Bismillah dan assalamualaikum khas buat pembaca IIUM Confession. Terima kasih buat admin sekiranya sudi mengeluarkan coretan ini.
Tujuan artikel ini ditulis supaya yang baik kita cedok, yang tak baik kita jadikan panduan dan pengajaran. Bukan cacian, kejian atau hinaan apatah lagi kecaman yang ku pinta.
Nawaitu aku sekadar berkongsi coretan ini supaya kita sama-sama ambil kisah ini sebagai satu pengajaran dan pedoman hidup terutamanya yang sudah menggalas jawatan ibu dan ayah ataupun yang bakal menyadang jawatan khas ini suatu hari nanti.
Kisahnya bermula begini. Di kampung aku, ada sebuah keluarga. Keluarga ini dihadiri ramai anak lelaki. Ketua keluarga iaitu ayah dalam keluarga ini sangatlah garang dan tegas. Anak-anaknya sangat takut akan ayahnya.
Ayahnya sangat menyayangi keluarga mereka tetapi apa yang aku perasan, ayahnya selalu membuat keputusan tanpa mengambil kira perasaan sang anak. Dulu ayahnya pernah menggunting botak rambut si abang.
Kesannya, menangis si abang sebagai tanda tidak setuju keputusan ayahnya. Namun tidak dihiraukan ayahnya. Ye la, usia sudah meningkat lebih besar pasti sudah malu untuk punyai fesyen rambut yang botak.
Kali ini, ayahnya menggunting botak rambut si adik-adiknya pula. Dek kerana malu, takut diejek kawan-kawan dan mungkin tidak selesa berambut botak, ada antara si adik mula memakai kopiah apabila keluar dari rumah.
Perasaan takut kepada ayahnya melebihi segalanya untuk meyuarakan hasrat yang terbuku di hati untuk tidak bersetuju memotong rambutnya botak. Sebagai jiran yang agak rapat juga dengan budak-budak ini, aku bersimpati melihat mereka.
Aku terpanggil menulis kisah mereka ni bukan meminta para pembaca untuk melemparkan kata-kata negatif atau kecaman terhadap tindakan ayahnya. Mungkin juga ayahnya tidak sedar akan khilafnya. Sama-sama kita doakan okey.
Aku berharap agar penulisanku ini memberi manfaat kepada kita semua. Mungkin ada antara kita sudahpun bergelar ibu dan ayah. Mungkin juga yang bakal bergelar ibu dan ayah suatu hari nanti. Aku berharap agar kita TIDAK MENGULANGI KESILAPAN watak ayah dalam penceritaanku ini.
Aku sengaja besarkan perkataan tidak mengulangi kesilapan itu kerana melalui ujian dan kisah orang lain, kita tidak perlu membuat lagi kesilapan yang sama dan berazam untuk menjadi insan yang lebih baik.
Walaupun bagi kita hanya menggunting rambut anak adalah perkara kecil dan remeh tetapi ia mungkin boleh jadi perkara besar bagi sang anak.
Betul, sebagai anak kita seharusnya taat kepada kedua ibu bapa kita namun kita sebagai ibu bapa juga tidak seharusnya menyalahgunakan kuasa veto sebagai penjaga mereka untuk mengambil keputusan tanpa mengira sekelumit perasaan kecil anak-anak ini.
Tugas bergelar ibu dan ayah bukanlah satu perkara yang mudah. Marilah kita sama-sama berazam untuk tidak mencemari kenangan anak-anak kita dengan perkara yang tidak indah dan tindakan kita yang kurang tepat.
Walaupun mereka masih kecil, tidak salah untuk kita berkomunikasi iaitu bertanya, berbincang, memberitahu mereka mengapa kita seharusnya mengambil tindakan ini dan mengambil kira perasaan mereka sekiranya kita ingin membuat keputusan untuk hidup mereka.
Aku harap, kita semua dapat jadi ibu ayah yang dihormati dan terbaik buat amanah Allah ini.
Sekali lagi nasihatku, janganlah kita ego dek kerana kita punya kuasa veto atas diri mereka, kita sewenang-wenangnya membuat keputusan yang drastik tanpa memikirkan sekelumit pun perasaan anak-anak ini.
Yang bersimpati,
(penulisanku jihadku)
(pendosa yang ingin ke syurga)
– I.A (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit