Nikmat Memahami Agama

Assalamualaikum buat semua saudaraku. Terima kasih admin jika menyiarkan confession saya ini.

Saya tertarik untuk memberi maklum balas terhadap confessor yang menulis “Agama sama, tapi ketegasan agama berbeza” (https://iiumc.com/agama-sama-tapi-ketegasan-beragama-berbeza/).

Buat conffesor, saya juga mengalami jalan cerita yang sama cuma berbeza beberapa perkara. Saya faham apa yang conffesor cuba sampaikan. Ada yang kata conffesor berasa ‘mulia’ dsbnya.

Apabila kita sudah biasa hidup dalam persekitaran beragama, pastinya kita akan terkejut dan berasa tidak selesa dengan situasi yang bertentangan. Hendak ditegur, takut terguris hati. Hendak dimarah, sudah tua-tua belaka.

Dulu sebelum berkahwin, kita boleh memilih siapa yang hendak kita dampingi, selesa dan rasa selamat untuk menjalani kehidupan.

Apabila sudah berkahwin, pastinya kita tidak dapat lari atau keluar dari lingkungan yang ada. Mahu tidak mahu hendaklah kita terus berlari dalam lingkungan yang sama tetapi menggunakan cara yang berbeza.

Saya juga begitu pada awalnya. Tertekan apabila melihat waktu subuh seperti tiada apa-apa. Masing-masing masih enak dibuai mimpi, kadangkala larut hingga ke tengah hari.

Apabila keluar berjalan-jalan solat tidak ada dalam agenda untuk ditunaikan. Seolah ia satu beban untuk berhenti seketika menunaikan solat.

Dari sudut pemakaian tidak endah akan batas aurat antara ipar duai, sepupu dsbnya. Malah kita yang memakai tudung ini dirasakan susah untuk diminta pertolongan.

Misalnya, ‘payahlah suruh dia; nak kena pakai tudung bagai’. Ada saya terdengar perbualan itu. Runtun hati. Apakah saya ‘berbeza’ saya menyusahkan kalian?

Apabila balik ke kampung bilik yang saya gunakan terpaksa dikhaskan kerana saya memakai tudung, tidur tidak bergelimpangan di khalayak ramai. Saya perlukan bilik.

Malah, ketika anak saya masih bayi saya terpaksa mencuri-curi untuk menyusukan anak di bilik lain atau tempat lain. Agak tertekan dengan situasi seperti itu.

Ibu bapa mertua juga tidak menegur sikap anak-anak yang culas solat. Saya tidak pasti kenapa apabila melihat anak tidur hingga lewat tengah hari, tidak solat, berpakaian tidak menutup aurat hanya perkara biasa bagi mereka.

Bukan tidak tahu tentang perkara itu, jelas di hadapan mata. Tetapi sudah sebati, maka tidak lagi rasa ia sesuatu yang perlu diteguri.

Apa yang saya amati akhirnya, saya berserah kepada Allah. Untuk terus berasa tertekan dengan situasi tersebut amat merugikan saya.

Saya rasa tak berupaya hendak beramah mesra dengan mereka kerana terasa seperti saya hipokrit. Terasa tidak selesa dengan sikap mereka menjadikan saya seorang judgemental.

Akhirnya saya buang sikap itu. Saya hanya mampu berdoa dalam hati dan melayan mereka sebaiknya. Apabila tiba waktu solat, saya sendiri bergegas dan meminta anak-anak untuk segera menunaikan solat.

Teguran ini secara tidak langsung saya nampak mereka mula berubah, malu alah untuk terus berbual atau menonton televisyen.

Apabila berjalan ke mana-mana saya sendiri cuba ingatkan suami, atur waktu perjalanan. Misalnya, kita gerak lepas zohorlah, senang jamak siap-siap (jika dlm musafir). Atau berhenti di stesen minyak pada jam sekian2 untuk isi minyak dan solat.

Alhamdulillah, orang lain yang ikut berjalan akan melihat situasi tersebut dan menghormati cara kita.

Bukan mudah untuk mendidik mereka yang sudah bertahun-tahun dengan cara yang sama.

Kelainan budaya keluarga inilah yang menyebabkan kita bersyukur dikurniakan ilmu dalam memahami agama. Malah ini jugalah medan dakwah kecil yang perlu kita perjuangkan.

Memang pada mulanya akan terasa tertekan dengan budaya begini, tetapi jika kita terus dengan sikap ‘keras’,

Persepsi mereka kepada orang yang solat ini akan tersasar. Seolah sombong dan mulia di mata mereka. Sedangkan kita hanya hamba yang mahu mendapat redha Allah.

Saudari, saya pasti ramai lagi mengalami kejutan seperti ini apabila sudah berkahwin. Mungkin ada sebab mengapa Allah hadirkan kita dalam keluarga seperti ini.

Maafkan saya jika penulisan saya ini menggambarkan saya baik sebab saya solat. Nauzubillah…

Moga perkongsian ini dapat memberi idea kepada saudari untuk berhadapan dengan keluarga mertua.

Benar kita akan risau untuk mendidik anak-anak apabila melihat situasi begitu, tetapi ingatlah dengan siapa anak-anak kita dicorakkan dan diperhatikan hari-hari.

Kita tidak mampu mengubah sekeliling kita, tetapi kita mampu mengubah hati kita untuk memandang sesuatu. Moga baik-baik saja. Moga Allah jaga kita.

– Puan Hazelnut (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *