Nasib Ustaz Peruqyah

Nasib Ustaz/Peruqyah.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pertamanya, Aku mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada admin IIUM Confession kerana sudi menerima dan “publish” luahan ini. Tajuk ini mungkin agak jarang dan mungkin sedikit dibincang atau diperkatakan oleh ramai orang, tidak seperti pelbagai tulisan atau luahan di IIUM Confession sebelum-sebelum ini.

Nak bincang apa pasal peruqyah ni? Sabar dulu, aku ada beberapa luahan dan teguran kepada orang di luar sana khususnya terhadap nasib si peruqyah ni.

Aku bukanlah pakar atau mahir sebagai peruqyah tetapi aku ada pernah ikut beberapa kawan aku atau Ustaz-ustaz dan melihat sendiri bagaimana mereka melakukan rawatan Islam. Ada lah sikit pengalaman depan mata dengan kes-kes orang yang terkena gangguan atau kerasukan tu. Pengalaman tengok je lah.

Ok. “Better” kita kenal dulu siapa Peruqyah tu. Peruqyah ialah pengamal perubatan Islam. Sumber mereka Quran dan Sunnah. Bacaan yang mereka gunakan ketika merawat ialah ayat-ayat Quran dan beberapa doa dari Hadith Rasulullah. Aku harap janganlah ada samakan mereka dengan tok Bomoh/dukun yang minta macam-macam sebelum melakukan rawatan seperti kain kuning lah, darah ayam hitam lah, kambing hitam lah (biasanya bersumberkan binatang) dan macam-macam. No, no, no! Peruqyah bukan bomoh. Paling kurang pun mereka akan gunakan air atau limau nipis sahaja. Itu pun untuk tujuan mandi atau minum. Bukan untuk jadi ‘korban’ atau macam-macam. Jadi, janganlah tanya kepada mereka nak bawa binatang tu, binatang ni kah. Tak payah. Keduanya, mereka tak guna jampi-jampi yang tak difahami. Macam aku kata, sumber merka Quran dan Hadith. Hanya ayat-ayat Quran dan Doa.

Aku juga nak pesan. Bila berlaku kes-kes kerasukan/gangguan tak kisah lah di UIA kah, di dalam kelas kah, atau di mana-mana tempat, tolonglah jangan panik macam ada orang nak beranak je. Tenang. Relaks. Bila ada tiba-tiba kes begini berlaku, ikut pengalaman aku, orang yang call tu panik macam apa sampai tak faham apa yang dia cakap bila call. Tenang. Jangan sulitkan lagi keadaan. Ok, kalau contoh, dah hubungi mana-mana Ustaz atau peruqyah tapi tak dapat nak tolong atau datang . Korang azan je banyak kali di sekitar si pesakit.

Kenapa azan? Rasululullah s.a.w. sendiri pesan, ni dipetik dari Sahih Muslim tau. Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Apabila syaitan mendengar azan, dia akan lari bertempiaran sehingga tidak mendengarnya lagi. Setelah azan selesai, dia kembali lagi untuk menghasut. Begitu juga apabila mendengar iqamat. Dia akan lari sehingga tidak mendegarnya lagi dan sebaik sahaja iqamat selesai, dia kembali sekali lagi untuk menghasut. [Nombor hadith di dalam Sahih Muslim : 582]. Ikut pengalaman, insya Allah memang ‘benda’ tu dah takde lepas kita azan.

Macamana nak ‘test’ benda tu ada dalam badan atau dah takda dalam tubuh si pesakit. Suruh dia mengucap dan baca ayat Kursi. Ikut pengalaman, Jin memang susah nak mengucap bila sampai kepada kalimah Muhammad Rasulullah dan ketika baca ayat Kursi pada ayat terakhir. Kalau susah nak mengucap atau baca ayat kursi, itu tandanya masih ada lagi. Kalau mudah, maksudnya ‘benda’ tu dah pergi.

Ok. Sebenarnya ada lagi “point” besar yang aku nak “highlight”kan. Iaitu “common sense” kepada si peruqyah ni. Kadang nak merawat kes-kes kerasukan/gangguan ni bukan 5 hingga 10 minit, tapi makan masa berjam-jam. Paling cepat pun sejam. Penat jugalah. Kadang ustaz ni atau si peruqyah datang dari jauh. Kadang-kadang kena call tengah malam atau awal pagi. Kadang-kadang pukul 2-3 pagi pun pernah.

Aku pernah tengok orang hanya senyum dan ucap terima kasih je kepada si ustaz ni lepas sesi rawatan. Tabah je wajah ustaz tu aku tengok. Gigihnya dia, pergh. Aku harap orang di luar sana faham. Ustaz ni datang dari jauh. Tengah-tengah malam pula tu. Pakai kenderaan sendiri. Paling kurang pun, “cover’ la duit tol minyak mereka. Jangan salah faham ye. Ni bukan isu ikhlas tak ikhlas ye. Kalau macam tu, cikgu yang mengajar kita kt sekolah tu (contoh) yang makan gaji tu tak ikhlas la ye? Tak, tak, tak. Ikhlas itu tetap ada. Tapi harap korang faham-faham lah keperluan dunia manusia. Ustaz atau si peruqyah ni juga manusia. Mereka datang dari jauh dan korban masa dah kira ok lah untuk bantu. Mereka pakai kenderaan guna minyak tau. Bukan mereka baca ruqyah terus sampai sini macam guna “teleport” atau alat merentas masa dan ruang. “Common sense” la sikit.

Bukan nak mengharap upah. Paling tidak pun, ada la sedikit duit minyak kepada si ustaz. Dah la harga minyak naik sekarang. Harap faham.

Keduanya, aku ada dengar juga kes sister-sister kena gangguan tengah-tengah malam di UIA. Katanya ada yang di studio KAED. Ada di EDU dan macam-macam fakulti lah. Ada program apa malam-malam buta gitu? Ok lah kalau nak buat assignment pun, mohon jaga adab dan tingkah laku supaya tak diganggu oleh ‘benda’ tu. Ni aku dengar dan perasan gelak terbahak-bahak sampai tak ingat dunia tengah-tengah malam tu. Mohon sister-sister, atau brother-brother jaga adab dan tingkah laku ye. Bila dah berlaku kes, barulah nak call ustaz. Dah la ustaz dari luar, jenuh dia nak masuk UIA. Pagar UIA pun dah makin ketat sekarang. Kalau ada peruqyah dari dalam UIA pun (kalangan student), mesti dah ganggu masa dia kan. Harapnya kita beringatlah semua. Dunia ni bukan tempat kita je. Ada makhluk lain menumpang. Fikirlah semula.

Apapun, mungkin ada juga kes yang memang Allah nak jadikan benda ni ujian kepada sesorang. Dia ditimpa penyakit misteri. Makan masa untuk berubat. Yang ni sama-samalah kita doakan moga dia terus kuat berikhtiar dan segera mendapat kesembuhan.

Ketiga, aku nak “highliht”kan point ni. Bila kena sakit macam ni, tak boleh harap 100% ikhtiar tu daripada peruqyah. Kita kena ada ikhtiar juga di peringkat diri sendiri. Tingkatkan amalan ruhani. Bina benteng diri. Alaaa…macam kita sakit fizikal la, tak boleh nak harap 100% kt doktor atau hospital. Kita lah kena jaga pemakanan kita, makan kena seimbang, lengkap vitamin C dan bagai. Senaman tak tinggal dalam seminggu.

Begitu juga lah dengan ikhtiar ruqyah. Tak boleh nak bergantung kepada Peruqyah/Ustaz semata. Kita juga kena bina “antibodi” diri. Quran jangan tinggal baca. Zikir dan istighfar mesti buat. Al-Mathurat selalu baca pagi dan petang. InsyaAllah akan hadir lah kesembuhan tu dengan izinNya. Jangan marah pula si ustaz/peruqyah tu kalau tak sembuh. Yang penting kita jangan putus asa dan teruskan berdoa kepadaNya.

Moga luahan ini ada manfaat untuk ramai orang insyaAllah. Lepas ni kena ada “common sense” sikit kepada ustaz-ustaz/peruqyah tu. Apapun aku “salute” mereka kerana sudi dan sanggup menolong orang yang ditimpa kesusahan sebegini.

Insan Yang Cuba Memahami,
Encik M

– Encik M

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit