Assalamualaikum dan hi. Saya sekadar nak berkongsi sedikit maklumat untuk kita sebagai wanita dalam menjaga kesihatan kita.
1. Masalah haid/ pendarahan.
Paling-paling kurang mesti sekali seumur hidup kita akan hadapi masalah haid tak teratur. Apa yang penting adalah sebaik saja kita dapat darah haid pertama kali, belajar untuk tanda hari haid di kalendar ataupun di apps phone.
Ada segelintir yang tak ambil kisah bab nak tanda hari haid. Tapi yang ni yang paling penting terutama untuk Muslim sebab nak menentukan hari yang wajib untuk solat dan puasa.
Kalau haid tak teratur, lagi mudah doktor nak bantu jika ada kalendar haid. Bila mengandung pula, mudah untuk kita estimate due date berdasarkan tarikh mula haid.
Dalam Islam, tempoh haid adalah antara sehari semalam hinggalah maksimum 15 hari. Selepas 15 hari, darah dikira sebagai darah istihadah/ penyakit, dan hukumnya wajib solat dan puasa.
Sama juga untuk yang dalam fasa putus haid/ menopause. Menopause dikira sebagai ketiadaan haid untuk tempoh setahun.
Jika ada darah yang turun selepas tempoh setahun ni, kita wajib solat dan puasa ramadhan. Ada patient yang umur 60an tak solat dan tak puasa ramadhan bila turun darah sedangkan dah menopause lebih 10 tahun. Hanya selepas darah turun lebih dari 15 hari, dia datang berjumpa saya.
Kesian makcik tu, sedih sebab dia lambat datang untuk tanya pasal masalah ni dan selama ni dia tertinggal ibadah wajib.. Huhu.. Seeloknya, jumpalah Doktor, dapatkan pemeriksaan awal sebab ni adalah antara simptom kanser rahim.
Darah yang keluar ketika proses bersalin atau dipanggil ‘show’ juga bukan darah haid atau nifas. Wajib menunaikan solat dalam keadaan ni tapi perlulah bersihkan terlebih dahulu darah dan air ketuban. Jika tak mampu solat berdiri, solatlah secara baring.
2. Jangan meruang/ vaginal douching.
Meruang ialah mencuci faraj dengan memasukkan jari atau cecair ke dalam ruang faraj. Ada yang meruang selepas bersetubuh dengan suami, ada jugak segelintir yang meruang setiap kali selepas membuang air kecil. Ada jugak yang amalkan untuk keluarkan keputihan.
Amalan ini sangatlah tak digalakkan sebab boleh merosakkan bakteria sihat dan struktur vagina dan cervix itu sendiri. Ada yang sampai melecet/ radang cervix disebabkan meruang ni.
Banyak kesan sampingan meruang ni, antaranya, jangkitan kulat dan kuman di dalam vagina, radang pelvis, sukar hamil dan tinggi risiko kehamilan luar rahim, dan yang paling menakutkan adalah kanser serviks.
Ada jugak yang meruang untuk check samada haid dah kering atau belum. Dalam Islam, cukup sekadar masukkan sedikit kain putih atau kapas untuk check ada darah lagi atau tak. Tak perlu masukkan jari pun.
Untuk practicality, kita boleh guna tisu dapur yang keras sikit, lipat segitiga jadi macam roket tu dan bucu tu boleh masukkan dlm vagina untuk check darah haid. Tak perlu masukkan jari pun.
Riwayat Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari (1/71) secara mu`allaq dan al-Muwatta’ (no.97):
Maksudnya: Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka,
“Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”
3. Perihal kesuburan.
Jika dah berkahwin selama setahun, dan belum hamil, seeloknya jumpalah doktor untuk check kesuburan.
Jangan lengah sampai tahun ke 10 perkahwinan baru nak jumpa Dr. Sedih saya sebab pernah jumpa patient dalam situasi ni. Selama 10 tahun dia cuba berubat traditional tapi tak berhasil.
Bila saya check, memang ada masalah hormon dan perlukan ubat kesuburan. Janganlah bertangguh jika ada masalah untuk hamil. Lebih awal kita check, lebih tinggi kadar untuk berjaya memandangkan usia kita belum lanjut.
Masalah kesuburan boleh jadi berpunca daripada isteri ataupun suami. Kedua-duanya perlu diperiksa. Kebanyakkan masalah kesuburan di kalangan wanita berpunca daripada obesiti dan lanjut usia, manakala bagi pihak lelaki pula berpunca daripada merokok.
Berusahalah capai berat badan ideal dan untuk para suami, usahalah untuk berhenti merokok. Bila anak dah lahir nanti, kesian kat anak jika dah terdedah dengan bahan kimia daripada asap rokok.
4. Berusahalah merancang keluarga.
Rancanglah keluarga ikut kemampuan fizikal dan emosi kita. Banyak kaedah yang boleh kita pelajari di klinik.
Jika tidur kita pun belum cukup sebab nak jaga baby, seeloknya janganlah ditambah anak seorang lagi. Kita yang akan menanggung beban mengandung dan menjaga anak yang sedia ada. Biar badan kita betul-betul bersedia untuk mengandung.
Boleh tahan ramai jugak patient yang belum bersedia untuk mengandung tapi termengandung jugak sebab tak merancang dengan cara yang betul.
Bila dah termengandung, ada yang datang ke klinik untuk ambil ubat untuk gugurkan. Sedihnya.. Anak tu tak bersalah, parents yang patut bertanggungjawab.
Sebaiknya, jarakkan kandungan minimum 2 tahun. Bagi masa untuk rahim pulih sebaiknya. At least baby pun dapat kasih sayang yang secukupnya, dan dapat menyusu badan dalam tempoh yang secukupnya.
Ada kes yang saya pernah dapat, patient umur 3 tahun dan adiknya 2 tahun.
Patient ada symptom speech delay bila dibandingkan dengan si adik yang sudah pandai bercakap. Si abang kurang diberi perhatian bila si adik lahir. Kesian kat anak, jadi mangsa keadaan.
5. Pantau perkembangan bayi anda.
Cuba belajar tentang perkembangan bayi dalam tempoh kita mengandung, panjang tempoh tu. Ada ibu yang kurang ambil kisah perkembangan anak.
Ada anak yang sudah berumur 4 tahun tapi masih belum pandai bercakap, hanya tahu tunjuk dengan jari je bila nak something. Sepatutnya masalah ni dikesan seawal 2 tahun. Kalau anak ni dibawa ke klinik kesihatan, kita boleh detect awal melalui assessment.
Ada kes lain, anak 2 tahun diajar ABC, 123 tanpa diajar ilmu lain yang lebih penting contohnya nak sebut susu, nasi, makan, tidur, mama, papa.
Apa yang perlu prioritise dalam usia ni adalah nak ajar anak benda yang dia lakukan setiap hari, belum lagi fasa belajar ABC unless anak dah advance boleh buat 2 patah ayat dan banyak vocabulary lain, baru kita ajar ABC.
Ajar benda yang mudah dan dia nampak fizikal benda tersebut. Nak suapkan nasi, ajar anak sebut nasi. Boleh buat bunyi yumm yumm, sedapnya nasiiii… Baru anak enjoy nak bercakap.
Bila nak suap ayam, ajar anak sebut ayam. Ajar anak bunyi ayam kok kok kok. Boleh bawa anak pi ke kawasan kampung, tunjuk ayam yang masih hidup. Nak lagi best, bawa anak ke petting zoo.
Bagi anak feed binatang kat situ sambil ajar nama-nama binatang. Belajar benda yang real lebih penting daripada ABC. Bila anak dah mahir, boleh selitkan ABC tu nanti.
6. Proses weaning (permulaan makanan solid untuk bayi 6 bulan keatas).
Semasa baby 6 bulan ke atas, ni waktu yang terbaik untuk introduce food selain susu. Selalunya kita akan start dengan bubur kosong yang dikisar dulu. Tanpa garam dan gula sehingga umur 2 tahun. Sedih saya bila ada patient yang datang ke klinik dengan isu penghadaman.
Umur dah setahun tapi si ibu hanya beri anak makan Nest*m yang dibancuh saja, tiada nasi, buah, sayur atau ayam. Ni anak pertamanya dan si ibu tidak bekerja.
Sedih saya, sesibuk jadual saya bekerja sebagai doktor, saya sanggup bangun pukul 5pagi untuk siapkan makanan baby sebab nak pastikan baby makan makanan yang berkhasiat.
Sepatutnya ibu cuba ambil inisiatif belajar dari orang tua-tua atau belajar di fb group makanan bayi seperti Happy Baby Food Malaysia. Banyak resepi di situ, dari resepi bubur, bihun, spagetti, sampailah ke resepi biskut raya untuk baby pun ada.
Paling kurang, boleh baca buku baby yang Klinik Kesihatan bagi tu, banyak maklumat pemakanan bayi kat situ.
Kalau baby tak diajar makan makanan yang betul, akan ada masalah penghadaman, picky-eater in the future dan juga masalah speech delay jika tidak diajar mengunyah makanan secara betul ikut fasa umur.
7. Pemeriksaan kendiri payudara.
Kadar 1 dalam 19 wanita di Malaysia berisiko mendapat kanser payudara. Apa yang boleh kita lakukan adalah pemeriksaan kendiri payudara sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Gunakan 3 jari anda dan tekan pada payudara secara membulat dan rasa jika ada ketulan. Jika ada ketulan, segera berjumpa doktor. Pemeriksaan ni bukanlah 100percent boleh tentukan kanser payudara, tapi kebanyakkan kes dapat dikesan melalu ketulan pada payudara.
8. Masalah rahim rendah/ jatuh.
Segelintir warga emas ada masalah rahim rendah atau uterovaginal (UV) prolapse. Bagaimana nak mencegah?
Antara faktor yang menyumbang kepada UV prolapse adalah mengandung, melahirkan anak, obesiti, batuk berpanjangan, sembelit dan berterusan mengangkat beban yang berat. Seeloknya, kurangkan berat badan dan kurangkan mengangkat beban yang berat.
Mengikut kajian, maksimum berat yang boleh wanita tanggung adalah 15kg. Senaman seperti Kegel Exercise sangat digalakkan. Elakkan sembelit.
9. Jaga kesihatan mental.
Agak ramai wanita yang ada masalah anxiety. Fitrah wanita yang mudah beremosi dan pada masa yang sama, kebanyakkan wanita cuba untuk urus keluarga sesempurna yang mungkin, boleh menyebabkan kita mudah stress.
Rumah nak kena kemas, anak nak nampak terurus, makanan nak masak sedap-sedap. Ada siap buat jadual lagi setiap minggu. Semua ni akan buatkan kita stress dan letih.
Cuba flexiblekan hidup kita. Kalau rumah semak sikit pun takpelah janji kita tak stress dan anak pun happy tak selalu kena marah.
Bab kesihatan mental, ramai yang tak ambil endah. Ada yang tahu dia ada simptom, tapi simpan sorang-sorang, tak usaha nak jumpa kaunselor atau doktor.
Ada yang boleh rasa dia ada postnatal depression (kemurungan semasa berpantang), tapi dibiarkan, sampailah baby teraniaya, sampai ada kes bunuh diri jugak. Dapatkan rawatan, jangan takut dengan stigma masyarakat.
Jika ada yang masih kurang jelas, berjumpalah dengan doktor dan bertanyalah, jangan diam ataupun bertanya kepada orang lain yang bukan dalam bidang perubatan.
Maaflah kalau panjang sangat.. Hehe.. Moga bermanfaat.
– Dr Aurora (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit