Musim PKP ni bila dah tak boleh SALAM bila berjumpa, aku nak share kisah SALAM dan aku.
Apa benda pertama yang korang buat bila bertemu orang tuamu? Ya tentu sekali bagi salam dan BERSALAMAN bukan? Kenapa aku besarkan perkataan tersebut, sebab nampak remeh tapi sukar bagi aku.
YA… aku tidak pernah bersalam dengan kedua ibu bapa bila berjumpa ataupun ketika berpisah.
Seingat aku kali terakhir aku bersalam dengan ayah aku pada tahun 2010. Aku boleh ingat sebab benda lama-lama sekali terjadi dalam hidup aku.
Kami adik beradik bila masuk rumah pon main redah ja, tak bagi salam dan tak bagitahu pon orang tua bila keluar nak ke mana-mana.
Kenapa semua ni berlaku? sebab aku bergaduh dengan ibu bapa aku? tidak tidak tidak…
Semua ni berlaku sebab aku tidak dididik secara berterusan untuk bersalam dengan orang tua ku sejak kecil. Tapi bila berjumpa dengan orang lain, aku dan adik beradik disuruh untuk bersalam. Pelikkan?
Kini aku dah berumur 34 tahun. Dah berkeluarga dan tinggal jauh dari ibu bapa ku.
Setiap kali balik kampung, hanya isteri sahaja yang bersalam dengan orang tua ku. Aku balik kampung pun dalam 4 hingga 5 bulan sekali. Tak tahulah isteri perasan atau tak yang aku tak pernah bersalam dengan orang tua ku semasa berjumpa dan berpisah.
Aku pernah cuba untuk salam, tapi rasa segan tu sangat menebal. Serius, tak tahu nak explain. Masa hari raya pon kami tak pernah beratur bersalaman mintak maaf macam orang lain.
Dalam keluarga aku tiada istilah “simpan untuk orang belakang”. Apa sahaja makanan yang ada habiskan sahaja. Kalau orang belakang sempat, sempatlah. Ayah selalu kata makan sahaja, kalau habis nanti buat lain.
Kami bukan jenis sekeluarga makan bersama. Jadi aku jadi kekok bila mula-mula berkahwin dulu, di rumah mertua perlu tunggu untuk makan bersama-sama. Kena tunggu semua dah ada, baru mula makan.
Aku jadi nak marah bila lama sangat tunggu, start kereta pergi makan kat kedai mamak. Tapi lama-lama dah dapat biasakan diri. Rupanya besar kesannya duduk makan bersama.
Hikmah dapat isteri yang perangai berbeza dari aku. Allah hadirkan isteri dan keluarga mertua untuk mengajar aku rupanya. Jadi jangan la syok sangat bila pasangan perangai sebijik macam kita masa berkenalan.
Kemudian, aku tidak pernah diajar untuk sambut hari jadi pada setiap tahun. Kali terakhir hari jadi aku disambut seingat aku 25 tahun dulu. Jiran aku tolong masak bihun goreng. Tu pon aku ingat sebab jarang berlaku.
Bila dah berkahwin ni, isteri aku tiap-tiap tahun nak sambut hari jadi anak aku.
Aku mula-mula marah jugak, membazir nak sambut buat apa. Pernah bergaduh jugaklah pasal sambut besday anak. Ada sekali tu sambut besday anak di kedai fastfood, bil sampai 2k. Aku memang angin masa tu.
Tiap kali besday aku, isteri akan bagi hadiah dan beli kek, aku kekok gila. Tapi kalau difikirkan balik, entah sempat atau tidak nak sambut lagi besday kita dan orang sekeliling kita tahun depan kalau umur tak panjang.
Apa yang aku perasan, apa yang aku ucap harini bila tengah marah, sama macam apa yang ayah aku cakap masa aku kecil. Betul ibu aku selalu cakap kat ayah aku dulu, “jangan cakap macam tu, nanti anak-anak ingat”.
Sungguh, walaupun dah berlaku lebih 30 tahun, kesannya sampai kehari ini mempengaruhi tingkah laku aku tanpa aku sedar.
Ibu suka ziarah rumah saudara, tapi ayah pula lebih suka utamakan kawan-kawan dari berjumpa saudara mara. Hari raya pon diam, lebih suka duduk rumah ja.
Bab ni aku syukur sangat kedua-duanya aku ada. Aku suka melawat rumah saudara dan dalam masa yang sama suka lepak dengan kawan-kawan.
Didiklah anak-anak kita seawal yang mungkin secara berterusan walaupun benda tu nampak remeh kalau taknak anak tu jadi macam aku bila dah besar nanti.
Kali terakhir aku balik kampung di utara, penghujung bulan 1 haritu. Dan sebab PKP ni rasa sangat lah rindu nak balik kampung.
Aku nak balik selama yang mungkin bila PKP dah tamat. Cuma korang doakan aku balik kampung kali ni dapat bersalam cium tangan dengan kedua ibu bapa aku. Aku dah cuba nak buat masa balik haritu, tapi gagal. Sebaknya rasa.
Remeh ja kan?
– Arbaie Bujang Kembali (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit