Narcissistic Ke Dia?

Sebagai pengenalan, saya seorang isteri yang bekerja, tinggal bersama suami dan tiga orang anak yang masih kecil. Kami telah berkahwin hampir 13 tahun.

Kenapa anak masih kecil? Sebab kami menunggu lama untuk mendapatkan anak yang sulung. Rezeki untuk dapat anak tu lambat sikit.

Pada awal perkahwinan aku rasa kehidupan rumahtangga masih boleh lagi dikatakan normal. Bila dah bernikah baru aku tau dia ni panas baran rupanya.

Awal perkahwinan juga kami PJJ. Dia di sana aku di sini. Di mana? Biarlah rahsia.

Pernah satu hari di bulan Ramadan, aku tak ingat apa puncanya. Masa tu dah pukul 6 lebih. Aku berada di rumah parents aku. Dia di sana.

Hanya tinggal lebih kurang untuk waktu berbuka puasa. Dengan tak semena-mena dia suruh aku balik ke rumah sewa aku waktu tu jugak.

Rumah parents dengan rumah sewa aku ambik masa sejam lebih pemanduan jugak.

Padahal pada masa tersebut dia jauh di sana. Dengan tebal muka, aku cakap dengan parents aku yang aku terpaksa balik sekarang jugak.

Mesti pelik kan orang tua aku takde angin takde ribut tiba-tiba balik. Ribut tu hanya aku yang rasa. Mujurlah masa tu masih belum ada anak.

Sampai sekarang aku masih tertanya kenapa dia suruh aku balik.

Lima tahun pertama usia perkahwinan, macam-macam aku lalui.

Aku pernah disepak, dibaling dengan kipas meja (mujur sempat elak), dijerit di khalayak ramai, ditampar, pernah juga dia tinggalkan aku di tepi jalan.

Aku tak tau apa yang buat aku bertahan masa tu. Patutnya masa ni lah aku lepaskan diri, belum lagi ada anak.

Alhamdulillah kami dikurniakan rezeki anak selepas lima tahun usia perkahwinan.

Sejak kehadiran anak pertama dia tidak lagi memukul aku. Tapi kata kesat masih aku terima. Dia bukanlah suami yang boleh aku berkongsi semua cerita. Dia sakit hati bila tengok aku sedih.

Perempuan kan, normal beremosi. Dia tak pernah memujuk, menenangkan emosi aku.

Bila berlaku pergaduhan antara kami, akulah yang meminta maaf. Gurau senda pun tak ada. Dia tak pernah memeluk mesra aku. Dia hanya mendekati aku bila dia berkemahuan yang itu.

Keluarga aku tau bagaimana dia dengan aku. Adik-adik aku sedia maklum dengan perangai suami.

Aku selalu berasa malu dengan perangai suami aku. Dengan kawan-kawan dia seorang yang suka berjenaka, suka membantu tapi dengan aku tak sebegitu.

Hal yang melibatkan keluarga aku menjadi kebencian bagi dia.

Dari awal dia selalu cakap aku ni melebihkan keluarga aku, lebih mendengar cakap ayah aku berbanding dia. Aku selalu tertanya apa yang aku lebih utamakan keluarga.

Tak faham. Hubungan dia dengan ipar-iparnya sangat teruk. Dia selalu cakap orang ni tak betul, dia ni sombong, semuanya orang tak kena.

Dia tak sedar orang tengok muka dia pun orang takut nak tegur.

Dia bersikap begitu dengan ibu bapa, adik-adik, iparku sahaja. Dengan ibu saudara, bapa saudara, nenek dan lain-lain dia boleh berbual, bergurau.

Jadi konflik yang besar dalam diri aku. Aku tak faham kenapa semua ni berlaku. Sehingga sekarang dia masih memusuhi keluarga aku.

Bila aku meminta izin untuk pergi ke rumah parents aku terus berubah muka dia. Soalan wajib dia, nak buat apa pegi sana. Rumah yang kami diami tak jauh dengan rumah parents aku.

Bila adik-adik aku balik ke rumah parents aku, mood dia terus berubah. Muka dia jadi tegang, masam. Dia tak suka aku pergi ke rumah parents aku.

Dia kata aku terhegeh-hegeh jumpa adik aku. Biarlah mereka yang pergi ke rumah kita ni.

Masalahnya adik-adik aku takut nak bertandang ke rumah kami. Malas nak pandang muka dia yang tak mesra langsung tu.

Banyak kali dah dia sebut nak ceraikan aku. Aku yang banyak kali menghalang. Aku kasihankan anak-anak. Mereka masih kecil. Aku tak sanggup kalau mereka membesar tanpa ayah mereka.

Banyak kali juga sebenarnya kami bergaduh besar. Kerana anak-anak aku masih bertahan.

Pernah aku menangis, mengadu dengan ibu mertuaku. Masa tu usia perkahwinan dah tujuh tahun. Tau apa ibu mertuaku cakap? Kenapa sekarang baru bagitau?

Tak kanlah dia (suami aku) buat aku macam tu! Mereka tak percaya. Padahal selama ni aku cuma bertahan, tak ceritakan pada keluarga dia.

Menyesal aku bercerita. Tak membantu rupanya. Aku pula dituduh buat cerita. Anak dia tak macam tu katanya.

Persoalan aku, apa yang aku buat ni salah ke? Tak normal ke? Salah ke seorang anak nak pergi ke rumah ibu bapanya?

Salah ke kalau nak berkumpul dengan adik-beradik? Apa yang trigger sangat kemarahan dia bila aku sebut pasal adik-beradik, parents aku?

Kadang-kadang aku tak mintak izin dia pun untuk pergi rumah parents aku. Tapi tu lah, sepulangnya aku terimalah untuk tengok muka ketat dia, terima cakap-cakapnya nak bercerai sebab katanya aku degil.

Tak dengar larangannya untuk tak pergi ke rumah kelaurga aku. Patutkah aku teruskan perkahwinan ni? Aku boleh terima kalau dia nak marah sebab aku nak berjumpa kawan-kawan ke apa.

Ni aku keluar hanya untuk jumpa keluarga aku je, darah daging aku. Aku takde masalah dengan adik-beradik, ipar suami. Tapi suami aku?

Semua orang bermasalah bagi dia, termasuk parents aku. Tolong aku buka mata. Jalan mana harus aku pilih.

– Amanda (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *