Nasihat Untuk Kehidupan

Sedikit nasihat buat anak muda yang baru memasuki kehidupan dewasa.

Mungkin ada sebahagian yang sejak kecil remaja sudah berpisah dari keluarga dan duduk di asrama, menyebabkan mereka kurang mendapat bimbingan langsung dari orang tua tentang asas-asas kehidupan.

Hari ini saya ingin berkongsi sebarang dua nasihat kebersihan rumah dan persekitaran.

1. Jangan tangguh buang sampah makanan.

Sampah makanan akan naik bau setelah satu hari satu malam. Disebabkan sampah ini, rumah akan berbau busuk dan tidak segar.

2. Jangan simpan sampah dalam peti ais.

Maksudnya, jangan biarkan makanan expired, buah-buahan dan sayuran lonyot dan berair, baki makanan yang kononnya nak makan lagi alih-alih dah berkulat semuanya akan mengambil ruang dan kelestarian peti ais.

3. Lepas mandi kutip rambut yang berselirat di salur air.

4. Buat wanita, lepas habis musim ‘cuti’, sila buang sampah wanita yang terkumpul ke luar. Tuala tu akan naik kulat jika dibiarkan lama. Baunya pun ya ampun. Lainlah kalau awak dah hilang hidung mungkinlah tak rasa geli.

5. Dapur adalah tanggungjawab bersama.

6. Basuh pinggan.

Basuh pinggan hanya ambil masa tidak lebih dari 5 minit jika hanya basuh pinggan dan cawan makan.

Kalau ada kuali, sudip dan lain-lain maksimum masa diambil hanya 15 minit; waktu yang tak sedar pun jika anda melayari media sosial. Hanya 15 video tiktok.

6. Pastikan guna penapis sinki.

Jangan buang sampah dalam sinki. Dah tersumbat nanti tahulah kamu seksanya. Lepas tapis kutip sampah terkumpul dan buang.

7. Lepas masak, lap dapur masak dan meja makan.

Muka awak berminyak pun awak cuci, lap segala. Alih-alih dapur masak berkecah, berminyak dibiarkan sahaja?

8. Lepas habiskan nasi dalam periuk, terus rendam dengan air.

Jangan scam housemate lain kononnya dalam tu ada lagi baki nasi untuk orang kemudian.

Maksud awak, nak tinggalkan kerak nasi untuk orang lain? Lagi bagus, angkat dan tonyoh je terus periuk tu. Tak seberat dumbbell yang awak banggakan tu pun.

9. Jemur baju.

Kalau dah basuh baju kemudian anda bertangguh, bukan wangi dan bersih yang anda dapat tapi hapak dan kulat. Jangan malas dik. Matahari pun dah tenggelam di kala awak teringat nak jemur baju tu.

10.1. Kalau ada duit lebih dan sibuk sangat atau pemalas sangat, hantarlah baju ke dobi yang siap lipat tu.

Ataupun kalau rajin anda tu separuh, pergilah ke lobi layan diri, terus keringkan baju dengan dryer. Sambil menunggu tu buatlah apa-apa yang bermanfaat.

10.2. Jangan tangguh untuk angkat kain.

Untuk cuaca panas, 6 jam dah cukup untuk mengeringkan pakaian di jemuran. Awak biarkan jemuran berhari-hari tu kenapa? Dia dah tak boleh nak kering lagi dah.

10.3. Jangan tangguh untuk angkat kain.

Kesian dekat kawan lain yang nak jemur kain juga. Awak nak harap mereka yang angkatkan untuk awak? Ewah-ewah banyak cantik.

11. Maintenance.

-Baiki perabot dan barang elektrik yang rosak.

-Belajarlah sedikit ilmu pertukangan dan ikhtiar hidup.

-Bawa-bawa belajar ke kedai hardware dan DIY.

-Ganti lampu yang terbakar.

-Betulkan engsel pintu.

-Betulkan peti ais yang tak berfungsi.

-Ganti tong gas yang dah habis.

-Betulkan skru pada laci yang senget.

-Belilah WD-40 tu buat maintenance di rumah.

12. Buang barang yang tak dapat diselamatkan lagi. Jangan simpan buat tukun dan kumpul habuk.

13. Jangan 24 jam pakai selipar di dalam rumah.

Sesekali rasakan kotornya lantai bilik, dapur dan tandas kamu. Sapu, vacuum, mop dan beruslah habuk, rambut, minyak dan lendir tu.

14. Buka tingkap untuk menggalakkan pengudaraan yang baik dalam rumah.

15. Kalau housemate tak suka haiwan peliharaan; be it kucing, anjing, burung, ikan, atau kura-kura sekalipun, hormatilah mereka. Tak perlu bela. Biasanya orang tak suka ni sebab kebersihan dan bau.

Sekian sahaja untuk kali ini.

Saya rasa orang-orang tua mesti ada lagi nak tambah. Ha silakan..

– Kakak (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *