Assalamualaikum dan Hai semua. Saya ibu tunggal. Saya mengalami trauma (PTSD) dan major depresi.
Perkahwinan terdahulu cukup memberi impak dalam hidup saya. Hidup bertahun bermadu (saya isteri pertama), menghadap penderaan mental dan fizikal.
Saya merasakan biarlah saya hidup sendiri sampai ke tua. Saya rancang apa nak buat di masa tua kerana saya langsung tidak terfikir untuk mencari pengganti. Serik!
Saya tuntut fasakh apabila permohonan cerai saya kali pertama tidak dilayan dan dibiarkan digantung tak bertali.
Saat saya hadirkan diri untuk jatuh talak, saya pakai baju oren berbunga terang bersama tudung berona oren berkilau. Sayalah mak kilau waktu itu. Sebatu dah boleh nampak.
Tiada langsung titik airmata, apa yang saya nampak ialah jalan yang bakal bersinar untuk saya teruskan hidup dengan keluarga kecil saya.
Saya sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti dan saya cari duit lebih berniaga online. Alhamdulillah..dah lima tahun saya bahagia bersendiri dengan anak-anak. Duduk di rumah sendiri, ada kenderaan sendiri. Serba cukup untuk diri saya dan keluarga kecil kami.
Biasalah.. hidup ini penuh dengan tiba-tiba. Saat saya mengatakan ‘tak nak’, Allah jentik hati saya dengan apa yang saya tak nak.
Saya terima ‘Hai’ dari seseorang. Lama saya sidai dia. Saya cam dia. Kenal gitu-gitu sahaja. Saya ambil masa 2 minggu jugak untuk balas ‘Hai’ dia tu.
Saya balas ‘Hai’ tiga huruf dia tu dengan panjang berjela. Cukup lengkap sambil masukkan sekali biografi, syarat dan sebagainya untuk membuat penolakan perkenalan dengan hujah terpaling ampuh gituh.
“Hai. Saya gemok, tak cantik, anak dua. Saya busy woman. Saya takde masa nak berkenal-kenalan apatah lagi nak bercinta. Saya dah terbiasa bersendiri. Saya happy sekarang dan nak fokus anak sahaja.”
Tenang dia balas.
“Gemok boleh kurus.. Tak cantik takpe. Cukup sedap mata memandang. Takpe. Uruskan mana penting dulu.”
Disebabkan saya rasa semua benda penting, jadi saya uruskan dan teruskan je hidup seperti biasa. Saya anggap dia seperti angin lalu.
Beberapa minggu selepas itu, dia hantar mesej smiley mata. Dua bijik. Itu je. Entah mengapa, laju saya balas,
“Cocok mata tu kang!”
Senyap! Sunyi! Tiada balasan seterusnya. Dia bagaikan hembusan angin kentut. Saat mahu datang, bergelodak..sesudah dilepaskan, berlalu pergi meninggalkan kesan sepi. Busuk kadang-kadang.
Beberapa hari selepas tu, dia mesej untuk minta izin nak call saya. Saya kata bolehlah.. Tapi kejap je sebab saya busy, nak lipat kain. Saya suruh dia call sejam lagi. Berdebar pulak saya bila nak angkat call.
Saya rangka apa nak cakap. Saya taknak buang masa. Saya tanya apa tujuan dia, untuk apa. Saya katakan pada dia, di umur masuk 40an ni, saya tiada masa untuk bercinta bagai, kita boleh skip satu fasa, kalau nak serius, boleh jumpa terus mak abah saya.
Taknak main-main. Saya nak orang yang boleh temani saya melalui sisa tua, buat aktiviti bersama sambil memperbaiki apa yang ada bukan untuk mengembang-biak lagi keluarga.
Dia cakap, “Boleh. Bila tu nak jumpa?”
Ah sudah…
Bagi saya, apa yang saya cakap tu bolehlah dikira sebagai satu rejection. Saya cerita kat kawan rapat. Disuruhnya saya buka peluang dan cuba. Cuba kenal. Biar menyesal mencuba dari menyesal tak buat apa-apa.
Lama saya fikir, akhirnya saya terus-terang pada abah saya. Kepada adik-beradik saya juga saya minta pendapat. Bukan main terkejut mereka.
“Bila masa ko kenal?”
“Takde angin, takde ribut?”
“Baik ke dia? Baik ke kogenya? Keje apa?”
Paling terkejut,
“Apa? Duda?? Duda anak tiga???”
Dia berjumpa abah saya.
Saya nampak kesungguhan dia. Dia kata pada abah saya, lama dah perhatikan saya. Sukakan saya. Aduh..tak perlu lah tegak macam tu. Malu saya.
Adik saya dengar, pandang saya siap mata hitam naik ke atas. Seminggu jugaklah saya kena bahan. “Perghhh..ada orang perhatila..piwwittt.”
Rasa nak penampor je adik saya tu.
Dulu memang dia pernah cuba ngorat saya melalui kawan saya. Awal-awal saya reject pasal dia duda. Tak sedar diri saya ni pun janda.
Masa tu saya dengar anak dia ramai. 7 orang. Giler tak seram. Saya kira-kira, campur saya, 11 orang. Fuhhhh.. ni level-level kena sewa bas ni.
Dia memang helokkkk.
Tall, dark, hensem. Gelap-gelap macam nak start maghrib pukul 7 tu. Rambut macam duta pomade. Siap ada parit lagi. Bermata coklat.
Dia dengan kucing takde beza. Kalau duduk tempat gelap terus nampak bijik mata bercahaya macam bijik guli. Badan fit. Sejenis menjaga pemakanan. Sukakan outdoor.
Anak tiga pun perut tak boroi. Look young kata Vida. Kehidupan stabil. Entah apa yang dia pandang pada saya yang sikit lagi nak nampak cam kuda padi. Bulat-bulat gitu. Dahlah malas nak bersukan tapi suka makan.
Mungkinlah, orang kata muka saya kalau dari jauh macam artis. Iras-iras Wahida Wassini. Itu dari jauh. Cuba dekat. Ya habibi… berkuntum jeragat dan tumpuk-tumpuk jerawat pasir.
Muka dan penampilan saya biasa je. Jenis 5 minit siap! Tiada secalit mekap, berbedak talkum tak pandai bertumit tinggi. Saya dengan dia berbeza bagaikan langit dan bumi.
Dia terus minta izin dari abah saya untuk bawa saya dan anak-anak balik berjumpa keluarga dia nun jauh di utara sana.
Tiba masa saya ke sana.. sungguh.. saya jatuh syinta.. Bukan pada dia. (Eh, ada sikitla.) Pada kampung dia, pada family dia. Sawah luas terbentang. Hijau damai.
Rumah dekat dengan pantai. Pertama kali saya ke utara. Saujana mata memandang. Keluarga yang cakapnya lembut, bersopan santun.
Baru pertama kali jumpa, dah dilayan sebegitu rupa. Anak-anak saya dilayan umpama cucu sendiri. Keluarga yang cepat mesra dan saya langsung tak kekok sepanjang berada di sana.
Dipersiapkan bilik. Sedangkan saya hendak duduk di homestay berdekatan. Malu satu hal. Terasa menyusahkan. Tapi bapanya bertegas untuk tetap duduk di rumah.
Nama pun nak kenai-kenai. Saat saya datang sana, dipanggil semua adik beradiknya balik kampung berkumpul. Kebetulan memang cuti panjang masa tu. Rasa teruja kerana saya tiada kampung.
Mak dia masak sedap sangat. Mereka memang suka masak-masak. Masak Ikan pekasam tu.. aduh… Teringat sampai sekarang.
Saya kata pada mak dia, saya tak pandai masak. Mak dia cakap, tak pandai boleh belajar. Boleh belajar dengan dia nanti. Dia hanya senyum pandang saya.
Pandai masak rupanya… Saya memang tak berani cakap pandai masak. Naya Pak Maun kalau disuruh masak kat rumah orang. Serba tak menjadi. Baik saya selamatkan diri. hihihi
Banyak makanan utara yang diperkenalkan. Hebat layanan pada tamu. Dia suka makan ulam. Dia ajak saya petik daun menjalar kat tepi pagar. Lupa nama daun tu. Sedap betul buat ulam. Dia beritahu saya tekak dia tekak kampung.
Bercerita makanan yang dia suka sambil kami berjalan kaki cari air nira. Sedap ye air nira tu. Masa nak cari sarapan, saya tak tau pun menyorok tu maksudnya sarapan di sana. Saya fikir, lokasi warung yang agak tersembunyi. Haha.
Keluarga dia ramai lelaki. Yang dah berkahwin, masing-masing beranak anak lelaki. Cucu mak pak dia ramai, kesemuanya lelaki. Tiada seorang perempuan. Jadi, mereka ambil cucu angkat perempuan. Ditatang, dijaga dengan kasih sayang.
Di ajar mengaji. Semua cucu memang membesar dibantu asuh oleh mak pak dia. Cukup masa, pergi solat di surau berdekatan. Naik motor ramai-ramai. Meriah sungguh keluarga dia. Anak-anak saya gembira di sana.
Masing-masing pandai buat kerja walaupun lelaki. Dari membasuh, melipat, memasak. Tak perlu disuruh. Rajin.
Saya kagum dengan didikan mereka. Kecik-kecik pun da pandai siang ikan. Dapur tu macam jantung rumah. Mereka lebih suka lepak di dapur. Saya menyaksikan keakraban mereka.
Makan mesti sama-sama. Kadang benda kecik pun boleh jadi topik perbualan. TV? Macam tiada fungsi. Handphone? Anak-anak tidak kecanduan gajet. Main sekadarnya. Saya terasa seronok berada di sana.
Macam ada jadual waktu. Jam 9.30 ke 10 malam, mereka dah mula masuk tidur sebab mereka jenis keluarga yang berpagi-pagian. Subuh dah riuh. Takde istilah, basuh muka dulu, gosok gigi dulu terus boleh sarapan.
Mereka bangun awal pagi terus mandi. Sarapan ramai-ramai. Waktu nak zohor tu la waktu mereka berehat, tidur sebentar dan suasana jadi sunyi. Huhuhu.
Sekembali ke selatan, giliran anak-anak dia berkenalan dengan keluarga besar saya. Kemain excited masing-masing. Terasa besar betul keluarga kami. Penuh kereta.
Berpeluang bawa anak-anak ke mercu tanda selatan. Gigih saya cari info sejarah tempat sendiri. Nak lah perkenalkan juga tempat kelahiran, warisan sendiri kan. Anak-anak mudah mesra. Mereka pemalu tapi sentiasa khusyuk dengar saya bercerita.
Diorang gelak je lah tengok saya try hard nak jadi pemandu pelancong sampai tersasul-sasul. Nak-nak bila kena tanya pasal bola. Memang kelaut lah perginya.
Saya tak tengok bola sangat. Saya tengok bola zaman Khalid Jamlus bergetah dulu. Jadi saya tunjuk stadium je la. Haha.
Anak dia dua dah bersekolah menengah. Bujang-bujang belaka. Tinggi-tinggi. Dia menduda masa anak bongsu dia bayi lagi. Mengasuh sendiri anak-anak.
Hampir sedekad menduda. Dia disini kerana ditransfer cawangan. Setiap 2 minggu dia akan balik ke Utara. Disebabkan kerja, company dia berurusan dengan company saya bekerja. Start tu lah kot dia terpanah cinta.
Dengan dia, banyak yang saya belajar. Cuba menerima kehadiran dia. Saya sibuk dengan dua kerja, sejenis tak kesah kalau langsung tak mesej, tak berjumpa.
Dia pulak sejenis caring. Makan ditanya, kemana diberitahu. Saya dah macam tempat scan My Sejahtera gitu. Saya jadi takut nak berkomitmen. Takut rimas. Ye lah, dah terbiasa sangat sendiri dan berdikari. Dia layan saya dengan baik. Beri saya masa dan ruang.
Ada satu hari tu, saya kena siapkan kerja sampai larut malam. Berseorangan. Dia tanya saya tengah buat apa. Saya beritahu saya masih di ofis. Terkejut dia.
Jam dah 11 malam. Saya kata takpe dah biasa. Selama ni takde orang risaukan saya. Area ofis saya memang sunyi dan gelap. Saya memang takut juga. Tapi dalam beg memang saya standby segala spray dan alarm. Saya adalah sikit-sikit basic silat belajor tak abis dulu.
Kuda kepang pun saya belajar. Tapi ni sekadar untuk persembahan hari sukan sekolah la dulu. Bila badan da macam labu sayong ni, nak bersilat ke, berkuda ke memang pikir 2,3 kali juga.
Saya kunci ofis, tengok-tengok kereta dia dah ada di bawah. Saya call dia tanya kenapa. Kenapa perlu bersusah? Dia risau. Bahaya. Dia minta saya naik bersama dia untuk pergi ke parking kereta.
Saya lebih risau sebab saya tak biasa naik kereta berdua sahaja dengan lelaki kecuali dengan pakcik teksi masa zaman belajar dulu. Kalau kami keluar pun, sentiasa bersama anak-anak dan saya lebih selesa berasingan kereta.
Saya ada sedikit rasa ketidakpercayaan. Jadi saya minta dia ekori saja saya ke kereta dan saya berjalan seperti biasa ke parking. Sejak hari itu, bila tau saya akan lambat balik, dia akan tunggu di bawah dan susuri saya.
Benar. Bukan semua lelaki jahat.
Dia baik, pembersih, rajin, cekap uruskan rumah, pandai memasak, mengemas, mendidik. Dia ibarat lelaki kiriman tuhan untuk perempuan yang pernah alami keputus-asaan dalam hidup seperti saya.
Malangnya, saya tak mampu untuk mengikis trauma saya dan sentiasa berfikiran buruk dan wasangka. Macam-macam andaian bermain dalam fikiran saya.
Saya takut dia hanya berbuat baik pada awalnya sahaja. Saya takut, jika terbuat salah, dia akan pukul saya. Jerit kat saya. Tak boleh terima kekurangan saya. Saya takut, kalau saya penat, dia akan cakap saya pemalas.
Saya takut, dia letakkan harapan tinggi untuk saya jadi isteri yang sempurna. Perlu sediakan semua. Layan suami macam raja. Dimomokkan dengan syurga neraka. Saya sakit untuk ulangi semua rasa tu.
Kemuncaknya, pernah saya berperasaan seperti dia mahu memukul saya. Padahal dia nak ambil barang sahaja. Saya mengelak, menjerit dan tekup muka sampai terketar-ketar. Dia tanya kenapa sampai macam ni? Allah.. Entah.. Saya terlalu takut waktu tu. Saya menangis.
Dalam bayangan saya, seolah-olah dia mahu menumbuk saya. Segala yang berlaku dulu seolah-olah berulang kembali. Bagaimana saya dibelasah, diterajang dan dipukul bertubi-tubi hingga terjelepuk layu. Saya trauma!
Dia sentiasa motivate saya untuk terus jalani rawatan psikiatri. Dia bagi saya semangat untuk hidup lebih sihat. Dia bukan mencari tukang gaji sebab dia boleh buat semua.
Dia juga bukan mencari pengasuh sebab anak-anak dia masing-masing dah besar, pandai berdikari, masak dan urus diri.
Bukan itu tujuan dia mahukan saya. Mungkin, anak-anak semakin besar, ada ruang sepi dalam hidup dia. Dia mahu peneman. Peneman sehingga titik usia.
Betul cakap pepatah anon, perempuan akan terasa seperti puteri jika berjumpa dengan lelaki yang tepat. Dan..kali ni, pepatah ini sangat tepat untuk dia.
“Awak terlalu baik untuk saya.”
Beberapa bulan yang lalu, saya teringin makan nasi tomato. Kami deal. Dia masak nasi tomato. Saya masak lauk. Hari itu, saya masak ayam merah terpaling sedap.
Kesukaan dia. Rasa serba cukup. Dengan sedikit acar dan pajeri nenas. Saya goreng papadom. Kami semua berpiknik-potluck. Rasa seronok sangat.
Namun dalam hati, tiada siapa yang tahu. Betapa dasyat saya berperang dengan perasaan.
Esoknya, saya tekad minta putus. Walaupun berbaki dua bulan lebih untuk kami bernikah. Walaupun saya dah mula sayangkan dia dan keluarga besar kami. Ya, saya sayang dia.
Saya tak mampu teruskan. Saya tak nak, ketidakstabilan emosi saya akan memberi kesan pada hubungan. Jiwa saya sakit. Saya taknak pentingkan diri.
Saya tak nak jika saya seorang sahaja yang perlu jadi penerima. Saya selalu berdoa pada tuhan. Jika dia yang terbaik untuk saya, dekatkanlah. Jika bukan, maka jauhkanlah.
Saat saya tulis ini, dia sudahpun kembali semula ke Utara. Sampai bila-bila. Akhirnya, dia dapat dekat semula dengan anak-anaknya.
Alhamdulillah. Namun saya tahu dia kecewa. Saya juga kecewa. Kecewa dengan diri saya. Tidak mampu keluar dari kesugulan silam. Saya doakan yang terbaik buat dia dan semua. Keluarga yang sangat baik. Rezeki saya berkenalan dengan orang baik-baik.
Cinta itu bukan soal rasa semata. Tetapi tentang keberanian untuk memiliki. Saya tidak cukup berani. Ada hikmah Allah menjentikkan rasa.
Agar saya belajar, bukan semua lelaki sama. Ramai lagi yang mampu menghadirkan syurga.
Kata dia, kalau qasa nak makan nasi tomato mak, mai la utagha. Ikan pekasam dan air nira sentiasa ada.
Airmata saya turun laju.
Sungguh saya tak mampu…
– Fatonah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit