha..
Ya, banyak keinginan aku yang terpaksa aku korbankan. Aku belajar hidup semampunya kami. Ada masa makan nasik dengan telur je. Tapi aku ok. Aku dah sedar yang hidup ni bukan la satu perlumbaan dengan orang lain. Yang aku doakan ialah Hero sihat, jadi suami yang soleh, ditambah2 rezekinya, sayang aku sampai mati.
Ulang2 aku doakan Hero. Hasilnya, hidup kami semakin tenang. Kadang2 Hero surprise kan aku dengan bunga. Kadang2 datang angin dia, bagi aku nota cinta.. Haha.. Alhamdulillah.. Aku bahagia sampai saat ini..semoga sampai bila-bila..
Kami tak kaya, tak banyak harta benda, tapi Allah rezekikan kami dengan rasa tenang. Banyak yang kami tak ada tapi orang lain ada. Contohnya anak. Tapi biarlah kami bahagia dengan cara kami.. Doakan kami dan kami doakan kamu semua.
At the end of the day, it’s not always about money. Be happy, sebab hidup ni tak lama. Boleh jadi hari ni kita jumpa, esok dah tak ada. Semoga kisah aku yang sedikit ni boleh bagi semangat kat orang lain. Jangan cepat judge orang. Jom doakan yang baik-baik. Sekian.
– Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit