Nasi Bertukar Beras

Salam dan Hi semua..

Ada yang ingat lagi kisah Nasi Tomato? Saya tulis pada 2022.

Untuk part I, (https://iiumc.com/nasi-tomato/).

Untuk part II, (https://iiumc.com/nasi-tomato-ii/).

Buat pengetahuan semua, Tomato Man dah berkahwin. Saya secara tak sengaja ternampak gambar profile dia bertukar kepada gambar kahwin lengkap sepersalinan putih. Ala-ala gambar artis kahwin posing pakai busana Rizman Ruzaini.

Masa saya nampak tu, perasaan saya nak kata sedih tu tidaklah. Cuma saya rasa bersyukur dia berjumpa pasangan dia. Alhamdulillah. Bagaikan raja, cantik dan sepadan. Kalau dengan saya mungkin persis daun pandan.

Dua tahun berlalu..

Saya teruskan hidup seperti biasa.

Bila Bank Negara umum OPR naik lagi dan lagi, saya antara jutaan yang terkesan. Lama saya berfikir untuk hidup bebas hutang. Jadinya, saya putuskan untuk jual rumah. Pindah duduk dengan mak abah yang menua.

Lagipun, hampir setiap hari saya ulang-alik rumah abah, bergilir urus mak hantar pergi dialisis, check up klinik dan hospital. Mungkin, inilah jalan yang Allah lorongkan buat saya atas doa saya nak hidup tenang bebas hutang.

Saya tulis satu posting berkenaan jualan rumah. Tak lama tu saya terima pesanan mesej (PM) dari sahabat lama. Lama dah kami kenal tapi tak pernah berhubung. Kami kerja bidang yang sama.

Posting jual rumah, yang ditanya, “Berminat tak tentang ayam?”

Dah kenapa kau? Nak bela ikan laga pun saya rasa susah, lagikan bela ayam. Memang tak minatlah cerita dia. Saya ni tiada jiwa menternak. Dia nampak saya struggle hidup. Jadi, nak bantu saya. Saya menolak.

Disebabkan saya jual rumah, maka banyaklah barangan dalam rumah pun saya terpaksa jual. Saya buat iklan, dia pun PM saya. Saya letgo bidai-roller blind, yang ditanya bidai rotan. Yihhhh…

Dia ingat rumah saya Pusat Langsir Nilai, semua ada.

Sampailah, saya pergi training kerja kat KL. Saya tumpang rumah adik saya. Saya mintak adik saya hantar naik motor. Senang, boleh celah-celah, kurang jem, feeling-feeling Linda Martopo.

Teringat zaman belajar, adik bagi saya pakai motor sepanjang saya belajar. Dekat badan motor tu dilukisnya gambar bunga raya sebesor-besor tidak.

Budak-budak selalu ejek motor saya, Perarakan Motor Berhias. Tinggal letak bendera je. Siap suruh saya bawak motor berdiri, lompat-lompat masuk kat bulatan api. Ingat saya sarkis?

Jadinya, dek mengimbau kenangan tu, saya buat satu posting bergambar, gambar saya naik motor dengan adik.

Dengan lajunya dia PM saya.

“Siapa tu Tonah? Boyfriend kau ke?”

“Dengan adik aku lah giler.”

Dan bermula dari situlah…

Segala hasrat hati yang menggiler dinyatakan.

“Berani nak, jumpalah bapak.”

Dia tak beritahu nak datang. Tau-tau abah mesej, ada orang datang minang. Dahlah datang hari bekerja. Tak reti nak tunggu hari minggu. Betul-betul buat kerja.

Saya tanyalah siapa.

“Kajang Pak Malau.”

“Ha????”

“Orangnya hensem. Macam muka Nordin Ahmad.”

Siapa???

Setakat ni saya takde kawan muka klasik macam Nordin Ahmad. Yang muka awam ramai.

“Dia datang bawak beras. Beras mahal tu.”

Barulah abah sebut namanya.

Laaaa… Kemain kau lobi bapak guna beras ya. Terus dapat muka artis.

Satu hal yang saya suka tentang dia; rasa selesa.

Selesa dan sekufu.

Saya letak urusan hati saya pada Allah.

Entah mengapa… Tiada rasa gundah, takut-takut dan was-was. Dalam masa tak sampai 5 bulan, kami telah disatukan. Segala urusan betul-betul senang, tenang dan dipermudahkan.

Terasa indah bercinta selepas nikah.

Jika sebelum ni (perkahwinan lalu) saya selalu sorang-sorang. Dengan dia; dia jenis yang nak buat sama-sama. Solat, mengaji, cekkan bacaan tajwid. Buat pertama kalinya saya merasa hidup dibimbing, dididik dan dinafkahi.

Kalau saya masak, dia tolong saya sediakan bahan. Balik belanja, kami sama-sama sediakan stok barang masak, potong basuh ayam, siang sotong, udang. Saya basuh baju, dia keringkan baju. Dah lah cara kami melipat pun sama. Nak tergelak.

Saya kata, lipat kain ni masalah negara. Dia kata, bukan negara, ni masalah global. Lalu kami pun ketawa berdekah.

Alahaiiiii.. benda tak kelakar pun. Tapi nak ketawa jugak. Yang bodo-bodo je guraunya. Manjakali.

Tapi pun, perkahwinan ni kan memang banyaknya berborak. Bersembang. Dari sekecil-kecil hal.

Dia sentiasa bantu saya lalui hari murung-emosi saya. Faham tentang perihal mak saya. Paling penting, tidak menghakimi saya. Mak pun suka dia.

Mak mertua saya dah tua. Saya kelentang-kelentung di dapor, mak tak campur. Tak pernah komplen. Siap petikkan cili yang ditanam, sediakan bahan saya nak masak.

Baiknya mak, buat saya selalu tak sabar nak balik kampung. Mak yang boleh saya bercerita, ketawa-ketawa di meja dapor. Dapat saya tumpang kasih seorang mak.

Masa saya putuskan untuk jual rumah, terdetik juga kerisauan. Rupa-rupanya, Allah nak bagi saya rumah melalui dia. Tak lama kami bernikah, dia buat hibah ke atas nama saya.

“Aku taknak kau susah bila aku takda.”

Allah…

“Kau jangan cakap macam ni sebab kau nak mati ea…”

Dia ketawa, tapi airmata saya luncur laju.

“Kenapa kau nak kahwin dengan aku?”

“Sebab aku suka kau, nak tolong kau. Kau kasik aku tolong kau ya?”

Dia bukan setakat tolong saya, juga bagi harapan sebagai sosok ayah pada anak-anak saya.

Allah tunjukkan saya, ramai lelaki yang baik budi. Bukan kaki pukul tapi melindungi. Yang fitrahnya lelaki adalah memimpin. Mengepalai setiap sudut jalan hidup.

Jika sebelum ni, dia tanya dengan siapa saya naik motor. Sekarang ni, kami bikin romantis berdua naik motor. Walaupun sekadar ke Kedai Acheh, rasa bahagia tu sampai terkeluar bumi.

Begitulah takdir Ilahi. Ditemukan saya dengan orang yang saya kenali. Hanya bermula dengan satu postingan gambar naik motor bersama adik lelaki.

Jodoh ni sangat misteri kan?

Kalau dia itu jodoh kita, sesulit sejarak mana pun kita, Allah tetap pertemukan dua orang dengan caraNya. Allah yang akan tanamkan keyakinan, hadirkan rasa suka dan berikan rasa penerimaan.

Alhamdulillah. Allah pinjamkan rasa bahagia untuk saya sekarang.

Derita dulu yang saya lalui, pelangi sekarang yang saya nikmati.

Percayalah. Seberat-beratnya ujian, tak akan sebanding dengan nikmat yang Allah persiapkan. Doakan kami berjodohan hingga ke syurga ya.

Beras jati cap kapal layar.

Beras pilihan Tonah.

TAMAT…

– Fatonah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *