Nampak

Salam.

Hai nama aku Piya H. Memang nama glamour aku Piya. First of all, aku nak bagi tahu yang aku bukan pelajar IIUM. Yelah mana tahu lepas baca kisah aku ni ada pula yang salah faham. Kisah yang aku ingin ceritakan ni tersangatlah klishe tapi aku cuba buat kisah ni jadi lebih menarik insha Allah. Baca tajuk pun mesti semua dah boleh agak, kan?Tapi banyak-banyak cerita seangkatan dengan kisah aku ni, tak boleh lawan dengan kisah ‘Nampak’ aku. Kisah aku ni bukanlah rekaan, itu sebab aku nak kongsi supaya anda semua tahu pengalaman sebenar aku dan mungkin sesetengah orang mengalami benda yang sama dengan aku juga akan berasa benda yang sama.

Aku bukan nak cakap yang aku ada supernatural punya kuasa, tapi memang dianugerahkan boleh merasai sesuatu yang ganjil di sekeliling aku dan benda tu memang ada kalau aku dapat rasa. Dan kau jangan ingat bulan puasa pun tak ada benda-benda ganjil ni. Pada bulan puasa kebiasaanya benda-benda ganjil ni kadang-kadang selalu memperingatkan aku. Memperingatkan macam mana tu? Meh sini nak cerita.

Senang cerita, benda ganjil ni tu sebenarnya makhluk ghaib ataupun Jin. Aku pun kadang-kadang rasa pelik, macam mana sesetengah orang boleh nampak mereka walhal dalam surah Al-A’raf Ayat 27 ada menerangkan ,“Sesungguhnya ia (Jin) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka.” kepada pembaca yang membaca kisah aku ni, aku nak bukti sebab apa sesetengah kita ni boleh nampak si makhluk-makhluk tu. Anyone?

Ok, berbalik kisah yang aku nak ceritakan. Cerita tentang kelebihan aku merasai dan ‘nampak’. Sebenarnya keluarga sebelah mak aku ni mistik-mistik sikit. Atuk aku dari muda dulu suka mengubatkan orang tetapi bukan yang bomoh sihir tu. Just bagi air botol yang dah dibacakan sesuatu kepada pesakit yang datang. Ayat Al-quran lah kot yang dibaca tu, wallahualam. Tapi sekarang dia dah tak mengubatkan orang selepas kejadian dia jatuh dalam kebun. Kejadian tu pun ada berkaitan dengan kisah mistik. Malam sebelum dia pergi ke kebun, dia ada bermimpi seseorang menyuruhnya ambil batu yang berbentuk leper dalam kebun. Jadi keesokan harinya, dia pergi mencari batu tu dan MEMANG ADA! sebiji dalam mimpi atuk aku cakap. Then, dalam perjalanan pulang, dia bawa batu tu bersama-sama. Elok dia berjalan, tiba-tiba kaki dia tersadung akar pokok dan jatuh. Atuk aku kata dia jatuh sikit tapi…tak boleh bangun. Selepas kejadian tu, atuk aku selalu sakit-sakit dan kakinya bengkak teruk. Tak tahu sebab apa.

Dari tadi aku kata nak cerita kisah aku tapi tak sampai-sampai. Sorry, hehe. Ok aku nak cerita kisah aku dalam puasa ni. Haritu, aku baru pulang dari kampus aku ke rumah. Almaklumlah, cuti ulangkaji. Jadinya untuk puasa pertama, aku puasa di rumah. Nak dijadikan cerita, aku ni selalu tidur lewat, dalam pukul 1-3 pagi. Lewat lah tu, kan? Lepas solat terawih di surau, aku rehatkan badan sekejap. Biasa lah, muda-mudi layan media sosial. Hanya aku seorang di ruangan tengok tv. Begini, rumah aku ni dua tingkat. Ruangan tengok tv di tengah antara dapur dan ruang tamu. tingkat bawah ada satu bilik belajar dan tingkat atas semua bilik tidur.

Jam pada masa tu pukul 12 lebih, kiranya tidaklah seram mana kalau stay up late, kan? Lagi-lagi bulan puasa. Tapi masa tu suasana lain macam beb. Bulu tengkuk aku meremang tiba-tiba. Kalau tengkuk aku dah meremang, tu tandanya ada ‘sesuatu’. Aku ada baca satu artikel ni, dia ada kata dari sudut sains, hantu atau jin alah kepada cecair gas nitrogen, ais, garam mentah, oksigen, cahaya, karbon dioksida, frekuensi kurang satu Hertz dan wangian. Amboi, dia punya compounds dalam tu. Tapi logik juga, semua benda tu bahan aktif dan menurut al-quran, Jin ni berasal dari api. Dalam artikel tu pun dia ada kata, zikir adalah cara terbaik untuk mengatasinya sebab gelombang zikir akan menguasai ruang kosong pada tubuh manusia dan menjadikannya ‘pejal’ menyebabkan tak ada lagi ruang untuk dimasuki gelombang asing seperti hantu atau jin. Insha Allah betul.

Baik lah, sambung cerita aku bersendirian di ruangan tengok tv dan ada rasa ‘something’. tu Dalam keadaan keheningan malam yang semua orang dah tidur, tinggal aku je seorang, tiba-tiba ada bunyi benda jatuh dekat dapur. Klishe, kan? Aku nak lah jugak tengok ada apa dekat dapur. tikus ke? Tapi niat aku terhenti memandangkan gelap yang amat dekat dapur tu. Aku pun buat tak tahu, sambung layan media sosial. Tengah aku syok layan, tiba-tiba bunyi guli pula dekat bahagian tangga. Dan bahagian tangga tu dekat sangat dengan tempat aku duduk masa tu. Yang ni betul-betul aku buat tak tahu sebab orang cakap tu adalah fenomena ‘Water Hammer’. Tapi benda tu berulang-ulang kali tak berhenti. Mungkin kritikal punya water hammer kot, aku fikir. Tiba-tiba bunyi benda jatuh lagi dekat dapur. Dah lain dah ni.

Ok aku nak bagitahu yang cerita water hammer ni, berlaku waktu malam sahaja. Pelik, memang orang selalu tutup air tiba-tiba pada waktu malam sahaja ke? Lepas bunyi barang jatuh dekat dapur, aku terus rasa nak naik tapi ada something lagi yang lagi pelik. Bunyi pensel berguling-guling dekat tangga. Bunyi dia sangat jelas, sejelas-jelasnya bunyi pensel. Nak dijadikan cerita, memang tak ada sesiapa pun yang main pensel. Tapi…aku ada nampak ‘something’ yang duduk tak jauh sebelah kanan aku. Aku pun patahkan niat aku nak bersosial media terus aku matikan lampu tingkat bawah dan naik atas tidur. Aku berpendapat bahawa benda ni bukan nak menakut-nakutkan aku tapi cuba memperingatkan aku supaya jangan tidur lewat sangat sebab esok nak sahur. Baik betul benda tu. Tak pasal memang aku tidur awal kalau balik rumah.

Kisah kedua, kisah aku sebelum berpuasa. Yang ni ekstrem sikit sebab bukan bulan puasa kan? hehe. Bermula aku duduk di kawasan rumah yang berdekatan dengan kampus aku. Ceritanya, aku tak dapat duduk hostel tapi duduk luar hostel iaitu di kawasan perumahan yang rata-ratanya mahasiswi sekampus. Jadi, kawasan perumahan tu meriah dengan pelajar-pelajar kampus aku. Rumah yang aku duduk tu sangat strategik dan memang rumah yang diidamkan oleh semua mahasiswi kampus aku sebab dekat dengan kampus dan senang nak beli makanan. Walaupun begitu… ada sesuatu yang tak pernah diketahui oleh rakan-rakan serumah aku. Dah dijangka, kan? ada sesuatu yang aku nampak.

Pada suatu malam, aku tidur awal dalam pukul 11 malam macam tu. Nyenyak dan lena. Yang tiba-tiba mengganggu, aku termimpi ‘hantu’ yang berbaju putih lusuh dan wajahnya dututupi rambut sebab rambutnya yang kusut tu panjang duduk sebelah aku. Dalam mimpi tu, aku duduk dalam kereta. Aku rasa mimpi aku ni macam lawak pun ada sebab sepatutnya aku letak bagasi aku dekat sebelah tapi lain pula jadinya. Dalam takut-takut tu, aku tersedar dari mimpi. Fuh, lega. Tetapi..alangkah terkejutnya aku benda tu ada tercegat depan aku! katil aku menghadap pintu dan aku memang tidur menhadap pintu. Yang aku tak boleh tahan, benda tu berdiri dekat pintu. Aku tak boleh berbuat apa-apa selain tidur balik dan pejam mata balik sambung tidur. Esok paginya aku tak cerita pun dengan housemates aku sebab takut sebab aku mereka tak boleh tidur.

Tapi aku tak boleh tahan, aku cerita juga dekat rakan sebilik aku. Esok malamnya dia tidur dengan al-quran letak sebelah. Kahkah.

Yang cerita di rumah tu baru satu. Aku nak cerita lagi tapi tak apa lah. Belum cerita lagi ada seorang housemate aku pun kena. Dia punya lah berani tidur seorang diri dalam rumah tu dan semua penghuni rumah tu belum balik kampus. Masa tu lepas cuti semester, memang orang semua bantai cuti tapi kawan aku tu berani pula balik awal. Dia yang tak pernah kena, tiba-tiba kena. Dia sejenis yang tak percaya sangat benda-benda macam ni tapi lepas jadi benda tu dekat dia, baru lah tergadah. Cerita dia begini. Malam dalam pukul 2 pagi, kawan aku tu memang tidur lena tapi tidur dia tu terganggu dengan gegaran kuat katil dia. Dalam bilik tu sebenarnya double decker punya katil dan dia punya katil tu bahagian atas. Cuba bayangkan tiada siapa pun tidur katil bawah tapi macam ada orang goyangkan katil dia dengan kuat. Dia pun apa lagi, jenguk lah. Tak ada apa pun. Ironinya, lepas dia bangun dan jenguk katil tu dah tak bergoyang. Jadi, dia sambung tidur. Lepas dia sambung tidur, katil tu bergoyang lagi. Kuat. Dia bagun dan turun tetapi tak ada apa-apa. Kawan aku tu pun dah rasa seram, dia buka lampu dan pintu bilik luas-luas sambung tidur. Benda tu still nak goyang-goyang bila dia sambung tidur. Tapi nak buat macam mana, dia buat tak tahu dan tidur sampai lah pagi.

Aku banyak lagi cerita mistik ni yang aku boleh ‘nampak’ tapi ok ni last aku nak cerita. Kisah malam aku terganggu. Benda ni memang suka dekat tempat gelap-gelap ke? Malam tu aku tidur dengan mak aku sebab ayah aku kerja malam. Aku tersedar dari tidur sebab aku rasa macam jari kaki aku kena tarik. aku pandang kaki aku. Nak tahu apa aku nampak? Benda tu dengan rambut panjang tutup muka, laju gila dia menyorok lepas nampak aku tersedar. Dia ingat main-main ke apa? aku pun bangun dan jenguk bawah katil. Bila tengok, nampak bantal aku jatuh kat bawah. Secara logik, bantal tu tak akan jatuh betentangan dengan posisi kepala aku. Senang cerita, bantal aku tu jatuh dekat hujung katil menghala kaki aku. Pelik, kan? kenapa benda ni suka main-main waktu kita tidur? dulu lagi dahsyat, selimut selalu kena tarik dan peha lebam-lebam. Aku selalu syak orang hantar sihir kat aku tapi mustahil lah sebab apa dia nak hantar sihir, kan?

Tiba-tiba aku teringat kisah keluarga sebelah mak aku. Ada seorang makcik aku ada kelebihan melihat benda-benda tu bila hari dia turun darah (datang haid). Mak aku pula, selalu mengigau tengah malam dengan baca ayat-ayat suci dengan menjerit tanpa dia sedar. Aku tak bangga dengan kelebihan aku ni, kalau ikutkan hati aku nak hidup normal macam orang lain. Tapi aku selalu ada rasa tertanya-tanya dengan ilmu atuk aku. Pernah sekali tu aku selongkar barang dekat kampung sebab nak tahu sangat. Rumah kampung aku sangat luas, banyak ruang dan banyak bilik. Aku sangat tertarik dengan bilik hujung sekali, tempat tidur atuk aku dulu-dulu tapi sekarang jadi tempat tidur family aku bila balik kampung. Adakah itu sebabnya aku boleh dapat keistimewaan ini? Bilik tu atuk aku simpan macam-macam benda masa dia sihat dan still ubatkan orang. Pernah sekali aku buka almari kecil dalam bilik tu dan aku nampak kain-kain kuning dan benda-benda pelik lain yang aku tak tahu apa. Keris-keris tergantung dengan kain kuning tapi semua benda tu sekarang dah buang lepas atuk aku sakit. Ada satu yang menarik perhatian aku, suatu hari aku selongkar laci bilik tu (masa tu atuk aku dah tak ubatkan orang). Aku tak tahu kenapa aku jenis yang tertanya-tanya. Kadang-kadang merimaskan. Nak tahu apa yang aku nampak? Pistol klasik yang lapuk gila. Aku belek-belek pistol tu, nampak cantik dan klasik. Masa tu time raya. Memang semua sibuk dekat bawah (bilik tu dekat atas : bayangkan rumah kampung). Aku pun simpan dengan harapan aku nak tengok balik lepas puas beraya. Malam hari tu aku kembali menyelongkar mencari pistol tu, memang aku belek-belek je sebab macam berminat. Tiba-tiba sepupu aku nak masuk bilik terus aku simpan pistol tu. Kacau betul. Hilang rasa teruja hari tu. Dan esoknya aku buka lagi laci tu nak cari pistol tu. Alangkah terkejutnya aku, pistol tu dah tak ada! siapa yang ambil? siapa yang tahu aku nampak?

Cerita aku ni sebenarnya tiada pengakhiran tapi aku nak tamatkan sampai sini. Aku tahu ramai di luar sana boleh ‘nampak’ macam aku. Tapi benda ni selalu memusykilkan aku. Dalam al-Quran ada menyuruh kita beriman dengan alam ghaib dan mesti percaya dengan kewujudannya. Tetapi beriman dengan alam ghaib yang dimaksudkan adalah beriman kepada Allah, Malaikat-Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, Hari Akhir, Syurga dan Neraka, hari kebangkitan. Semua tu alam ghaib. Dalam al-Quran juga ada menceritakan kita tak boleh melihat jin dan syaitan dengan mata kasar. Jadi apa yang aku nampak? adakah aku tertinggal sesuatu yang aku tak tahu sebenarnya benda-benda ni boleh dilihat? Wallahualam.

– Piya H

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit