Nikah Untuk Ditalakkan

Assalamualaikum readers. Tak tau la nak mula macam mana. Aku rasa celaru kucar kacir hati ni. Aku baru lepas habis pantang melahirkan seorang anak luar nikah dan bakal bernikah minggu hadapan. Dengan ayah kepada anak yang sama.

Terpaksa rela juga aku menerima untuk menikah dengan lelaki itu untuk menutup aib demi menjaga maruah keluarga aku. Kalau kami tak menikah, anak ini akan diserahkan pada keluarga angkat. Mana mampu untuk aku melepaskan anak aku walaupun bukan lahir dalam pernikahan.

Lelaki itu aku kenal sejak zaman sekolah lagi. Dia merupakan senior aku. Dia tua setahun. Menyulam cinta bertahun lamanya membuatkan kami berzina. Setelah bertahun seronok dalam dosa, tahun lepas Allah tunjukkan kuasanya. Aku hamil pada bulan 11.

Dalam masa yang sama lelaki tu berkenalan dengan perempuan lain satu kilang dia bekerja. Dia tetap berhubung dengan perempuan tu walaupun perempuan tu dah berpunya. Aku pun tak faham kenapa perempuan tu melayan walaupun dah berpunya. Semoga pasangan dia tak curang jugak. Dan aku? Stress sangat. Lelaki tu memaksa aku untuk gugurkan kandungan. Ketika tu baru 2 minggu. Aku hampir juga menggugurkan.

Terima kasih pada sahabat aku yang menyedarkan aku dan menegah untuk aku gugurkan. Sahabat aku pernah bekerja sebagai pembantu klinik swasta dan memberitahu risiko untuk mendapat kanser rahim amat tinggi. Lelaki tu mengamuk dan marah. Katanya dia takkan menikah dan setuju untuk aku simpan anak ini. Sehabis boleh dia memaksa aku, memaki hamun dan menafikan itu anak dia.

Aku tau yang anak luar nikah boleh dibinkan nama ayah kandung jika mereka menikah sebelum usia kandungan 3 bulan. Dalam tempoh tu aku usaha dengan memujuk dia menikahi aku. Memujuk dia untuk jujur pada ayahnya mengenai kandungan aku. Tapi hampa. Katanya ayah dia ada sakit jantung dan tak nak ambil sebarang risiko. 3 bulan berlalu begitu saja. Dan dia sudah tidak berhubungan dengan perempuan tu. Sehinggalah keluarga aku tahu. Ketika itu kandungan aku sudah 7 bulan.

Abah aku tak marah malah memujuk dia untuk menikah dengan aku. Abah kata aku harus menikah dengan dia untuk menutup malu dan kebajikan anak akan datang. Untuk segala keperluan dia memberi aku duit dan aku beli sikit2 barang bayi secara online. Namun dia sentiasa mengungkit wang yang pernah dia bagi.

Dan bila berlaku salah faham, dia selalu akan menyalahkan aku atas segala salah silap yang pernah aku buat. Katanya aku lah punca dia curang. Aku tak pandai kawal emosi. Padahal aku tengah hamil masa tu. Wajar la aku teremosi dan marah. Sebab aku sendiri pun tak faham diri aku masa tu. Dia sentiasa jadikan alasan yang aku tak matang tak reti jaga emosi untuk dia melakukan perkara yang aku tak suka.

Dia juga suka main game. Aku sangat terganggu sebenarnya dengan sikap kaki game dia ni. Untuk urusan nikah yang memerlukan aku berbincang dengan dia amatlah sukar. Bila aku call dia akan reject sebab tengah main game. Bayangkan aku chat dan call dia dari jam 2 petang sampai pukul 3 pagi baru dia respon dan itu pun bila dia nak tidur.

Itu waktu dia cuti. Bayangkan jika hari dia kerja. Memg takkan dapat bincang. Jadi macam mana urusan nak selesai. Sikap acuh tak acuh dia buat aku tertekan. Ada satu ketika tu dia main game seharian sampai 3 pagi. Esoknya dia ada kursus nikah. Tapi hari pertama dia terlepas kerana terlajak tidur. Tarikh nikah lagi 3 minggu. Dan sebab kes tu borang dia delay dan tarikh nikah kena ubah.

Tu belum kes jumpa perempuan lain dalam game sampai ke whatsapp berhubung. Siap saling hantar gambar dan dia buat folder khas untuk gambar perempuan tu. Masa kes dia menggatal balik ni aku dalam pantang 2 minggu. Bayangkan betapa teruknya emosi aku masa tu. Dengan family lagi yang masih tak dapat terima aku conteng arang di muka mereka.

Aku jadi marah pada anak aku. Malam hari biasanya aku paling nak mengamuk dengar anak aku menangis. Aku pernah pukul badan anak aku. Pernah abaikan anak aku menangis tak bagi dia susu. Pernah terfikir nak ambil pisau dan tikam anak aku. Allahuakbar.. Syukur aku tersedar. Aku tak kuat masa tu. Tapi lepas sebulan gejala baby blues makin lama makin hilang. Tekanan dan support yang kurang buat aku jadi macam tu tapi aku tak salahkan sesiapa. Memang semua tu berpunca dari diri sendiri. Hadap jela kan.

Dan dia.. Hmm macam tu la. Masih menyalahkan aku dan kata aku menyusahkan dia padahal aku buat semua ni untuk anak kami. Tiap kali bergaduh dia mesti akan suruh aku taat sebab dia suami aku. Dan dia juga selalu ugut untuk batalkan pernikahan dan akan mentalakkan 3 bila gaduh masa dah nikah nanti. Belum nikah dah fikir nak talak 3 kalau gaduh. Aku tak tau la apa nasib aku nanti.

Kata makian tak perlu cakap la. Banyak sangat. Bodoh bebal dan binatang dalam hutan tu memang makanan dia kalau tengah marah aku. Solat kelaut. Aku tegur kata aku ustazah. Kata aku bajet baik. Tapi bila datang ke rumah aku elok pulak solat. Katanya nak tunjuk baik depan abah aku. Yela nak nikah kan. Bila aku tnya nanti nikah nak solat tak? Laju je jawab tak. Haih hipokrit.

Aku sebenarnya kesian kan anak aku. Waktu di klinik untuk cucuk sebulan anak aku menagis nak susu semasa tunggu giliran. Aku minta dia ambil bekas susu dalam kereta tapi masa tu dia sedang main game. Aku terpaksa dodoi anak aku satu klinik sebab dia tak hirau nak berhenti dan ambilkan susu dalam kereta. Lebih rela terus main game takut mati dalam game. Rela tengok anak lapar. Kesian anak aku.

Adakah aku betul untuk menikah dengan dia? Aku ada terbaca satu kata2 ni. ‘Pilihlah ayah yang baik untuk anak2 mu kelak kerana anak2 mu tak dapat memilih ayah mereka’. Akan terdidik dengan baik ke anak aku nanti?

Entah lah.. Kadang aku terfikir untuk sekadar menikah dan rela jika ditalakkan. Biar orang tau anak aku tu berbapa dan aku dah diceraikan pun dah cukup. Biar anak aku selamat dari cacian orang walaupun aku tak bahagia. Kadang aku berangan akan ada lelaki yang sanggup untuk menikah dengan aku dan terima anak aku seadanya tapi tu semua mimpi je. Mana wujud lelaki yang nakkan anak selain anak dia nak2 lagi anak tu luar nikah.

Aku tertekan sangat. Aku jadi murung fikirkan nasib aku kelak lepas nikah. Dalam masa sama aku kesiankan abah dan keluarga aku. Aku buntu. Maaflah andai korang semak baca sebab panjang sangat. Aku tak tahu nak luah dimana. Orang menanti hari nikah penuh debaran. Aku pula tak bahagia dan bagai hilang harapan. Kalau inilah balasan yang dapat kikis dosa2 zina aku, aku redha. Tolong doakan aku lapang dada dan kuat untuk anak aku pada hari akan datang.

Terima kasih sebab membaca.

– Star Anise (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *