Nasib ATTUD

Assalamualaikum. Agak-agak korang apa maksud tajuk ni? Yang tau je tau hehe.

Aku pasti bukan aku sorang ATTUD (An4k Tak Terpilih Untuk Dikasihi) ni. Ramai lagi di luar sana.

Alaa, kamilah golongan adik-beradik yang kurang bernasib baik tu. Yang kalau mak pak pilih kasih, haa golongan ATTUD ni la anak-anak yang terpinggir.

Aku saje nak cerita sini supaya masyarakat boleh faham perasaan kami yang disisihkan ni.

Mungkin ramai antara pembaca tak boleh selami dari perspektif kami sebab mak pak anda tak pernah buat.

Kebanyakan ibu bapa sekarang cuba elak dari ‘pilih kasih’ sebab dah ada kesedaran. Atau kalau terrrpilih kasih pun mungkin dari segi perbuatan, tanpa perlu diumumkan.

Berbeza dengan keluarga aku, pilih kasih ni ditunjuk dengan jelas supaya semua sedia maklum. Sedari kecil mak aku dah bagitau siap-siap, siapa yang dia kena sayang lebih.

Dalam 6 adik-beradikku, ada 3 yang katanya perlu disayang lebih (golden child) atas sebab-sebab tertentu, antaranya sebab anak bongsu.

Kat situ aku pikir, silap aku lahir sebagai anak no 4. Kalau aku lahir sebagai anak bongsu mungkin mak akan ekspresikan kasih sayangnya pada aku sebagaimana dia buat pada adik.

Apakan daya, aku hanyalah insan yang lemah, aku tak ada hak untuk persoalkan takdir.

Dalam keluarga pula, aku tak ada hak untuk persoalkan layanan ni, nanti dicop anak derhaka.

Ya, golongan macam kami ni buatlah apa pun. Berjayalah macam mana sekali pun. Berilah apa pun. Tetap dipandang sepi seolah tak wujud.

Kalau tanya mak aku, kenangan yang dia ingat cuma betapa susahnya abang aku (golden child 1) nak disuruh ke sekolah. Dia tak ingat satu pun pencapaian aku kat sekolah.

Dan seingat aku, sampai habis sekolah kebanyakan report kad aku sign sendiri sebab mak aku malas nak tengok (walhal aku pelajar yang boleh dikatakan separa cemerlang).

Aku jugalah yang jadi tukang masak, tukang basuh baju, buat juadah berbuka dengan abang, buat biskut raya, jaga adik-adik, prihatin pada kesihatan mak pak aku, sepanjang zaman bujang.

In fact, dah kahwin ni pun aku rasa aku seorang je anak dia yang belikan vitamin, ubat dan lain-lain keperluan rumah mak pak aku. Aku hadir di kala ada masalah keluarga.

Di kala adik-beradik lain buat hal, aku jadi antara tempat luahan hati mak.

Namun layanan yang aku berikan tak cukup untuk kasih sayang mak. Betapa mahalnya nilai kasih sayangnya, terhad hanya untuk 3 anak sahaja.

Aku pasrah walau bertahun memendam rasa… Cukuplah aku jadi saksi kepada kakakku akibat meluah perasaan.

Dari seorang yang berjaya dengan gaji 5 angka kini tersungkur menanti sinar baru semenjak bergaduh dengan mak.

Aku faham, selalunya dorang bergaduh sebab kakak aku tak puas hati disebabkan mak pilih kasih. Mak pula tak mahu memahami bab ni.

Sebagai ibu, mak aku kata kakak aku tu suka melawan dan degil. Dari sudut mata aku yang senasib ni, kakak aku adalah mangsa, seorang ATTUD yang dahagakan perhatian mak.

Waktu kaya dulu macam-macam dia belikan mak aku, sampai bawa jalan-jalan ke luar negara. Tapi tetap mak aku tak rasa dia perlu beri perhatian pada anak yang satu ini.

Mak tak pernah tanya khabar, tanya perasaan mahupun ambil tahu apa yang kakak lalui, mak aku malas nak ambil port. Dia akan tanya khabar pada 3 anak golden children nya sahaja.

Dan ternyata doa ibu itu tiada hijab. Untung jadi anak kesayangan ni, hidup sentiasa mendapat restu ibu.

Begitulah aku lihat pada 3 anak kesayangan mak, kehidupan mereka sangat mudah dan murah rezeki, berbanding aku yang begitu struggle untuk capai impianku.

Aku senasib dengan kakak sebab aku anak yang jarang buat hal. Ada masalah settle sendiri, berdikari, jarang minta tolong pada mak sebab memikirkan tak nak menyusahkan dia.

Tapi itulah, kalau tanya mak aku, banyak perkara dia tau pasal 3 anak kesayangan dia je.

Yang selebihnya (lagi 3 termasuk aku), aku boleh cakap dia kurang mengenali kami, apa yang kami lalui, kehidupan kami, etc. Hanya kawan-kawan rapat / pasangan sahaja yang lebih mengenali kami.

Selain itu, kami ATTUD ni selalu dilayan umpama tak ada perasaan…

Contoh, kalau birthday mak bukan main aku wish panjang lebar kat dia untuk luahkan rasa kasih sayangku padanya yang amat mendalam.

Mak aku umpama idola bagi aku sebab aku kagum dengan kekuatan mak dalam menghadapi cabaran hidup.

Tapi time birthday aku dia sekadar reshare post FB lama yang pendek untuk aku haha.

Time birthday anak kesayangan dia wah wah, bukan main ucapan mak aku siap gambar-gambar anak kesayangan dia share.

Waktu perkahwinan aku mak langsung tak berminat nak tengok gambar-gambar kahwin aku sampai aku yang terhegeh-hegeh nak tunjuk kat dia. Tu pun dia pandang tak pandang je.

Berbeza dengan adik bongsuku, mak yang beriya nak tengok, siap upload berpuluh kat fb nya. Kenangan, kata dia.

Ni yang terbaru aku buat surprise, belikan katil baru untuk mak. Tak ada sebarang ucapan ‘terima kasih’ aku terima huhu… Hmm..

Banyak lagi sebenarnya aku dah belikan untuk keperluan mak di saat adik-beradik lain buat tak kisah, tapi walau apa pun respon mak, aku kena terima hakikat dan tak boleh berkecil hati.

Aku hanyalah anak tak terpilih untuk dikasihi. Mungkin respon mak akan berbeza jika anak kesayangan dia yang beri semua ini.

Ikutkan nak cerita pasal apa yang golongan kami ni lalui terlalu panjang tapi apa yang aku boleh simpulkan adalah, ibu bapa tolong jangan ambil remeh soal perasaan anak-anak.

Walaupun ada di kalangan anak-anak yang tak suka buat hal, ibu bapa perlu sesekali belajar untuk dengar luahan hati mereka juga, bukan hanya fokus pada anak tertentu.

Kalau ada rasa tak mampu nak bagi perhatian pada ramai anak, tolong jangan beranak ramai. Lahirkan anak dengan jumlah yang mampu anda fokus sahaja supaya semua anak dapat merasa perhatianmu dengan adil.

Sebagai seorang ibu dan anak, aku rasa hati ini penuh dengan kasih sayang, tapi sukar untukku luahkan pada mak pak kerana rasa macam syok sendiri.

Umpama mencurah air ke daun keladi, apa aku buat untuk dorang, aku cuba ikhlaskan hati walau hati tersakiti berkali-kali — biarpun diri ini ibarat lilin yang membakar diri…

Doaku moga aku tidak lalai dan turut ikut jejak perangai seperti ini kerana sesungguhnya ia boleh membunuh jiwa anak.

Ok, pada yang tertanya-tanya, mana pak aku?

Oh, dia ada je. Tapi tak mainkan peranan sebagai bapa sangat. So kami cuma ada mak sebagai tempat bergantung sepanjang membesar.

Namun Allah itu Maha Adil, Maha Penyayang. Alhamdulillah, aku bersyukur dikelilingi oleh orang yang baik-baik, pasangan yang baik, anak-anak yang baik.

Aku juga dikurniakan bapa mertua yang sangat baik dan lemah-lembut, melaluinya aku perolehi kasih sayang seorang bapa yang tak pernah aku dapat sebelum ni.

Jadi buat anda yang senasib dengan aku (geng ATTUD), kita cuba jangan mengalah dengan emosi. Sentiasa bersangka baik dengan mak pak kita (walaupun terlalu jelas khilafnya) kerana sesungguhnya Allah itu Maha Adil.

Kalau tak dapat kasih sayang dari mak pak pun InsyaAllah akan ada orang lain yang akan mengasihi kita.

– Safura (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *