Nikmat Ada Mak

Assalamualaikum dan salam sejahtera.. Terima kasih admin sudi share luahan saya ini untuk bacaan para follower page ini.

Kenalkan diri saya Kenanga gadis awal 20an dan masih melanjutkan pengajian di ibu negara. Sekarang tengah praktikal.

Ibu kandung saya telah meninggal sejak saya dibangku sekolah rendah dan ayah saya telah berkahwin baru dengan seorang janda yang telah mempunyai anak. Jadi saya mempunyai seorang ibu tiri dan adik beradik tiri.

Hubungan kami adik beradik tiri agak baik tapi tidaklah sebaik seperti adik beradik kandung. Tapi masih dikira baik untuk hubungan adik beradik tiri.

Beza umur saya dengan adik beradik tiri saya agak jauh. Waktu saya masih bersekolah mereka sudah mempunyai anak. Jadi saya tinggal dengan ibu tiri dan ayah saya.

Hubungan saya dengan ibu tiri agak rapat hampir seperti hubungan kandung tapi tetap terasa ada gap kerana beberapa perkara. Ya anak tiri tetap anak tiri.

Alhamdulillah, Allah menjaga mulut kami adik beradik untuk tidak memburukkan ibu tiri atau adik beradik tiri kepada orang lain walaupun kadang ada perkara yang kami rasa geram.

Saya berusaha setiap bulan untuk kirim duit ke kampung bagi keperluan ayah dan ibu tiri saya. Saya ada buat kerja freelance sebagai online marketer.

Cuma saya geram dengan adik beradik tiri saya, mereka agak berkira dengan ibu mereka sendiri. Jika ibu mereka kirim untuk beli sesuatu, mereka pasti claim semula harga barang itu dari mak mereka.

Mereka juga sering mempergunakan ibu mereka jika mereka perlukan duit. Tak dinafikan mereka bukanlah anak yang teruk sangat tapi diusia tua sepatutnya seorang ibu tidak lagi perlu memikirkan soal duit.

Saya kasihan akan mak tiri saya. Tapi saya nasihat pun itu anak dia, mesti dia nak bantu. Mana ada mak yang taknak bantu anak dalam keperluan.

Lagi satu yang saya pelik dengan mak tiri saya dengan anak anak dia adalah, budaya bersaing. Mereka bagaikan tidak boleh melihat salah seorang lebih. Mereka akan bersaing membeli. Tak kiralah tv, penapis air, karpet atau apa pun.

Jika ada yang membeli, yang lain mesti akan mengikut tidak pun akan memerli. Mak dengan anak pun bersaing. Anak dengan mak pun bersaing. Adik beradik juga bersaing.

Saya sebagai pemerhati geram sahaja melihat kelakuan mereka. Jenis saya, saya tidak peduli sedikit pun tentang apa yang orang ada. Orang nak beli kapal terbang, jika mereka mampu saya ucap tahniah. Kalau dia bagi tumpang saya akan naik. Tapi saya takkan dengki.

Mereka ini, pening saya kadang-kadang.

Mak tiri saya ini sudah pencen jadi pendapatan dia tak adalah besar. Tapi anak anak dia sentiasa anggap dia macam banyak duit.

Suka api-apikan dia untuk beli itu ini. Bila orang tua tu tak cukup duit, mulalah dia mengungkit pada ayah saya kata duit tak cukup. Saya kadang-kadang menangis bila dengar ayah dengan mak tiri saya bergaduh pasal duit.

Saya tak mampu nak kirim duit yang banyak sebab saya masih belajar. Saya mampu kirim untuk belanja dapur sahaja. Kadang untuk kirim duit ke kampung saya sendiri perlu ikat perut.

Ayah saya tak pernah minta atau mengadu pasal duit kepada saya. Tapi adik bongsu saya selalu cerita masalah yang berlaku dirumah.

Saya kasihan dengan adik saya sebab dia tak patut menghadapi keadaan sedemikian. Jadi saya kirim duit belanja dapur supaya adik saya tidak terasa dia sebagai beban.

Kalau ikut pengiraan digabungkan duit pencen ayah dan mak tiri saya, sebenarnya cukup untuk mereka bertiga hidup dengan tenang. Sebab adik cuma makan, tumpang tidur dan pakai sahaja dirumah.

Yuran persekolahan dan keperluan sekolah dia, biasiswa dia cukup.

Kenapa ya ada anak yang dengki dengan ibu mereka sendiri? Kenapa ada anak yang berkira-kira untuk ibu mereka sendiri? Nak kata, kami adik beradik kikis duit ibu tiri kami jauh sekali.

Kami takkan ambil hak ibu atau ayah kami. Malu kami adik beradik nak minta duit dengan orang tua. Tapi kenapa tidak mereka?

Waktu ayah kami keluarkan kwsp dia, kami adik beradik lansung tak minta sikit pun. Tapi adik beradik tiri saya, siap pinjam duit ayah saya. Pulangkan?? Tak apa ayah saya halalkan.

Saya bukan niat ingin mengumpat mereka, tapi saya nak meluahkan perasaan saya. Saya tak mahu canang perasaan saya di media sosial saya. Saya taknak orang tahu pasal keadaan keluarga saya. Saya tak nak ayah saya malu.

Tolong, tolong doakan ibu tiri dan adik beradik tiri saya berubah. Cukuplah meletakkan duit sebagai ukuran kebahagiaan dan kasih sayang.

Paling saya geram, adalah bila mengenangkan betapa kasih seorang ibu terhadap anak. Walaupun tidak larat sudah untuk memasak, tapi demi anak yang dikandung dia bangkit ke dapur untuk sediakan makanan yang anak dia ingin makan.

Tapi tahu tak, makanan untuk dia makan saya dan adik saya yang sediakan.

Jika kami teringin makan sesuatu semua kami buat sendiri. Kami cuma minta mak tiri kami tunjukkan cara. Bahan semua kami beli dan kami masak sendiri. Makanan yang mak tiri kami nak makan pun kami yang buatkan.

Tapi anak dia tak pernah nampak ini. Tak bersyukur kah mereka masih punya mak. Masih mampu makan makanan yang dingini dimasak oleh mak mereka.

Saya disini bukan ingin menunjukkan bahawa diri saya baik, tapi saya ingin ingatkan pada semua yang masih mempunyai mak. Mak masih mampu masakkan makanan kegemaran kalian. Mak yang berusaha untuk mencukupkan kelengkapan kalian.

Bersyukurlah. Hargai mereka.

Ya. Saya sebagai anak tiri yang sudah tidak mempunyai emak sejak kecil sangat cemburu melihat orang lain apabila pulang ke kampung disambut oleh makanan masakan emak.

Saya….. Balik kampung masak sendiri….

– Ibu tiri vs anak tiri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *