Narcissistic Mother II

Untuk part I, (https://iiumc.com/narcissistic-mother/).

Assalamualaikum dan terima kasih Admin IIUMC kerana siarkan confession aku untuk kali kedua. Aku tahu aku tak patut tulis confession kedua ini lagi memandangkan secara gambaran kasar aku dah ceritakan betapa toxic nya ibu dalam hidup aku.

Tujuan aku tulis confession ni aku cuma nak berterima kasih pada yang komen pada confession aku yang lepas, tak kurang jugak yang kritik aku seakan tak bersyukur dengan ibu yang dah banyak bekorban hidup dia untuk besarkan aku.

Aku cuba mencari kata-kata yang sesuai untuk tak mengguriskan hati sesiapa yang membaca. Aku tahu, ada yang dibesarkan dalam keadaan yang sama macam aku malah lebih teruk lagi dari keadaan keluarga aku.

Aku minta maaf pada pembaca yang senasib dengan aku, confession yang lalu aku tak letak trigger warning, mungkin sesetengah yang baca mengalami gangguan emosi disebabkan confession aku buatkan teringat kisah silam.

Dari confession yang lalu, secara jujurnya, aku bukanlah nak menagih simpati sesiapa untuk kesiankan aku ada ibu yang besarkan aku dengan cara kasar. Confession yang lalu itu aku tulis semata hanya untuk menenangkan hati yang berkecamuk.

Pada jam 2, 3 pagi aku tak mampu kejutkan kawan aku hanya untuk bercerita tentang flashback yang aku alami. Sebolehnya aku elak untuk bercerita pada yang kenal aku. Jadi aku tulis di platform ini.

At the end of the day, ibu tetap ibu kita. Dari di dalam rahim lagi Allah dah tulis kan taqdir yang tak akan berubah, iaitu taqdir kehidupan aku. Aku mengaku aku sedih ada ibu yang tak pernah hargai aku, tapi aku tak pernah terdetik di hati aku menyesal ada ibu yang macam tu.

Aku sayang ibu, dari kecik sampailah bila-bila aku sayang dia, walaupun susah perasaan tu untuk sampai pada dia. Pada aku, aku dah buat yang terbaik sebagai anak untuk tak derhaka dengan dia, tapi favourite words ibu pada aku tetap perkataan derhaka walau sedikit kesalahan aku.

Perkataan derhaka tu bagi aku berat. Ibu ucaplah banyak kali pun, setiap kali menerjah telinga, hati aku bagai disiat. Aku tak lawan, aku tak bertikam lidah, aku diam, pendam, hanya sebab dia ibu.

Ibu dalam agama, Islam nukilkan dengan penuh kelembutan. Ibu tu penuh dengan rasa kasih, ihsan, empati, kegirangan, penyeri segalanya. Aku tau aku tak patut bermimpi. Sampai aku mati pun aku tetap tak dapat apa aku impikan.

Bukan lah niat aku nak jadi Cinderellah yang menyanyi-nyanyi meratap kehidupan aku yang malang. Tapi orang yang hidup dalam keluarga yang sumbing, dia tahu apa itu erti kekosongan.

Aku sentiasa kalah dengan ayat “Syurga di bawah tapak kaki ibu”. Its too powerful to denied. Pada siapa pun aku bercerita, aku tak mampu argue tentang ayat itu.

Dari kecik ditanam dan diulang-ulang di telinga aku, kadang-kadang berbunyi bagai ugutan, kadang-kadang ia datang sebagai amaran. Cara penerimaan aku berbeza pada ayat itu. Aku rasa aku memang tak mampu dapat syurga atau apa-apa pun.

Aku ada rasa hopeless, dan tertanya-tanya jika ayat tu begitu senang dilontarkan dalam pelbagai nada, dan selalunya disulami dengan kekerasan emosi, aku tak rasa syurga itu indah lagi.

Aku rasa aku tak derhaka dengan ibu, tapi ibu derhaka kan aku, dan syurga itu bawah tapak kaki ibu, dan aku ni di mana tempatnya?

Ada yang komen tentang Jasa ibu. Bila cerita tentang jasa aku rasa tak tahu nak fikir apa. Ibu bertarung nyawa lahirkan setiap anak, masa tu anak yang dilahirkan dia sudah bayang masa depan anak. Penuh pengharapan, penuh keyakinan, penuh kasih sayang.

Bila anak dah besar, dan tak seperti apa yang dia jangka, mula lah terjadi favouratisme dalam keluarga aku. Kau pernah rasa unwanted? Aku pernah, hari-hari aku rasa benda sama.

Dari aku umur 10 tahun lagi aku dah rasa nak lari dari rumah, aku pernah suarakan pada ayah nak tinggal di asrama anak yatim, sebab aku dah tak tahan. Bila orang bercakap pada aku tentang jasa ibu, jujur fikiran aku kosong. Itu bukti aku anak yang jahat ke?

Aku pernah dengar ceramah yang mengatakan, anak walau macam mana pun dilayan ibu dan ayah jangan sesekali berkecil hati atau simpan dendam. Masa aku dengar ceramah tu aku tak mampu tahan sebak. Ada sesuatu yang mencengkam hati aku, susah untuk aku bernafas.

Situasi yang aku boleh bayangkan ketika dengar apa yang dikatakan itu seakan, ada tali yang melilit leher aku, dan aku berdiri di hujung batu. Dalam keadaan itu aku bertahan, bertahan untuk tak mati dalam durjana (dosa). Kau disakiti, dan kau tak layak rasa sakit itu sebab dia ibu.

Kau didera, berbirat badan dipukul dibaling, syaratnya kau jangan menangis, jangan rasa sedih, jangan rasa kecewa, jangan rasa sakit, kerana dia ibu, dia ayah. Segala perbuatan itu semua jangan disimpan dalam hati, walau parut libasan masih kekal di kaki dan tangan. Macam itu ke maksudnya?

Aku ni manusia… Aku ni manusia… Aku tak tahu reaksi apa yang perlu aku ada untuk lawan semua rasa yang kekal dengan aku. Sebab sakit tu tak hilang, sebab parut itu kekal, sebab kenangan itu tak pernah padam.

Aku umpama kan diri aku gelas yang pecah. Isi lah air sebanyak mana pun akan tiris. Tak banyak, sedikit, tapi yang sedikit itu lama-kelamaan air di dalam gelas semakin berkurangan. Aku jauh dari ibu tak semesti kesan emosi itu tak ada.

Sebanyak mana pun kebahagiaan aku cari, bila aku nampak kawan-kawan aku dengan keluarga diorang, aku rindu ibu. Bila aku nampak kawan-kawan yang senasib dengan aku move on dari keluarga masing-masing, aku rasa diorang kuat sangat.

Aku sedang cuba untuk biasakan diri. Dalam diri aku ada rasa bila aku rasa aku cuba lawan dari kebiasaan hidup aku, aku jadi berdebar-debar, sesak nafas, anxiety, takut kalau ibu marah tindakan aku, walau sebenarnya ibu tak ada pun dengan aku.

Dah jadi kebiasaan, otak aku seakan bagi amaran pada perbuatan yang selama ini ibu larang aku buat..

Walau sepanjang mana pun kisah perit kehidupan seseorang yang dari keluarga seperti aku, kita sebagai anak tiada pilihan. Ibu tetap ibu, paling mulia dalam Islam, berkat hidup seorang anak terletak pada dia & aku masih mencari-cari redha dalam kekeliruan perasaan.

Terima kasih semua. Aku banyak kekurangan, maaf kalau aku teremosi dalam bercerita.

– Es (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *