Nasihat Untuk Wanita Dari Mak Cik Umur 40-an

Sebagai makcik yang dah berumur 43 tahun, saya nak berpesan lah pada anak-anak dan adik-adik yang sejantina dengan saya.

Serius, mental saya penat baca tentang wanita yang dok meluah perasaan tentang suami dan perkahwinan mereka. Tapi tak nak buat apa-apa. Saya macam, eh ni dah kenapa?

1. Perkara paling penting masa nak akil baligh tu, tolong fahamkan bab haid. Tak apa lah tak nak belajar sains bab lain.

Tapi tentang sistem pembiakan wanita termasuk haid tu wajib ambil tahu. Bukan sebab nak lulus peperiksaan. Gagal subjek sains pun tak apa lah tapi topik haid tu hadam sampai lumat.

Tak ada lah kang depan doktor, bila ditanya, haid datang dari mana, krik krik. Padan lah pakat percaya yang kalau tak keluar haid sebulan sekali, nanti berkerak bagai.

Tu belum lagi teori kalau haid tak turun nanti kepala pening. Doktor ok yang sakit kepala, bukan dia.

Buka buku sains, macam mana persenyawaan berlaku. Bila waktu subur, bla bla bla. Tuntut ilmu penjagaan diri yang betul.

Kalau tak, mudah lah jadi mangsa tukang jual jamu ketat sendat bagai. Sampai kalut nak sumbat jamu dalam faraj, sebab takut longgar, saya ni yang geram jadinya. Ditipu sebab tak berilmu.

2. Nak berkahwin, belajar tentang kaedah merancang keluarga. Badan kita ni anak dan adik ya, hak kita sendiri. Tak adanya lepas jadi isteri orang, badan kita pun dah bukan milik kita. Siapa ajar tu?

Nak pakai kontraseptif pun, terkial-kial nak tanya suami. Bagitahu dia sebab hormat dia. Bukan nak minta izin dia.

Dia dok merokok, hembus asap berkepul-kepul, ada ke tanya kita, boleh ke tak. Tak kan?

Kalau badan dia lantak pilah dia nak buat apa, kenapa kita nak jaga diri kita pun, kena tanya dia boleh tak. Kang anak berlambak, siapa yang kena jaga, suami bukan nak tolong. Kita yang dera diri sendiri.

Anak ramai bukan menjamin pun kita bahagia. Ingat mudah ke nak jadikan anak tu manusia? Beranak memang lah boleh, nak mendidik tu, susah bukan main.

3. Kalau dia tu suami orang, sorok-sorok kita takut isteri dia tahu, tak usah terjebak dengan mangkuk tu.

Dia saja yang cakap, dia nak bercerai dengan isteri, komplen segala benda pasal yang kat rumah tu, macam dia lah mangsa, tu namanya penipu tahap laut dalam. Dia tak ikhlas pun dengan kita.

Nak buat simpanan, jenis pakai buang saja. Kita pergi, berderet lagi menunggu lah.

Kalau kita percaya mulut manis macam tak ada dosa tu, walau dia berserban, tu memang musang berbaju ayam. Cinta lah konon, dia tu patut diludahkan saja.

Kalau mula-mula tak tahu dia tu dah beristeri, tapi kemudian dah tahu, maka bukan setakat berlaku pergi, silakan berlari dengan pecutan, sebab dia tu pembohong.

Kalau benda macam tu pun dia temberang, bayangkan perkara lain. Kita ni ada maruah lah. Jangan sebab kemaruk sangat, kita sampai buta mata kepala hati semua.

4. Kalau suami tu, dari mula kahwin jenis pemalas yang amat, berat tulang, perangai macam bos besar padahal kerja dia pun, alahai pangkat bawah saja, masa tu dah terus beringat.

Tak payah lah nak perasan, sebab kita, dia nak berubah. Mak ayah dia pun tak boleh mengubah dia, kita ni siapa?

Dah tahu dia tu memang tak nak tolong kita buat kerja rumah, tak payah lah beranak berderet. Sebab yang susahnya kita. Lepas tu kita ni dok lah nak minta belas kasihan dia, dengan mengandung setiap tahun.

Ek eleh, kalau dia tu ada perasaan simpati, anak 1 pun dia tak buat kita macam hamba abdi lah.

5. Kalau suami tu curang, tak kira lah sekali ke dua kali ke, berbelas kali atau berpuluh kali sekali pun, tu lagi satu sebab tak boleh nak beranak pinak.

Kang kalau kena tinggal atau kita nak lari dari dia, tak ke susah. Ingat dia nak bertanggungjawab ke kalau dah perangai macam iblis tu. Jangan mimpi lah.

Kita ni dungu lah sangat, maafkan dia sebab dia dengan air mata buaya dok minta ampun. Suami ni main kayu tiga, kita dok mengandung.

Saya yang doktor ni, jadi keliru. Apa kita ingat, dengan hamil, kita dapat ikat dia? Berangan di siang hari lah tu namanya. Bangun lah dari mimpi tu. Dah lah.

6. Mesti kena ada duit simpanan sendiri. Tak kira lah nak berniaga ke, nak bekerja ke atau apa cara lah yang halal. Jangan dok perabih duit.

Dah lah suami tu insurans pun tak ada. Kalau dia meninggal, faham lah juga. Tapi kalau dia cabut angkat kaki, mana kita nak tuju?

Kalau keluarga mertua ambil kisah tak apa, kalau dibiar, sendiri lah merana. Nak mak ayah kita tanggung dengan begitu banyak mulut nak disuap, kalau mereka tu kaya, boleh lah. Kalau tak? Kita pun tahu apa kesudahannya.

7. Belajar cara nak berdikari lah. Ni memandu kereta pun tak boleh. Semua berharap suami. Tak ada suami, patah kaki terus.

Memang lah kena bergantung pada suami, kang kalau kita buat semua, suami panjang lah pula langkahnya sebab tak ada kerja buat, tapi kena lah bersedia.

Langit tu tak sentiasa cerah. Kang datang hujan ribut taufan kang, naya kita. Kalau setakat kita seorang, tak apa. Kalau anak-anak pun ada, mahu meraung juga tu.

8. Bahagia tu kita ciptakan. Dalam rumah tangga, kena saling kerjasama supaya ia kekal bahagia. Bukannya terjadi sendiri ya. Dok kalut dengan anak-anak jangan lupa yang kita ni pasangan yang saling memerlukan perhatian.

Kasih sayang tu mesti disemai. Sentiasa. Tak nak lah kita ni balik rumah sebab tu saja tempat nak dituju. Sepatutnya rumah kita tu syurga keluarga kita lah.

9. Untuk rumah tangga yang bahagia, bukan satu pihak saja yang kena bekerja ke arah tu.

Kalau yang satu lagi, buat tak endah, sampai kita dok berendam air mata kalah cerita lakonan Arwah Neng Yatimah atau Arwah Azean Irdawaty,

Saya tak faham kenapa harga diri kita tu murah sangat sampai suami buat kita macam kain buruk pun kita terima.

Mak ayah kita bela kita dari lahir sampai besar penuh kasih sayang, alih-alih bila dah kahwin kita biar diri kita dibuat macam sampah oleh suami, pun kita redha saja.

Hina sangat ke kita ni? Kalau orang buat macam ni kat adik saya, memang makan kasut lah mamat tu.

10. Tak payah nak jadikan anak-anak tu alasan masih nak hidup dalam rumah tangga tak bahagia. Sebenarnya bukan sebab anak-anak. Pentingkan tembolok sendiri.

Konon nanti tak ada tempat berteduh lah. Anak-anak dah tak ada ayah lah. Ayah dia bukan dah meninggal pun. Ada tu hah. Cuma dia tak layak jadi suami. Dia tetap jadi ayah pada anak-anak, sampai kiamat pun.

Takut sangat kalau tak bersuami, kan. Iya lah gelaran janda tu macam keji lah kot, tu yang tadah saja suami buat apa pun. Nak jaga air muka sampai diri dipijak dan dilunyai, boleh ek gitu.

Risau ke kalau tak ada lelaki lain nak, kalau ya pun, apa masalahnya? Sejak bila wanita kena ada lelaki untuk hidup atau bahagia? Tolong lah.

11. Suami naik tangan saja, terus tak ada maaf ya. Ingat tu. Suami yang pukul isteri adalah dayus. Pengecut. Dia minta maaf lepas tu, dia buat lagi. Dan kemudian, mohon ampun lagi. Berulang lah kitaran tu selagi mana kita tak keluar dari rumah neraka tu.

Ni tak, beria lah buat laporan polis, suami pujuk rayu sampai ke katil, dah lupa yang lebam semua kat badan. Tarik balik laporan. Bertahun-tahun lah begitu.

Yang saya nak tekankan sangat ialah, kita ni sebagai wanita. Tolong lah. Sayangkan diri sendiri dulu. Banyak kali saya dok pesan benda yang sama.

Siapa yang biasa baca saya punya tulisan, tentang wanita, memang dah masak pun. Kalau kita tak boleh kasihkan diri kita, tak payah mimpi lah nak ada orang lain boleh sayangkan kita.

Anak-anak kita pun membesar dalam suasana yang tak sihat. Yang anak lelaki jadi sebiji macam ayah dia atau dia benci sangat dengan ayah dia sampai dah tak ada hormat

Yang perempuan ni dah pasak dalam otak dia, sebab jantina dia, dia layak lah dibuat macam mana kita dilayan oleh ayah dia.

Saya tak nak sentuh bab agama. Sebab saya tulis ni secara am untuk semua bangsa dan agama. Yang membaca tulisan saya bukan semuanya Melayu Islam. Agama mana pun tak ajar umatnya aniaya manusia lain kan.

Yang wanita yang masih dok harap rumah tangga dia yang berantakan tu tetiba jadi macam cerita dongeng Disney, dengan anak-anak yang tak berhenti dilahirkan, dah lah tu.

Tak buat pilihan juga satu keputusan. Dok meraih simpati orang keliling dengan ceritera sedih pilu tu tak mengubah apa pun. Sendiri lah buat keputusan. Hidup sendiri kan? Bukan hidup orang lain.

– DR NINIE (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *