Nasi K4ngk4ng

Assalamualaikum warga IIUM Confession termasuklah para admin yang comel dan hensem. Ingat saya lagi tak?

Dahulu saya sering bercerita tentang kisah seram yang saya alami sendiri. Lama sungguh saya menyepikan diri dan kali ini terniat pula nak shared kisah ini. Semoga kisah ini akan menjadi pengajaran kepada kita semua.

Cerita ni dah lama, masa saya ikut dua orang jebon (Izham dan Hisyam) tu pergi berubat orang. Zaman lagha saya…

Satu pagi tu, Hisyam meminta saya dan Izham mengemas barang-barang untuk merawat pesakit.

Masa saya sedang menyusun barang-barang untuk dibawa ke rumah pesakit tiba-tiba saya ternampak satu bungkusan plastik yang berisi serbuk berwarna hitam.

“Apa tu?” Soal saya kepada Izham.

“Entah! Tak yah tahu lah..” Jawab Izham sambil meletakkan tangannya di mulut tanda diam.

Saya kembali menyambung kerja saya yang masih belum selesai.

Selesai masukkan barang-barang ke dalam kereta, Hisyam pun keluar daripada bilik peribadinya. Bilik peribadi yang tiada sesiapa pun yang boleh masuk kecuali saya dan Izham.

“Kita ke Terengganu hari ni..” Ujar Hisyam.

******

Setibanya di rumah pesakit, seperti biasa Hisyam akan berjalan kelilingi rumah terlebih dahulu untuk memastikan tidak ada halangan luar yang akan mengganggu.

Tiba-tiba Hisyam berhenti di penjuru rumah.

“Izham, kau tolong tengokkan ni apa?” Hisyam menuding jari ke arah tingkap yang tertutup rapat.

Izham segera meninggalkan kami di situ.

“Bilik tidur utama…” Jerit Izham daripada atas.

Setelah meminta izin daripada tuan rumah, tingkap bilik tidur utama dibuka. Sebaik sahaja tingkap dibuka, Hisyam melangkah ke belakang dalam beberapa langkah.

“Adik fokus ke arah katil… Bertenang dan tarik nafas. Ada nampak apa-apa tak..?” Hisyam mengangkat saya duduk di tengkuknya memandangkan tingkap bilik rumah kampung tersebut sangat tinggi.

Saya lakukan seperti yang diarahkan. Benar sangkaan Hisyam, memang ada sesuatu di atas katil tersebut. Makhluk yang berbulu lebat itu melihat ke arah saya. Bola matanya yang kebiruan itu merenung tajam ke arah saya.

“Ada dan dia tahu kedatangan kita..” Bisik saya perlahan.

Hisyam menurunkan saya ke tanah.

“Ada benda situ?” Soal tuan rumah yang hampir sebaya ibu saya.

“Ada makhluk Allah yang dipanggil jin..” Jawab Hisyam separa berbisik.

“Mokcil kabo doh Mat Derih degil tak nak dengor,” omel tuan rumah itu.

“Kita ke atas makcik..” Pinta Hisyam sambil berlalu.

“Kena derah, satgi Mat Derih balik rosok rancangan kita. Mati mokcik kena maroh..” Pinta tuan rumah itu pula.

Selangkah saya naik ke rumah, bulu roma saya tidak berhenti meremang kerana mahkluk itu ada di mana-mana.

“Mana makcik tahu anak makcik dah kena sihir?” Soal Hisyam sambil membakar kemenyan.

“Mung tengok satgi dia balik. Semua kata bini, dia ikut. Suruh makang, dia makang, suruh duduk, dia duduk, suruh buat benda, semua dia turut. Dulu dia dok gining…” Jawab tuan rumah yang saya gelarkan sebagai makcik.

“Kita cuba yer Makcik… Ikhtiar..” Hisyam memulakan upacara perubatan nya.

Saya dan Izham duduk di sisi Hisyam yang sedang membakar kemenyan yang ditabur dengan serbuk hitam tadi.

Bau busuk mula mengganggu ketenteraman saya. Saya yakin, bau itu hanya saya yang rasa kerana masing-masing tenang menghadap Hisyam yang sedang gigih membaca mentera.

Bau itu semakin lama semakin busuk. Bila saya menoleh ke sisi kiri, makhluk itu sudah berada di sebelah saya. Sangat hampir dengan saya.

Merenung tajam ke arah saya.

“Buat apa sini ganggu kerja orang?” Dia berkomunikasi melalui minda dengan saya.

Saya tidak menjawab. Saya abaikan dia apabila teringat pesan Hisyam. Walaupun apa yang datang jangan tunjuk yang saya boleh nampak dia. Makhluk itu kelihatan sangat marah lalu berdiri untuk cuba menyakiti saya.

Jelas kelihatan di celah kelangkang dia ada air yang berwarna hitam mengalir. Air itu mengalir keluar daripada kemaluan makhluk itu seperti darah nifas.

Saya tidak dapat mengawal perasaan geli lalu muntah di situ juga. Tuan rumah agak terkejut dan berlari mendapatkan baldi untuk saya.

Hisyam menguatkan bacaan mentera dan makhluk itu seperti kepanasan. Dia bergerak mengelilingi kami. Sekejap berjalan dan sesekali dia merangkak perlahan.

Dia cuba menghampiri saya tetapi tangkal raja kayu yang terikat rapi di bahu saya menghalang dia daripada menyentuh saya.

Air hitam daripada kemaluan dia menjejes di merata tempat dan itu yang membuatkan bau busuk semakin menjadi-jadi. Saya masih lagi berasa loya dan muntah berkali-kali.

“Dia mabuk kereta makcik…” Hisyam berbohong.

Memang saya mabuk jika berjalan jauh. Tetapi tidaklah seteruk itu jika saya muntah. Hisyam meminta tuan rumah itu menutup semua tingkap yang ada.

Asap kemenyan yang ditabur dengan serbuk hitam itu semakin berkumpul dan itu menambahkan lagi rasa loya saya.

Tiba-tiba asap yang berkepul itu bertukar menjadi kehitaman dan membentuk satu makhluk seperti bayang-bayang manusia.

Makhluk yang berupa bayang-bayang itu menerjah makhluk berbulu yang sedang mengelilingi kami itu. Mereka berguling antara satu sama lain. Makhluk itu semakin lama semakin lemah.

“Buka tingkap…” Arah Hisyam kepada Izham.

Apabila tingkap dibuka, makhluk berbentuk bayang-bayang itu terbang membawa makhluk busuk itu tadi bersama. Sekelip mata sahaja bau busuk itu hilang dibawa angin. Hanya bau asap kemenyan sahaja yang tinggal.

Saya menceritakan tentang air hitam yang mengalir daripada kemaluan jin itu tadi kepada Hisyam. Hisyam terlopong memandang saya.

“Patutlah kau muntah dik..” Bisik Hisyam ketawa.

“Makcik boleh saya ke dapur?” Pinta Hisyam lagi.

“Bulih…”

Hisyam membuka satu persatu lauk yang ada di dapur. Sehingga ke periuk nasi dibukanya. Merah padam muka tuan rumah kerana segan dengan kami.

“Dapur bersepoh… Maaflah yer..” Tuan rumah cuba berbahasa. Kami hanya membalasnya dengan senyuman.

Apabila semuanya didapati ‘bersih’, sekali lagi Hisyam meminta izin untuk masuk ke bilik utama tempat kali pertama saya melihat makhluk itu bertenggek.

“Masak nasi dalam bilik?” Soal Izham bila mendapati ada periuk nasi elektrik bersaiz kecil menyala di satu sudut bilik.

“Haaa dia geli makan makcik masak. Dia kata makcik letak benda kotor dalam nasi bagi Mat Derih makan. Katanya makcik punca dia bergaduh dengan Mat Derih.

Mat Derih ni panas baran. Cemburu buta, nampok jer bini dia bual dengan lelaki lain. Siap lah… Habis dipukulnya bini tu.

Kadang kesian jugok ke menantu makcik. Tapi lepas dia kabo makcik sabit dia baloh dengan Derih. Malas lah makcik nok ambik tahu lagi.

Meraung lah dalam bilik tu, malas nak campur doh,” terang tuan rumah kenapa menantunya masak nasi asing di dalam bilik.

Hisyam membuka penutup periuk itu… Allahu… Berderau darah saya kerana air berwarna hitam yang berbau busuk tadi ada di dalam periuk itu.

Walaupun pada mata mereka nasi itu kelihatan putih bersih, tetapi di mata saya nasi itu telah dipenuhi dengan air hitam yang mengalir dari celah kelangkang makhluk itu tadi.

“Dua bulan lepas dia laki bini baloh besor. Sampai masuk spital lah menantu makcik sebab kena pukul kat Derih dengan tali pinggang.

Mujur dok jadi kes polis. Sebabnya Mat Derih cemburu bini balik tumpang majikan dia hok bujang tu. Banyok kali doh menantu makcik mintok cerai tapi Derih tak nak lepas. Pening lah makcik mikir..” Cerita tuan rumah itu lagi tanpa ditanya.

Hisyam menggeleng-gelengkan kepalanya.

Saya tidak pasti adakah Hisyam tidak setuju dengan sikap Mat Derih yang cemburu buta sehingga sanggup berkasar dengan si isteri ataupun tidak setuju si isteri mengambil jalan mudah dengan memberi makanan ‘kotor’ kepada Mat Derih sehingga jadi ‘tuli’.

“Anok ada tak bahan yang boleh buat bini dia tunduk pulok pada Derih. Bior dengor kata sikit sebagai isteri?” Soal tuan rumah bila melihat Hisyam membatu sambil merenung periuk nasi tersebut.

Hisyam melihat ke arah saya dengan satu senyuman sinis. Saya menggelengkan kepala perlahan tanda tidak setuju dengan permintaan tuan rumah.

“Mari makcik kita duduk-duduk dulu. Ada cerita sikit saya nak bagitau,” akhirnya Hisyam bersuara.

Hisyam menceritakan kepada tuan rumah apa yang berlaku, beristighfar panjang tuan rumah itu apabila mendengar cerita daripada mulut Hisyam.

Selesai tugas kami, Hisyam menghulurkan sebunjut lada hitam yang sudah dijampi.

“Makcik jangan buka mulut atau bertanya kepada menantu makcik akan perkara ini. Bimbang dia akan pergi cari semula bomoh tu.

Saya dah ‘halau’ makhluk tu dari rumah makcik. Jika dia buat nasi kangkang pun, nasi tu tidak akan jadi apa-apa sebab ilmunya sudah saya tawarkan.

Cuma makcik kena ikhtiar bagi anak makcik makan lada hitam ni untuk pulihkan semangat anak makcik.

Selepas daripada itu, bukan urusan kami lagi. Terpulanglah kepada anak makcik untuk putuskan sama ada nak terus bersama atau lepaskan dia dengan cara baik…” Ujar Hisyam lembut.

****

“Kalau saya tahu dia kaki pukul. Tak hingin saya tolong..” Bentak saya ketika dalam perjalanan pulang.

“Tak elok macam tu dik. Tugas kita dah selesai. Biarlah mereka dengan urusan mereka selepas ni..” Izham yang daripada tadi membatu akhirnya mula bersuara.

Selang beberapa minggu kemudian, tuan rumah itu hubungi Hisyam dan mengatakan anaknya telah pun menceraikan si isteri dengan cara baik.

Sahabat yang saya kasihi, tidak kiralah sejahat mana pun pasangan kita, sejahil mana pun pasangan kita atau seberat mana pun masalah rumah tangga kita jangan sesekali menjadikan ilmu hitam atau sihir jalan penyelesaiannya.

Biar pun dikatakannya sebagai perubatan islam, jangan mudah percaya. Islam tidak mengajar manusia tunduk/sujud sesama manusia sehinggakan nabi Allah sendiri pernah bersabda…

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ المَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

Maksudnya: “Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.”

[Riwayat al-Tirmizi (1159)][Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini melalui jalur Abu Hurairah RA adalah hasan gharib].

Tetapi tidak dilaksanakan… Kenapa? Sebab Islam tidak menyuruh kita sujud/tunduk kepada manusia yang lain. Sujud/tunduk kita hanyalah kepada Allah SWT….

Cubalah cari jalan penyelesaian yang lain, kita ada undang-undang syariah, disebabkan itulah perlunya ada akad nikah yang sah di sisi undang-undang supaya nasib pasangan yang teraniaya dapat dibela mengikut hukum agama masing-masing.

– MayangSari/Adik (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *