Assalamualaikum, ini pertama kali aku confess dekat sini. Selama ni aku cuma jadi silent reader. Banyak benda aku nak luah sebelum ini tapi aku cuma pendam sehingga lah aku terbaca confession isteri pegawai suami penoreh tu.
Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/isteri-pegawai-vs-suami-penoreh-getah/).
Puan, situasi kita sama. Bezanya saya baru sahaja mendirikan rumah tangga dan belum mempunyai zuriat. Sebelum aku berkahwin, suami aku kerja sebagai penyelia tapak bina. Gaji basic cuma seribu tiga ratus sebulan tetapi disebabkan suami aku terlalu rajin kerja gaji dia jadi 2000 campur ot.
Ketika aku usulkan yang aku sedang berkenalan dengan suami aku ni abah terus minta untuk percepatkan. Abah kata tak perlu tunang sebab benda baik elok disegerakan. Lagipun suami aku anak kawan abah yang sama-sama kerja sebagai cikgu dulu.
Sejujurnya kami lega bila hubungan direstui tetapi kami buntu bila kami cuma ada 4 bulan sebelum majlis perkahwinan kami.
Suami langsung tak ada simpanan lagi. Kerja teruk sampai 2-3 pagi tetapi gaji setakat itu je. Suami nak beli kereta untuk buat full time grab tetapi bank tolak. Lepas perbincangan yang panjang aku setuju beli kereta atas nama aku demi untuk bantu suami kumpul wang untuk halal kan ikatan kami.
Aku kerja kerajaan dengan gaji 3ribu jadi senang je loan nak lulus. Sekarang aku ada dua loan kereta. Tak ada sesiapa tahu pasal ni, biar lah ianya jadi rahsia kami berdua sampai akhir hayat kami.
Dipendekkan cerita suami berhenti kerja dan buat grab tetapi tidak terlalu masyuk seperti yang kami sangka. Dalam susah payah aku dan suami mengumpul wang kami berjaya membina rumah tangga dalam majlis yang sederhana.
Ibu bapa aku tak minta hantaran tetapi ayah mertua beri 5 ribu dan duit tu semua aku beri pada abah untuk cover katering. Majlis sebelah aku hampir semua aku tanggung. 70% aku 30% suami. Duit cincin pun aku tanggung separuh.
Gelang hantaran yang dijadikan mahar adalah gelang milik ibu yang dihadiahkan kepada aku tetapi ibu suruh suami jadikan mahar. Aku tak pernah salahkan suami kerana abah yang minta majlis itu disegerakan.
Suami memang agak risau kerana dia tak punyai apa-apa tetapi aku yakinkan dia yang aku tak perlu kan suami kaya, cukup lah dia menjadi suami yang bertanggung jawab. Suami seorang yang baik. Dia melayani aku dan keluargaku dengan baik. Ibu dan ayah mertua suami juga sangat baik. Aku rasa sangat disayangi bila pulang ke kampung suami.
Kami terpaksa duduk berjauhan tetapi setiap hari suami akan call aku. Aku rasa sangat bahagia. Bulan berganti. Pekerjaan suami ada turun naik. Kadang aku terpaksa membayar loan kereta suami dan bil telefon dia yang cecah 300 kerana suami tidak mampu untuk membayar nya. Aku cuba redha.
Tengah bulan gaji aku sudah habis semuanya. Aku tak mampu beli baju baru, kasut baru, hatta tudung yang berharga 15 ringgit pun aku terpaksa tolak tepi. Aku masih tinggal dengan parents kerana tempat kerja ku dekat dengan rumah jadi aku tak perlu risau tentang makan minum atau pun kos sewa rumah. Aku hulur duit pada parents dan semua bil abah akan uruskan.
Kadang bila aku penat pulang dari kerja dan teringin nak beli makanan sedap tetapi teringat duit dalam bank yang tinggal tak sampai 50 ringgit aku menangis sendiri. Aku mula menjeruk rasa. Aku mula berkira dengan suami ku. Aku merungut marah dengan segala beban yang terpaksa aku tanggung.
Suami berkali-kali minta maaf. Suami usaha untuk kerja tetapi simpanan tidak seberapa. Sekarang suami terpaksa mencari duit untuk majlis sebelah lelaki. Aku tertekan. Aku nak luahkan pada seseorang tetapi tak boleh kerana terpaksa menjaga rahsia loan kereta atas nama aku tu. Setiap hari aku jadi sedih memikirkan tentang duit.
Aku jadi migraine kerja mula merosot. Aku jadi sedih dan kemurungan. Solat aku juga jadi tidak khusyuk dan kerap kali terlupa bilangan rakaat.
Setiap kali suami call aku akan marah dan merungut dengan semua beban ni. Suami berulang kali minta maaf. Sampai lah satu hari suami kata dia tak tahu sampai bila dia mampu bertahan.
Aku terdiam mendengar kata-kata suami tetapi saat itu aku ego. Aku rasa jika penceraian yang terbaik biar lah apa nak kadi pun. Suami terus menyepi seharian. Tiada lagi panggilan telefon dan mesej sayang daripadanya. Seharian aku cek telefon mengharap panggilan telefon daripada suami tetapi hampa. Aku mula rasa sedih, rasa sakit. Iya aku tak mampu hidup tanpa suami.
Jiwa aku terlalu sakit. Hati aku terasa berlubang. Aku menangis semahunya. Aku cuba hubungi suami dan meminta maaf. Pada mulanya suami agak tawar hati tetapi akhirnya kami berbaik semula. Suami berkali-kali minta maaf dan memohon untuk aku bersabar.
Suami kerja siang malam kumpul wang untuk majlis bertandang dan dalam masa yang sama cuba menanggung semua hutang nya.
Mulai daripada hari yang menyakitkan itu aku tekad untuk mensyukuri segala yang ada dan tidak lagi hidup serabut memikirkan wang. Aku sudah cukup bahagia, terlalu banyak nikmat yang aku terlupa untuk bersyukur.
Aku terlupa yang penat macam mana pun aku bekerja, rezeki tak pernah putus. Setiap kali pulang makanan sudah terhidang di atas meja. Abah suka masak jadi abah akan masak sedap-sedap. Aku ada ibu dan bapa yang baik serta ibu bapa mertua yang sangat aku sayang. Suami aku juga sangat baik dan penyanyang serta rajin bekerja.
Aku terlupa semua nikmat yang ada di depan mata selama ini. Aku cuba berlapang dada setiap kali aku buka instagram dan rasa bahagia untuk kawan-kawan aku yang bercuti di luar negara ataupun shopping ditempat mahal, itu rezeki mereka.
Sebelum ini itu lah medium yang selalu merasuk jiwa aku dan memaksa suami bekerja lebih supaya kami dapat melakukan perkara yang sama.
Nak hidup macam mereka, nak suami beli kan itu dan ini. Aku jadi malu bila memikirkan semuanya kembali. Sekarang aku rasa sangat tenang dan lapang. Wang bukan lagi jadi ukuran. Rezeki suami juga menjdi semakin lapang alhamdulillah.
Aku sedar bahagia yang sebenar itu adalah apabila kita merasa syukur dengan nikmat yang ada dan berlapang dada dengan ujian Allah. Doakan rumah tangga aku kekal bahagia sampai syurga ye. Lots of love.
– Anne (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit