Nama ku Shaa (nama samaran). Aku berumur 25 tahun. Aku tergerak hati nak share cerita aku setelah aku baca satu luahan yang bertajuk Mak Mertua Perfectionist, (https://iiumc.com/mak-mertua-perfectionist-ii/).
Hari ni dah genap 9 bulan aku mendirikan rumah tangga. Nak dikatakan duduk dengan mertua, yes memang ada, aku berhijrah ye.. aku duduk rumah mertua, bila dah terlalu rindu aku balik pula ke rumah mak ayah.
Aku dan suami belum ada rezeki nak beli rumah. Suami memang stay rumah parents dia sebab tempat kerja pun tak jauh dari rumah, ini memudahkan suami untuk ulang alik setiap hari.
Apa yang aku nak sampaikan di sini adalah kisah hidup aku bila duduk di rumah mertua. Aku setiap kali di rumah mertua, aku rasa sangat tak percaya diri. Setiap kali memasak, ada saja komen yang terlintas di telinga ni. Kalau tak ibu mertua, ipar lah yang komen.
Contohnya, kalau dah siap masak, ipar aku akan cakap “cuba lah masak macam ni macam tu, cuba lah tambah sikit dengan ni, kalau dengan ni lagi sedap”. Ibu mertua pula kekadang komen cara potong bawang.
Korang tahu tak aku rasa tak bebas nak memasak. Aku juga rasa malu sebab seolah aku ni tak pandai memasak. Aku bukanlah perempuan yang malas memasak, dan aku juga boleh dikatakan perempuan rajin memasak dan suka cuba banyak resepi baru.
Bukan dalam memasak lauk pauk saja, aku juga mahir dalam membuat kek ye. Bukan nak puji diri, hehe.
Pernah juga ye apa yang aku masak tak disentuh langsung. Ya Tuhan, luluh betul hati aku. Aku dah masak sesimple yang boleh sebab aku takut kalau aku tambah banyak rempah ratus kang orang tak makan.
Ni cerita selepas berkahwin, belum lagi cerita sebelum berkahwin dulu. Ni lagi buat aku sedih dan stress. Semua ipar dan mertua aku nak masuk campur ye. Masa tu plan nak tunang, tapi kedua mertua suruh kahwin terus.
Aku tak tahu nak explain macam mana, apa yang aku dan suami dah rancang dari A to Z hancur macam tu je. Ikutkan plan, bertunang nak jemput yang terdekat saja.
Tapi mertua aku pergi jemput semua saudara mara sebab dia nak aku dan suami kahwin sedangkan yang aku plan nak bertunang.
Semua maklumat bercanggah. Aku buntu. Aku stress. Aku tak faham kenapa susah sangat untuk mereka ikut perancangan tuan punya badan.
Aku dah beli tau baju untuk tunang tu, tapi macam sia-sia sebab mereka dah carikan baju pengantin dah. Dan yes, baju pengantin tu ibu mertua aku yang sponser.
Cerita belum selesai disini ye, semasa try baju pengantin tu, mereka suruh aku make up semua kat situ sebab yang punya butik tu saudara terdekat mereka. Kira nak support sesama keluarga lah ni.
Korang fikir lah, aku dah tempah seorang MUA untuk cantikkan aku masa majlis tu nanti. Aku dah bayar dah. Lagi satu, butik tempat aku sewa baju tu 3 jam dari rumah tempat aku buat majlis. Lebih baik dan lebih mudah kan kalau cari yang dekat je dengan rumah.
Masa tu aku lawan mati-matian lah. Aku cakap aku dah ada MUA, aku ada pilihan aku sendiri. korang tahu tak situasi aku berbalas pendapat dengan mereka tu sampai buat aku migraine.
Yang buat aku geram sangat, si empunya butik tu cakap yang aku ni rugi tak ambik pakej yang mereka tawarkan sebab murah. Ye murah lah sangat, kalau orang tua boleh lah dia tipu, ni aku ni orang muda. Masih boleh beza mana butik dan MUA yang bagus dan yang tidak bagus.
Dia tambah lagi kata yang MUA tempat aku tu tak mungkin guna make up mahal dan pasti cepat luntur. Amboi sedap mulut.
Buat pengetahuan pendengar semua, butik tu baru buka. Aku sangat lah mementingkan kecantikkan aku masa majlis tu nanti ya. Aku masih was-was dengan hasil tangan mereka. Dah yes, aku menang. Mereka tak dapat dah nak paksa aku lagi untuk pilih butik tu.
Aku sempat ye minta hasil tangan empunya butik tu, kalau okay tu aku proceed lah make up kat sana. Bila aku nampak feedback semua tu, alangkah terkejut nya aku sebab sangat sangat tak cantik. Buruk sangat make up tu. Tak rugi aku bertekak lawan pendapat mereka tadi.
Sebelum majlis berlangsung, ada lagi mertua dan ipar aku ni buat hal. Kali ni tak setuju pula dengan kedudukan pelamin, dah tu ungkit lagi kenapa tak guna pakaian traditional, aku dah naik gila dekat-dekat majlis tu.
Penat sangat aku bersabar, kalau tahu dari awal memang aku tak nak kahwin.
Tak cukup lagi komplen pasal menu masa majlis. Nak suruh masak itu ini, tak cukup di rumah, ipar aku pergi chat lagi kat aku pasal menu yang mereka nak tu. Kata nya, saudara mara mereka suka kalau menu macam tu.
Masalah nya sekarang, pihak perempuan ye pihak saya lah, kami masih boleh untuk ikut apa yang mereka cadangkan cuma jangan lah keterlaluan untuk mengarahkan untuk ikut kehendak mereka.
Sampaikan air kopi pun jadi isu ye, mereka kata jangan buat kopi susu tu sebab sebelah mereka tak nak minum nanti jadi membazir.
Masalah nya sekarang, sebelah pihak lelaki saja ke yang hadir? Mereka cakap macam main lepas je. Kopi tu kita buat 2 ke 3 jenis pun dapat. Teh ada, milo ada. Apa kurangnya?
Ni part paling aku trauma dan kecewa, setengah jam sebelum majlis. Aku menangis ye, aku dah lama pendam. Tiba sahaja majlis, apa yang aku takutkan tu itulah yang terjadi.
Bagi saya, normal kalau majlis tu ikut adat perkahwinan sesuatu tempat. Kalau majlis berlangsung di rumah perempuan, sudah semestinya ikut adat di tempat perempuan. Tapi malam tu lain jadi nya, family suami nak majlis tu ikut adat tempat mereka.
Majlis tu jadi kelam kabut, sepatut nya pengantin keluar dan duduk di pelamin masa semua tetamu dah makan. Sebab kalau diikutkan, dah semua orang selesai makan baru lah majlis berlangsung.
Tapi pihak suami berkeras tak nak makan kalau pengantin tak duduk di pelamin dulu. Bagi aku mereka dah sangat keterlaluan, mereka buat ni tanpa berbincang dengan aku pun.
Aku dah bagitahu suami. Suami pun dah inform family dia tapi kenapa susah sangat nak faham? Aku terkilan sangat. Semua benda mereka nak atur, kalau tahu macam ni lebih baik aku buat majlis di pihak lelaki. Daripada aku menahan malu di depan semua pihak aku.
Dah habis majlis, dalam seminggu aku ikut suami balik rumah parents dia. Masa tu aku kena lebih teruk. Korang tahu tak, dari A to Z mereka komplen majlis tu. Mereka ada puji tapi tu 10% je.
Mereka komplen cara pihak perempuan sambut tetamu, komplen pasal hidangan petang, komplen pasal cara hidang makanan. Semuaaaaa yer.
Aku tak jawab banyak, aku cakap tu dah adat kami, tu je aku mampu balas sebab setiap kata-kata yang mereka keluarkan tu buat aku tahan setiap titisan air mata dari jatuh.
Majlis tu dah perfect sangat, makanan semua lengkap dan sedap, ibu aku siap pesan kuih muih untuk hidangan petang, tapi orang masih komplen.
Aku bayangkan muka ibu aku, ayah aku, adik beradik dan semua saudara yang membantu. Aku sedih sebab disebalik usaha dan penat lelah dalam menjayakan majlis telah dikomplen buruk oleh orang lain.
Selama 3 hari berturut-turut aku tertidur dalam tangisan mengenang semua kata-kata yang mereka lemparkan. Aku dah lama tahan semua ni dari awal dan ini lah pengakhiran nya. Aku bersyukur sebab disaat ini, suami aku sentiasa disisi dan sentiasa sokong aku.
Aku luah semua nya dengan suami, kekadang aku chat suami untuk luahkan sebab aku tak boleh nak bercerita secara face to face, nanti air mata tu je yang mampu keluar.
Yang aku cerita hanya 5%, yang lain cukup lah aku simpan. Ke depan nya, aku harap aku sentiasa kuat kerana perjalanan masih panjang.
Korang doakan aku untuk terus kuat dan semoga aku dan suami dilimpahkan rezeki untuk membeli rumah.
Semasa menulis ni aku menangis sebab semua tu masih menjadi sebahagian daripada trauma. Doakan aku ya.
Terima kasih sudi mendengar luahan hati aku menantu yang tersakiti ini.
– Shaa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit