Nikmat Berserah Pada Allah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca iiumc.com. Perkenalkan nama ku Syaf. Hari ini aku ingin berkongsi sebuah cerita daripada pengalamanku sendiri yang bertajuk berserah. Berserah seperti semua umat islam tahu adalah usaha dahulu dan berserah kepada Allah. Itulah yang diajarkan kepada ku ketika di sekolah. Kisah ini merupakan kenangan paling manis dalam hidup ku dan titik permulaan aku mengenal Islam dan Allah. Kepada admin ku amat berharap kisah ini dapat disiarkan dan dapat memberi manfaat kepada pembaca sekalian dan terima kasih kalau diluluskan.

Sebelom aku mengamalkan konsep sebenar-benar berserah ini dalam hidopku telah datang seorang hamba A menyampaikan kepada ku tentang konsep sebenar-benar berserah. Dia ajarkan kepada ku bahawa aku perlu berserah dahulu dan barulah aku berusaha. Di sini adalah sebenar-benar tertib nya apabila berserah yang telah disampaikan olehnya. Untuk pertama kalinya aku mendengar amat susah untuk aku mempercayainya kerana apa yang diajarkan kepada ku selama ini adalah usaha dahulu barulah berserah. Tetapi hakikatnya sudah tercatat dalam al quran bagaimana caranya untok berserah. “Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.” Al Quran bab Rombongan ayat 54. Ayat ini menerangkan bahawa berserah itu mestilah bulat-bulat kepada Allah. Bermakna kita meletakkan pengharapan kita kepada Allah dahulu barulah kita berusaha mendapatkan harapan kita itu.

Hidopku mula berubah setelah aku mengamalkan sebenar-benar berserah itu seperti yang disampaikan hamba A ini. Sebelom itu hidop ku betol-betol susah makan, duit dan keperluan semuanya serba tidak cukop. Hatiku sentiasa dalam keadaan risau kerana semuanya serba bermasalah. Mungkin hidop aku susah ketika itu kerana aku menolak kebenaran tentang berserah yang disampaikan oleh hamba A itu dan juga aku jauh dari Islam dan Allah. “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).” Al Quran bab Wanita ayat 79. “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.” Al Quran bab Keluarga Imran ayat 105. Ketika aku membaca surah ini barulah aku mengerti kenapa hidop aku ketika itu susah. Sebab ketika itu aku cuba menolak kebenaran itu. Selepas aku mengamalkan sebenar-benar berserah itu keajaiban betol-betol berlaku dalam hidop aku. Terlalu banyak keajaiban sehingga membuat aku mengerti sebenar-benar berserah itu dan timbul minat aku terhadap Islam.

Cerita berserah ini bermula dalam hidop aku apabila ketika itu aku baru memulakan kerja dalam beberapa minggu di Taman Mount Austin dan wang yang ada di kocek ku hanya cukop untok aku isi minyak moto untok esok hari. Padahal hari itu aku belom makan lagi dan aku lapar sekali. Fikiran ku sudah mulai risau apa yang harus aku lakukan. Ingin aku meminjam wang tiada tempat untok aku meminjam. Ingin aku meminta bantuan kepada keluargaku, mereka lagi susah dariku. Fikiran ku buntu lalu terdetik dalam hati aku untuk mencuba berserah seperti yang disampaikan oleh hamba A sebelum ini dan sekaligus ingin menguji apakah benar yang namanya berserah itu adalah berserah dahulu baru berusaha. Lalu aku berdoa kepada Allah “ ya tuhanku aku lapar, tolong la bagi hambamu ini makanan”. Ketika aku berdoa waktu itu aku juga niat dihati ku untok meminta bukti dari Allah adakah ini sebenar-benar nya cara berserah. Lalu aku pergi ke surau untuk menunaikan solat zohor, tempat kerja aku ketika itu tidak menyediakan tempat solat jadi terpaksa aku solat di surau yang berdekatan. Ketika aku melangkah masuk ke surau itu aku tersenyum dengan sendirinya bersyukur tidak terhingga kerana doa aku termakbul. Seakan-akan mimpi, ibarat orang yang ngantuk disarungkan bantal. Ketika itu ada makanan disurau yang memang sengaja ditinggalkan, mungkin ada hamba allah yang mendermakan makanan di surau ketika itu. Aku rasa beryukur sangat tapi aku menyangka mungkin apa yang berlaku hanya kebetulan sahaja makanan itu ada. Tidak mungkin aku mintak makanan tanpa aku lakukan apa-apa boleh dapat makanan itu. Aku berkata mungkin ini hanya kebetulan belaka bukannya akibat daripada aku berserah.

Tiba pula hari seterusnya dimana wang yang kemarin ada hanya cukop-cukop untuk isi minyak motor telah ku gunakan hari ini untok mengisi minyak motor. Fikiran ku kembali rungsing dan buntu. Apa harus aku lakukan kerana aku betol-betol tidak mempunyai wang. Jangan kan untok isi minyak moto bahkan untuk makan sahaja aku tidak mampu ketika itu. Aku kembali risau seperti semalam apa lagi harus aku lakukan. Lalu terdetik lagi peristiwa semalam yang berlaku dimana ketika aku cuba untuk mengamalkan sebenar-benar berserah itu. Ketika itu aku memang masih tidak percaya lagi berserah adalah dengan berserah kepada Allah dahulu lalu berusaha. Datang ilham untuk aku menguji lagi seperti semalam adakah benar berserah itu seperti semalam yang aku lakukan. Lalu aku berdoa kepada Allah “ ya tuhanku aku tidak ada duit bagilah aku duit” perbuatan aku ketika itu sama seperti semalam. Ketika aku berdoa aku juga niat dihati ku untuk meminta bukti dari Allah adakah ini adalah caranya berserah. Tidak lama kemudian selepas aku berdoa itu terdetik hatiku untuk menyelongkar laci dimeja ku itu yang penoh kertas-kertas. Untok maklumat aku ketika itu baru masuk kerja di syarikat itu jadi meja aku duduk itu adalah milik pekerja lama yang telah berhenti. Sempat jugak aku berkenalan dengan orang itu. Ketika aku sedang menyelongkar laci meja dengan niat menemui keajaiban daripada doa aku tadi lalu aku terkejot. Aku menemui sampul ang pow yang selalu digunakan ketika raya cina. Berkata aku dalam hatiku mustahil ada duit dalam tu. Tidak mungkin tadi aku mintak duit aku boleh dapat duit. Untuk membuktikan adakah apa aku hajatkan dari Allah itu betol-betol termakbul lalu aku buka sampul ang pow itu. Alangkah terkejotnya aku melihat ada wang RM 20 didalam itu. RM 20 memang kecil nilainya tapi dengan keadaan ketika itu tidak mempunyai wang jadi terasa amat besar sekali nilainya bagiku. Perasaan aku bahagia ketika itu seakan-akan ingin menangis kerana keajaiban betol-betol berlaku untuk kedua kalinya. Tetapi terlintas pula dihati ku tidak mungkin Allah hendak bagi aku wang haram itu kerana kalau aku ambil wang itu tanpa mintak izin dari tuannya sama saja aku mencuri jadi haramlah wang itu. Lalu aku sms pekerja lama yang dah berhenti itu dan aku ceritakan yang aku menemukan wang RM 20 di laci meja dan aku ingin meminta wang itu darinya sebab ku temukan. Lalu orang itu berkata ambiklah. Lagi la bertambah aku suka kerana apa aku hajati tercapai. Lalu aku berfikir mungkin ini lah sebenar-benar nya berserah seperti jawapan yang ku ingin kan dari Allah. Setelah dari dua kejadian waktu itu aku terus mengamalkan sebenar-benar berserah dalam hidup ku seperti apa yang aku alami.

Selepas dari kejadian itu teringat pula akan kisah dalam hidop ku yang telah berlaku sebelom kejadian aku ingin mengamalkan berserah dalam hidop ku ini. Kisah mula-mula dan dari kisah inilah aku renungkan dan barulah aku faham apa itu berserah. Kisah nya bermula ketika itu aku baru bangon dari tidor dan kusedari mataku sakit lalu aku melihat ke cermin dan ku dapati mataku besar seakan-akan bengkak sebelah. Ketika ini aku sudah kusut sebab aku ingin pergi kerja, masa aku ingin pergi kerja dalam keadaan mata ku seperti ini. Adakah aku harus meminta cuti sahaja. Lalu terlintas dihati ku untok berdoa. Aku hidopkan enjin moto ku dan aku berdoa kepada Allah “ya tuhan ku jika benar sakit dimata ku adalah sakit yang lalu sahaja (sakit sekejap) maka sembuhkan la mataku, tetapi jika aku betol-betol sakit izinkanlah aku bertemu doktor”. Lalu aku terus kan perjalanan ku bukan hendak pergi ke kerja tetapi pergi ke hospital sambil aku teringatkan doa ku tadi. Sesudah sampai di hadapan hospital aku tidak terus masok tetapi melihat mataku adakah sudah sembuh. Ternyata mataku sudah betol-betol sembuh. Bukan main gembiranya aku waktu itu. Tetapi ketika kejadian itu tidak aku fahami lagi apa itu berserah, dan ku renungkan dari kejadian ini dan kejadian yang ku ceritakan mula-mula tadi apa sebenarnya yang aku lakukan itu adakah ianya adalah berserah? Jawapannya adalah ya, tanpa ku sedari ketika itu telah aku lakukan sebenar-benar berserah itu. Hal ini demikian kerana telah aku berserah dahulu kepada Allah dan kemudian aku berusaha atau ikthiar mencari penawar kepada sakit ku ketika itu. Selalunya jika kita sakit pasti benda pertama kita cari adalah ubat dan setelah memakan ubat itu baru lah kita berdoa semoga sembuh sakit itu.

Tetapi cerita berserah tidak berakhir disitu sahaja. Kerana telah aku amalkan sebenar-benar berserah itu dalam hidop ku maka keajaiban terus-terusan berlaku dalam hidopku. Ketika kejadian ini aku masih lagi bekerja di Taman Mount Austin dan ketika itu aku ditugaskan untok pergi ke PTP. Jarak dari Taman Mount Austin ke PTP lumayan jauhnya dan ketika aku memulakan perjalanan sudah ku perhatikan minyak moto ku tinggal sedikit tetapi cukop untok sampai ke PTP sahaja dan mustahil boleh sampai ke Taman Mount Austin semula. Lebih kurang separuh dari tangki minyak moto ku yang tersisa waktu itu dan moto yang ku naiki tangki nya kecik, sesiapa yang menunggang moto honda dash tau la betapa keciknya tangki minyak moto tu. Perancangan ku ketika itu adalah selepas keluar dari PTP ingin ku isi minyak moto di stesen minyak yang berdekatan highway keluar dari Tuas kerana hanya disitu sahaja yang ada stesen minyak di tengah-tengah hutan dan highway. Telah dijadikan takdir selepas aku keluar dari PTP aku terlupa mengisi minyak. Bagaimana benda paling penting aku lupa padahal sudah aku membuat perancangan. Lalu aku niat untok mengisi minyak di Taman Bukit Indah kerana disitulah yang terlintas stesen minyak yang paling dekat. Menjadikan cerita lebih dramatik aku boleh tersalah memasuki lorong ketika itu. Sepatutnya kalau dari PTP hendak ke Taman Bukit Indah aku harus ikot highway ke Pasir Gudang. Tetapi ketika itu aku memasuki highway ke Senai. Lagilah rungsing fikiran ku kerana sepanjang highway tu tiada tempat isi minyak. Meter minyak selepas keluar dari PTP sahaja sudah paras merah dan memandangkan tangki honda dash kecik lagilah mustahil boleh sampai ke senai. Sepatutnya minyak moto ku sudah habis sebelom sempat aku keluar dari highway. Ketika itu aku hanya berserah kepada Allah dan terus-terusan aku berdoa agar Allah izin kan aku sampai ke stesen minyak tanpa moto ku habis minyak. Lalu aku meneruskan perjalanan mencari stesen minyak. Berbekal kan firasat atau instinct aku main lalu je highway senai yang entah kemana di bawanya. Ketika perjalananku, aku melihat susur keluar dari highway memasuki persimpangan Johor Premium Outlet, Mall yang terletak di tengah-tengah hutan. Daripada aku teruskan perjalanan ke Senai lebih baik aku cuba cari stesen minyak berdekatan Johor Premium Outlet mana-mana tahu ada orang jual minyak tepi jalan. Tetapi idak juga aku temukan stesen minyak yang berdekatan. Akhirnya aku jumpa juga stesen minyak iaitu berhadapan dengan Hospital Kulai. Bayangkan bertapa jauhnya aku boleh sampai dengan berbekalkan berserah kepada Allah. Perjalanan dari Taman Mount Austin ke PTP dan seterusnya ke Hospital Kulai melebihi 60KM. Mengikut logik mustahil tangki minyak motor dash yg lebih kurang separuh boleh menempuh perjalanan yg jauh lagi berbukit. Ikot kan pengalamanku sendiri selalunya kalau tangki dash full tank hanya mampu menempuh perjalanan dalam 100KM. Tapi pagi tadi sudah aku tempuhi perjalanan lebih dari 50KM. Jadi memang mustahil boleh minyak tak habis-habis waktu itu. Mungkin inilah keajaiban daripada berkat aku berserah kepada Allah. Mungkin cerita ini masuk akal kalau minyak memang mencukupi tapi melalui pengalaman yang telah aku lalui peristiwa ini memang satu keajaiban sebab sepatutnya minyak moto ku sudah lama habis di tengah-tengah highway.

Cerita seterusnya mengenai berserah dalam hidop ku dan cerita ini lah yang paling manis sekali dan mustahil aku dapat lupakan. Kerana cerita ini adalah keajaiban paling besar sekali dalam pengalamanku ketika berserah. Ketika ini aku sudah berpindah kerja di tempat baru di Taman Perling. Aku merupakan lepasan universiti awam dan sepanjang setahun selepas aku tamat pengajian macam-macam kerja yang aku cuba dan kebanyakan kerja yang aku cuba tidak menggunakan sijil degree ku. Banyak tempat aku memohon tetapi tidak berhasil mendapatkan kerja yang sesuai dengan sijil ku oleh itu aku bekerja biasa-biasa sahaja. Hendak dijadikan cerita aku sudah mulai terasa bosan dengan kerja ku ketika itu. Sampai bila aku hendak kerja begitu sedangkan aku mempunyai degree. Aku harus bekerja sampai 14 jam dan diberi cuti sehari seminggu. Waktu rehat ku tidak cukop sampai sering kali aku tertidor ketika menunggang motor. Ada juga waktu aku terjatuh ketika menunggang moto disebabkan aku tertidor, mujor sahaja aku masih hidop lagi. Sebenarnya waktu itu banyak kali aku menunggang sambil tidor tapi tidak terjadi apa-apa. Melihat kawan-kawan ku sudah ada yang berkahwin sudah ada kereta dan ada yang bergaji lebih 3k tetapi aku masih mencari kerja. Mungkin itu adalah ujian hidop ku supaya aku lebih dekat dengan Allah. Selepas dari itu aku membuat keputusan untok berhenti kerja walaupun ketika itu aku tidak mempunyai mana-mana tawaran kerja. Ketika itu aku betol-betol nekad dan aku hanya berserah kepada Allah mengenai kerjayaku. Tidak aku meminta kepada Allah yang aku ingin kerja bagaimana. Aku hanya berserah sepenuhnya kepada Allah. Waktu itu aku hanya dalam perancangan hendak berhenti belom lagi aku menghantar surat berhenti. Ketika kejadian, aku sedang menikmati hari cuti ku di kampung, hujan pun turun tiba-tiba dan secara tiba-tiba juga telefon ku berbunyi lalu ku menjawabnya. Alangkah terkejutnya aku mendapat panggilan tawaran bekerja. Ketika itu aku tidak ada meminta mana-mana kerja kerana hatiku sudah berputus asa mencari kerja sebab aku hanya dapat kerja yang tidak bersesuaian dengan kelulusan ku. Hendak dijadikan nya situasi itu benar-benar keajaiban, ternyata syarikat yang menawarkan kerja itu tidak pernah aku meminta kerja disitu dan tidak terlintas jugak syarikat itu boleh menawarkan aku kerja di fikiran ku. Padahal ketika itu aku hanya berniat hendak berhenti kerja sahaja tetapi disebabkan aku telah berserah kepada Allah dahulu dan telah dimakbulkan permintaan ku. Aku sungguh bersyukur waktu itu. Mungkin ini adalah hikmah daripada berserah kepada Allah. Kalau ikot kan logik mustahil kau boleh mendapat kerja bila kau tidak memintanya. Sedangkan sebelom ini pergi minta kerja banyak tempat dan pergi interview banyak tempat tapi tidak dapat-dapat. Setelah aku berserah kerja itu pula yang datang kepada ku. Inilah nikmat daripada berserah memang terasa sungguh indah sebab Allah yang bagi kepada kau.

Untok maklumat juga setelah daripada peristiwa aku mencuba untok mengamalkan sebenar-benar berserah itu seperti yang ku ceritakan mula-mula. Hidop ku memang berubah sepenuhnya. Selepas dari peristiwa itu aku lebih banyak mengamalkan berserah dalam hidopku sehinggakan tiada lagi masalah-masalah seperti dulu yang kuhadapi. Aku sudah tidak mempunyai masalah kewangan bahkan hidop ku lebih tenang dan aku boleh makan makanan yang sedap-sedap (mahal). Fikiran ku tidak lagi sentiasa rungsing asik memikirkan hal dunia sepeti dahulu. Sampaikan satu tahap wang tidak pernah putus-putus. Walaupun wang ku miliki tidak sampai RM150 dan ketika itu belom lagi sampai 10 haribulan tetapi sampai sekarang tidak habis-habis wang itu. Ketika itu tidak aku berkira-kira dengan wang ku. Waktu itu keluarga ku memerlukan wang aku bagi sahaja RM 50, kalau adik ku meminta wang aku bagi sahaja, kalau ada pasar tani aku singgah beli ayam. Aku tidak ambil berat pasal wang ku berapa yang telah ku gunakan adakah nya boleh sampai ke gaji bulan depan. Aku hanya berserah pada Allah dan keajaiban sering sahaja berlaku. Tiba-tiba aku dapat duit tiba-tiba rezki aku murah semuanya terasa sungguh mudah dan sampai sekarang aku pelik dari RM 150 tu sampai sekarang masih ada lebih dari RM100. Mungkin inilah yang dikatakan kenikmatan berserah. Aku sentiasa mengingat Allah. Apa yang aku nak aku akan minta saja kepada Allah. Aku tidak lagi banyak memikirkan bagaimana hendak mendapatkan apa yang aku hendak tapi aku berserah sahaja. Nanti Allah akan bagi melalui berbagai-bagai cara kepadaku. Bermula daripada peristiwa berserah kepada Allah inilah aku mulai sedar dan aku mulai faham apa itu Islam. Hidopku lebih dekat kepada Allah dan aku hanya ingin hidopku kekal begini iaitu hidop dekat dengan Allah. Kalau dulu aku selalu risau akan masa depan, aku ingin mengejar kemewahan dunia tetapi tidak lagi sekarang. Hidop ku sudah bahagia walaupun aku tidak ada apa-apa tetapi aku ada Allah. Allah yang maha kaya lagi maha kuasa. Cerita ini adalah cerita benar yang ku alami semuanya walaupun kedengaran tidak masuk akal.

Sekian sahaja cerita pengalamanku mengenai berserah. Assalamualaikum.

Syaf.

– Syaf

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit