Nasib Anak Angkat

Assalammualaikum dan salam sejahtera lepada semua pembaca. Cerita saya pernah disiarkan disini, tetapi kebanyakan tentang saya.

Hari ini saya nak menceritakan nasib seorang anak angkat. Takdelah sedih sangat cuma bolehlah difikirkan bersama.

Saya mengenali Kak Ti (bukan nama sebenar) sudah lama mungkin sejak dilahirkan kerana kami berjiran di kuarters kakitangan awam. Beliau 6 tahun tua dari saya.

Rumahnya di baris depan dan rumah saya pula di baris belakang. Kak Ti merupakan anak tunggal kepada arwah pakcik Halim dan makcik Gayah (juga bukan nama sebenar).

Pasangan tersebut amatlah baik dengan keluarga kami. Arwah pakcik Halim juga merupakan imam di surau kuarters kami.

Makcik Gayah pula orangnya memang mulut murai… dahulu, emak saya setiap pagi dan petang akan mengadakan mesyuarat dapur.

Makcik Gayah akan mengetuk pintu dapur kami, dengan menjerit nama emak, atau sebaliknya.. arwah nenek saya juga gemar bersembang dengan dia jika nenek bertandang ke rumah kami.

Kini, selepas berpencen, semuanya pindah di rumah masing-masing.

Kami membuat rumah di tanah lot, dan emak pula hanya bersembang dikalangan ahli keluarga sahaja.

Kesian emak, kalau kami kerja dia bercakap dengan dinding sahaja kerana ayah selepas terkena strok mulutnya seperti ada berlian…

Mengenai Kak Ti pula, sebenarnya beliau adalah anak angkat kepada pasangan tersebut.

Saya mengetahuinya pun semasa saya 13+ tahun. Itupun apabila tersengar jiran-jiran yang lain bermesyuarat tingkap termasuk emak saya. Namun begitu Kak Ti tidak mengetahui yang beliau adalah anak angkat.

Semasa beliau hendak bernikah baharulah beliau mengetahuinya kerana pakcik Halim tidak mewalikan beliau.

Mungkin ramai yang bertanya, kenapa Kak Ti tak tahu? Ini kerana Kak Ti berbintikan pakcik Halim. Saya pun tak tahu kenapa.

Setelah beberapa tahun kemudian, pakcik Halim pun berpindah ke rumahnya sendiri di Taman Anggerik kerana berpencen. Kak Ti pula bekerja sebagai kerani bank di A bank di bandar S.

Disebabkan arwah pakcik Halim dan makcik Gayah sudah tua, kk Ti tinggal bersama suami dan anak-anaknya seramai 3 orang. Makcik Gayah semasa itu masih sihat dan menjaga anak-anak beliau.

Kak Ti memang anak angkat yang baik, tidak pernah meninggikan suara pada ibubapa angkat beliau. Membawa ibubapanya pergi ke hospital dan klinik kesihatan membuat checkup atau pembedahan.

Semasa arwah bapanya sakit beliau, ke hulu ke hilir bawa orang tua tersebut ke hospital. Adik beradik pakcik, langsung tidak pernah menjenguk semasa orang tua tersebut sakit.

Selepas arwah pakcik Halim meninggal, datanglah adik beradik pakcik Halim seramai 3 orang menuntut segala duit tinggalan arwah.

Adik beradik juga menyuruh makcik Gayah menjual rumah yang sedang diduduki… Makcik Gayah amatlah sedih.

Namun beliau tetap menjual rumah dan memberi bahagian adik beradik yang tamak tersebut… sedih sangat..

Apabila sakit tidak menjengah, bila dah mati, harta yang direbutkan. Pasal harta pandai pula hukum hakam agama. Tapi mana tanggungjawab adik beradik, semasa arwah sakit.

Nasib baiklah suami Kak Ti ada membeli sebuah rumah di bandar S. Beliau membawa ibu beliau tinggal bersama mereka seleluarga.

Kini makcik Gayah pun sudah tidak sihat. Beliau telah nyanyuk dan tidak boleh menguruskan diri. Bertapa mulianya Kak Ti, beliau telah berhenti kerja sebagai kerani bank kerana mahu menguruskan ibu angkatnya.

Dimana adik beradik pakcik Halim? Setelah dapat harta tidak pernah bertanya kesihatan balu abang mereka. Hanya membiarkan anak angkat yang tidak dapat apa-apa menguruskannya…

Untuk Kak Ti, D doakan semoga Kak Ti mendapat rezeki yang melimpah ruah, kesihatan sekeluarga yang baik, anak-anak yang soleh serta pahala ke syurga firdaus. Hebat sangat Kak Ti…

Kadangkala saya takut juga bila mengenang cerita ini. Saya 42 tahun, masih bujang dan tiada anak angkat. Cuma ada anak saudara.

Hanya kepada Allah saya berserah, untuk meniti hari tua nanti. Harapnya lah saya tak panjang umur sangat…

– Cikgu D (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *